“Mak, tuala Ad
mana?”, Firhad mengembur habis kain baju dalam bakul kain.
‘Pagi tadi kan aku dah letak dalam mesin basuh, dah kemana tuala ni.’
Pening dia mencari tualanya. Firdaus yang sudah selesai mandi menyinggah dan
menjenguk-jenguk ke dalam bakul kain.
“Kau ambik eh
bang?”, serkap jarangnya buat Firdaus membesarkan mata.
Dia menelengkan kepala dan mengeluarkan dari telunjuk, menghampiri bibir
Firhad.
“Eiii...mulut....cili
kang baru tahu. Mana la I tahu.”, tualanya dilepaskan daripada bahu dan
dijatuhkan atas rambut Firhad.
“Ish!”, ditepis
pula oleh Firhad sambil matanya mengekori langkah Firdaus yang sudah
meninggalkannya sambil ketawa mengekeh.
“Mak!!!!”,
jeritan Firhad membuat Maryam menarik keluar earphonedari telinga kiri
dan kanannya.
Berdentum kuat bunyi The Cranberries Zombie dari pemain muzik laptop. Dia
jadi pelik dan sedikit marah. ‘Ish, aku pantang orang menjerit kat mak
bapak, meh aku ajar sikit budak ni yang namanya pelempang tu apa.’ Kerusi
ditolak dan dia keluar daripada bilik tidur.
“Kau apahal
jerit-jerit?”, jeritannya juga sekuat Firhad, malah lebih nyaring. Firhad yang
tersentak terundur setapak.
“Kau kenapa nak
tengking aku? Aku cari tuala!”, kali ini Maryam pula yang menelan air liurnya.
Dia jadi teringat pada peristiwa tengahari tadi. Peristiwa sewaktu dia
menghulurkan tuala Firhad kepada Aliuddin. “Nah buat lap badan.”, kini
mahu sahaja dia menepuk mukanya. ‘Apa la bengap aku ni pergi kasi tuala tu
tak mintak balik.’Firhad masih merenungnya tanpa berkelip, wajahnya
mencuka.
“Kau taruk
mana?”, dia cuba berselindung.
“Taruk mana
apanya. Aku basuh pagi tadi. Aku yang basuh dengan sidai kain pagi tadi. Aku
tahulah. Memang ada. Mana boleh hilang pulak. Peh...tu aku beli kat Langkawi
tu.”, Firhad masih mencari dan terus mencari.
“Alah, nanti aku
balik Penang aku singgahlah Langkawi sekejap. Belikan kau tuala. Kau nak warna
apa?”
Tangan Firhad berhenti mencari
dan badannya menegak. Kemudian wajahnya dihadapkan ke arah Maryam, mencuka.
“Tak payahlah!”
Dia berlalu dengan lemah ke biliknya.
Maryam hanya memerhati lewat ekor mata. Dia jadi serba salah. ‘Maaf
Ad, aku tak sengaja.’ Sewaktu Firhad sudah keluar semula dari bilik dengan
menyandang tuala lain, dia bertanya, “Tu tuala siapa tu?”
“Hantu.”,
dijawab Firhad tanpa menoleh dan tubuhnya hilang di sebalik pintu tandas.
‘Layak dipukul budak ni, aku tanya baik-baik.’ Kemudian, dia juga
menghilang semula ke dalam bilik. Sambil menghadap laptop, dia jadi
terfikir kalau-kalau dia mahu mencari Aliuddin dan meminta tuala itu semula. Tetapi
tegarkah dia menahan hatinya itu. ‘Ada berani?’
“Yam
balik pukul berapa hari ni? Ayah dah tanya tadi. Dia risau Yam bawak kereta
sorang-sorang dari sana. Jalan Muar nak
ke Hospital Putra tu gelap kalau malam. Nak mintak Abang Firdaus ambik tak?”,
Maryam mengerling jam pada pergelangan tangan.
‘Dah 9.30 malam,bisik hatinya. Patutlah ayah risau.
Tapi tadi dia juga bagi aku pergi.’
“Tak apa
mak. Sarah ada sekali ni. Nanti Yam balik dengan dia. Tadi laki dia yang
hantar.”
Dari beranda
rumah, dia perhatikan ada kereta yang masuk ke perkarangan. Lampu tinggi itu
direndahkan pemandunya. Maryam menoleh sambil mengecilkan mata.
“Sekejap mak,
ada orang datang ni.”, lantas Maryam menekup telefon bimbit dan meluru masuk ke
dalam rumah.
Pantas dia berjalan mencari Azwa yang sibuk di dapur menyiapkan
makanan-makanan rumah terbuka untuk malam itu. Di ruang tamu, sudah ada
beberapa kawan-kawan lama satu sekolah di sekolah menengah yang rumah mereka
hanya berdekatan di kampung Azwa.
“Wa, ada orang
datang. Aku tak kenal.”
“Ah kau suruh
diorang masuk dulu. Aku tengah potong lengkong ni.”, digeleng pantas Maryam.
‘Aku pulak, kang bukan kawan aku nak bercakap apa.’
“Kau pergi. Aku potong.”, telefon bimbit
dilekapkan semula pada telinga kiri.
“Hello mak, nanti Yam balik, Yam telefon
bagitahu mak. Rasanya paling lewat pun sampai pukul 11 rasanya. Nanti Yam cakap
Azwa nak balik cepat sikitlah. Ok mak. Bye.”. Talian diputuskan.
Sebaik Azwa
berlalu, dia menyambung memotong lengkong dalam loyang dan dipindahkan oleh
Sarah ke dalam bekas Pyrex rumah Azwa.
“Siapa buat ni
Sarah?”, ringan tangannya menyuap sepotong lengkong ke dalam mulut.
“Azwa rasanya.”,
di balas santai oleh Sarah sambil dia turut mencicip sepotong.
“Aku nak buat
jugaklah. Mak aku selalu buat perasa milo, ni ade perasa Horlick pulak. Makin
bulatlah adik aku.”, dihadiahkan wajah menyeringai kepada Sarah.
“Aku sensitif
bab bulat-bulat ni. Laki aku dah bagi hintsuruh aku pergi lari atas treadmill.”,
ketawa kedua-duanya berpadu di dapur yang hanya ada mereka berdua itu.
Sarah memang sudah berkahwin waktu
di tahun pertama universiti lagi. ‘Pandai budak tu, pergi rembat tutor
kuliah dia buat suami.’
“Aku jimat duit
sewa tau. Makan pun ditanggung.”, itu kata-katanya dua tahun lalu waktu dia
perkenalkan anak sulungnya saat majlis cukur jambul.
Sarah, Maryam dan Azwa masing-masing berjumpa di Universiti Sains
Malaysia hampir empat tahun lalu. Namun, Sarah dan Azwa tua setahun berbanding
Maryam sewaktu mereka mendaftar di universiti. Sedangkan ketiga-tiganya
merupakan anak kelahiran Johor, daerahnya sahaja berbeza. Maryam juga baru tahu
kalau Sarah itu pernah bersekolah di sekolah Maryam sewaktu di tingkatan satu
sebelum berpindah ke Temenggung Ibrahim Girl School (TIGS).
Selesai memotong semua lengkong yang sebanyak tiga loyang itu, Maryam
mengangkat dua bekas Pyrex dan Sarah juga begitu keluar dari dapur. Saat dia
melepasi pintu gerbang yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu itulah ada
seseorang di muka pintu yang menarik perhatiannya. Dia hanya memandang sekilas
dan kemudian berjalan pantas menuju meja hidangan makanan dan meletakkan
bekas-bekas lengkong itu di situ. Kemudian dia berjalan ke satu sudut yang agak
terperosok. Namun belum sempat sampai ke sana, Azwa sudah memanggilnya.
“Yam, sini jap.”
Dia jadi terkaku sebentar dan otaknya ligat
mencari alasan. Peluh pada dahi dan hidungnya mula merembes dan terasa dingin
saat penghawa dingin meniupkan hawanya tepat pada wajah. “Yam!”, kali ini Sarah
sudah menarik lengannya.
“Tu Azwa panggil
kau. Tak dengar ke?”, dikalih wajahnya menghadap Sarah dan Sarah jadi sedikit
kaget.
“Kau kenapa
pulak pucat lesi ni?”, namun, Maryam hanya mengangguk sahaja sehingga tubuh
Azwa mendekati.
Dibelakangnya menuntun sepasang lelaki dan wanita yang berpakaian
sedondon warna hitam kelabu. ‘Azwa, jangan Azwa, jangan.’ Hatinya
berbisik seperti Azwa itu boleh mendengar kata hatinya.
“Yam, kau nak
kemana? Ni aku panggil ni. Meh la sekejap.”, kali ini dia sudah betul-betul
tersepit.
Di hadapannya itu sudah berdiri Azwa dan pasangan sedondon itu. Hingar
bising rumah Azwa dengan suara kanak-kanak memekik dan pakcik makcik berborak
sakan sudah bagai angin lalu sahaja pada pendengarannya.
“Ha.”, hanya itu
sahaja yang mampu dimuntahkan daripada tabung kosakatanya.
Dia terlalu gugup.
Namun begitu, kakinya tetap
bergerak menuju tempat Azwa dan tetamunya itu berdiri. Dia sempat mengerling
pada kedua-duanya. Si gadis tersenyum manis manakala si lelaki dengan wajah
yang susah ditafsirkan.
“Ni, kenalkan
kawan lama aku, Syahira. Ni tunang dia, Yudi.”, Maryam menyambut salam Syahira
dan memaksa sebuah senyuman.
Buat hilang canggung.
“Yudi ni duduk
sebelah kampung kau je. Tu pasal aku panggil kau tadi, tak kenal ke? Sebaya aku
jugak ni.”, fikiran Maryam kosong sekosong-kosongnya. Kalau tadi dia dipanggil
Azwa untuk diperkenalkan dengan Syahira dan Yudi, kini dia mendapat tahu yang
mereka sudah bertunang pula.
‘Kamera mana yang sedang merakam lawak belakang tabir mereka ini. Biar
dia marah saja produser dan tok dalangnya sekaligus.’
“Arr...kenal.
Kenal.”, sambil dia mengangguk sambil dia mengambil kesempatan menyeka sedikit
peluh pada hidungnya yang begitu ketara.
Yudi juga mengangguk-angguk dan
tersenyum.
“You satu
sekolah dengan Maryam tak Yudi?”, mesra Syahira bertanya sambil membuang benang
yang melekat pada kocek baju melayu Yudi.
Dia tampak begitu selesa dengan tunangnya itu.
“Ah, satu
sekolah? Haah, sekolah rendah dan sekolah menengah sekejap.”, matanya dilarikan
daripada bertembung dengan Maryam.
“Oh, tak sangka
boleh jumpa balik kan. Senior jumpa junior la ni. Maryam buat apa sekarang?
Study lagi?”, tidak sampai hati pula Maryam hendak mencipta alasan apabila
Syahira terus-terusan bersikap ramah dengannya.
Azwa juga masih tersenyum-senyum seolah-olah menghargai pertemuan yang
‘tidak disangkakan’ ini.
“Haah, saya
belajar lagi. Sama dengan Azwa. Tinggal satu semester lagi nak praktikal.
Lepastu habis la.”
“Ah, saya
cemburu pulak tengok korang dah nak habis degree. Saya sampai diploma terus
kerja lepastu ni nak kahwin pulak. Bila lagila nak sambung. You, bagi
tak I sambung nanti?”, Yudi memasukkan tangannya dalam poket sejak tadi.
Sebaik ditanya, dia hanya senyum dan menggerak-gerakkan keningnya. Mungkin dia merasa kurang selesa. Tetapi
Maryam tidak faham bagaimana Syahira dan Azwa tidak perasankan hal itu.
Perbualan ini patutnya berhenti bukan berlarutan. ‘Tak boleh, aku kena pergi
ni.’
“Tak apa.
Pelan-pelan nanti sampai jugak. Yang pentingkan terus kehadapan bukan ke
belakang.”, wajahnya dimaniskan semanis mungkin dan dia sudah berkira-kira mahu
beredar.
“Saya ke dapur
dulu. Nak ambik lengkong tadi.”
Sedangkan semua lengkong sudah
dihidang atas meja, namun Maryam hanya mahu mencipta alasan supaya dia dapat
beredar daripada tempat itu. Dia jadi menyesal pula datang ke rumah Azwa.
Syahira hanya tersenyum dan mengangguk perlahan. Tangannya menarik lengan Yudi
lembut menuju ke meja yang masih kosong sambil ditemani Azwa. Sarah pula sudah
hilang keluar rumah menyertai ahli keluarga Azwa yang lain berborak dan bermain
bunga api.
Sesampai sahaja di dapur, dia
bergegas ke pintu belakang. Dibukanya dan kemudian menyarung selipar yang ada
di situ. Sambil menyandar di tepi tembok yang jadi ampaian rumah Azwa itu, dia
menarik nafas dan melepaskan berat. Dadanya turun naik melepaskan perasaan
terkejutnya. Namun apabila dia sudah mulai dapat mengimbangi pernafasannya
semula, baru dia terasa ada sedikit rasa kecewa dalam hati. Dia tidak tahu
mengapa dia perlu kecewa saat mengetahui berita pertunangan Yudi dan Syahira.
Dia juga pelik mengapa dia perlu rasa terjentik sewaktu Syahira membuang benang
daripada kocek Yudi begitu juga saat dia menarik lengan lelaki itu. Dia hanya
tidak mahu melihat semua itu.
Peristiwa semalam di rumah
terimbau dalam minda. Saat Aliuddin yang kebasahan berteduh di belakang
rumahnya. Kemudian, lelaki itu membantunya mengangkat selimut Firdaus dan dia
sendiri menyerahkan tuala Firhad buat mengelap basah badan Aliuddin. ‘Kenapa
aku buat semua tu? Sebab kasihan, kemanusiaan, atau sebab perasaan yang sudah
lama itu?’ Kalau sebab kasihan masakan dia jadi kecewa pula apabila
mengetahui yang lelaki itu sudah bertunang. Malah namanya juga sudah berubah
daripada Aliuddin kepada Yudi. Panggilan itu pastinya istimewa dan hanya
dituturkan oleh Syahira.
“Ali.”
Pandangannya menekur lantai
sampai kepada barisan semut hitam yang berjalan di sepanjang kaki lima sambil
menyapa seekor semut dari arah bertentangan. Sampailah sehingga semut yang di
belakang sekali tiba-tiba beralih haluan mengikut semut yang seekor tadi.
Pertemuan ini sepatutnya tidak perlu berlaku. Kenapa Tuhan, pertemukan semula
Maryam dengan Aliuddin itu.
“Ali, kenapa Ali
muncul balik dalam hidup saya?”, kemudian matanya masih menyoroti semut yang
sudah berpasang pula itu berjalan pergi sampai pandangannya kabur.
Setitik air mata jatuh juga ke pipi. Tanpa dapat diselindung.