Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
221,715
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21
DZAQUAN mengeluh perlahan sambil anak matanya masih lagi memandang seraut wajah Qisya yang sedang lena. Hatinya sayu melihat kepala adiknya itu yang berbalut. Semua ini salahnya. 

Dulu, Zafrul dan sekarang Qisya pula yang menjadi mangsa. Siapa pula selepas ini? Aniq ke? Qisya pasti tidak akan terluka sebegini jika dia tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Zaman tempoh hari.

Tapi dia benar-benar terdesak. Jika dia tidak menerima tawaran Datuk Zaman tempoh hari, sudah tentu dia tidak berpeluang untuk melihat Aniq dan Zafrul lagi. 

Apa lagi pilihan yang dia ada? Atau inikah harga yang harus dibayarnya kerana melukakan hati Aneesa? Sedangkan awal-awal lagi gadis itu datang merayu padanya untuk tidak menerima tawaran Datuk Zaman.

Dzaquan yang hanyut dalam khayalannya tersentak apabila melihat Qisya bergerak-gerak. Perlahan-lahan anak matanya dibuka. Senyuman terukir di wajah Qisya apabila melihat Dzaquan berada di hadapannya.

“Abang? Buat apa kat bilik Qis?” soal Qisya perlahan sambil cuba bangkit tapi pantas dihalang Dzaquan.

“Abang risaukan Qis. Qis okey ke?” balas Dzaquan sambil melabuhkan punggungnya kembali.

Matanya masih tidak lepas daripada memandang wajah lesu adiknya itu. Rasa menyesal terselit di hatinya. Kerana dia, adiknya pula yang menjadi mangsa keadaan. Sepatutnya dialah yang terbaring lesu di sini kerana dialah yang menjadi puncanya dan bukan adiknya itu.

Kening Qisya mula berkerut seribu apabila mendengar jawapan Dzaquan itu. Seketika kemudian dia terjerit kecil. Rasa pedih pada dahinya tiba-tiba terasa. Kepalanya tiba-tiba rasa berdenyut-denyut. Tanpa sedar tangannya diangkat untuk menyentuh dahinya yang terasa pedih.

Dzaquan segera menghalang tindakan Qisya itu.

“Jangan sentuh. Dahi Qis luka. Lupa ke?”

Qisya terdiam seketika. Kemudian dia menggeleng-geleng. Memang dia benar-benar lupa apa yang sudah berlaku padanya. Seingatnya, dia dimarahi Datin Fatimah yang menuduhnya mencuri dan selepas itu dia tidak ingat apa yang sudah berlaku.

Dzaquan hanya tersenyum kelat. Memang patut Qisya tidak ingat apa yang berlaku tempoh hari. Gara-gara kepalanya yang terhantuk kuat, Qisya demam kuat sehinggakan tidak sedarkan diri selama dua hari berturut-turut. Dia betul-betul risau akan Qisya dan disebabkan itulah dia sentiasa berada disisi adiknya itu. 

Perlahan-lahan Dzaquan menggenggam erat  tangan Qisya. Cuba merasa suhu badan Qisya.

Qisya tersentak apabila tangannya digenggam erat Dzquan. Tiba-tiba sahaja dia berasa debar yang dirasainya semakin kuat. Perlahan-lahan tangannya ditarik daripada genggaman Dzaquan.

“Ke...kenapa...ni bang?” soal Qisya yang teragak-agak. Dia benar-benar terkejut dengan tindakan abangnya sebentar tadi.

“Demam Qis tak kebah lagi,” terang Dzaquan tanpa perasan riak wajah Qisya yang sudah berubah kerana tindakannya sebentar tadi. Seketika kemudian dia bangkit.

“Abang ambilkan bubur nasi, lepas tu Qis makan ubat ya.”

Perlahan-lahan Qisya mengangguk dan hanya memandang Dzaquan yang sudah pun melangkah keluar dari biliknya. Hilang saja bayang Dzaquan daripada pandangan, terus saja dia menyentuh wajahnya yang terasa berbahang. Kemudian dia menyentuh lehernya. 

Panas. Senyuman kelat akhirnya terukir di wajahnya. Benar-benar malu dengan apa yang dirasainya sebentar tadi. Kepalanya sudah fikir yang bukan-bukan sedangkan abangnya itu hanya mahu memeriksa suhu badannya. 

Qisya hairan dengan perasaannya sendiri. Kenapa dia mesti berasa begitu setiap kali bersama dengan Dzaquan? Apatah lagi dengan status Dzaquan yang merupakan abang kandungnya sendiri. Gila!

“Fikir apa?” soal Dzaquan yang muncul semula dengan membawa semangkuk bubur nasi.

Pertanyaan Dzaquan tidak dijawab Qisya, sebaliknya dia hanya tersenyum kelat. Cuba menutup getar yang dirasainya sebentar tadi.

“Tak ada apa.”

Mangkuk tadi sudah bertukar tangan. Qisya merenung mangkuk yang berada di tangan dan dia menghidu bau bubur nasi itu. Perlahan-lahan dia menyuap bubur itu. Senyumannya mula terukir di wajahnya. Dipandang wajah Dzaquan yang duduk berhadapan dengannya.

“Abang masak ya? Dah lama abang tak masakkan untuk Qisya.”

Dzaquan yang mendengar hanya mampu tersenyum. Tak sangka Qisya masih mengenali masakannya walaupun sudah lama dia tidak memasak untuk Qisya.

“Tak sangka Qis boleh kenal dengan masakan abang. Sebab tak sedap ke?” seloroh Dzaquan.

Qisya yang mendengar terus tersenyum sambil menggeleng-geleng.

“Siapa cakap tak sedap? Sedap tau,” balas Qisya sambil terus memakan bubur nasi itu dengan penuh berselera.

Dzaquan yang memandangnya tersenyum lebar.

“Maafkan abang,” tutur Dzaquan perlahan.

Qisya yang mendengar terus terdiam. Dipanggungkan kepalanya untuk menatap wajah Dzaquan. 

Buat seketika pandangan mereka bersatu sebelum Dzaquan menundukkan wajahnya. Tidak sanggup untuk terus menatap wajah adiknya, yang menderita kerana tindakannya.

“Kenapa abang cakap macam tu? Abang tak salah apa-apa pada Qis.”

Dzaquan menggeleng-geleng perlahan. Cuba menafikan kata-kata adiknya itu.

“Tak! Ni semua salah abang. Kalau abang dengar cakap Qis tempoh hari, tentu benda ni takkan jadi pada Qis dan Zaf,” kata Dzaquan lagi.

Dia sudah tidak mampu untuk memikul rasa bersalah itu lagi. Rasa bersalah kerana mempersetujui untuk bertunang dengan Aneesa dan menyebabkan mereka empat beradik terperangkap di dalam rumah mewah Datuk Zaman.

“Maksud abang, pertunangan abang dengan Kak Neesa?” soal Qisya walaupun dia sudah dapat mengagak maksud disebalik kata-kata Dzaquan sebentar tadi.

Dzaquan segera mengangguk.

“Kalau abang tak bertunang dengan Neesa, pasti perkara buruk takkan menimpa Zaf dan Qis.”

Qisya yang mendengar kata-kata abangnya itu hanya mengeluh perlahan. Tidak tahu apa yang harus dikatakannya.

“Abang tak boleh cakap macam tu. Qis tahu apa yang abang buat semuanya untuk kami. Malah, abang sanggup korbankan hidup abang untuk kami,” pujuk Qisya dengan tenang.

Dia sedar yang abangnya mula berasa bersalah setelah apa yang berlaku pada Zafrul dan dirinya. Dan dia tidak mahu abangnya itu terus diburu dengan perasaan bersalah seperti itu.

“Kalau tak kerana tindakan abang, dah tentu kita tak kan dapat bersama macam hari ni, kan? Tak kan bersama Aniq dan Zaf. Apa yang jadi pada Zaf dan Qis ni kita anggap aje sebagai ujian daripada-NYA,” sambung Qisya lagi.

Lama dia memandang Dzaquan yang jelas nampak seperti tertekan dengan kejadian ini. Kemudian dia memegang tangan Dzaquan perlahan sebelum tersenyum lebar.

“Tapi, abang...”

“Pada Qis, abang tak salah. Abang dah buat yang terbaik untuk Qis,” potong Qisya pantas.

“Abang, tengok bubur Qis ni. Kembang dah. Tak sedaplah nanti,” ujar Qisya dengan tiba-tiba. Sengaja dia berkata begitu agar abangnya itu tidak terus memikirkan perkara itu. Dia tidak mahu memanjangkan rasa bersalah abangnya itu.

Dzaquan tersenyum kecil. Kata-kata Qisya itu sedikit sebanyak membuatkan dia berasa lega.

“Nanti abang masak lagi untuk Qis,” janji Dzaquan.

Qisya yang mendengar tersenyum senang. Dia yakin dengan janji abangnya itu. Malah, riak wajah abangnya juga sudah tidak setegang tadi.

Tanpa mereka sedari, setiap gerak-geri mereka sedang diperhatikan seseorang. Ruang kecil yang wujud di antara pintu bilik yang renggang itu membolehkan Aneesa melihat keadaan yang sedang berlaku di dalam bilik itu.

Sedari tadi dia kaku di situ. Anak matanya pula terus terarah pada kedua-dua beradik itu. Atau lebih tepat lagi terarah pada wajah Dzaquan. Seperti ada kuasa magnet untuk terus menatap wajah Dzaquan.

Semuanya bermula apabila dia terserempak dengan Dzaquan yang sedang memasak di dapur. Lelaki itu dilihatnya begitu cekap di dapur dan langsung tidak kekok. Seolah-olah seperti sudah biasa berada di dapur. 

Setahunya, lelaki kasar seperti Dzaquan tidak pandai memasak. Apatah lagi melihat layanan yang cukup baik ditunjukkan Dzquan pada Qisya begitu berbeza dengan layanan yang diterimanya. 

Kalau dengannya, jangan harap Dzaquan akan melayan baik seperti itu.Malah, riak wajah Dzaquan yang cemas apabila diberitahu Qisya cedera masih lagi segar di ingatannya. 

Itukah tandanya kasih sayang yang mekar daripada seorang abang untuk adiknya? Jauh di sudut hati, Aneesa mula berasa cemburu dengan Qisya yang memiliki kasih sayang yang tidak dimilikinya. Apa yang dia ada cuma kasih sayang yang ditinggalkan arwah ibunya. 

Walaupun dia masih mempunyai papa, tetapi dia tidak pernah merasai kasih sayang daripada insan itu. Mereka dekat tetapi dia merasakan jurang di antara mereka berdua terlalu besar.

Tanpa dia sedari, air mata yang sedari tadi ditahannya akhirnya tumpah jua. Perlahan-lahan dia menyapu dengan hujung jari. Tidak mahu wajahnya dibasahi dengan air mata hanya kerana dia rindu pada kasih sayang daripada papanya.

Seketika kemudian telinganya terdengar bunyi langkahan yang semakin menghampirinya. Tanpa membuang masa dia terus beredar dari situ. Tidak mahu dirinya dilihat di situ.




ps: InsyaALLAH, kalau sempat DTA bakal berada di PBAKL 27 april-5 mei. Kalau tak sabar untuk mengetahui penghujung kisah Dzaquan dan Aneesa bolehlah dapatkannya nanti.
Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.