Sudah dua hari rumahnya kosong daripada saudara mara yang datang daripada
jauh. Ada yang sudah ke rumah mak mertua, ke rumah saudara mara yang lain, dan
ada juga yang sudah pulang bekerja. Tidak ada rancangan televisyen yang menarik
hendak ditonton hari itu. Semuanya drama dan filem yang sudah Maryam tonton.
Firdaus menemani Firhad beraya ke rumah kawan-kawannya. Firdaus memang tidak
pernah menolak menemani adik beraya. Dahulu, dia juga pernah ditemani Firdaus.
“Yam, nanti dah
sampai orang marhaban panggil ayah kat belakang.”, kemudian ayahnya hilang di
sebalik pintu dapur.
Hari itu, sudah masuk hari raya kelima. Kalau mengikut jadual, rombongan
marhaban daripada kampung sebelah akan bertandang. Emaknya sudah selesai
memasak nasi goreng dan ayam goreng. Kini ,emaknya sedang membaca majalah
sambil menunggu tetamu di ruang tamu yang satu lagi.
Sebaik terdengar bunyi motor-motor dengan ekzos yang kuat, Maryam tahu
rombongan marhaban sudah tiba. ‘Bagus juga ekzos kuat ni eh.’ Hari itu
dia rasakan berguna juga ekzos yang kuat itu sedangkan sebelum ini dialah orang
yang paling kuat menyumpah seranah orang –orang itu. Malah pernah sekali dia
menyumbat terung dalam ekzos motor yang diparkir dihadapan rumah. Dia terlalu
marah waktu itu.
“Woi! Motor aku
bai!”, teruk juga keadaan motor itu tapi sehingga kini penjenayahnya belum
diketahui sedangkan emak dan Firdaus tahu itu kerja dia.
“Dah sampai
mak.”
Baru sahaja dia hendak ke belakang memanggil ayah, Abdul Aziz sudah
muncul sambil melepas sinsing lengannya.
“Monggo, monggo[1]!”,
Maryam pula sudah berdesup ke dapur.
Dari dapur dia mendengar gelak tawa dan suara-suara garau lelaki-lelaki
yang datang berkunjung memberi salam. Kali ini orang-orang muda yang sampai
dahulu. Biasanya geng orang tua akan menyusul kemudian. Orang-orang muda lebih
suka konsep ‘cepat pergi cepat balik’. Ketika dia membuka peti sejuk, terdengar
beberapa bunyi titisan hujan yang menghentam permukaan atap rumah.
“Ah sudah, kain!”, pintu peti sejuk ditutup
semula dan sepantas kilat dia menuju ke pintu dapur.
“Nasib tak lebat
lagi.”, mujur ada awning yang meneduhi kain bajunya.
Hujan tengahari itu turun deras tidak sampai seminit. Serta merta langit
menangis dan membasahi bumi. Dengan tangan bagai lipas kudung, Maryam mencapai
apa yang sempat diselamatkan dahulu. Sewaktu dia sedang mencapai kain selimut
Firdaus yang besar, hujung kainnya tersangkut pada tiang. Ampaian ini dibuat
tinggi bagi menghalang kain menyentuh lantai, tetapi kalau sudah dia tidak
setinggi ampaian, menyusahkanlah namanya.
“Ish, sangkut
pulak!” Maryam menarik-narik lagi kain selimut itu sekuatnya.
Dia sudah tidak peduli andai kain itu terkoyak. Wajahnya sudah terbias
dengan rembesan hujan, begitu juga tudung, baju dan kain batik yang dipakai.
Tiba-tiba saat dia sedang mencuba merentap sambil menjengket, ada tangan
yang mencapai selimut itu. Ditariknya simpulan pada tiang dan dengan mudah kain
selimut itu jatuh pada bahu. Disebalik kain selimut itu ialah seorang lelaki
yang setinggi Firdaus.
“Terima kasih.”,
Maryam memekik sedikit.
Melawan suara hujan yang kuat.
“Sama-sama.”,
lelaki itu membalas.
Dia membuka songkok dan mengibas baju melayunya yang sudah agak lencun.
Maryam terkaku sebentar dengan selimut yang masih disandang atas bahu.
Lelaki itu dipandangnya. Dia menumpang teduh di bawah awning itu. Maryam
lihat motornya diparkir tidak jauh daripadanya. Kemudian, dia mengangkat muka.
Serta merta wajah kedua-duanya berubah. Lelaki itu memegang songkok dan Maryam
memegang selimut.
“Ali.”
“Maryam.”
Suara mereka tenggelam dalam dentuman guruh dan angin kuat hujan. Tetapi
masing-masing tahu membaca bahasa bibir dan hati mereka saling mengenali.
Maryam jadi kaget dan serta merta teringatkan ayahnya. Dia menoleh pintu dapur
yang separuh terbuka. Tiada sesiapa di situ. Kemudian, dia menoleh semula pada
Aliuddin. Lelaki itu sudah lencun.
“Awak buat apa
kat sini?”, hanya itu yang mampu keluar apabila rasionalnya datang.
Dia mencapai bakul kain dan mencari-cari kalau-kalau ada tuala yang boleh
diberi. ‘Jumpa! Tuala Firhad, tak apalah nanti aku ganti.’
“Saya...”,
Aliuddin masih terkaku sambil menggigil kesejukan.
Lengan bajunya diperah.
“Tumpang teduh kejap.”
Sambil berdiri, Maryam menghulur tuala Firhad kepada Aliuddin.
“Nah buat lap
badan.”, tuala bersambut.
“Terima kasih.”
“Awak nak masuk
dulu? Diorang masih kat dalam. Terkandas tak boleh keluar.”
“Tak apalah.
Saya ingat nak balik terus. Dah basah ni.”, tuala itu dilapkan pada mukanya dan
kemudian diselimuti badannya yang dingin.
Maryam mengangguk sekali dan
kembali menarik beberapa lagi kain pada ampaian. Tanpa dia sedari, mata
Aliuddin mencuri-curi pandang. Gadis yang dia kenal dulu sudah lain sekali.
Kain batiknya juga hampir lencun di bahagian bawahnya, mungkin dek kerana
membantu dia tadi ataupun sewaktu dia sedang bergelut menarik selimut. ‘Dah lama sangat dah Maryam. Saya
hampir tak kenal.’
“Awak nak
balik sekarang ke?”, begitu ralit dia memerhati sampai tidak perasankan wanita
itu sudah dihadapannya, menggendong bakul kain pada pinggang.
Tanpa sedar, dia mengangguk.
Kemudian dia berpusing ke arah motornya.
Hujan masih agak lebat. Kalau ikutkan hati, dia masih mahu berlama-lama di
situ, mahu melihat Maryam. Tetapi, dia bimbang andai ada orang yang terlihat
mereka berdua, dia kasihankan Maryam.
“Sekejap!”,
Aliuddin berpaling. Maryam mendekatinya sambil menjinjing payung.
“Nah, pakai ni.
Hujan lebat lagi.”, dipandang wajah Maryam, berniat mencari kalau-kalau ada
lagi mata penuh cinta dalam mata Maryam, namun, Maryam suka melarikan matanya.
‘Diakan sudah bersuami, pasti dia mahu menjaga pandangan matanya.’
“Nah.”, terus
dia menyambut payung itu dan dibukanya.
Maryam masih berdiri dengan memegang hujung tudung yang asyik tersingkap
dek angin. Tatkala bibir itu tersenyum,
Aliuddin terpana lagi. Bagai ada bunga api tahun baru yang sedang meletus dalam
hatinya. Dia mengangguk dan berkata,
“Saya balik dulu.”. Tanpa
menunggu lama lagi, dia menghidupkan enjin motor dan menekan gear.
“Balik dulu.”,
sekali lagi.
Maryam hanya mengangguk.
Dalam perjalanan pulang, dia memegang erat payung yang diberi Maryam
tadi, bagai masih terasa baru sekali detik dia bertemu Maryam. Tidak sangka
daripada dia hanya mahu menumpang teduh di belakang rumah dek kerana hujan
boleh menemukan dia dengan Maryam. Namun, sememangnya dia memang sudah
berkira-kira untuk mengelat tadi. Dia masih belum mampu bersemuka dengan Abdul
Aziz. Mujur sahaja mereka tidak lagi sekampung. Jalan dihadapannya terasa
lapang sekali walaupun angin hujan begitu kuat.
Dikejapkan pegangan pada payung. Aliuddin girang. Malah girang sekali.
[1] Bahasa Jawa : “Masuk, masuk!”