Selesai menunaikan
solat Maghrib, Nurul Amira melangkah keluar dari biliknya. Dia bercadang untuk
membantu Kak Kiah menyediakan makan malam mereka berdua.
“Akak masak apa tu?” tanya Nurul Amira seraya menghampiri
kak Kiah yang sedang mengoreng di atas
dapur.
“Inti karipap. Ada orang buat tempahan. Mira makanlah
dulu. Lauk dengan nasi ada bawah tudung salji tu,” ujar Kak Kiah yang masih
tekun mengoreng inti karipap.
“Rajin kak Kiah ambik tempahan,” puji Nurul Amira dengan
ketekunan kak Kiah mencari rezeki.
“Nak buat macam mana Mira. Kita ni bukannya orang senang.
Kalau tak bekerja jawabnya makan pasirlah.”
Nurul Amira senyum nipis. Dia kagum dengan kegigihan kak
Kiah yang membesarkan seorang anak perempuan dengan titik peluh usahanya selama
ini. Setelah diceraikan oleh suaminya kak Kiah tidak menoleh kebelakang lagi.
Dia terus bangkit untuk dirinya dan satu-satu zuriat yang dia ada. Kini Atikah
anak tunggal kak Kiah sedang mengikuti pengajian kejururawatan di Kolej Islam
Sains dan Teknologi (KIST). Insya-ALLAH selepas Atikah bekerja kehidupan kak
Kiah anak beranak akan lebih terjamin dan selesa lagi.
“Mira kagum dengan akak yang cekal dalam menjalani
kehidupan sebagai ibu tunggal.”
“Nak buat macam mana Mira, dah tanggungjawab akak. Nak
harapkan keluarga, akak ni sebatang kara. Nak harapkan duit nafkah bapak si
Ika, alamatnya sampai matilah tak dapat. Dahlah Mira, kamu tu pergilah makan.”
“Akak tak makan sama ke?.”
“Kejap lagilah. Akak nak siapkan masak inti ni dulu.
Lepas ni bolehlah buat karipapnya.”
“Kalau macam tu Mira tunggu akak lah. Makan sorang-sorang
tak sedap.”
Kak Kiah tersenyum. “Ke situ pulak kamu ni Mira. Dah nak
siap dah ni pun,” ujar kak Kiah sambil menyeduk inti karipap masuk kedalam
bekas yang telah disediakan.
“Mari Mira tolong buatkan,” ujar Nurul Amira yang
mengambil alih kerja kak Kiah.
“Terima kasih Mira,” kak Kiah membiarkan saja Nurul Amira
menolongnya. Dia senang dengan kehadiran Nurul Amira dirumahnya.
Sekurang-kurangnya dia tak kesunyian bila Atikah tak ada. Nurul Amira boleh
menjadi temannya berbual.
“Dahlah tu Mira, mari kita makan,” ujar Kak Kiah sambil
menyenduk nasi ke dalam pinggan dan dihulurkan pada Nurul Amira.
“Makanlah Mira. Lauk biasa-biasa aje akak masak,” ujar
kak Kiah lagi.
“Tulah Mira ingat nak tolong akak masak. Tapi akak dah
siap masak dah.”
“Sementara bendera merah bolehlah masuk dapur awal sikit,”
gurau kak Kiah tersengih.
Nurul Amira turut sama tersenyum. Di tarik kerusi untuk
duduk mengadap kak Kiah.
“Ummm…..sedapnya bau asam pedas ni,” Nurul Amira memuji
sebaik tudung salji di buka.
Kak Kiah tersenyum-senyum bila masakannya di puji. “Dah
mari kita makan.”
Usai makan malam dan membantu kak Kiah menyediakan
karipap yang ditempah, Nurul Amira dan kak Kiah ke ruang tamu untuk menonton
televisyen.
“Mira…boleh Akak tanya sesuatu?” kak Kiah memandang Nurul
Amira sewaktu mereka sedang menonton televisyen.
“Tanya ajelah kak,” jawab Nurul Amira ringkas sambil
matanya masih mengadap televisyen.
Kak Kiah senyum memandang Nurul Amira. Dah lama dia ingin
bertanya sejak 6 bulan Nurul Amira menyewa bilik dirumahnya. Tapi selalu saja
tertangguh.
“Mira ni memang orang Thailand ke?” teragak-agak kak Kiah
bertanya.
Nurul Amira menoleh memandang kak Kiah. “Kenapa akak
tanya?.”
“Tak lah. Tengok gaya Mira bercakap tak ada pulak loghat
belah sana. Setahu Akak area Tak Bai
tu kalau bercakap ada loghat Kelantan Siam sikit. Tapi Mira ni guna bahasa
biasa aje akak dengar,” kak Kiah meluahkan perkara yang memusykilkan dirinya
selama ini.
Nurul Amira tersenyum nipis. Perlukah dia menjelaskan
pada kak Kiah yang dia hanyalah anak angkat kepada pasangan suami isteri yang
tinggal di Kampung Telian, Tak Bai, Thailand. Jasa arwah ayah dan mak yang
menjaganya selama dia di sana tidak mampu di bayar dengan wang ringgit.
“Mira dah 2 tahun duduk di Malaysia, kak. Loghat pun dah
hilang,” akhirnya Nurul Amira mengambil keputusan untuk merahsiakan dulu kisah
dirinya. Biarlah masa yang menentukan bila rahsia dirinya akan didedahkan pada
kak Kiah. Buat masa ini dia lebih selesa begini.
Kak Kiah memandang Nurul Amira. Dia antara percaya dengan
tidak saja jawapan Nurul Amira. Chombi pun merantau jugak tapi loghat Kedah dia
tak pernah hilang. Masih lagi pekat likat lagi.
“Kenapa Mira berhijrah ke sini?” soal Kak Kiah lagi.
Nurul Amira menghela nafas panjang. “Saya dah tak ada
sesiapa kat sana lagi kak. Arwah ayah dengan mak dah lama meninggal. Jadi saya
ambil keputusan untuk merantau mencari kerja. Kat sana susah nak cari kerja.
Akak pun tahukan suasana kat sana belum tenang lagi. Ekonomi pun tak stabil.
Jadi daripada saya duduk menganggur aje kat sana, baik saya kerja kat sini.”
Kak Kiah menganggukkan. Ada betul jugak apa yang
dikatakan oleh Nurul Amira. Memang buat masa ini keadaan ekonomi Thailand pun
tidak berapa memberangsangkan. Bukan hanya rakyat Thailand saja yang mencari
rezeki di bumi Malaysia ini, malah Indonesia, Vietnam, Bangladesh pun ada. Rakyat
majmuklah katakan.
“Habis masa kat sana Mira belajar sampai mana?” semakin
galak pulak kak Kiah menyoal Nurul Amira.
Pertanyaan kak Kiah kali ini membuatkan Nurul Amira
terkedu seketika. Apa jawapan yang nak diberikan pada kak Kiah ni. Hati Nurul
Amira berbisik.
“Errrr…..sekolah rendah aje kak. Kami miskin kak Kiah.
Dapat kenal huruf dan angka pun dah cukup bersyukur kak,” hanya itu jawapan
yang mampu Nurul Amira berikan. Dia sendiri tak tahu sejauh mana dia belajar.
Malah segala-galanya tentang dirinya, dia sendiri tidak tahu.
Peristiwa 4 tahun lalu kembali menerjah memorinya. Kalau
tidak kerana bantuan arwah ayah dan mak masa itu pasti kini dia sudah tidak
bernyawa lagi. Tak terbalas jasa arwah ayah dan mak.
“Salmah!.....”
Pak Mat menjerit memanggil isterinya.
“Gaponyo abe…” laung Mak Mah dah dalam rumah.
“Mari tulong ambo ni!” laung Pak Mat dalam loghat
Kelantan-Thailand.
“Wat gaponyo abe duk tepik mace ore gilo ni?” geram jugak
Mak Mah dengan
perangai suaminya.
Sambil membetulkan lengan baju yang disinsing tadi Mak Mah melangkah menuju ke
ruang tamu rumah papannya.
Langkahnya terhenti bila melihat suaminya sedang
meletakkan seseorang dilantai ruang tamu rumah mereka.
“Sapo ni abe?” tanya Mak Mah hairan.
“Abe jupo dio maso ke laut takdi. Palo dio pung darah
ni,” jelas Pak Mat cemas.
“Idup lagi ko budok ni abe weh?” tanya Mak Mah
takut-takut.
Pak Mat memegang pangkal lengan gadis yang ditemui tadi.
Dia menghela nafas lega.
“Idup lagi ni. Moh tulong jago dio semeta. Saling baju
dio, abe nok gi panggil tok bomoh meta,”
ujar pak Mat sambil membetulkan sarung kepalanya.
“Iyo la. Jange lamo abe,” pesan Mak Mah.
“Meta jah.”
Sementara menanti suami pulang bersama dengan tok bomoh,
Mak Mah menyalinkan pakaian yang gadis itu serta membersihkan luka dikepalanya.
Besar jugak kulit yang terkoyak dikepala gadis itu.
“Guano tok?” Pak Mat bertanya sebaik tok bomoh selesai
merawat.
“Hummm…..luko dio lepah bubuh ubat ni molek la, nati dio
sedar mung buwi dio minum air ni,” jelas
tok bomoh.
“Budok ni tak dok gapo-gapo ko tok?.”
“Insya-ALLAH. Luko kat palo jah, aku raso tak dok
gapo-gapo tu. Aku kelik dulu la Mat,” ujar tok bomoh sambil menepuk mesra bahu
pak Mat.
“Terimo kasih tok,” ucap Pak Mat sambil mengiringi tok
bomoh sehingga ke laman
rumah mereka. Sebaik
bayang tok bomoh hilang dari matanya dia kembali semula ke dalam rumah.
Kelihatan Mak Mah sedang memperkemaskan selimut yang
menyelimuti badan gadis itu. Pak Mat menghampiri Mak Mah. Dipegang bahu Mak Mah
lembut. Mak Mah menoleh ke atas memandang suaminya.
“Comey budak ni abe, kalu anok kito idup lagi mesti comey
lagu ni jugok?.”
Pak Mat terkedu. Satu-satunya anak yang mereka ada telah
meninggalkan mereka di awal usianya mencecah 12 tahun akibat terlibat dalam
kemalangan jalan raya sewaktu mengikuti rombongan sekolah ke Bangkok.
“Abe raso dio ni ore sini ko?” soal Mak Mah lagi.
“Tok tahu la moh. Kelih ko pakaye mace bukey ore alik
siye. Kad gambo pung takdok. Hok adonyo ghata (rantai) hok dio papa tu jah la,”
ujar Pak Mat bingung. Kalau benar gadis ini bukan rakyat Thailand dia
perlu laporkan perkara ini pada pihak berkuasa.
“Tok leh ko kito jago dio, abe?. Buleh jadi anok kito,”
pinta Mak Mah sayu.
“Hummm……kito kelih la dulu lagu mano. Nati dio sedar kito
tanyo mano rumoh dio,” jawab Pak Mat lemah. Dia memahami perasaan isterinya
tika ini. Namun keputusan bukan ditangan mereka. Pasti gadis ini mempunyai
keluarga dan tentunya sekarang ini keluarga gadis ini sedang risaukan akan
keselamatannya.