Home Novel Cinta Bintang Bintang Dari Tanah Selatan
BAB 7:Jangan Sedih Lagi Maryam

“Mak, tuala Ad mana?”, Firhad mengembur habis kain baju dalam bakul kain.

Pagi tadi kan aku dah letak dalam mesin basuh, dah kemana tuala ni.’ Pening dia mencari tualanya. Firdaus yang sudah selesai mandi menyinggah dan menjenguk-jenguk ke dalam bakul kain.

“Kau ambik eh bang?”, serkap jarangnya buat Firdaus membesarkan mata.

Dia menelengkan kepala dan mengeluarkan dari telunjuk, menghampiri bibir Firhad.

“Eiii...mulut....cili kang baru tahu. Mana la I tahu.”, tualanya dilepaskan daripada bahu dan dijatuhkan atas rambut Firhad.

“Ish!”, ditepis pula oleh Firhad sambil matanya mengekori langkah Firdaus yang sudah meninggalkannya sambil ketawa mengekeh.

“Mak!!!!”, jeritan Firhad membuat Maryam menarik keluar earphonedari telinga kiri dan kanannya.

Berdentum kuat bunyi The Cranberries Zombie dari pemain muzik laptop. Dia jadi pelik dan sedikit marah. ‘Ish, aku pantang orang menjerit kat mak bapak, meh aku ajar sikit budak ni yang namanya pelempang tu apa.’ Kerusi ditolak dan dia keluar daripada bilik tidur.

“Kau apahal jerit-jerit?”, jeritannya juga sekuat Firhad, malah lebih nyaring. Firhad yang tersentak terundur setapak.

“Kau kenapa nak tengking aku? Aku cari tuala!”, kali ini Maryam pula yang menelan air liurnya.

Dia jadi teringat pada peristiwa tengahari tadi. Peristiwa sewaktu dia menghulurkan tuala Firhad kepada Aliuddin. “Nah buat lap badan.”, kini mahu sahaja dia menepuk mukanya. ‘Apa la bengap aku ni pergi kasi tuala tu tak mintak balik.’Firhad masih merenungnya tanpa berkelip, wajahnya mencuka.

“Kau taruk mana?”, dia cuba berselindung.

“Taruk mana apanya. Aku basuh pagi tadi. Aku yang basuh dengan sidai kain pagi tadi. Aku tahulah. Memang ada. Mana boleh hilang pulak. Peh...tu aku beli kat Langkawi tu.”, Firhad masih mencari dan terus mencari.

“Alah, nanti aku balik Penang aku singgahlah Langkawi sekejap. Belikan kau tuala. Kau nak warna apa?”

Tangan Firhad berhenti mencari dan badannya menegak. Kemudian wajahnya dihadapkan ke arah Maryam, mencuka.

“Tak payahlah!” Dia berlalu dengan lemah ke biliknya.

Maryam hanya memerhati lewat ekor mata. Dia jadi serba salah. ‘Maaf Ad, aku tak sengaja.’ Sewaktu Firhad sudah keluar semula dari bilik dengan menyandang tuala lain, dia bertanya, “Tu tuala siapa tu?”

“Hantu.”, dijawab Firhad tanpa menoleh dan tubuhnya hilang di sebalik pintu tandas.

Layak dipukul budak ni, aku tanya baik-baik.’ Kemudian, dia juga menghilang semula ke dalam bilik. Sambil menghadap laptop, dia jadi terfikir kalau-kalau dia mahu mencari Aliuddin dan meminta tuala itu semula. Tetapi tegarkah dia menahan hatinya itu. ‘Ada berani?’

Yam balik pukul berapa hari ni? Ayah dah tanya tadi. Dia risau Yam bawak kereta sorang-sorang dari sana. Jalan Muar nak ke Hospital Putra tu gelap kalau malam. Nak mintak Abang Firdaus ambik tak?”, Maryam mengerling jam pada pergelangan tangan.

Dah 9.30 malam,bisik hatinya. Patutlah ayah risau. Tapi tadi dia juga bagi aku pergi.’

Tak apa mak. Sarah ada sekali ni. Nanti Yam balik dengan dia. Tadi laki dia yang hantar.”

Dari beranda rumah, dia perhatikan ada kereta yang masuk ke perkarangan. Lampu tinggi itu direndahkan pemandunya. Maryam menoleh sambil mengecilkan mata.

“Sekejap mak, ada orang datang ni.”, lantas Maryam menekup telefon bimbit dan meluru masuk ke dalam rumah.

Pantas dia berjalan mencari Azwa yang sibuk di dapur menyiapkan makanan-makanan rumah terbuka untuk malam itu. Di ruang tamu, sudah ada beberapa kawan-kawan lama satu sekolah di sekolah menengah yang rumah mereka hanya berdekatan di kampung Azwa.

“Wa, ada orang datang. Aku tak kenal.”

“Ah kau suruh diorang masuk dulu. Aku tengah potong lengkong ni.”, digeleng pantas Maryam.

Aku pulak, kang bukan kawan aku nak bercakap apa.’

“Kau pergi. Aku potong.”, telefon bimbit dilekapkan semula pada telinga kiri.

“Hello mak, nanti Yam balik, Yam telefon bagitahu mak. Rasanya paling lewat pun sampai pukul 11 rasanya. Nanti Yam cakap Azwa nak balik cepat sikitlah. Ok mak. Bye.”. Talian diputuskan.

Sebaik Azwa berlalu, dia menyambung memotong lengkong dalam loyang dan dipindahkan oleh Sarah ke dalam bekas Pyrex rumah Azwa.

“Siapa buat ni Sarah?”, ringan tangannya menyuap sepotong lengkong ke dalam mulut.

“Azwa rasanya.”, di balas santai oleh Sarah sambil dia turut mencicip sepotong.

“Aku nak buat jugaklah. Mak aku selalu buat perasa milo, ni ade perasa Horlick pulak. Makin bulatlah adik aku.”, dihadiahkan wajah menyeringai kepada Sarah.

“Aku sensitif bab bulat-bulat ni. Laki aku dah bagi hintsuruh aku pergi lari atas treadmill.”, ketawa kedua-duanya berpadu di dapur yang hanya ada mereka berdua itu.

Sarah memang sudah berkahwin waktu di tahun pertama universiti lagi. ‘Pandai budak tu, pergi rembat tutor kuliah dia buat suami.’

“Aku jimat duit sewa tau. Makan pun ditanggung.”, itu kata-katanya dua tahun lalu waktu dia perkenalkan anak sulungnya saat majlis cukur jambul.

Sarah, Maryam dan Azwa masing-masing berjumpa di Universiti Sains Malaysia hampir empat tahun lalu. Namun, Sarah dan Azwa tua setahun berbanding Maryam sewaktu mereka mendaftar di universiti. Sedangkan ketiga-tiganya merupakan anak kelahiran Johor, daerahnya sahaja berbeza. Maryam juga baru tahu kalau Sarah itu pernah bersekolah di sekolah Maryam sewaktu di tingkatan satu sebelum berpindah ke Temenggung Ibrahim Girl School (TIGS).

Selesai memotong semua lengkong yang sebanyak tiga loyang itu, Maryam mengangkat dua bekas Pyrex dan Sarah juga begitu keluar dari dapur. Saat dia melepasi pintu gerbang yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu itulah ada seseorang di muka pintu yang menarik perhatiannya. Dia hanya memandang sekilas dan kemudian berjalan pantas menuju meja hidangan makanan dan meletakkan bekas-bekas lengkong itu di situ. Kemudian dia berjalan ke satu sudut yang agak terperosok. Namun belum sempat sampai ke sana, Azwa sudah memanggilnya.

“Yam, sini jap.”

Dia jadi terkaku sebentar dan otaknya ligat mencari alasan. Peluh pada dahi dan hidungnya mula merembes dan terasa dingin saat penghawa dingin meniupkan hawanya tepat pada wajah. “Yam!”, kali ini Sarah sudah menarik lengannya.

“Tu Azwa panggil kau. Tak dengar ke?”, dikalih wajahnya menghadap Sarah dan Sarah jadi sedikit kaget.

“Kau kenapa pulak pucat lesi ni?”, namun, Maryam hanya mengangguk sahaja sehingga tubuh Azwa mendekati.

Dibelakangnya menuntun sepasang lelaki dan wanita yang berpakaian sedondon warna hitam kelabu. ‘Azwa, jangan Azwa, jangan.’ Hatinya berbisik seperti Azwa itu boleh mendengar kata hatinya.

“Yam, kau nak kemana? Ni aku panggil ni. Meh la sekejap.”, kali ini dia sudah betul-betul tersepit.

Di hadapannya itu sudah berdiri Azwa dan pasangan sedondon itu. Hingar bising rumah Azwa dengan suara kanak-kanak memekik dan pakcik makcik berborak sakan sudah bagai angin lalu sahaja pada pendengarannya.

“Ha.”, hanya itu sahaja yang mampu dimuntahkan daripada tabung kosakatanya.

Dia terlalu gugup.

Namun begitu, kakinya tetap bergerak menuju tempat Azwa dan tetamunya itu berdiri. Dia sempat mengerling pada kedua-duanya. Si gadis tersenyum manis manakala si lelaki dengan wajah yang susah ditafsirkan.

“Ni, kenalkan kawan lama aku, Syahira. Ni tunang dia, Yudi.”, Maryam menyambut salam Syahira dan memaksa sebuah senyuman.

Buat hilang canggung.

“Yudi ni duduk sebelah kampung kau je. Tu pasal aku panggil kau tadi, tak kenal ke? Sebaya aku jugak ni.”, fikiran Maryam kosong sekosong-kosongnya. Kalau tadi dia dipanggil Azwa untuk diperkenalkan dengan Syahira dan Yudi, kini dia mendapat tahu yang mereka sudah bertunang pula.

Kamera mana yang sedang merakam lawak belakang tabir mereka ini. Biar dia marah saja produser dan tok dalangnya sekaligus.’

“Arr...kenal. Kenal.”, sambil dia mengangguk sambil dia mengambil kesempatan menyeka sedikit peluh pada hidungnya yang begitu ketara.

Yudi juga mengangguk-angguk dan tersenyum.

You satu sekolah dengan Maryam tak Yudi?”, mesra Syahira bertanya sambil membuang benang yang melekat pada kocek baju melayu Yudi.

Dia tampak begitu selesa dengan tunangnya itu.

“Ah, satu sekolah? Haah, sekolah rendah dan sekolah menengah sekejap.”, matanya dilarikan daripada bertembung dengan Maryam.

“Oh, tak sangka boleh jumpa balik kan. Senior jumpa junior la ni. Maryam buat apa sekarang? Study lagi?”, tidak sampai hati pula Maryam hendak mencipta alasan apabila Syahira terus-terusan bersikap ramah dengannya.

Azwa juga masih tersenyum-senyum seolah-olah menghargai pertemuan yang ‘tidak disangkakan’ ini.

“Haah, saya belajar lagi. Sama dengan Azwa. Tinggal satu semester lagi nak praktikal. Lepastu habis la.”

“Ah, saya cemburu pulak tengok korang dah nak habis degree. Saya sampai diploma terus kerja lepastu ni nak kahwin pulak. Bila lagila nak sambung. You, bagi tak I sambung nanti?”, Yudi memasukkan tangannya dalam poket sejak tadi.

Sebaik ditanya, dia hanya senyum dan menggerak-gerakkan keningnya. Mungkin dia merasa kurang selesa. Tetapi Maryam tidak faham bagaimana Syahira dan Azwa tidak perasankan hal itu. Perbualan ini patutnya berhenti bukan berlarutan. ‘Tak boleh, aku kena pergi ni.’

“Tak apa. Pelan-pelan nanti sampai jugak. Yang pentingkan terus kehadapan bukan ke belakang.”, wajahnya dimaniskan semanis mungkin dan dia sudah berkira-kira mahu beredar.

“Saya ke dapur dulu. Nak ambik lengkong tadi.”

Sedangkan semua lengkong sudah dihidang atas meja, namun Maryam hanya mahu mencipta alasan supaya dia dapat beredar daripada tempat itu. Dia jadi menyesal pula datang ke rumah Azwa. Syahira hanya tersenyum dan mengangguk perlahan. Tangannya menarik lengan Yudi lembut menuju ke meja yang masih kosong sambil ditemani Azwa. Sarah pula sudah hilang keluar rumah menyertai ahli keluarga Azwa yang lain berborak dan bermain bunga api.

Sesampai sahaja di dapur, dia bergegas ke pintu belakang. Dibukanya dan kemudian menyarung selipar yang ada di situ. Sambil menyandar di tepi tembok yang jadi ampaian rumah Azwa itu, dia menarik nafas dan melepaskan berat. Dadanya turun naik melepaskan perasaan terkejutnya. Namun apabila dia sudah mulai dapat mengimbangi pernafasannya semula, baru dia terasa ada sedikit rasa kecewa dalam hati. Dia tidak tahu mengapa dia perlu kecewa saat mengetahui berita pertunangan Yudi dan Syahira. Dia juga pelik mengapa dia perlu rasa terjentik sewaktu Syahira membuang benang daripada kocek Yudi begitu juga saat dia menarik lengan lelaki itu. Dia hanya tidak mahu melihat semua itu.

Peristiwa semalam di rumah terimbau dalam minda. Saat Aliuddin yang kebasahan berteduh di belakang rumahnya. Kemudian, lelaki itu membantunya mengangkat selimut Firdaus dan dia sendiri menyerahkan tuala Firhad buat mengelap basah badan Aliuddin. ‘Kenapa aku buat semua tu? Sebab kasihan, kemanusiaan, atau sebab perasaan yang sudah lama itu?’ Kalau sebab kasihan masakan dia jadi kecewa pula apabila mengetahui yang lelaki itu sudah bertunang. Malah namanya juga sudah berubah daripada Aliuddin kepada Yudi. Panggilan itu pastinya istimewa dan hanya dituturkan oleh Syahira.

“Ali.”

Pandangannya menekur lantai sampai kepada barisan semut hitam yang berjalan di sepanjang kaki lima sambil menyapa seekor semut dari arah bertentangan. Sampailah sehingga semut yang di belakang sekali tiba-tiba beralih haluan mengikut semut yang seekor tadi. Pertemuan ini sepatutnya tidak perlu berlaku. Kenapa Tuhan, pertemukan semula Maryam dengan Aliuddin itu.

“Ali, kenapa Ali muncul balik dalam hidup saya?”, kemudian matanya masih menyoroti semut yang sudah berpasang pula itu berjalan pergi sampai pandangannya kabur.

Setitik air mata jatuh juga ke pipi. Tanpa dapat diselindung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.