Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
221,710
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8
BUNYI hon kereta dari luar membuatkan Datuk Zaman bangkit daripada tempat duduknya. Kepalanya dijengah pada tingkap. Dapat dilihat dengan jelas anak gadisnya yang berlari keluar mendapatkan seorang lelaki.

Itulah Amsyar. Insan yang digilai Aneesa. Dia masih lagi ingat pertemuan pertama dengan insan itu. Langkah kakinya terhenti saat anak matanya melihat Datuk Fatah, Datin Murni dan Amsyar yang tersenyum lebar padanya. Lantas lengan Aneesa dipegang. Mulutnya dirapatkan pada telinga anak gadisnya itu.

“Siapa tu?” bisik Datuk Zaman. 

Aneesa mengerutkan keningnya. Dipandang pula pada Amsyar dan bersamanya ada dua insan lain. Dia pasti itulah orang tua buah hati kesayangannya itu.

“Orang tua Am.”

Datuk Zaman menarik nafas lama. Menyesal betul dia terpengaruh akan kata-kata Aneesa yang kononnya mahu makan bersama dengannya di luar. Sangkanya anak itu sudah mahu berbaik-baik dengannya. Tetapi lain pula yang dirancang Aneesa.

“Apa ni? Kata nak makan dengan papa?”

“Yalah. Dengan Am sekeluarga sekali. Tak salah, kan? Lagipun mereka tu rakan perniagaan papa, kan?”

Rakan? Dia sendiri hairan dengan kata-kata Aneesa itu. Dia tidak tahu dari mana anak gadisnya mendengar cerita yang tidak betul itu.

Datuk Fatah dan dia tidak pernah menjadi rakan. Bahkan mereka berdua kenal di antara satu sama lain pun kerana selalu merebutkan tender-tender. Yang sebetulnya, mereka berdua adalah musuh perniagaan dan bukannya rakan perniagaan seperti yang diberitahu Aneesa.

“Datuk Zaman, jemputlah duduk,” pelawa Datuk Fatah yang mula berasa hairan dengan reaksi Datuk Zaman dan Aneesa itu. Seperti sedang berbisik sesuatu.

Datuk Zaman menoleh pada Datuk Fatah yang sudah pun berdiri untuk menyambut kedatangannya itu. Dengan berat hati dia terpaksa mengikut rentak Datuk Fatah. Senyuman terukir di wajahnya.

“Datuk Fatah, Datin Murni, you all dah lama sampai?”soal Datuk Zaman sekadar berbasa-basi sambil tangannya dihulurkan pada Datuk Fatah dan Datin Murni.

“Baru aje,” balas mereka berdua serentak.

“Ini Neesa, ya?” soal Datin Murni pada Aneesa pula. Pantas anak gadisnya itu dipeluk mesra Datin Murni.

“Kami ni sebenarnya dah lama sangat dengar nama Neesa. Tapi baru hari ni dapat berjumpa dengan orangnya. Tak sangka cantik betul anak you ni,” sambung Datin Murni.

Datuk Zaman hanya mengangguk. Dia juga tersenyum hambar. Dalam diam sebenarnya dia tertanya-tanya sendirian sejauh mana hubungan di antara Aneesa dan Amsyar. 

Malah, Datuk Zaman banyak mendiamkan diri sepanjang pertemuan itu. Aneesa sedar akan perubahan papanya itu. Papanya dilihat riang sepanjang perjalanannya sebentar tadi. Tapi sekarang papanya itu lebih suka mendiamkan diri. 

Marahkah papanya dengan pertemuan yang dirancangnya itu?

“Dah berapa lama Neesa kenal dengan budak tu?”

Aneesa segera menoleh pada papanya. Terkejut dengan soalan papanya yang tiba-tiba. Selepas pertemuan sebentar tadi, papanya lebih banyak mendiamkan diri. 

Baru sekarang papanya bersuara. Malah, nada papanya itu membuatkan dia berasa sedikit terkilan. Sehinggakan papanya memanggil Amsyar dengan gelaran ‘budak itu’. Nampak sangat yang papanya memang tidak suka lelaki pilihannya itu. 

Tapi kenapa? Bukankah papanya juga kenal dengan keluarga Amsyar?

“Hampir dua tahun Neesa kenal dengan Amsyar,” jawab Aneesa.

Sengaja dia menekankan nama ‘Amsyar’. Biar jelas pada pendengaran papanya. Orang yang dipanggilnya dengan gelaran ‘budak tu’ juga mempunyai nama.

Datuk Zaman diam seketika. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Hampir dua tahun? Jangka masa itu hampir sama dengan kepulangan Aneesa ke pangkuannya. 

Ya,baru dua tahun dia tinggal bersama anaknya. Masih terlalu banyak perihal Aneesa yang belum diketahuinya. Tentang hobinya, apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Banyak.Terlalu banyak yang belum diketahuinya.

Seketika kemudian dia teringatkan perbualan di antara Amsyar dan Datuk Fatah. Bukan niatnya untuk mencuri dengar. Tapi ia berlaku secara kebetulan sewaktu dia mahu masuk ke tandas. 

Manakala Datuk Fatah dan Amsyar sudah berada di dalam tandas. Hatinya tiba-tiba membara apabila mendengar butir bicara kedua-dua beranak itu.

“Am tengok tak air muka Datuk Zaman berubah bila daddy cakap nak kahwinkan kau orang berdua?” soal Datuk Fatah sambil tergelak. 

Tak dapat dilupakan wajah kelat Datuk Zaman setelah dia mengusulkan berita itu. Dia sedar Datuk Zaman memang tidak suka dirinya dan begitu juga sebaliknya. 

Malah, perkahwinan di antara Amsyar dan Aneesa pula sengaja dirancang untuk mengaburi mata Datuk Zaman dengan rancangannya yang sebenar, yang mahu menguasai syarikat milik Datuk Zaman yang sememangnya gah di mata dunia. Semuanya kerana rasa kecewa dan marahnya dengan sikap angkuh Datuk Zaman.

“Am tahu, tapi kahwin?” Amsyar mengeluh lemah. 

Kenapa dia pula yang harus berkorban? Dia masih muda.Terlalu banyak yang mahu dikecapinya. Dia tidak mahu hidupnya terikat dengan perkahwinan yang diatur orang tuanya. 

Neesa? Ah, gadis itu memang cantik. Agak liar tetapi dalam masa yang sama pemikiran gadis itu agak kolot. Jangan harapkan ciuman, pegang tangan pun belum tentu dia dapat.

“Daddy, you knew that I don’t like that girl. Tapi daddy dengan mummy tetap paksa Am. Dan sekarang nak Am kahwin dengan dia? Tak! Am tak nak!” bantah Amsyar.

“Alah, daddy suruh kahwin aje. Itu pun nak bising. Bila kita dah dapat syarikat tu, ceraikan aje. Mudah, kan? Tapi kalau Am nak simpan Neesa sekalipun, daddy tak kisah. Lagipun, orang lelaki boleh kahwin sampai empat, kan?” pujuk Datuk Fatah lagi sambil menunjukkan empat batang jari di tangan kanannya itu.

Seketika kemudian dia tergelak dengan kata-katanya itu. Begitu juga dengan Amsyar. Kata-kata daddynya itu ada benarnya juga. Lagipun sudah terlalu lama dia idamkan tubuh milik Aneesa itu. Aneesa jenis jinak-jinak merpati yang terus melarikan diri apabila dirinya dirapati.

Datuk Zaman yang terdengar perbualan itu menggenggam erat tangannya. Geram benar dia dengan butir bicara kedua-dua beranak yang mahu menghancurkan hidup anaknya. 

Tapi, Aneesa? Begitu mempercayai dan mencintai Amsyar. Tak guna! 

Datuk Zaman segera melangkah menuju ke arah Aneesa dan Datin Murni yang sedang bergelak ketawa. Riak wajah ceria yang terpamer di wajah Aneesa membuatkan dia berasa benar-benar terkilan.

Sanggup mereka mempermainkan perasaan anak aku sebegitu sekali. Aku takkan maafkan mereka! Getus Datuk Zaman.

“Sorry, Datin Murni. We have to leave now. Ada hal penting yang tak dapat dielakkan,” ujar Datuk Zaman pada Datin Murni sebelum memegang lengan Aneesa dan menarik anaknya agar beredar dari situ.

“Papa nak Neesa putuskan hubungan dengan budak tak guna tu!” arah Datuk Zaman tegas.

Aneesa terkesima. Benar-benar tidak menyangka yang papanya akan berkata seperti itu. Kenapa dengan papa? Apa sebenarnya yang sudah berlaku? Kenapa mesti pisahkan kami?

“Papa cakap apa ni? Neesa tak faham.” 

Dada Aneesa semakin berdebar-debar. Wajah papanya dipandang lama. Wajah itu kelihatan begitu tegang. Seolah-olah sedang menahan amarah yang teramat sangat.

“Papa cakap putuskan! Mulai hari ni, papa tak benarkan Neesa jumpa budak tak guna tu!” arah Datuk Zaman lagi.

Wajah Aneesa dipandang sekilas sebelum dia mengalihkan pandangan ke jalan raya. Cuba menumpukan perhatian pada pemanduan. Bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Budak tak guna tu namanya Amsyar, pa! Dan Neesa tak kan putuskan hubungan dengan Am!” bantah Aneesa.

Geram benar dia apabila papanya terus-terusan memanggil Amsyar dengan gelaran yang tidak sedap didengar.

“Jangan bantah cakap papa!” larang Datuk Zaman.

“No! Neesa tak nak dengar apa yang papa cakap.”

“Neesa!”

“Neesa cintakan Am dan Neesa akan kahwin dengan Am!” jerit Aneesa kuat. Seraya dengan itu dia melangkah keluar saat kereta papanya berhenti di halaman rumah.

Datuk Zaman pantas keluar dari kereta. Langkah Aneesa, dituruti.

“Kahwin? SPM pun belum, dah berani cakap fasal kahwin. Ni semua mesti sebab budak tak guna tu!” marah Datuk Zaman.

“Budak tak guna tu namanya Amsyar. Kenapa papa benci sangat pada dia? Sedangkan papa dah kenal orang tua Am.” Suara Aneesa lirih. Kali ini dia cuba berlembut pula. Berharap benar yang papanya akan bersetuju dengan pujukannya. 

Kalau tak berjaya juga, dia nekad untuk kahwin lari dengan Amsyar. Dia tak peduli pada papanya, yang penting dia dapat bersama dengan Amsyar. Kerana sebelum ini pun papanya tidak pernah wujud dalam hidupnya. Jadi tak ada bezanya jika dia melarikan diri daripada papanya.

“Because I knew their family very well. Mereka tu bukan sayang kau pun. Tapi mereka sayang harta aku! Harta aku, Neesa!”

Aneesa menggeleng-geleng. Tidak percaya dengan kata-kata papanya itu.

“Papa jangan samakan mereka dengan papa. Papa tu yang gilakan harta hingga sanggup tinggalkan ibu,” luah Aneesa lagi. Berbahang benar dia mendengar kata-kata papanya sebentar tadi. 

Mengata orang gilakan hartanya sedangkan papanya juga seperti itu. Tidak ingatkah papanya dengan apa yang dilakukan pada ibunya dulu?

Datuk Zaman terkejut dengan kata-kata anaknya itu. Memang benar kata Aneesa itu. Kerana harta jugalah dia menyingkirkan Puan Zaleha dan Encik Ramli daripada hidupnya. Dan dia tidak menyangka Aneesa turut mengetahui perkara itu.

“Neesa kenal dengan mereka dan mereka begitu berbeza dengan papa. Neesa nak kahwin dengan Am,” ujar Aneesa yang nekad untuk berkahwin dengan Amsyar meskipun umurnya baru sahaja menginjak 16 tahun.

Gila? Ya! Dia memang gilakan insan yang bernama Amsyar. Gila sehingga sanggup melawan papanya sendiri.

“Kahwin? Kalau kau gatal sangat nak kahwin, papa akan kahwinkan Neesa,” usul Datuk Zaman dengan tiba-tiba.

Geram benar dia melihat Aneesa yang seakan-akan gilakan Amsyar sedangkan lelaki itu tidak ada sekelumit pun rasa cinta pada anak gadisnya itu. 

Kalau dia berterus terang sekalipun, pasti anaknya itu tidak akan percaya dengan kata-katanya. Kerana dia juga sama seperti Aneesa. Terlalu asyik dengan cinta, akhirnya melukakan hati banyak insan yang selama ini berada di sampingnya.

“Ya, papa akan kahwinkan Neesa. Tapi bukan dengan budak tak guna tu. Neesa akan kahwin dengan menantu pilihan papa,” sambung Datuk Zaman lagi sambil melangkah meninggalkan Aneesa sendirian. Tidak sanggup dia untuk melihat Aneesa yang terlalu mudah percayakan Amsyar.

“Papa!” jerit Aneesa kuat.

Datuk Zaman tersedar daripada lamunan yang panjang setelah bunyi rentak muzik yang begitu kuat kedengaran. Pasti itu angkara Kartini, anak tirinya yang tidak lekang dengan muzik. 

Pandangannya masih lagi terarah di luar. Namun kereta Amsyar yang menjemput Aneesa sebentar tadi sudah lama menghilang. 

Gambar yang berada di tangannya tadi ditatap lagi. Dia mengeluh perlahan. Maafkan aku. Kerana terlalu cinta pada harta, aku kecewakan kalian. Maafkan aku, rintih Datuk Zaman perlahan.

Perasaan menyesal benar-benar menggigit tangkai hatinya itu. Apatah lagi apabila dia tidak sempat memohon maaf pada rakan-rakannya yang telah dikhianatinya itu.





ps: Terima kasih sbb baca "DIA TUNANG AKU!". Harap sukakan DTA macam yg anda sukakan PA.
Kasih berganda2x diucapkan klau tinggalkan komen sekali...hehe.
Mana tau kot2x terasa nak up bab baru dalam waktu yang singkat ^___^v
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.