Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
221,706
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4
DATUK Zaman resah. Duduknya langsung tidak memberikan sebarang ketenangan. Insan yang ditunggu pula tidak juga muncul-muncul. 

Senyuman mengejek daripada isterinya menambahkan bara yang sememangnya sudah hangat membara.

“You ni apasal pulak? Dari tadi lagi senyum-senyum macam tu,” luah Datuk Zaman.

Meluat betul dia melihat senyuman isterinya itu. Bukan dia tidak tahu yang isterinya itu memang menantikan peluang begini untuk mengenakan dirinya.

Datin Fatimah tergelak kuat. Sengaja dia berbuat begitu.Mahu menghangatkan suaminya yang sememangnya sedang hangat.

“Hai, sejak bila pulak I tak boleh senyum ni, hah? You tak tahu ke, senyum tu kan sedekah? You tu, bila pulak nak buat amal jariah?” sindir Datin Fatimah.

“You jangan nak buat I marah ya,” balas Datuk Zaman geram.

“Apa ni? Anak you yang buat perangai, I pulak yang kena tempiasnya,” dengus Datin Fatimah geram.

Datuk Zaman segera menoleh pada isterinya itu. Inilah perempuan yang digilainya dahulu hinggakan sanggup melukakan hati isterinya, Puan Zaleha. 

Menyesal betul dia kerana tergilakan janda beranak satu ni. Bukan mahu menyenangkan hatinya, tapi hatinya bertambah hangat apabila terpandangkan saja wajah Datin Fatimah.

Belum pun sempat dia membuka mulut, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Tak lama kemudian muncul anak gadisnya, Aneesa sambil melambai-lambai pada lelaki yang menghantarnya.

“Hah, there’s your girl. Entah jantan mana pulak yang menghantarnya tu. Selagi jam tak tunjuk angka 12, jangan harap nak nampak batang hidungnya,” ujar Datin Fatimah sambil mulutnya memuncung ke arah Aneesa yang baru melangkah masuk setelah buah hati kesayangan berlalu pergi.

“Neesa!” panggil Datuk Zaman apabila Aneesa melintasi dirinya.

Terperanjat Aneesa dibuatnya. Sangkanya papanya tiada di rumah ataupun sudah tidur. Memang itulah yang biasa dilakukan papanya sejak dia tinggal di rumah ini sejak dua tahun yang lalu. 

Memang dia jarang melihat wajah orang tuanya itu. Tapi dia memang suka begitu. Setidak-tidaknya dia tidak perlu selalu menatap wajah insan yang menyebabkan ibunya menderita.

“Mari sini, papa nak cakap dengan Neesa.”

Datin Fatimah tersenyum meleret setelah mendengar kata-kata suaminya itu. Sebentar lagi pasti Aneesa di‘basuh’suaminya itu. 

Inilah saat yang ditunggu-tunggunya. Sejak kali pertama Aneesa melangkah ke dalam rumah itu, sudah beberapa rancangan yang diaturkannya agar suaminya mengusir Aneesa keluar dari rumah. 

Tetapi suaminya langsung tidak mengambil apa-apa tindakan. Disebabkan itulah Aneesa semakin besar kepala. Malah, sudah beberapa kali juga Kartini menangis gara-gara Aneesa.

“Ada apa, pa? Neesa kan baru balik, penatlah. Esok-esok ajelah,” balas Aneesa malas. Bertambah menyampah apabila melihat ibu tirinya yang turut berada di situ sambil tersenyum lebar ke arahnya.

Entah cerita apa pulak yang direka perempuan tu pada papa, bisik hati Aneesa. Bukan dia tidak kenal dengan perangai ibu tiri yang sangat membenci dirinya. Ada saja cerita yang tidak enak keluar daripada mulut itu.

Tapi setakat ini semua cerita itu belum dapat membuat papanya menghalang segala gerak lakunya. Papanya lebih suka mengambil sikap tidak kisah. Dari situ dia sedar yang papanya tidak pernah menganggapnya sebagai anak. 

Apa yang dilakukan papanya sebelum ini pastilah sekadar menjalankan ‘tanggungjawab’ yang sudah lama dilupakannya. 

“Sinilah, papa nak cakap dengan Neesa. Esok Neesa tu,papa tak tahu pukul berapa. Lagipun esok papa ada meeting,”ujar Datuk Zaman lagi.

Walaupun layanan yang diberikan pada Aneesa agak dingin, tetapi seboleh mungkin dia mahu menjaga hati anak gadisnya itu. Kerana dia sedar yang anaknya itu sudah terlalu banyak dilukai. Dan disebabkan itu jugalah dia tidak pernah melarang perbuatan Aneesa walaupun kadangkala agak melampau. 

Mujur juga anaknya itu sudah tidak bersikap kurang ajar dengannya, Malah, tidak terus membahasakan ‘kau’ dan ‘aku’ seperti pertama kali mereka bersua muka dahulu.

Nak tak nak, Aneesa terpaksa melangkah menghampiri papanya.

“Ada apa, pa?” soal Aneesa lagi. Sempat dia menjeling wajah papanya yang agak serius seolah-olah ada perkara penting yang mahu dibicarakannya.

Hai, sejak bila pulak papa serius macam ni dengan aku? Biasanya dia anggap aku ni macam tak wujud aje, getus Aneesa.

“Tadi ke mana?” soal Datuk Zaman dengan nada serius.

Wajah Aneesa langsung tidak dipandangnya. Sebaliknya,
anak mata Datuk Zaman tertumpu pada sampul surat yang berada di tangannya.

“Keluar,” jawab Aneesa ringkas. Cuak melihat papanya yang tidak sudi memandang wajahnya. 

Hatinya sedikit tergores dengan perbuatan papanya itu. Seolah-olah papanya langsung tidak mempunyai perasaan kasih padanya. 

Berbeza benar dengan adik tirinya, Kartini. Itulah anak yang sangat rapat dan manja dengan papanya. 

Dia benar-benar berasa cemburu dengan Kartini yang mendapat kasih sayang yang tidak pernah dirasainya.

“Ke mana? Dengan siapa? Buat apa?” Bertalu-talu soalan itu keluar daripada mulut Datuk Zaman. 

Geram pula dia dengan jawapan ringkas yang diberikan Aneesa sebentar tadi.

Aneesa tergamam. Lagak papanya tak ubah seperti anggota polis yang sedang menyoal pesalah. Bertubi-tubi soalan dilemparkan padanya. 

Senyuman ibu tirinya yang berada di sebelah papanya semakin melebar. 

Pelik! Sejak bila pulak papa nak ambil tahu semua tu? Bukan ke sebelum ni papa tak pernah ambil peduli apa yang aku buat, getus Aneesa.

“Hah, kenapa tak jawab? Takut tembelang pecah?” Belum pun sempat Aneesa bersuara, Datin Fatimah terlebih dahulu bersuara. 

Seakan-akan-akan tidak mahu memberi peluang pada Aneesa untuk menjawab segala pertanyaan papanya sebentar tadi.

Berkerut kening Aneesa. Tidak faham maksud yang diperkatakan ibu tirinya itu. Tembelang apa pulak ni?

“Neesa!” panggil Datuk Zaman setelah dilihat Aneesa seakan-akan terpinga-pinga dengan kata-kata isterinya itu.

“Macam biasa, pa. Neesa keluar jumpa kawan,” balas Aneesa yang langsung tidak mengetahui keadaan yang sebenar.

“Lelaki?” soal Datuk Zaman lagi.

Banyak pulak soalannya malam ni. Biasanya papa tak pernah pun tanya semua ni. Bukan aku tak biasa keluar malam-malam macam ni, gumam Aneesa yang jelas berasa hairan dengan perubahan sikap yang ditunjukkan papanya itu.

“Haah, lelaki, kawan...”

Belum pun sempat Aneesa habis berkata-kata, Datin Fatimah sudah pun bersuara. 

Ini peluang yang tak sepatutnya dilepaskan, fikir Datin Fatimah.

“Hah, kan I dah cakap dengan you tadi. You aje yang tak nak percaya. Nak jugak tanya dengan budak tu sendiri.”

Kemudian ditunjuk pula pada sampul surat yang berada di tangan suaminya itu.

“Ini, you pun dah ada bukti yang jelas. Perangai budak ni memang saling tak tumpah dengan perangai ibunya. Dasar perempuan murahan!” Kuat sekali suara Datin Fatimah kedengaran.

Datuk Zaman pula hanya mendiamkan diri. Seolah-olah bersetuju dengan kata-kata yang baru lahir daripada mulut isterinya itu.

Aneesa terpanar. Kenapa perihal ibunya pula yang diungkit? Ya, dia tahu yang cara hidup ibunya yang agak bebas.

Tapi itu semua salah papanya. Kerana papanyalah hidup ibunya menderita. Dan kerana papanya jugalah hidupnya juga turut hancur. Semuanya kerana papanya!

Tapi papanya tidak tahu semua itu. Yang papanya tahu hanyalah mencari salah ibunya saja.

“Bukti apa? Apa yang Neesa dah buat? Kenapa sampai perihal ibu yang dah meninggal pulak yang diungkit?” soal Aneesa dengan suara yang agak bergetar.

Cuba menahan perasaan sebak tatkala teringatkan penderitaan ibunya itu. 

Walaupun pada waktu itu usianya masih muda tapi dia tahu akan penderitaan ibunya itu adalah disebabkan papanya. Sanggup papanya meninggalkan ibunya gara-gara mahu berkahwin lain. 

Sampul surat yang berada di tangan Datuk Zaman, pantas dirampas Datin Fatimah. 

Segera dia mengeluarkan isi sampul itu lalu dicampak ke muka Aneesa. Kepingan-kepingan gambar itu jatuh bertaburan di kaki Aneesa.

Aneesa yang terkejut dengan tindakan Datin Fatimah terus menghalakan pandangan ke bawah. Perlahan-lahan dia tunduk, mahu melihat isi kandungan sampul itu. 

Gara-gara isi sampul surat itulah perihal ibunya yang telah meninggal dunia turut diungkit kembali. 

Kejamnya mereka! Sampai saat ini pun masih juga menyeksa ibunya.

“Apa ni?” soal Aneesa yang agak terperanjat melihat isi kandungan sampul itu.

Tetapi sebaliknya pula yang berlaku pada Datin Fatimah. Senyuman di wajah Datin Fatimah semakin melebar.

“Hai, sejak bila pulak muka sendiri pun dah tak kenal?” sindir Datin Fatimah.

Datuk Zaman yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, memandang lama wajah Aneesa. Dia mahu melihat reaksi anak gadisnya itu. 

Tapi hairan. Seolah-olah anaknya terkejut melihat gambar itu. 

Apakah itu semua tidak benar? Atau anaknya itu terperanjat kerana tembelangnya sudah terbongkar? Dia tidak pasti untuk apa Aneesa terperanjat sebegitu.

“Itu kawan lelaki yang dimaksudkan Neesa, kan?” soal Datuk Zaman setelah Aneesa hanya diam seribu bahasa sambil anak matanya masih lagi memandang pada gambar-gambar yang dicampak isterinya sebentar tadi.

“Tak, ni bukan kawan Neesa. Neesa tak kenal dengan mereka,” jawab Aneesa sambil menggeleng-geleng. 

Keningnya berkerut-kerut seolah-olah cuba mengingati sesuatu.

“You tanya dia buat apa? Kalau betul pun mana dia nak mengaku,” sampuk Datin Fatimah. Masih terus mencuba melaga-lagakan kedua-dua beranak itu.

“Hah, Neesa ingat dengan mereka. Tadi dia orang ada tanya arah jalan pada Neesa. Lepas tu salah seorang tu tiba-tiba nak rebah dan mujur Neesa sempat pegang lelaki tu.Itu aje,” terang Aneesa sambil tangannya menunjuk pada sekeping gambar yang seolah-olah dirinya sedang memeluk seorang lelaki.

“Pandai betul reka alasan ya. Kalau dah dasar perempuan murahan tu, pantang nampak jantan. Semua disapunya,”tuduh Datin Fatimah lagi.

Aneesa menjeling tajam pada ibu tirinya yang memang sentiasa akan mencari salahnya. 

Kemudian dia mengalihkan pandangan pada papanya. Dia mahu Datuk Zaman percaya padanya kerana apa yang diberitahu sebentar tadi adalah benar. 

Namun sikap Datuk Zaman yang mendiamkan diri membuatkan hatinya agak terkilan. Nampak benar yang papanya lebih percaya pada ibu tirinya dan gambar-gambar itu daripada dia.

“Macam mana pulak dengan yang ni?” soal Datuk Zaman. 

Seraya dengan itu, dia mengeluarkan sekeping gambar yang terselit pada buku yang berada di tangannya.

Tanpa membuang masa, Aneesa terus menyambut huluran itu dan dia terpaku di situ. Dapat dilihat dengan jelas gambar dirinya yang sedang memeluk erat pada Amsyar.

Ke...kenapa papa ada gambar ni? Apa semua ni? Aneesa benar-benar terkilan. Lidahnya kelu untuk bersuara. Dan apa yang terpapar pada gambar itu adalah tidak benar. 

Dia bukan perempuan murahan yang boleh dipeluk sesuka hati. Kerana dia bukan ibunya yang sengaja menghancurkan hidupnya sendiri hanya kerana terlalu kecewa apabila cintanya dikhianati.

Aneesa pasti gambar itu diambil sewaktu Amsyar memujuk dirinya yang begitu kecewa dengan sikap papanya.

Tanpa sedar dia memeluk tubuh lelaki itu. Tidak lebih dari itu. Dipandang wajah Datuk Zaman yang masih lagi menanti penjelasan. 

Bagaimana untuk dia jelaskan pada papanya? Mahukah insan itu percaya akan ceritanya?

“Kenapa diam? Terkejut?” soal Datuk Zaman yang semakin hilang sabar apabila melihat Aneesa hanya diam seribu bahasa.

“Tak, papa...ni...Neesa...”

“Neesa apa?” soal Datuk Zaman lagi. Kecewa benar dengan sikap Aneesa yang seolah-olah cuba beralasan dengannya.

Aneesa mengetap bibir. Bagaimana untuk dia jelaskan pada papanya? Ah, terlalu sukar untuk dia jelaskan. 

Dalam Aneesa yang teragak-agak begitu, Datin Fatimah pula yang bersuara.

“Hah! Tak nak mengaku lagi? Buktinya dah terang. Mana lagi tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.”

Datuk Zaman menarik nafas lama. Kemudian dia memandang wajah anaknya yang kelihatan seperti mahu memperkatakan sesuatu. Namun tiada kata yang lahir daripada bibir itu.

“Papa tak sangka Neesa sanggup tipu papa. Neesa dengan ibu Neesa tak ada bezanya pada papa. Dua-dua perempuan murahan!”

Zapp!!!

Seperti ada belati tajam yang menghiris luka lama Aneesa. Dia benar-benar tidak menyangka yang kata-kata itu akhirnya terluah daripada mulut papanya sendiri. 

Memang benar dia benci pada papanya kerana mengkhianati cinta ibunya. 

Tapi jauh di sudut hati dia begitu dahagakan kasih sayang papanya. Dan dia masih sayang pada Datuk Zaman meskipun papanya sentiasa bersikap dingin padanya.

Seketika kemudian Aneesa tergelak perlahan. Namun hatinya menangis. Dia benar-benar kecewa dengan sikap Datuk Zaman. 

Untuk apa dia mahu mempertahankan diri andai Datuk Zaman sudah terang-terangan sudah mempunyai jawapannya sendiri.

“Baguslah kalau papa dah tahu,” jawab Aneesa dengan hati terluka.

Datin Fatimah sudah tersenyum puas dengan jawapan yang diberikan Aneesa. 

Jawapan yang baru lahir daripada mulut Aneesa itu sedikit sebanyak turut membantunya.

“Tak payah Neesa fikirkan cara untuk kenalkan buah hati kesayangan Neesa pada papa,” sambung Aneesa lagi sambil menahan air matanya yang hampir tumpah.

Dengan begitu payahnya, dia cuba mengukir senyuman buat papanya. Gambar yang berada di tangannya terus diserahkan pada Datuk Zaman. 

Seketika kemudian dia melangkah meninggalkan papanya. Berlalu pergi dengan membawa rasa yang kecewa dengan sikap papanya sendiri.

Rasa kecewanya semakin menggunung apabila dia langsung tidak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan yang sebenar. Sebaliknya dia dituduh sebagai perempuan murahan.

Maafkan Neesa, ibu. Kerana Neesa, ibu jadi tak tenang. Kerana Neesa, nama ibu turut disebut. Maafkan Neesa....




ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.