Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 4:Tuhan, Andainya Dia Tahu


Mac 1997, Imbas kembali

Ujian yang pertama untuk semester itu akan bermula lagi dua minggu. Cikgu-cikgu sudah mula memberikan tajuk-tajuk yang perlu diberi penekanan. Lebih lebih lagi untuk pelajar kelas yang Maryam sedang duduki waktu itu. Tamat sekolah rendah tahun lepas, dia tidak ke asrama penuh. Malah tinggal di sekolah menengah harian biasa. Belajar di tingkatan satu lebih mencabar. Malam semalam, Aliuddin menghantar surat lagi kepadanya yang diletak dalam kasut sekolah atas rak. Dia perasan ada lampu suluh kuning berkelip tiga kali di luar tingkap biliknya.

Tanpa menunggu lama, dia tahu itu Aliuddin. Dengan berhati-hati, Maryam keluar dari biliknya. Kerja sekolah subjek matematik ditinggal seketika atas meja belajar kayu. Kepala dijenguk sedikit mengawasi andai ada sesiapa di luar. Dia mendengar suara abangnya menyanyi dari bilik sebelah. Emak pun sudah di bilik. Ayahnya mungkin keluar rumah. Langkahnya diatur menuju ke pintu utama rumah. Selak pintu dibuka, berkeriut bunyi pintu kayu itu. Seketika, dia menunggu jika pintu bilik abangnya terbuka kerana bunyi bising tadi. Tidak terbuka, dan abangnya masih menyanyi. Kini, pintu dibuka luas dan dia berjalan berjengket-jengket ke rak kasut. Setelah mengenal pasti kasut sekolahnya, dia mencapai kertas berlipat yang ditinggalkan Aliuddin tadi. Belum sempat dimasukkan dalam kocek seluar sukan yang dipakainya, suara ayahnya berdehem dari luar rumah kedengaran.

Maryam tersentak dan hampir surat Aliuddin itu terlepas ke lantai.

“Maryam. Buat apa dalam gelap ni?”, ayahnya membuka selipar dan melangkah ke rak kasut.

Berniat meletakkan selipar jepunnya di situ.

“Ah Maryam ambik stoking ayah. Tadi lupa nak ambik.”, tangan kiri yang tidak memegang surat dikepalkan dan diunjuk kepada Abdul Aziz.

Dalam hati dia berdoa agar ayahnya percaya alasan itu.

“Dah cepat masuk. Dah malam ni.”, selepas meletakkan selipar atas rak, Abdul Aziz menjeling sedikit apa yang disimpan Maryam dalam tangan kanannya.

Namun, tidak kelihatan. Kemudian, dia masuk ke dalam rumah. Maryam yang terpinga-pinga sebentar melihat ayahnya melewati daun pintu rumah. Setelah tubuh ayahnya hilang disebalik pintu, dia menoleh ke arah pokok kelapa di hadapan rumahnya. Ada cahaya lampu suluh warna kuning. Berkelip tiga kali dan kemudian Maryam ternampak kelibat Aliuddin dalam gelap malam menunggang basikalnya. Mengayuh pulang.

Dari sebalik tingkap, Abdul Aziz terlihat cahaya lampu suluh itu di bawah pokok kelapanya. Maryam melihat ke arah itu sambil tersenyum. Abdul Aziz tahu ada sesuatu yang disembunyikan Maryam. Anak perempuannya itu bukan mengambil stoking di rak kasut. Ada sesuatu yang berada dalam genggaman tangan kanannya. Dia hanya tidak tahu benda yang tersembunyi itu dan dia akan mencari tahu. Sebelum Maryam masuk ke dalam rumah, dia sudah menghilang ke dalam bilik.

Di sekolah, waktu rehat tidak digunakan Maryam untuk ke kantin. Sebaliknya dia duduk di luar kelas bersama dua kawan barunya. Tangan masing-masing memegang plastik berisi makanan. Makanan yang dibeli tengah hari tadi di seberang jalan sebelum masuk ke sekolah. Datang sekumpulan pelajar lelaki tingkatan dua melintas di hadapan Maryam dan kawan-kawan. Salah seorangnya ialah Aliuddin. Tidak ada sesiapa di sekolah yang sekelas dengan Maryam tahu hubungannya dengan Aliuddin. Entah mengapa dia sahaja yang mendapat 5A dan akhirnya masuk ke kelas pertama. Oleh sebab itu, dia masih belum kenal rapat dengan rakan sekelas yang lain.

“Aku tak berapa sukalah budak-budak lelaki macam tu. Suka kacau budak perempuan.”, Laila yang berkacamata berkata-kata saat Aliuddin dan rakan-rakannya berlalu.

Tadi, Azizi senior yang tinggi dan dahulunya satu sekolah dengan Maryam merenung Laila dan kemudian ketawa terbahak-bahak apabila Laila menggelabah.

“Lelaki kan sepatutnya menjaga perempuan, bukan macam diorang tu.”, sambung Faizah sambil duduk di kerusi batu dalam taman kecil.

“Aku hairan macam mana budak-budak kelas belakang macam tu boleh ada perempuan yang nak. Diorang tak fikir ke nanti lepas diorang habis sekolah, kahwin, beranak, duduk kat rumah macam orang gaji.”, Maryam sudah rasa hatinya lain mendengar butir bicara Faizah.

Dia tahu dia salah seorang perempuan itu. Dia suka pada Muhammad Aliuddin bin Rashid itu. Budak lelaki yang tua setahun daripadanya dan tinggal sekampung. Mulanya Aliuddin yang memulakan dahulu.

Masa di darjah lima, Aliuddin selalu menghantar surat cinta melalui kawan-kawan Maryam. Surat cintanya pula berwarna-warni. Dilipat berbagai-bagai bentuk. Kadangkala dibentuk menjadi origami. Namun, sejak Aliuddin sudah ke sekolah menengah, dia mula menghantar surat dalam kasut sekolah Maryam. Mulanya, dia hanya suka-suka mahu melihat kasut sekolah Maryam yang bertanda huruf M pada getahnya. Lagipun, kasut Maryam kecil saiznya. Saiz 5. Kasut abang dan adik-adik lelakinya besar dan tidak sebersih kasut Maryam. Sebab itulah dia senang mengagak itu kasut Maryam pada mula-mula dia datang waktu malam dan memasukkan surat itu dalam kasut.

Paginya Maryam menyapu sampah dan terlihat ada sesuatu dalam kasutnya dan apabila dibuka dia hanya tersenyum tidak percaya. Mujur abangnya Firdaus yang belajar di tingkatan enam tidak nampak.

Maryam melihat Faizah menghabiskan makanannya manakala Laila masih merungut kerana diganggu Azizi tadi. Jauh dalam hatinya, dia terasa dengan kata-kata Faizah. Mee siput sambal tumis yang tinggal separuh dikunyah tanpa perasaan. Dia jadi takut andai hubungannya dengan Aliuddin diketahui kawan sekelasnya. Dengan hati yang kecewa, Mee Siput yang tidak habis itu dilepaskan pergi. Dia berfikir, perlukah dia bincang hal ini dengan Aliuddin. ‘Ali, macam mana dengan kita?’

“Sikit je makan?”, Norjinah menegur Maryam yang sudah mengangkat pinggan ke sinki.

“Nak buat homework. Banyak cikgu bagi tadi.”, sambil membasuh pinggan dia menjawab.

Pinggan kotor yang ditinggalkan ayah, abang dan adik-adiknya dicuci sekali. ‘Aku paling tak suka orang suka menyusahkan orang lain macam ni la. Makan tahu, basuh tak tahu.’ Sementara itu dia mendengar gelak tawa abangnya yang sedang menonton televisyen. ‘Perempuan malang manalah yang kahwin dengan kau ni nanti. Pemalasnya tahap gaban.’ Inilah satu sikap lelaki-lelaki dalam rumahnya yang dia benci sangat. Suka mengarah perempuan dan menganggap kerja-kerja rumah itu bukan kerja mereka.

Sedang mencuci dengan hati yang mendidih, pinggan yang sedang disabunnya terlepas dan pecah berderai. Norjinah yang sedang membuat air gula terperanjat. Dia tahu, anak gadisnya itu sedang marah.

“Buat kerja ni dapat pahala Maryam.”, Maryam memang selalu mengungkit sebab dia yang selalu membuat kerja rumah di rumah itu berbanding anak-anak lelakinya.

“Maryam tahu la mak. Terlepas je. Kan licin ni.”, terasa mahu menangis apabila emaknya menegurnya begitu.

Dia memang tidak suka menjadi perempuan kampung ini. Hanya jadi kuli lelaki.

“Mak cakap yang betul je. Kalau tak nak buat, tinggal. Nanti mak buat.”, tangannya masih menggaul gula yang belum larut.

“Kenapa mak ni? Mak dengan ayah memang sengaja manjakan abang. Manjakan Firhad. Manjakan Raihan. Firhad dah darjah enam, mak tak suruh pun basuh baju macam Yam. Berat tau tak seluar abang Firdaus tu. Nak patah pinggang ni.”, dia sudah tidak tahan.

Ingatannya pada Aliuddin datang tiba-tiba.

Norjinah hanya diam. Dadanya berat tiba-tiba. Bahang api yang melarutkan gula tidak dihiraukan. Dia tahu dia salah mendidik Firdaus dahulu. Dia dapat menangkap bunyi nafas berat Maryam yang sudah mula menangis. Namun dia hanya mendiamkan. Kalau berkata apa-apa waktu itu hanya akan mengundang pergaduhan. Maryam yang kecewa apabila emaknya buat tidak endah meninggalkan dapur. Berjalan laju menuju ke bilik.

Di hadapan tungku panas berapi, Norjinah perlahan-lahan menarik nafasnya. Bimbang air matanya mengalir. Senduk diletakkan di tepi tungku dan dia berjalan ke sinki. Melihat pinggan yang pecah dan sesuatu yang merah mengalir bersama air. Jari telunjuknya menyentuh darah Maryam pada sinki itu. ‘Maryam jangan buat mak macam ni. Mak tahu mak salah.’ Kemudian, dadanya mula menghamburkan emosi ganas yang terperuk.

“Mak tahu mak salah.”. Norjinah menangis sendiri di dapur itu.

Abdul Aziz sudah duduk atas kerusi dan melihat jam di dinding. Hari ini hari Sabtu dan Maryam ada kelas mengaji di sekolah sampai waktu tengah hari. Jam pada dinding dikerling sekali lagi. 12.13 tengah hari. Kemudian, dia terdengar bunyi basikal disendengkan pada tiang bangsal rumah. Maryam sudah pulang. Pintu rumah sudah sedia terbuka. Abdul Aziz nampak Maryam sudah menyusun kasut atas rak. Penyapu lidi yang jatuh pada kaki lima disangkut pada paku tiang bangsal. Kemudian, dia mendekati pintu.

“Maryam, sini kejap.”, Abdul Aziz membetulkan duduknya.

Maryam yang sudah hendak sampai ke pintu biliknya berhenti berjalan. Kemudian duduk di kerusi di tepi ayahnya. Ayahnya nampak marah.

“Ni apa?”, origami rumah warna hijau itu ditarik keluar dari bawah peha Abdul Aziz.

Maryam kelu. Tidak berkutik. Jantungnya seakan-akan berhenti berdegup. Dia amat tahu benda yang dikeluarkan ayahnya. Surat Aliuddin. Tetapi itu surat yang baru. Dia belum pernah mendapat surat berbentuk rumah. Suara rendah dan perlahan Abdul Aziz yang tidak memandangnya itu bagai petir yang menyambar hatinya.

“Tak tahu.”, dia tidak tahu sebab jawapan itu yang keluar daripada mulutnya.

Ayahnya sudah membuka kertas hijau itu dan membacanya senyap. Matanya mencerlung ke arah Maryam. Tadi, sewaktu dia hendak ke kilang dan mengambil kasutnya, dia terpandang kertas hijau dalam kasut sekolah Maryam. Dia jadi marah serta merta apabila membaca surat itu. Lebih menyakitkan hatinya dia tidak tahu nama orang yang menghantarnya.

“Ini apa! Kau jangan main-main dengan ayah.”, Maryam tersentak dan memandang ayahnya sudah menengking.

Ayahnya marah. Sangat marah. Dia dipanggil ‘kau’ bukan ‘Maryam’ lagi.

Dia rasakan dunia di sekitarnya berhenti berputar. Tiada sesiapa di situ melainkan dia dan ayahnya. Tiada emak dan tiada abang yang sebenarnya sudah berdiri beberapa tapak daripadanya. Dia rasa mahu lari. Mahu lari dan mencari Aliuddin. ‘Maryam.’ Suara Aliuddin memanggilnya bermain dalam minda. Dalam samar pandangan yang sudah ditabiri air mata, ayahnya sudah bangun dan mengambil tali pinggang di gantungan, tepi pintu. Abdul Aziz masih menunggu jawapan Maryam. Norjinah sudah kelu dan pegun dalam rasa tidak percaya. Firdaus pula mahu menghalang ayahnya.

“Maryam, cakap.”, perlahan Firdaus berkata-kata. Berharap adiknya mendapat kekuatan.

Nafasnya turun naik tidak menentu, melawan ombak ganas perasaan marah bercampur takut. Dia takut ayah memukulnya, tapi dia juga marah kerana ayah memaksanya bercerita tentang Aliuddin. Apa lagi yang ayah mahu, dia sudah turut kata ayah, bantu emak di rumah, belajar bersungguh-sungguh, dan menahan rasa tidak puas hatinya di rumah itu. Apa lagi. Dia teringat waktu Aliuddin menghantar surat yang pertama, waktu Aliuddin mencuri-curi pandang sewaktu perhimpunan di sekolah rendah, sewaktu Aliuddin menemani dia pulang saat hujan lebat.

“Kau pilih.”, Maryam mendongak kepalanya melihat Abdul Aziz.

“Ayah, atau budak tu.”, kemudian Abdul Aziz terus keluar dari rumah meninggalkan Maryam yang tercungap-cungap mencari nafas kerana menahan tangis.

Pandangannya kosong. Emak masih berdiri di tempatnya. Abangnya Firdaus pula menyambung membuat kerja atas meja belajar. Sesekali Firdaus menoleh adiknya masih terduduk atas sofa. Diam dan tidak berkutik. Akhirnya, Maryam bangun perlahan dan berjalan ke biliknya. Beg sandangnya di seret masuk ke bilik. Tidak peduli al-Quran yang berada di dalamnya. Dia kecewa. Kecewa kerana tidak ada sesiapa yang mahu membelanya. Suratnya juga dibawa bersama ayah keluar tadi.

Pintu bilik tertutup perlahan, Maryam menghilang disebalik pintu. Norjinah kemudian juga berjalan perlahan ke kamarnya meninggalkan Firdaus yang keseorangan. Maryam duduk di tepi katil bujangnya dan membuka tudung. Dia sedih. Terlalu sedih. Dia kasihankan Aliuddin. Aliuddin yang baik hati. Aliuddin yang pemalu. Kata-kata Laila dan Faizah mengimbau. Wajah Aliuddin sewaktu melewatinya minggu lepas sewaktu rehat juga datang dalam hati. Dia pejam mata. Mengetap bibir. Dia bingung seminggu dua ini tentang hidupnya. Tentang kawan-kawannya. Tentang hubungan dengan Aliuddin. Dia pernah terfikir untuk meninggalkan Aliuddin. Tetapi, inikah caranya. Inikah saatnya dia memutuskan hubungannya dengan Aliuddin. Namun, atas sebab apa. Sebab Laila, Faizah atau ayah. Dengan berat hati, dia menarik kotak kasut bawah katil. Membukanya dan membaca semula surat-surat Aliuddin. Merenung gelang tangan besi bertulis ‘Maryam’ di sebelah luar dan ‘Aliuddin’ di sebelah dalam. Nama itu ditoreh oleh Aliuddin.

“Ni Ali bagi. Nama dia kat dalam, jadi nanti orang tak nampak. Hihi.”, itu kata-kata Nini sewaktu menyampaikan gelang tangan itu kepadanya. Waktu itu hari terakhir Aliuddin di sekolah rendah yang akan ke sekolah menengah. Bibirnya menarik senyum kelat. Kemudian, dia mula menangis.

“Ali...”, menangis lagi selepas menuturkan nama itu.

“Aliuddin.”

“Maafkan Maryam. Maryam tak tahu nak buat apa.”, gelang tangan besi dimasukkan perlahan dalam kotak kasut semula.

“Ayah marah kita. Ayah marah Maryam.”, kali ini beberapa titik air matanya terkena surat dan gelang besi itu.

“Maafkan Maryam.”, kotak kasut sudah ditutup dan Maryam semakin laju menangis.

“Maafkan Maryam...maafkan Maryam...”, sambil memejam mata Maryam baring di tepi katil, atas lantai dengan kotak kasut tepat di hadapan matanya.

Menghantar Aliuddin dan kenangannya pergi dengan pandangan yang terakhir sebelum dia tertidur kepenatan tengah hari itu. Di dapur, tiada sesiapa yang selera untuk makan tengah hari. Semua orang masih berkongsi kesedihan Maryam, dengan cara mereka sendiri. Berdiam diri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.