Di
dapur suasananya meriah sekali. Di luar rumah juga begitu. Adik-adik yang
tinggal di asrama sudah pulang. Jadi riuh sikitlah rumah separuh kayu separuh
batu itu. Petang tadi, Abdul Aziz sudah mula membeli ketupat segera
berpaket-paket, gula, garam, dan daging.
“Nanti mintak
tolong Firdaus potong daging ni.”, Abdul Aziz memasukkan daging dalam plastik
warna merah dalam peti sejuk beku.
Norjinah yang sedang mengupas
bawang putih mengangguk kemudian menghantar suaminya pergi dengan pandangan.
Maryam masih belum pulang sejak maghrib tadi. Dia dan Firdaus ke pasar malam
membeli baju raya. Itulah anak perempuannya yang satu itu. Lagi dua hari sudah
hendak hari raya, malam itu baru panas punggung mencari baju raya.
“Mak, abang
dengan kakak tak balik lagi?”, Firhad bertanya sebaik datang dari luar memasang
lampu kelip-kelip di hadapan rumah.
Peluhnya merenik dan bajunya
basah. Dia membuka peti sejuk mencari baki air katira dalam bekas air warna
hijau muda. Diteguk rakus sambil menarik kerusi di tepi emaknya.
“Mak orang tanya
buat tak tau je.”, Norjinah memandang anak bujangnya sekilas.
“Apa dia?”
“Tak payahlah.
Buat tak tau je.”, air katira diteguk lagi.
“Orang tanya nak
mintak tolong abang beli barang. Tadi, skrunya hilang satu.”
“Cubalah
telefon. Ni kan dah lebih pukul 9 mana kedai bukak lagi.”, bawang putih jatuh
dalam besen warna merah.
“Mak, abang nak
kahwin eh?”, Norjinah terkekeh ketawa. Sebiji lagi bawang selesai dikupas.
“Kau tau mana
ni? Tanyalah dia. Tanya mak bukan mak yang kahwin.”
Sekali-sekala bunyi meriam
daripada kawasan halaman rumah di mana Raihan dan kawan-kawan beroperasi
kedengaran. Firhad melatah sekali apabila bunyi kuat mengejutkannya yang sedang
meneguk air. Peluh pada dahi diseka. Begitu juga Norjinah yang terlepas pegangan
pada bawang putih.
“OK abang nak
kahwin tu. Ni sekarang ni, mawar berduri tu. Bila?”, Norjinah terhenti
melakukan kerjanya.
“Mawar berduri?
Tak baik Ad panggil kakak macam tu. Garang-garang pun kakak kau. Yang bawak kau
beli baju raya. Sampai baju dia pun dia tak beli.”, Firhad mengangguk-angguk.
Dahinya dikerutkan.
“Mak, kakak tu frust ke apa?”, kali ini Norjinah
merenung lama mata anak bujang berusia 17 tahun itu. Dalam diam dia berfikir
kewajaran kata-kata anak mentah setahun jagung itu.
Firhad pula sesekali melarikan
matanya. Bawang putih dalam besen dikuis-kuis dengan jari sambil tangannya yang
sebelah mengurut-urut bekas air katira yang sejuk. Dia tahu, emaknya sedang
merangka jawapan. Petang tadi, dia terdengar perbualan emak dan ayahnya di kebun
belakang rumah. Tentang kakaknya. Tentang master.
Tentang seseorang yang dia pernah dengar namanya. Tentang Aliuddin.
“Saya kesianlah
kat Maryam bang. Dia nangis malam tadi.”
Petang itu, cuaca baik. Jadi,
Norjinah dan Abdul Aziz membakar sampah yang sudah seminggu. Abdul Aziz
menghidupkan api dengan beladar atau
tiub getah yang sudah bocor. Dia sedang berfikir ayat sesuai untuk menjawab isu
yang dibangkitkan isterinya.
“Habis tu Nah
nak abang buat apa?”, dia berdiri sebentar sambil menyeka peluh.
“Bagi je lah dia
sambung belajar. Kita dah banyak kongkong dia. Saya terfikir, dia jadi keras
hati macam tu sebab kitalah bang.”
“Kita bukan
kongkong. Kita mengajar.”, Abdul Aziz mengeruk daun dan dikumpulkan pada api
yang mula hidup.
Abdul Aziz ada sebab sendiri
mengapa dia mengawal Maryam. Begitu ketat. Hanya dia anak perempuan yang Abdul
Aziz ada. Sewaktu dia memaksa Maryam putuskan hubungannya dengan Aliuddin
bertahun dahulu ialah kerana dia tidak mahu Maryam lupa pada cita-citanya. Dia
cukup risau tentang masa hadapan Maryam. Andai nanti sudahnya Maryam berkahwin,
dia mahu suaminya itu berpelajaran tinggi, punya status. Bukan budak tidak
berhala tuju seperti Aliuddin. Nanti, apa yang dapat diberikan Aliuddin pada
Maryam. Dia tidak mahu Maryam hanya duduk dirumah menjaga anak-anaknya. Tidak
berpelajaran, tiada impian. Dia tidak mahu. Dia mahu anak perempuannya kuat dan
hebat. Itu sahaja niatnya. Tetapi, kini apabila Maryam sudah mahu mencapai
melebihi langit, mencapai bintang, dia juga risau andai anak itu terlepas ke
angkasa pula. Jauh daripada jangkauannya.
“Biar abang
fikir dulu ye Nah.”, akhirnya hanya itu yang dapat dijawab pada isterinya saat
itu.
“Abang ingatkan
pasal Aliuddin dulu. Budak Ali tu.”, mendengar nama itu disebut, jantung Abdul
Aziz berdegup laju.
“Ha...”, api
dirasakan mahu membakar kulitnya dek kerana rasa marah yang tiba-tiba hadir.
“Itu dulu silap
abang masa Maryam kecil. Jangan buat silap dua kali bang. Kasihan kat anak
abang tu. Karang sampai tua membujang.”, melihat suaminya hanya diam dan
mengangguk-angguk, Norjinah masuk semula ke dalam rumah.
Membiarkan suaminya yang tiba-tiba didatangi perasaan bersalah maha
berat.
“Kakak tu
jodohnya tak sampai lagi. Pergi tolong mak basuh bawang ni.”, Norjinah bangun
dari duduk dan membuka peti sejuk. Melihat daging yang dimasukkan suaminya
tadi. ‘Mana Maryam dengan Firdaus ni tak
balik-balik.’
Di
sinki dapur, Firhad mengerut-ngerut dahinya sambil membuka pili air. Dia tahu
emaknya menyembunyikan sesuatu. ‘Aliuddin-Kakak
Maryam. Apa kaitannya diorang ni eh.’ Emaknya yang masih di hadapan peti
sejuk dipandang sekilas. ‘Mak sengaja
mengelak. Mak ingat Ad tak tau. ‘
Malam itu sudah
malam ke 28 Ramadhan. Maryam yang berjalan disisi Firdaus yang tinggi melangit
melihat-lihat ke kedai yang dilewatinya. Dia sudah bingung. Banyak baju yang
menarik sudah tidak ada saiz yang sesuai. Banyak saiz besar atau kecil sangat.
Pastilah tidak muat atau labuh sangat.
“Yam. Kita pergi
butik je la. Waktu raya mesti bukak lagi.”, akhirnya Firdaus sudah mahu angkat
bendera putih ala-ala abang long sulong Shaolin Soccer.
Sudah satu jam lebih dia berjalan. Penat. Sangat penat.
“Mahal la. Orang
mana ada duit banyak.”, sesekali dia berjalan sambil mengelak lopak air.
Dia sendiri malas mahu bersesak di
pasar atau bazar tetapi bajet tiada hendak ke butik.
“Nanti tak
cukup, abang tambah. Jomlah, serius, sakit kaki dah ni. Kepala pun macam dah
nak pening asyik tengok kulit muka orang je.”, Maryam gelak mendengar Firdaus membuat
lawak.
Bahu abangnya ditumbuk perlahan.
“Tu pasal la wa
sayang sama lu. Joget sikit.”, orang lalu lalang pasti menyangka adik beradik
itu kekasih atau suami isteri.
Firdaus menyahut mengangguk-angguk kepala sambil bernyanyi lagu Dendang
Perantau. Separa kuat membuat Maryam menarik abangnya yang makin menggila ke
kawasan parkir.
Mereka melintas jalan dan
meninggalkan kereta di kawasan parkir yang lama.’ Ni komfem tak ada parking kat sana. Hati aku memang tak salah lagi hebatnya’. Mereka benar. Kawasan
berhadapan butik sudah penuh dengan kereta. Sesekali kelihatan lampu isyarat
yang sudah ditukar modenya menjadi kuning berkelip-kelip terbias pada wajah
mereka yang baru selesai melintas jalan. Parit Raja jadi sesak. Sesak seperti
sardin. Mereka berlari dalam keriangan dua beradik itu sendiri.
“Rezeki kau Yam.
Orang tak ramai. Hihi.”, Firdaus memimpin Maryam melintas jalan kecil untuk ke
butik.
Beberapa kereta sudah menunggu di belakang barisan untuk melintas. Sampai
di butik tidak sampai lima minit, Maryam sudah ada pilihan bajunya.
“Eh, bos abang call. Abang cakap kat luar jap. Nanti
dah siap panggil eh.”, tergesa-gesa Firdaus keluar dari butik dengan fonsel di
tangan.
Berbunyi lagu Dendang perantau bingit minta diangkat. Dari dalam bilik persalinan
Maryam melihat bayang-bayang orang dihadapan pintunya. Kemudian kedengaran
bunyi lelaki berdehem beberapa kali. ‘Eh,
cepatnya mamat ni cakap kat telefon.’ Zip baju jubah warna hijau lumpur itu
dibiarkan tidak bertutup sampai ke leher. Dia tidak sampai untuk mengzip.
Akhirnya, dia keluar dari bilik persalinan. Membuka selak dengan mata tidak
melihat pintu. Sebaik selak ditarik dan pintu terbuka, lelaki yang berada di
hadapan pintu beralih kedudukan, menjarak sedikit daripada pintu.
“Bang, tolong zip
bang. Tak sampailah.”, dia masih menyinsing kain jubah yang labuh dengan
kedua-dua tangan.
Badannya masih tidak melihat keluar. Dia pelik kerana abangnya tidak
memberi reaksi. Kemudian, Maryam memusing tubuhnya menghadap lelaki
dibelakangnya itu. Dia kelu. Dia malu. Itu bukan Firdaus. Bukan abangnya.
Maryam menelan air liur yang kelat sekali melewati rengkungan. ‘Salah oranglah. Patutlah diam je. Aih, buat pasal betullah. Maryam bu-at la-wak. Bu-at la-wak. Bu-at la-wak.’
Untuk beberapa saat, kedua-dua makhluk Allah itu diam tidak berkutik.
Beku dan pegun. Akhirnya, Maryam memecah tembok ais itu.
“Maaf....ya....”,
dia menunduk sedikit beberapa kali.
Kemudian dengan pantas kilat, dia masuk semula dalam bilik persalinan
itu. Menutup pintunya dengan badan. Jarinya refleks mengetuk-ngetuk permukaan
pintu tanpa sebab. Tabiat itu datang semula. Dalam fikirannya, dia berfikir
sesuatu. Dia seperti kenal lelaki itu.
Sedang lelaki yang terpana itu masih diam tidak berkutik. Matanya masih
tertancap pada pintu yang sudah tertutup di hadapannya. Dari luar dia mendengar
gadis itu mengetuk-ngetuk pintu. Kemudian, sedikit-sedikit bibirnya mengoyak
senyuman. Dia geli hati. Imej gadis dengan telekung putih yang tergesa-gesa
berlari mendaki tangga di masjid datang
untuk beberapa ketika. Sunguh indah. Indah betul pertemuan ini. Indahnya takdir
ini.
“Maryam...”,
tanpa sedar, dia menyebut nama itu buat sekian kali.
Perlahan dan hanya untuk didengar oleh hatinya yang sudah mula
bergelombang hebat. Namun, khayalannya mati apabila pintu daripada bilik
sebelah terbuka. Memperlihatkan seorang lagi gadis yang memegang baju kurung
moden warna merah hati di lengan.
“Yudi, jom.”
“Dah siap dah?
OK ke?”, Syahira mengangguk-angguk sambil tersenyum.
“Jom. Sya nak
bayar ni.”, Yudi masih diam kerana fikirannya masih menerawang.
Entah mengapa.
Syahira sudah berjalan
mendahuluinya ke kaunter. Dia pula masih berdiri memerhati tubuh Syahira mula
menjauh. Di sebelah kanannya, pintu yang penuh takdir itu tertutup. Rapat.
Tidak berkutik. Bunyi ketukan pada pintu masih kedengaran. Akhirnya, dengan
langkah berat, dia berjalan ke kaunter. Ketika berpusing, dia tidak perasan ada
seseorang yang juga menghampiri kawasannya berdiri tadi. Seorang lelaki
setingginya. Lantas, bahu bertemu bahu.
“Eh maaf tak
sengaja.”, lelaki itu berkata dalam gelabahnya.
Yudi pula mengangguk dan menyambung perjalanan. Kemudian, dia terdengar
sesuatu yang membuat darahnya menyerbu lagi.
“Maryam, dah
siap belum. Abang kena pergi kilang la. Ada hal mengejut.”, langkah kaki Yudi
mati.
Abang. Maryam. Telinganya
bermain-main dengan dirinya kah? Siapakah mereka berdua itu?
“Dah, dah.
Jap.”, dan kemudian Yudi terdengar bunyi gadis itu keluar sambil mengekeh
ketawa halus.
“Cepat jom.”,
ketika itu dia berjalan laju tanpa dipaksa.
Tidak mahu berfikir tentang gadis itu lagi.
Mujur, Syahira sudah selesai
membayar. Dia menunggu sambil bercekak pinggang, namun wajahnya mengukir
senyum. Yudi senyum kelat. Berhasrat menyembunyikan perasaan anehnya sebentar
tadi. Sementara itu, pasangan dibelakangnya itu sudah sampai di kaunter sewaktu
Syahira mendapatkan lengannya. Keluar dari butik itu.
Jalan di hadapannya sesak dalam
kelam. Manusia berpusu-pusu dengan lampu kenderaan menerangi segenap kegelapan
malam. Bunyi lagu-lagu dari corong stereo besar di tepi-tepi bazar bingit
menggendang dalam telinga. Yudi terus tenggelam dalam ribut bingit itu.
Meninggalkan Syahira dalam celoteh bersahut ‘ha’ dan ‘ya’. Fikirannya kelam.
Hatinya kelam. Tanpa sebab yang jelas. Sewaktu menunggu giliran untuk membelok
ke kiri, dia bertanya dalam hatinya. ‘Dia
dah kahwinkah?’ Jalan yang tegak namun sedikit sesak sudah semakin
ditinggalkan. Namun, sesak dadanya tentang Maryam masih tertinggal dalam
fikiran. ‘Mengapa ya?’
Di hadapannya
ada ular-ular berwarna hitam yang datang dari sebelah kanan dan menuju ke
sebelah kiri. Banyak sekali. Di seberang jalan, emaknya sudah menunggu sambil
menyeru namanya berkali-kali.
“Maryam!
Maryam!”, membuat dia jadi tidak keruan.
Dengan mesin membuat garisan di
padang yang entah datangnya dari mana, Maryam berlari laju sambil melenyek
ular-ular yang melintas dihadapannya. Hujung jalan semakin dihampirinya.
Semakin hampir dan hampir. Kemudian, datang cahaya yang terang silau dari
hujung jalan. Cahaya itu merebak ke segenap kawasan sekitarnya.
“Maryam, Maryam.
Bangun. Mandi sunat. Dah pagi ni.”, dilihatnya emak menarik langsir membiarkan
hawa sejuk subuh menerobos.
Dipisat-pisat matanya sebelum
terkebil-kebil merenung tampang Norjinah di hadapannya. Bertentangan dengan
lampu kalimantang di hujung penjuru siling bilik. “Mak.”, sambil itu Maryam
menongkat tubuh untuk bangun. Jam tangannya dikerling. Pukul 6.45 pagi. ‘Hampir
subuh gajah ni.’ Lantas dia bangkit menolak gebar. Norjinah sudah keluar
dari bilik. Saat kipas angin menghala ke arahnya, meniupkan kesejukan pagi, dia
terasa lehernya basah. Begitu juga di dahi. Mimpinya ngeri. Ngeri sekali. ‘Allah,
apalah yang aku mimpi ni.’
Saat saudara
maranya dari Johor Bahru sudah mula bertandang, Maryam pula duduk termenung di
pantri dapur. Melihat sejambak daun sederi dalam gelas kaca lutsinar
bersebelahan sinki. Mimpinya malam tadi menggusarkannya. Dia takut kalau-kalau
ada sihir yang mahu mendekat. Ayah, abang dan adik-adik masih dimasjid,
bersolat hari raya. Emaknya di dalam bilik menukar baju raya. Dia selepas mandi
sunat tadi terus menyarung jubah warna hijau lumpur ini ke badan. Malas mahu
bersalin pakaian lagi.
“Hui, fikir
apa?”, ada tepukan yang sederhana kuat mengena bahu kanannya. Membuat Maryam
terkaget.
“Taklah. Bosan
tak tau nak buat apa.”, dia turun dari pantri dan melihat rendang emak dalam
periuk besar.
“Hah eloklah tu.
Ambikkan abang rendang satu. Eh...bolehlah. Lapar ni.”, Firdaus menanggalkan
songkoknya dan diletakkan atas meja.
Firhad dan Raihan ke kubur Nyai dan Yai di hadapan masjid. Ayahnya
mengambil lemang di kampung sebelah.
“Pemalas.”,
Maryam mencapai mangkuk kecil atas pantri.
“Yam, baju kau
siapa beli...”, tangan Firdaus menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan.
Mulutnya gatal mengusik adik perempuan tunggalnya itu.
Maryam yang sudah sampai di tepi
abangnya meluku kepala lelaki itu. “Nah...mengungkit..mengungkit...”, kemudian
dia duduk di hadapan abangnya dan mula menyenduk nasi juga.
Malas mahu menunggu ahli keluarga yang lain.
Noorjinah juga selepas itu masuk ke dapur dengan membawa sebungkus besar
lemang. “Amboi mak...sedap bau.”, Firdaus bercakap lagi dengan mulut penuh.
Dia bangun dan membasuh tangan.
Membiarkan Maryam menyenduk sambal sotong sendiri.
“Meh mak, abang
tolong. Ya Allah bau dia...eeehhhh.....berayaq mulut. Kan Yam...”.
Sambil Firdaus memotong lemang,
Noorjinah duduk di sisi Maryam. Ada perkara yang mahu ditanyanya. Sesuatu yang
merisaukan.
“Yam, mak tanya
boleh?”, Maryam mengangguk.
“Yam mimpi apa
semalam?”, Maryam mengunyah perlahan nasi dalam mulut.
Kepalanya ligat memutar isi mimpinya malam tadi. Tentang ular, tentang
mesin pelenyek.
“Ular.”
Noorjinah diam sejenak dan berfikir.
Firdaus masih memotong lemang di tepi sinki.
“Mak takut Yam
kena sihirlah. Tak pun, kata orang dulu-dulu kalau mimpi ular, ada orang nak
datang meminang.”, Noorjinah serius berkata-kata.
Wajahnya ditala menghadap Maryam yang sedang makan.
“Ye ke mak?”,
Noorjinah mengangguk perlahan.
“Yam nak kena
pinang orang? Biar benar mak?”, Firdaus yang tadinya sibuk dengan lemang sudah
tiba dengan semangkuk besar lemang yang sudah siap dihiris.
Dia duduk santai di bangkunya sebentar tadi.
Maryam pula jadi malu. Dia tidak
sangka maknya akan bertanya tentang hal mimpinya malam kelmarin, dan dia juga
tidak mahu abangnya mendengar. ‘Matilah nak.’ Maknya sudah tersenyum.
Firdaus pula masih melihat Maryam dengan tanda tanya. Sekejap-sekejap dia
menoleh emaknya disebelah.
“Mak...betul ke
ni?”, dia bertanya lagi.
“Orang dulu la
kata. Zaman sekarang tak tahu la. Sebabtu mak tanya.”, Noorjinah mencalit
sehiris lemang dengan rendang dalam mangkuk Firdaus.
Disuakan ke dalam mulutnya.
“Hah, bagus
jugak Yam kalau kau nikah. Ayah dah tak boleh kata apa dah kalau kau nak
sambung master. Ye tak mak?”, wajahnya mengukir senyum nakal.
Kening diangkat beberapa kali menghantar signal kepada adiknya akan
betapa bernas ideanya itu.
“Gila. Yam nak
nikah dengan siapa?”
“Tu. Boyfriend
lama kau tu. Baru tadi abang nampak kat masjid. Segak lagi tu. Mak ingat
tak mak, budak Ali tu.”, Maryam kaku sesudah tamat ayat Firdaus itu tadi.
Pinggan yang hampir kosong
tiba-tiba menayangkan imej Aliuddin yang sudah bertahun tidak dia ketemu.
Itulah orang yang ingin sangat dia lupakan. Dia sudah berjaya pun melupakan
orang itu. Tetapi kini abangnya membuka hal itu semula. Maryam bagaikan membuka
semula jahitan pada hatinya yang sudah dia sembat elok-elok bertahun-tahun
dahulu. Aliuddin di sini? Tiba-tiba bagai ada renjatan elektrik yang datang
kepada jantungnya. Tepat lewat pembuluh darah dan membuat getaran di situ.
Kenapa ya, hatinya bergetar ini? Salah makankah?
Aliuddin
berjalan menuju ke anjung masjid. Ayah dan abang iparnya menuntun dari
belakang.
“Ayah dengan abang nak pergi bersihkan kubur
atuk kejap. Kau baliklah dulu. Takut-takut ada orang datang nanti kasihan mak
dengan kakak nak melayan.”
Aliuddin hanya angguk dan
menyarung selipar. Ketika dia mengangkat muka, ada seseorang yang melintas di
hadapannya juga menyarung selipar dan berselawat perlahan. Wajahnya seiras
dengan lelaki yang dilihat bersama Maryam dua hari lepas di butik.
“Assalamualaikum.
Selamat hari raya. ”, lelaki itu menutur salam sambil mengangkat tangan sebelum
berlalu.
Tatkala melihat lelaki itu sudah
menunggang motor pergi meninggalkan perkarangan masjid, dia jadi sakit hati dan
marah. Tidak semena-mena bunyi ketawa mesra Maryam malam itu berulang tayang
dalam kepala. Memikirkan semua itu, dia jadi malas untuk bertemu sesiapa apatah
lagi melayan tetamu. Lantas kunci kereta
dalam poket baju dikeluarkan dan diberikan pada ayahnya.
“Ayahlah balik
dulu. Biar Ali bersihkan kubur dengan Fatah. Jom bang.”, mata tua Haji Rashid
terkebil-kebil. ‘Kenapa dengan budak ni. Tadi elok saja.’
“Baik-baik bawak
kereta yah.”, Fatah pun meluru mendapatkan Aliuddin yang sudah berjalan laju
melintasi denai kecil ke arah kubur di hadapan masjid.
Sekelip mata adik iparnya itu berubah perangai tanpa dia tahu puncanya.