Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
239,353
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23
"ARGH! Bodoh! Bodoh!” jerit Aneesa kuat apabila kakinya melangkah ke dalam bilik.

Seraya dengan itu, dia menghempas beg sekolah di atas lantai. Rambutnya yang jatuh melurut pada bahu cepat-cepat ditolak ke belakang. Sudahlah hati tengah panas, rambutnya yang panjang juga turut memanaskan hatinya lagi.

“Dahlah! Jangan sindir aku lagi. Aku tahu aku salah. Sorry, okay...”

Kata-kata yang diucapkan pada Dzaquan sebentar tadi bagaikan terngiang-ngiang di telinga. Cepat-cepat dia mengorek lubang telinganya itu. Dia tidak mahu terus mendengar kata-kata itu. Seketika kemudian dia merebahkan badan pada tilam yang empuk.

Argh! Kenapa aku cakap macam tu? Kenapa aku mengaku salah sedangkan aku tak buat salah? Soal hati Aneesa lagi.

Dia masih teringat lagi senyuman yang terlukis di wajah lelaki itu apabila dia mengakui kesilapannya. Terasa seperti Dzaquan sedang meraikan kejayaannya kerana membuatkan dia berkata begitu.

Ah, tak guna! Jerit hati Aneesa lagi.

Aneesa bangkit daripada perbaringannya dengan tiba- tiba. Pandangannya terus dihalakan pada pintu bilik sambil akalnya sedang memikirkan sesuatu. Seketika kemudian dia terus melompat daripada katil dan langkahnya laju diatur menuju ke arah pintu bilik.

Di dalam kepalanya ketika ini cuma ada satu sahaja hala tuju. Lambat atau cepat, dia mesti selesaikannya juga. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan lelaki itu.

Tanpa mengetuk pintu bilik Dzaquan terlebih dahulu, Aneesa terus memulas tombol pintu bilik itu dan terus melangkah memasukinya.

“Dzaquan! Aku...”

Kata-kata Aneesa terhenti di situ. Dia terus terpaku dengan apa yang dilihatnya. Buat seketika dia berkeadaan begitu sebelum dia cepat-cepat memusingkan badan. Mukanya juga mula terasa hangat.

“Hei! Sejak bila pulak main ceroboh masuk bilik orang ni? Dah tak pandai nak ketuk pintu dulu ke?” jerit Dzaquan kuat apabila menyedari Aneesa menerjah masuk ke dalam biliknya.

Sudahlah keadaan dirinya yang tidak bersedia untuk menerima tetamu. Seluar yang mahu ditanggalkan sebentar tadi cepat-cepat ditariknya kembali. Malah, tangannya juga turut menggapai baju yang telah ditanggalkan sebentar tadi.

“Tak...aku...aku...” Teragak-agak Aneesa untuk membalas kata-kata Dzaquan itu. Lain yang hendak dilakukannya, tapi lain pula yang berlaku.

“Aku, apa?” potong Dzaquan pantas. Geram benar dia dengan sikap Aneesa yang selalu ambil remeh akan soal-soal seperti ini.

Tak tahu ke Aneesa yang perbuatan menerjah ke bilik orang yang bukan muhrim itu salah?

Soalan yang terpacul daripada mulut Dzaquan itu membuatkan telinga Aneesa berdesing. Daripada gaya percakapan Dzaquan seolah-olah salahnya terlalu besar.  Sedangkan dia bukan sengaja mahu menerjah masuk ke bilik itu dalam keadaan Dzaquan sebegitu.

Sungguh! Kalau dia tahu begitu jadinya, dia tidak akan terjah sebegitu. Tapi, salah ke kalau aku cakap Dzaquan kelihatan seksi? Hah! Seksi? Gila! Cepat-cepat Aneesa menggeleng-geleng. Mahu menghilangkan bentuk tubuh Dzaquan yang sedang bermain-main di fikirannya itu.

“Aku, apa?” soal Dzaquan lagi apabila soalannya sebentar tadi dibiarkan sepi tanpa jawapan.

Aneesa yang sedari tadi mengelamun jauh tersentak apabila suara Dzaquan menyapa telinganya. Terus dia memusingkan badannya.

“Bukan salah aku kalau aku nampak kau tengah bukak seluar.”

“Kau nampak?” tukas Dzaquan pantas. Anak matanya terus membulat dan pandangannya terarah pada Aneesa.

Aneesa mula gelisah dengan pandangan Dzaquan. Tangannya mula menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Salah dia ke kalau dia nampak? Siapa suruh tak kunci pintu?

“Cakap baik-baik, apa yang kau nampak?” gesa Dzaquan lagi. Hatinya mula berdebar-debar dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa itu.

Betul ke Neesa dah melihat semuanya? Ah, tidak! Dia tak patut buat aku macam ni!

“Alah, bukan luak pun kalau tengok,” balas Aneesa acuh tak acuh. Dia sudah mula berasa cuak dengan sikap Dzaquan itu. Walhal perkara itu berlaku pun bukan disengajakan.

“Aaa...apa dia?” soal Dzaquan separuh terkejut dengan kenyataan Aneesa itu.

“Bukan luak pun? Maknanya kau tengoklah tu!” bentak Dzaquan geram.

“Salah aku ke kalau aku nampak semua tu? Bukan aku sengaja nak tengok. Pintu tu, kenapa kau tak kunci aje?” balas Aneesa selamba, masih lagi cuba menegakkan benang yang basah.

Seraya dengan itu jari telunjuknya diarahkan pada pintu. Sebab pintu tak berkuncilah semuanya berlaku. Bukan kerana dia yang terhegeh-hegeh mahu melihat Dzaquan dalam keadaan begitu.

“Oh, jadi semua ni salah aku?” soal Dzaquan yang terkejut dengan kata-kata Aneesa yang menuding jari ke arahnya semula.

Terus Aneesa mengangguk beberapa kali. Lagaknya tidak ubah seperti burung belatuk saja.

“Memang salah kau.”

Dzaquan mengetap bibir kuat. Kalau tak difikirkan insan itu anak gadis Datuk Zaman, rasanya sudah lama kena penampar sulung daripadanya.

“Hei! Ni bilik aku. Suka hati akulah nak kunci ke tak! Kau tu apahal masuk bilik aku? Dah tu tak tahu nak ketuk dulu ke?” tempelak Dzaquan pula. Tajam anak matanya merenung wajah Aneesa.

Aneesa yang perasan pandangan tajam Dzaquan terarah padanya terus mengalihkan pandangan ke arah lain. Entah mengapa dia terasa gentar pula untuk berhadapan dengan lelaki itu. Ditambah pula dengan cerita yang baru didengarinya tentang Dzaquan, benar-benar membuatkan dia berasa gelisah.

“Aku...aku...” ujar Aneesa teragak-agak untuk menjawab pertanyaan Dzaquan itu. Malah, dia juga turut terlupa tujuan utama dia menyerbu bilik Dzaquan itu.

“Kau mesti kahwin dengan aku!” ujar Dzaquan dengan tiba-tiba.

Aneesa yang mendengar terus tersedak. Telinganya terus dikorek-korek. Mahu memastikan yang dia tidak tersalah dengar. Kemudian anak matanya terus mencari anak mata milik Dzaquan. Mahukan kepastian daripada lelaki itu.

Wajah tegang Dzaquan membuatkan Aneesa jadi sesak nafas. Jadi dia memang tidak tersalah dengar. Kahwin? Terus anak matanya membulat.

“Kenapa aku kena kahwin dengan kau? Aku bukan buat apa! Aku cuma tengok aje.”

“Sebab kau dah tengoklah, kau kena kahwin!” tekan Dzaquan lagi.

“Kau jangan nak mengarutlah, Dzaquan,” balas Aneesa lagi.

Hilang sudah perasaan gementar yang dirasainya sebentar tadi. Yang ada sekarang perasaan cuak pula yang dirasainya. Angin tak ada, hujan tak ada. Alih-alih perihal kahwin pula yang ditimbulkan Dzaquan.

“Kau mesti bertanggungjawab!” ujar Dzaquan lagi. Anak matanya masih lagi terarah pada wajah Aneesa.

Aneesa yang mendengar terus tergelak kecil. Dzaquan ni benar-benar dah gila agaknya. Bertanggungjawab? Bunyinya macam dia dah ‘apa-apa’kan Dzaquan. Sedangkan dia tidak pernah melakukan apa-apa pada lelaki itu.

Cuma secara tak sengaja dia ternampak ‘sesuatu’ yang tak sepatutnya dilihat. Itu sahaja.Tambahan pula Dzaquan tu lelaki dan dia pula perempuan. Kenapa mesti dia yang bertanggungjawab? Sudah terbalik ke dunia? Dan...kahwin? Betul-betul tak masuk akal!

“Kau jangan nak buat lawak boleh tak?”

“Muka aku ni macam tengah buat lawak ke?” soal Dzaquan sinis. Soalan berbalas soalan. Tanpa menjawab pertanyaan Dzaquan, Aneesa terus membuang pandang pada wajah Dzaquan yang kelihatan serius.

Benar! Lelaki itu tidak membuat lawak. Pandangan mereka bersatu buat seketika sebelum Aneesa cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Entah mengapa dia berasa tidak selesa menatap sepasang mata itu yang dirasakan begitu redup di matanya. Redup?

“Aku...aku nak keluar,” ujar Aneesa bersuara dengan teragak-agak. Baru sahaja dia berkira-kira untuk beredar dari situ, tiba-tiba sahaja tangan Dzaquan melekap pada lengannya.

Aneesa tersentak seketika. Tindakan Dzaquan itu benar-benar di luar jangkaannya.

“Kau nak buat apa?” soal Aneesa pantas apabila menyedari keadaan sebenarnya.

Dia cuba meloloskan diri daripada pegangan tangan Dzaquan. Namun pegangan Dzaquan begitu erat padalengannya.

“Kau nak ke mana? Tak dengar apa yang aku cakap tadi?” soal Dzaquan geram.

Sikap Aneesa yang acuh tak acuh itu membuatkan kesabarannya semakin menipis. Tanpa disedari pegangannya pada lengan Aneesa semakin dieratkan.

“Aduh, sakitlah!” rintih Aneesa perlahan apabila lengannya mula terasa sakit gara-gara pegangan Dzaquan begitu kuat.

Tangan kirinya pula terus melekat pada tangan Dzaquan yang sedang memegang lengannya. Dia cuba melepaskan pegangan Dzaquan daripada terus menyakiti lengannya itu. Namun usahanya itu hanyalah sia-sia. Dzaquan langsung tidak mengendahkan dirinya yang mula disakiti.

“Cakap apa?” bentak Aneesa geram. Dalam waktu yang sama dia cuba melepaskan lengannya daripada terus menjadi ‘mangsa’ Dzaquan. Dengan meloloskan satu per satu jari Dzaquan yang melekap dilengannya itu.

“Kahwin dengan aku!” tekan Dzaquan lagi. Kali ini dia mahu jelas pada pendengaran Aneesa. Dia mahu Aneesa tahu yang dia tidak main-main dalam hal ini. Kerana Aneesa telah melihat ‘sesuatu’ yang tidak sepatutnya dilihat gadis itu. Jadi Aneesa perlu bertanggungjawab. Itu mahunya!

“Buat apa?” soal Aneesa lagi. Ini kali kedua dia mendengar kata-kata yang sama daripada Dzaquan. Kahwin? Gila!

“Kau kena bertanggungjawab pada aku sebab kau dah tengok ‘sesuatu’ yang tak sepatutnya kau tengok!” ujar Dzaquan dengan suara yang agak kuat.

Aneesa yang mendengar terdiam buat seketika. Ya! Dia akui telah melihat sesuatu yang tak sepatutnya dilihat. Tapi salah dia ke jika Dzaquan yang tidak mengunci pintu bilik? Sehinggakan dia secara tak sengaja melihatnya. Mukanya mula terasa hangat apabila mengingati kejadian yang berlaku sebentar tadi. Warna kulit mukanya juga mula bertukar kemerah-merahan.

“Aaa...apa kau merepek ni? Mana aku nampak apa pun,”ujar Aneesa cuba menafikan kata-kata Dzaquan. Meskipun perkara sebaliknya yang berlaku.

“Kau jangan tipu aku?” soal Dzaquan lagi. Dia berasa sangsi dengan jawapan Aneesa itu. Sedangkan wajah Aneesa sudah bertukar kemerah-merahan. Tapi kenapa?

“Apa yang aku dapat kalau aku tipu kau?” duga Aneesa pula. Sengaja mahu memancing Dzaquan agar mempercayai kata-katanya itu. Wajah Dzaquan dipandang lama.

Aneesa cuba meloloskan diri untuk keluar dari bilik itu apabila Dzaquan melepaskan lengannya. Namun Dzaquan yang terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan Aneesa terus memegang lengan Aneesa sekali lagi dan menarik lengan Aneesa kuat.

Aneesa yang langsung tidak menyangka Dzaquan akan menariknya kuat terus hilang imbangan badan dan menyebabkan mereka berdua terjatuh.

“Aduh, sakitnya!” rintih Aneesa perlahan. Kerut tebal terukir di wajahnya kerana menahan rasa sakitnya itu. Tapi dia berasa hairan apabila kesakitan yang dirasainya itu tidak sekuat mana. Aneh. Perlahan-lahan dia membuka mata.

Tilam? Spontan kata-kata itu terbit di benaknya apabila melihat dia berada di atas sesuatu. Tapi kenapa dia berasa lain macam saja. Bunyi ni, macam...Anak mata Aneesa membulat. Baru dia sedar yang dia berada di atas tubuh Dzaquan. Dan bunyi yang didengari sebentar tadi bunyi degupan jantung lelaki itu. Cepat-cepat dia bangkit daripada terus berada di atas tubuh lelaki itu.

“Kau tengok apa yang kau dah buat? Sakit tau tak!” bentak Aneesa kuat.

Perasaan geram berbakul-bakul buat lelaki itu. Kalau tidak disebabkan tarikan lelaki itu sebentar tadi, belum tentu dia akan berasa sakit seperti itu. Dalam diam dia turut berterima kasih kepada Dzaquan yang menjadi ‘tilam’ buatnya sebentar tadi.

Kalau tidak sudah tentu dia berasa sakit yang amat sangat. Tanpa membuang masa, Aneesa terus menoleh. Mahu terus beredar dari situ. Kepalanya boleh pecah jika Dzaquan sekali lagi mengusulkan perihal kahwin. Tak kanlah dia perlu mengahwini lelaki itu gara-gara dia telah melihat ‘sesuatu’ yang tidak sepatutnya? Gila! Tak pernah buat dek orang.

Aneesa yang baru berkira-kira untuk memulas tombol pintu terpaku buat seketika. Pelik! Kenapa dia tidak mendengar suara Dzaquan yang memarahinya atau menyuruhnya kahwin? Kenapa senyap saja? Cepat-cepat Aneesa menoleh ke arah Dzaquan. Melopong mulut Aneesa apabila melihat Dzaquan masih lagi kaku seperti tadi. Langsung tidak berkutik.

“Dza...Dzaquan? Kau kenapa? Bangunlah,” panggil Aneesa perlahan. Sesekali diselangi dengan sepakan perlahan pada kaki Dzaquan.

“Dzaquan! Janganlah main-main.”

Apa yang sudah berlaku? Kenapa dia diam? Dia dah mati ke? Tak mungkin! Baru tadi aku dengar degupan jantungnya.

Tanpa membuang masa, Aneesa terus mendapatkan Dzaquan yang masih lagi terbaring di situ. Dalam teragak-agak dia tetap meletakkan jari telunjuk dekat dengan hidung Dzaquan. Mahu memastikan yang Dzaquan masih lagi bernafas.

Tangan Aneesa mula menggigil apabila dia tidak merasa apa-apa. Langsung tidak ada deru nafas yang daripada Dzaquan. Tak mungkin. Dia menggeleng-geleng beberapa kali. Mahu menafikan apa yang sedang bermain di benaknya.

Perasaan gentar mula mengetuk tangkai jantungnya. Tanpa disedari, air hangat mula membasahi wajahnya. Terus dia merebahkan kepalanya pada dada Dzaquan. Mahu memastikan yang Dzaquan masih lagi bernafas seperti yang telah didengarinya sebentar tadi.

Baru sahaja dia meletakkan kepala, telinganya terdengar suara orang ketawa. Terus dia mengangkat kepala. Bulat anak matanya apabila melihat Dzaquan mengekek mengetawakan dirinya.

“Kau...kau tak apa-apa?”

Dzaquan tidak menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya dia hanya menggeleng-geleng. Namun ketawanya masih lagi bersisa. Lucu pula dia melihat reaksi panik yang ditunjukkan Aneesa sebentar tadi.

Dia pula tidak pernah merancang untuk mempermainkan Aneesa. Tetapi semuanya berlaku dengan tiba-tiba. Mungkin disebabkan tarikannya terlalu kuat dan akhirnya menyebabkan mereka berdua terjatuh. Mujur juga Aneesa terjatuh ke atasnya. Setidak-tidaknya gadis itu mengalami sebarang kecederaan.

Secara tiba-tiba dia mendapat idea untuk mengenakan Aneesa. Sebab itulah dia diam terbaring di situ, mahu melihat reaksi Aneesa. Sangkanya Aneesa akan terus meninggalkan dirinya sendirian di situ.

Tapi lain pula yang dilakukan gadis itu. Dia langsung tidak menyangka yang Aneesa turut berasa bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku padanya. Setahunya, Aneesa terlalu bencikan dirinya. Dalam diam hatinya turut berasa gembira dengan apa yang dilihatnya itu.

“Habis tu, tadi tu apa?” tanya Aneesa yang mula berasa tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan Dzaquan itu.

Air hangat yang mula membasahi wajahnya sebentar tadi terus diseka dengan hujung jari. Namun ia masih tetap mengalir laju. Bahkan semakin laju daripada tadi.

“Tadi aku...”

Kata-kata Dzaquan terhenti di situ apabila melihat Aneesa yang kalut menyapu sesuatu di wajahnya. Dia...dia menangis?

“Ke...kenapa menangis?”

Teragak-agak Dzaquan mengajukan soalan itu. Bermacam-macam persoalan yang sedang bermain di benaknya ketika ini. Kenapa Aneesa menangis? Sebab gurauan tadi ke?

“Tadi tu, kau pura-pura mati ke?” soal Aneesa lagi apabila soalan yang diajukan sebentar tadi tidak dijawab Dzaquan. Walhal dia sudah dapat menduga jawapan Dzaquan. Namun hatinya tidak mahu mempercayai apa yang sedang bermain di fikirannya itu.

Hati aku benar-benar digaru dengan perasaan takut dan gementar andainya sesuatu yang buruk telah berlaku padanya. Tapi dia hanya berpura-pura? Sanggup dia mainkan perasaan aku? Getus Aneesa.

“Aaa...aku cuma bergurau aje. Tak tahu pulak kau akan...”

“Akan apa? Kau ingat aku kisah fasal kau ke? Aku cuma kesal dengan kau. Sanggup kau buat soal hidup mati ni sebagai gurauan? Kau...kau betul-betul dah melampau,” luah Aneesa yang marah dengan permainan yang dimainkan Dzaquan itu. Dan yang lebih penting dia marahkan dirinya sendiri. Kerana Dzaquan, air matanya itu tidak mahu berhenti daripada terus mengalir laju.

“Neesa, kau janganlah nangis macam ni.”

Dzaquan semakin kalut apabila melihat air mata Aneesa semakin laju membasahi wajahnya. Tanpa berfikir panjang, dia terus menyapu air mata Aneesa dengan jarinya.

Aneesa yang terkejut dengan tindakan Dzaquan itu pantas menepis tangan lelaki itu. Pandangan tajam diberikan pada lelaki itu.

Dzaquan terdiam buat seketika apabila tangannya ditepis kuat Aneesa. Pasti Aneesa benar-benar marah pada dirinya.

“Janganlah menangis,” pujuk Dzaquan lagi. Dia tidak peduli jika pandangan tajam Aneesa masih lagi terarah padanya. Yang dia tahu, dia tidak mahu melihat gadis itu terus menangis.

Aneesa masih lagi menyapu air matanya. Dia mula berasa pelik dengan dirinya sendiri. Sepatutnya dia sudah boleh menarik nafas lega apabila mengetahui yang Dzaquan tidak apa-apa. Tapi entah mengapa air matanya semakin laju membasahi wajahnya.

Malah, pujukan Dzaquan itu membuatkan air matanya semakin laju membasahi wajahnya. Gila! Kenapa anggota badannya tidak bertindak seperti apa yang difikirkannya? Kenapa ‘mereka’ terus-terusan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang bermain di fikiranku? Aku tak mahu menangis! Tapi kenapa aku masih lagi menangis?

Dalam keadaan Aneesa yang masih lagi tertanya-tanya akan masalah yang sedang dihadapinya, tiba-tiba sahaja dia terasa ada tangan yang sedang menyapu air matanya. Aneesa tersentak buat seketika. Terus anak matanya membuang pandang pada Dzaquan.

“Neesa, jangan nangis,” pujuk Dzaquan lagi sambil tangannya masih lagi menyapu air hangat yang sedang membasahi wajah Aneesa.

Secara tak sengaja anak matanya turut menyapa pandangan Aneesa yang sedang memandang ke arahnya. Buat seketika pandangan mereka bersatu. Tangan Dzaquan yang tadinya menyapu air mata Aneesa, akhirnya kaku di wajah gadis itu. Dzaquan bagaikan terpukau dengan pandangan Aneesa yang begitu redup padanya.

Perlahan-lahan dia mengelus lembut wajah Aneesa. Malah, dia juga membetulkan rambut Aneesa dengan menyelitkan pada telinga.

Seperti juga Dzaquan, Aneesa bagaikan terpukau dengan apa yang dilakukan lelaki itu. Malah, dia sedikit pun tidak menghalang perbuatan lelaki itu yang menyapu air mata dan mengelus wajahnya. Pandangannya juga masih lagi bersatu dengan pandangan Dzaquan.

Lama mereka berkeadaan begitu sehinggakan mereka dikejutkan dengan suara Kartini yang menjerit-jerit. Bagaikan baru terjaga daripada mimpi yang panjang, Aneesa pantas menepis tangan Dzaquan yang masih lagi melekat pada wajahnya.

“Kau buat apa ni?” jerit Aneesa kuat.

“Aku...aku...” kata-kata Dzaquan mati di situ. Dia terpinga-pinga sendirian. Terkejut apabila tangannya tiba-tiba sahaja ditepis Aneesa dan jeritan Aneesa seolah-olah sedang memarahi dirinya.

Apa yang berlaku? Seketika kemudian dia mengalihkan pandangan pada seraut wajah Aneesa yang merenung tajam ke arahnya.

“Tak cukup yang kau dah bodohkan aku dan sekarang kau nak ambil kesempatan pulak?” tuduh Aneesa pula.

Sengaja dia menuduh Dzaquan begitu. Mahu menghilangkan perasaan gugup dan gementar yang dirasainya ketika itu. Dia tidak pasti apa yang sudah berlaku sehinggakan dia merelakan Dzaquan memperlakukan sebegitu padanya.

“Tak! Aku...”

“Aku apa?”

“Aku...aku tak sengaja...”

Bulat anak mata Aneesa mendengar kata-kata Dzaquan itu.

“Apa dia? Tak...tak sengaja? Tak sengaja? Kau sapu air mata aku, kau belai pipi aku. Tak sengaja ke tu?” soal Aneesa pantas. Berbahang hatinya apabila mendengar kata-kata Dzaquan itu. Terasa seperti Dzaquan sengaja mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Selebihnya dia turut menyalahkan dirinya sendiri. Kalau dia tidak hanyut dengan pandangan redup Dzaquan sebentar tadi, sudah tentu perkara ini tak akan berlaku.

Hampir-hampir sahaja dia menyerah pada Dzaquan. Entah mengapa dia berasa tenang saat anak mata mereka bersatu sebentar tadi. Dan mungkin disebabkan itu dia merelakan wajahnya dielus lembut Dzaquan.

Tetapi Dzaquan pula mengatakan yang dia tidak sengaja. Tak sengaja? Itu yang membuatkan dia marah sangat pada lelaki itu. Jika benar Dzaquan tidak sengaja, apa maksud pandangan redup itu sebentar tadi? Apa perasaan sebenar Dzaquan pada dirinya?

Argh! Kenapa aku harus berfikiran seperti itu? Bukankah cintaku hanya untuk Amsyar? Ya! Hanya Amsyar cinta hatiku dan bukannya lelaki tak guna seperti itu yang hanya mahu mengambil kesempatan padaku.

Dzaquan kelu. Tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan pada Aneesa. Sedangkan dia sendiri pun terkejut dengan tindakannya sebentar tadi.

“Maafkan aku...” Belum pun sempat Dzaquan menghabiskan kata-katanya, Aneesa lebih dulu bersuara.

“Aku tak nak dengar apa-apa lagi daripada kau!” bentak Aneesa lagi. Dia benar-benar kecewa dengan jawapan yang diberikan Dzaquan sebentar tadi. Yang lebih mengecewakan kerana dia hampir menyerah pada lelaki itu.

Sehinggakan dia hampir-hampir melanggar janji untuk terus setia pada Amsyar. Tanpa membuang masa, dia terus bangkit dan melangkah keluar dari bilik itu. Meninggalkan Dzaquan sendirian di situ.



ps: DUKACITA dimaklumkan, DTA! tak sempat masuk pbakl 2013. Apa-apa berita mengenai DTA akan dimaklumkan kemudian. Yang pastinya, DTA untuk terbitan bulan JUN 2013

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.