2007
Kisahnya bermula apabila Allah mahu mengajar beberapa hambanya yang
berbuat salah terhadap diri masing-masing. Sebab hati-hati mereka ego dan
keras. Tetapi, nanti mereka semua akan terjatuh, terlentang dan tersedar.
Pada penghujung tahun 2007 bulan Oktober, umat Islam di Parit Raja sedang
bersenang hati kerana Hari Raya Aidilfitri bakal tiba. Bazar ramadhan sesak
dengan manusia. Pasar malam juga begitu. Bagi Maryam binti Abdul Aziz, dia
lebih memilih menyibukkan diri dengan longgokan surat khabar daripada bermacam
jenis penerbit. Matanya hanya mencari cerita tentang angkasawan muda Malaysia
yang pertama. Dr. Syeikh Muzhaffar Syukor. Setiap hari, disuruhnya abang sulung
yang tua enam tahun mencari surat khabar waktu hendak pergi bekerja. Tahun 2007
itu tahun rahmat. Dia sudah di tahun akhir pengajian. Usianya pun sudah
bertambah menjadi 23 tahun. Bulan Januari tahun hadapan, Maryam akan memulakan
praktikal mengajar di Kedah. Segala yang dirancangnya berjalan baik.
Malam itu sudah malam ke 27 Ramadhan. Maryam sudah tidak ke masjid
bersolat tarawikh. Dia datang bulan. Lalu, kesempatan itu digunakannya untuk
mula menfail artikel dari surat khabar tentang projek angkasawan negara yang
pertama.
“Kau nak buat
apa dengan surat khabar ni? Banyak ni Maryam.”, Firdaus si abang sulung
bertanya petang itu.
“Projek individu. Kan senang nanti nak
mengajar pakai bahan ni. Current issues
ni. ABM (Alat Bantu Mengajar) tahu, ABM.”, santai dia menjawab sambil
menggoreng ikan.
“Iyolah Yam...”,
lalu Firdaus menghilang ke bilik mandi.
Dari dalam bilik, Maryam mendengar ayahnya pulang dari masjid. Bunyi
motor sahaja sudah dia dapat cam itu ayahnya. Fail putih berisi keratan akhbar
diletakkan dalam rak. Kemudian, kedengaran ayahnya berborak dengan emak di
dapur.
“Maryam kata tak
nak mengajar lepas habis belajar nanti? Pasal apa Nah?”, hati Maryam tertarik
untuk mendengar.
Dia keluar dari bilik dan pura-pura melihat adiknya, Raihan membuat kerja
sekolah. Raihan hanya diam melihat kakaknya duduk disebelah.
“Dia nak sambung
master.”, Norjinah yang menyendukkan nasi dalam pinggan suaminya menjawab.
Dia tahu, suaminya pasti
melenting. Namun, kalau sudah anak perempuan sedegil ayahnya, dia mahu buat apa
lagi. Maryam sejak kecil memang keras hati. Orangnya nampak pendiam dan lembut,
tetapi sangat kuat percaya pada kemahuan. Sebenarnya daripada dia di tahun tiga
lagi, dia sudah beritahu pada emaknya yang dia mahu sambung belajar. Tetapi,
Norjinah selalu mengelak berbincang soal sambung master itu dengan Maryam. Dia tidak
sampai hati kalau nanti suaminya tidak izinkan dan Maryam kecewa.
“Nah, saya tak
nak dia pergi jauh sangat. Dia perempuan.”, selepas meneguk teh secawan, Abdul
Aziz menyatakan pendiriannya.
Dia tahu anak perempuannya mahu menjauhkan diri daripada keluarga. Dia
sudah menanti saat ini dari dulu. Abdul Aziz tahu kalau dibiarkan anaknya pergi
kali ini, Maryam akan terus hilang daripada hidupnya. Hanya Allah mengetahui
perasaannya andai itu terjadi. Maryam itu tidak seperti Firdaus, Firhad dan
Raihan. Maryam itu ibarat bunga di taman larangan. Ada tiga kumbang menjaganya.
Hanya dia sahajalah bunga dalam keluarga. Cuma Abdul Aziz tersilap percaturan
dengan Maryam. Anak gadis yang secara fitrahnya lebih mengikut kata orang tua
menjadi anak yang paling susah ditangani.
“Awak bagitahu dia, saya tak bagi.”, sekali
lagi teh dihirup menghabiskan baki.
Abdul Aziz melangkah ke dalam bilik tidurnya.
Maryam menyorok di dalam bilik ketika ayahnya keluar dari dapur. Hatinya
libang libu mendengar kata-kata ayahnya tadi. Dia berdiri dalam gelap yang
hanya diterangi dengan samar cahaya dari luar bilik. Kedengaran bunyi pintu
bilik ayahnya ditutup. Dia keluar dari bilik dan ke dapur perlahan-lahan. Dari
pintu dapur, dia melihat belakang badan emak yang sedang mengemas pinggan dan
cawan yang ayah guna tadi. Dibawa ke sinki dan dibasuh teliti. Sederas air yang
sedang mencurah membilas tangan tua emak, begitu juga derasnya hujan dalam hati
Maryam.
Norjinah menoleh ke belakang apabila dia merasakan ada yang sedang
memerhatinya. Maryam. Daripada bentuk air muka anak perempuan tunggalnya itu,
dia sudah tahu. ‘Dengarlah cakap ayah
Maryam.’Matanya berkata dalam diam. ‘Maryam
dah tahu mak, dah tahu’. Apabila anak gadisnya itu sudah berpaling dan
berlalu pergi, Norjinah hanya mampu menunduk. Tangannya menyentuh air yang
sejuk.
Dari dalam bilik, Maryam mendengar siaran radio dari telefon bimbit. Dia
masih menangis. Air mata lesu masih basah pada kolam mata, pipi sehingga ke
leher. Liputan secara langsung perjalanan ke ISS Dr. Syeikh Muszhaffar Syukor
sedang bermain. Lampu dari luar bilik berdekatan dapur dimatikan emak yang
terakhir di dapur. Maryam bangkit dari baring dan menarik langsir. Tingkap
bilik dibuka.
Dari balik bukaan tingkap, dia melihat langit yang gelap pekat. Tanpa
bintang. Sama seperti dirinya yang belum berbintang tika itu. Sama dengan
hatinya yang gelap suram. Kapal angkasa Soyuz buatan Rusia sudah akan berlepas.
Countdown sudah bermula. Sebaik countdown berakhir dan sorakan dari
dalam konti radio gegak gempita, Maryam memejam matanya rapat. ‘Nah, saya tak nak dia pergi jauh sangat.
Dia perempuan.’,ayat itu berulang tayang dalam minda. ‘Awak bagitahu dia, saya tak bagi.’. Esakannya yang sudah mereda
datang lagi. Halus dan kemudian makin berat. ‘Ayah, maafkan Maryam. ‘