Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 6:Maryamkah itu?


Sudah dua hari rumahnya kosong daripada saudara mara yang datang daripada jauh. Ada yang sudah ke rumah mak mertua, ke rumah saudara mara yang lain, dan ada juga yang sudah pulang bekerja. Tidak ada rancangan televisyen yang menarik hendak ditonton hari itu. Semuanya drama dan filem yang sudah Maryam tonton. Firdaus menemani Firhad beraya ke rumah kawan-kawannya. Firdaus memang tidak pernah menolak menemani adik beraya. Dahulu, dia juga pernah ditemani Firdaus.

“Yam, nanti dah sampai orang marhaban panggil ayah kat belakang.”, kemudian ayahnya hilang di sebalik pintu dapur.

Hari itu, sudah masuk hari raya kelima. Kalau mengikut jadual, rombongan marhaban daripada kampung sebelah akan bertandang. Emaknya sudah selesai memasak nasi goreng dan ayam goreng. Kini ,emaknya sedang membaca majalah sambil menunggu tetamu di ruang tamu yang satu lagi.

Sebaik terdengar bunyi motor-motor dengan ekzos yang kuat, Maryam tahu rombongan marhaban sudah tiba. ‘Bagus juga ekzos kuat ni eh.’ Hari itu dia rasakan berguna juga ekzos yang kuat itu sedangkan sebelum ini dialah orang yang paling kuat menyumpah seranah orang –orang itu. Malah pernah sekali dia menyumbat terung dalam ekzos motor yang diparkir dihadapan rumah. Dia terlalu marah waktu itu.

“Woi! Motor aku bai!”, teruk juga keadaan motor itu tapi sehingga kini penjenayahnya belum diketahui sedangkan emak dan Firdaus tahu itu kerja dia.

“Dah sampai mak.”

Baru sahaja dia hendak ke belakang memanggil ayah, Abdul Aziz sudah muncul sambil melepas sinsing lengannya.

“Monggo, monggo[1]!”, Maryam pula sudah berdesup ke dapur.

Dari dapur dia mendengar gelak tawa dan suara-suara garau lelaki-lelaki yang datang berkunjung memberi salam. Kali ini orang-orang muda yang sampai dahulu. Biasanya geng orang tua akan menyusul kemudian. Orang-orang muda lebih suka konsep ‘cepat pergi cepat balik’. Ketika dia membuka peti sejuk, terdengar beberapa bunyi titisan hujan yang menghentam permukaan atap rumah.

“Ah sudah, kain!”, pintu peti sejuk ditutup semula dan sepantas kilat dia menuju ke pintu dapur.

“Nasib tak lebat lagi.”, mujur ada awning yang meneduhi kain bajunya.

Hujan tengahari itu turun deras tidak sampai seminit. Serta merta langit menangis dan membasahi bumi. Dengan tangan bagai lipas kudung, Maryam mencapai apa yang sempat diselamatkan dahulu. Sewaktu dia sedang mencapai kain selimut Firdaus yang besar, hujung kainnya tersangkut pada tiang. Ampaian ini dibuat tinggi bagi menghalang kain menyentuh lantai, tetapi kalau sudah dia tidak setinggi ampaian, menyusahkanlah namanya.

“Ish, sangkut pulak!” Maryam menarik-narik lagi kain selimut itu sekuatnya.

Dia sudah tidak peduli andai kain itu terkoyak. Wajahnya sudah terbias dengan rembesan hujan, begitu juga tudung, baju dan kain batik yang dipakai.

Tiba-tiba saat dia sedang mencuba merentap sambil menjengket, ada tangan yang mencapai selimut itu. Ditariknya simpulan pada tiang dan dengan mudah kain selimut itu jatuh pada bahu. Disebalik kain selimut itu ialah seorang lelaki yang setinggi Firdaus.

“Terima kasih.”, Maryam memekik sedikit.

Melawan suara hujan yang kuat.

“Sama-sama.”, lelaki itu membalas.

Dia membuka songkok dan mengibas baju melayunya yang sudah agak lencun.

Maryam terkaku sebentar dengan selimut yang masih disandang atas bahu. Lelaki itu dipandangnya. Dia menumpang teduh di bawah awning itu. Maryam lihat motornya diparkir tidak jauh daripadanya. Kemudian, dia mengangkat muka. Serta merta wajah kedua-duanya berubah. Lelaki itu memegang songkok dan Maryam memegang selimut.

“Ali.”

“Maryam.”

Suara mereka tenggelam dalam dentuman guruh dan angin kuat hujan. Tetapi masing-masing tahu membaca bahasa bibir dan hati mereka saling mengenali. Maryam jadi kaget dan serta merta teringatkan ayahnya. Dia menoleh pintu dapur yang separuh terbuka. Tiada sesiapa di situ. Kemudian, dia menoleh semula pada Aliuddin. Lelaki itu sudah lencun.

“Awak buat apa kat sini?”, hanya itu yang mampu keluar apabila rasionalnya datang.

Dia mencapai bakul kain dan mencari-cari kalau-kalau ada tuala yang boleh diberi. ‘Jumpa! Tuala Firhad, tak apalah nanti aku ganti.

“Saya...”, Aliuddin masih terkaku sambil menggigil kesejukan.

Lengan bajunya diperah.

“Tumpang teduh kejap.”

Sambil berdiri, Maryam menghulur tuala Firhad kepada Aliuddin.

“Nah buat lap badan.”, tuala bersambut.

“Terima kasih.”

“Awak nak masuk dulu? Diorang masih kat dalam. Terkandas tak boleh keluar.”

“Tak apalah. Saya ingat nak balik terus. Dah basah ni.”, tuala itu dilapkan pada mukanya dan kemudian diselimuti badannya yang dingin.

Maryam mengangguk sekali dan kembali menarik beberapa lagi kain pada ampaian. Tanpa dia sedari, mata Aliuddin mencuri-curi pandang. Gadis yang dia kenal dulu sudah lain sekali. Kain batiknya juga hampir lencun di bahagian bawahnya, mungkin dek kerana membantu dia tadi ataupun sewaktu dia sedang bergelut menarik selimut. ‘Dah lama sangat dah Maryam. Saya hampir tak kenal.’

Awak nak balik sekarang ke?”, begitu ralit dia memerhati sampai tidak perasankan wanita itu sudah dihadapannya, menggendong bakul kain pada pinggang.

Tanpa sedar, dia mengangguk. Kemudian dia berpusing ke arah motornya. Hujan masih agak lebat. Kalau ikutkan hati, dia masih mahu berlama-lama di situ, mahu melihat Maryam. Tetapi, dia bimbang andai ada orang yang terlihat mereka berdua, dia kasihankan Maryam.

“Sekejap!”, Aliuddin berpaling. Maryam mendekatinya sambil menjinjing payung.

“Nah, pakai ni. Hujan lebat lagi.”, dipandang wajah Maryam, berniat mencari kalau-kalau ada lagi mata penuh cinta dalam mata Maryam, namun, Maryam suka melarikan matanya.

Diakan sudah bersuami, pasti dia mahu menjaga pandangan matanya.’

“Nah.”, terus dia menyambut payung itu dan dibukanya.

Maryam masih berdiri dengan memegang hujung tudung yang asyik tersingkap dek angin. Tatkala bibir itu tersenyum, Aliuddin terpana lagi. Bagai ada bunga api tahun baru yang sedang meletus dalam hatinya. Dia mengangguk dan berkata, “Saya balik dulu.”. Tanpa menunggu lama lagi, dia menghidupkan enjin motor dan menekan gear.

“Balik dulu.”, sekali lagi.

Maryam hanya mengangguk.

Dalam perjalanan pulang, dia memegang erat payung yang diberi Maryam tadi, bagai masih terasa baru sekali detik dia bertemu Maryam. Tidak sangka daripada dia hanya mahu menumpang teduh di belakang rumah dek kerana hujan boleh menemukan dia dengan Maryam. Namun, sememangnya dia memang sudah berkira-kira untuk mengelat tadi. Dia masih belum mampu bersemuka dengan Abdul Aziz. Mujur sahaja mereka tidak lagi sekampung. Jalan dihadapannya terasa lapang sekali walaupun angin hujan begitu kuat. Dikejapkan pegangan pada payung. Aliuddin girang. Malah girang sekali.



[1] Bahasa Jawa : “Masuk, masuk!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.