Home Novel Cinta DIA TUNANG AKU!
DIA TUNANG AKU!
Dhieya Adlynna
1/4/2013 14:10:33
221,624
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15
DATIN Murni menjeling tajam pada gelagat anak bujangnya yang sedang asyik bermain dengan permainan tenis yang menggunakan permainan konsol Wii. Sekejap-sekejap Amsyar melompat ke kanan dan kirinya. Peluh juga sudah mula kelihatan di wajah itu. Namun dia tetap meneruskan permainannya.

Pandangan Datin Murni teralih pula pada telefon pintar Amsyar yang sedari tadi menjerit minta diangkat. Namun tiada tanda-tanda yang menunjukkan Amsyar akan menjawab panggilan itu.

“Kenapa tak jawab call tu?” Akhirnya terluah juga soalan itu daripada mulut Datin Murni. Semuanya kerana telinganya sudah tidak tahan dengan bunyi telefon itu. Ditambah pula dengan bunyi yang terhasil daripada permainan Amsyar itu. Betul-betul membuatkan dia sakit telinga.

“Malaslah,” jawab Amsyar ringkas. Wajah Datin Murni langsung tidak dipandang. Sebaliknya, dia tetap meneruskan permainannya itu.

“Jawab ajelah. Telinga mummy ni dah sakit tau tak?” rungut Datin Murni pula.

Seraya dengan itu dia bangkit. Langkahnya diatur menuju ke arah telefon Amsyar. Mahu melihat siapa yang sedang menghubungi anak bujangnya itu. Mungkin ada hal penting, fikirnya lagi.

“Alah, Neesa aje pun yang call,” balas Amsyar lagi. Tanpa melihat pun dia sudah dapat meneka siapa pemanggilnya itu. Ini kerana dia sudah menetapkan lagu itu dengan nama Aneesa.

Memang benar kata Amsyar. Aneesa yang sedang menghubungi anak bujangnya.

“Dah tahu Neesa yang call, kenapa tak nak jawab? Nanti merajuk pulak dia.”

“I don’t care! Am dah tak nak ambik tahu fasal dia dah,” ujar Amsyar. 

Seraya dengan itu Amsyar menggapai tuala lalu dilapkan peluh pada wajah dan badannya. Kemudian dia merebahkan badan pada sofa mewah milik mummynya itu. Dia benar-benar kepenatan gara-gara permainan tenisnya sebentar tadi.

Bulat anak mata Datin Murni dengan jawapan selamba anak bujangnya itu. Sudah lupakah Amsyar pada rancangan mereka?

“Am! Don’t be ridiculous okay! Dah lupa rancangan kita ke?”

Amsyar mendengus kasar dengan pertanyaan Datin Murni itu.

“Am dah penatlah dengan kerenah Neesa tu. Dia tu nampak aje liar, moden. Tapi fikiran dia kolot, mummy. Cuba mummy bayangkan, Am nak pegang tangan dia pun tak boleh tau. Apatah lagi nak peluk atau cium dia,” terang Amsyar panjang lebar. 

Memang dia tidak menyangka dalam dunia ni masih ada yang berfikiran kolot seperti Aneesa. Tapi yang peliknya, pakaian gadis itu tidak pula kolot. Malah, gadis itu sentiasa mengikut perkembangan fesyen semasa.

“Apa Am cakap? Peluk? Cium? Am jangan nak mengarut ya! Nanti lari pulak budak tu.” Terjegil biji mata Datin Murni dengan kata-kata anak lelakinya itu. Lain yang disuruh, tapi lain pula yang dibuatnya.

Amsyar yang mendengar terus tersengih. Sudahlah dia dipaksa memikat gadis itu. Jadi salahkah jika dia mahukan itu sebagai ganjaran? Memikat Aneesa bukannya mudah. Gadis itu boleh diibaratkan sebagai jinak-jinak merpati.

Pandangan Amsyar dan Datin Murni bersatu buat seketika apabila telefonnya kembali menjerit minta diangkat. Amsyar terus mendengus kuat apabila melihat isyarat mata Datin Murni yang mahu dia menjawab panggilan itu. 

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan khabar angin mengenai Aneesa. Mungkin berita itu belum sampai ke telinga Datin Murnidan sebab itulah mummynya masih mendesaknya untuk meneruskan rancangan mereka.

“Mummy tahu tak yang bakal menantu kesayangan mummy tu dah jadi tunangan orang?”

“Mana kamu dengar? Mummy tak tahu pun,” soal Datin Murni pantas. 

Berita yang baru disampaikan Amsyar benar-benar membuatkan dia terkejut. Habis tu macam mana pula dengan rancangannya untuk bermenantukan Aneesa?

“Am pun baru dengar. Sebab tulah Am dah malas nak layan Neesa tu. Am penat-penat pikat dia tapi bertunang dengan orang lain pulak,” rungut Amsyar pula. Sengaja mencari alasan agar dia terlepas daripada rancangan orang tuanya itu.

“Betul ke cerita yang kamu dengar tu?” tanya Datin Murni yang mula berasa sangsi kebenaran cerita yang baru diberitahu Amsyar.

Amsyar terus angkat bahu. Tanda dia tidak pasti kebenaran cerita itu.

“Tapi mummy, kalau tak ada angin masakan pokok boleh bergoyang, kan?” Cewah! Pandai menggunakan peribahasa pulak dia. Amsyar tersenyum sendirian.

Datin Murni terus menjeling ke arah Amsyar. Sedar yang anaknya itu mula mencari alasan agar dia membatalkan rancangannya itu. Tak! Dia tak boleh lepaskan peluang untuk mengenakan ‘Si Fatty’ tu.

“Dah tu kenapa budak tu call kamu lagi?” soal Datin Murni lagi. Seraya dengan itu dia menunjukkan telefon Amsyar yang sedang berdering dengan hujung bibirnya.

“Maybe she want to break up with me,” balas Amsyar acuh tak acuh. Kalau benar seperti yang dikatakannya, biarlah dia terus mendiamkan diri. Dia tidak mahu mendengar kata-kata itu daripada Aneesa, sebaliknya biarlah dia yang memutuskan dahulu. 

Tanpa membuang masa dia terus bangkit dan melangkah meninggalkan Datin Murni sendirian di situ. Bimbang jika dia terus berada di situ, Datin Murni pasti akan mendesak dia untuk menjawab panggilan telefon daripada Aneesa itu.

Datin Murni mendengus perlahan dengan kedegilan yang ditunjukkan anaknya itu. Nak suruh jaga seorang perempuan pun bising. Padahal dia tu memang suka melayan perempuan.

Kalau dia tak nak jawab, biar aku aje yang jawab. Senang cerita, gumam Datin Murni. Seraya dengan itu dia menghulurkan tangan untuk mengambil telefon Amsyar. Belum pun sempat tangannya menyentuh telefon itu, telinganya mendengar jeritan Amsyar.

“Mummy!” jerit Amsyar. Pantas Amsyar mengatur langkah ke arah telefonnya. Lalu dia menggapai telefon itu dan kemudian beredar dari situ. 

Datin Murni yang melihat hanya mampu menggeleng-geleng dengan gelagat Amsyar.

Tadi kata tak nak jawab, tapi bila orang nak jawab dia pulak yang sibuk nak menjawabnya. Seketika kemudian Datin Murni teringatkan kata-kata Amsyar sebentar tadi. Keningnya mula berkerut seribu.

Betul ke Neesa dah bertunang? Pelik! Bukan ke dia sedang bercinta dengan Am? Kenapa bertunang dengan orang lain pulak? Atau semua ni rancangan Datuk Zaman? Jangan-jangan Datuk Zaman dah tahu rahsia ni tak? Tapi tak mungkin! 



Aneesa mengeluh perlahan. Sudah berapa kali jari-jemari halusnya menekan butang untuk menghubungi Amsyar. Tapi satu pun tidak dijawabnya. 

Ke mana pulak awak pergi? Kenapa tak angkat panggilan saya? Jangan-jangan dia dah tahu berita pertunanganku. Sebab tulah panggilan aku tak dijawab. Marah ke dia? Merajuk ke dia? Gumam Aneesa.

Maafkan saya. Saya tak berdaya menghalang semua ni. Saya tak salahkan awak kalau awak marah dengan saya. Bukan awak yang salah. Bukan jugak saya. Tapi semua ni salah papa. Salah budak kampung tu. Mereka yang paksa saya. Saya tak nak. Saya cuma nakkan awak, Am. Cuma awak yang saya mahukan.

Tangisan Aneesa semakin berpanjangan apabila mengenangkan hubungannya dengan Amsyar yang semakin tidak pasti. Apatah lagi dengan gelaran yang baru disandangnya itu. 

Bolehkah Amsyar menerima berita ini? Perlahan-lahan dia menyentuh wajah Amsyar yang berada di dada skrin telefonnya. 

Cinta saya hanya untuk awak, Am. Hanya awak, bisik hati Aneesa lagi. Dia sedar walaupun sudah bergelar tunangan Dzaquan, tapi hatinya tetap pada Amsyar.
Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.