PROLOG
WAJAH Bakri berseri-seri.Berkali-kali dia mencium pipi anak sulongnya. Betapa gembiranya dia apabila si kecil dibenarkan pulang ke rumah.Sebelum ini anaknya terpaksa ditahan di wad kerana penyakit kuning yang masih tidak berkurang.
Pada bulan hadapan pula masih perlu datang ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Doktor ada beritahu yang salah satu buah pinggang anaknya tidak normal. Nasib tiada masalah serius dikesan, begitu pun dikhuatiri ia tidak berupaya berfungsi dengan baik.
“Tak sabarnya nak balik ke rumah kita.” Zahrah bersuara sambil mencuit pipi bayi yang putih melepak. Wajah anaknya memang lebih mirip suaminya, mujur kulit anaknya persis dirinya.
“Abang pun tak sabar nak perkenalkan hero kita pada saudara-mara,” balas Bakri dengan bangga. Terasa dunia ini bagai dirinya yang punya apabila hajatnya dimakbulkan TUHAN.
Zahrah tersenyum senang mendengar bicara suaminya.Sebagaimana perasaan Bakri, begitu juga perasaannya ketika ini. Malah tidak terucap dengan kata-kata dan tidak tergambar dengan lukisan.
“Sayang pergilah jumpa nurse kat kaunter tu, biar abang yang jaga baby,” suruh Bakri sambil mengusap bahu Zahrah yang duduk di sebelahnya.
Sebentar tadi, Dr. Fadzilah meminta mereka berjumpa jururawat di kaunter sebelum balik.
“Yalah. Kejap ya sayang…” ucap Zahrah sambil tunduk mencium pipi anaknya.
Perlahan-lahan Zahrah mengatur langkah menuju ke kaunter.Tiba di situ, tidak kelihatan pula jururawat yang Dr. Fadzilah maksudkan.Memandangkan berhampiran kaunter ada seorang doktor lelaki, terpaksalah dia bertanya kepadanya.
“Doktor, boleh saya minta tolong?” teragak-agak Zahrah bertanya. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dadanya berdebar-debar melihat susuk belakang doktor itu.
“Ya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Dr. Khalid yang baru bertukar ke hospital itu segera memberi respons. Fail yang sedang diteliti,diletak di tepi meja.
“ALLAHUAKBAR!” Zahrah terus terpaku saat lelaki itu berpaling menghadapnya. Terasa dirinya dihempap seberat-berat batu. Tidak semena-mena dia berasa nak pitam. Lemah lututnya untuk menampung tubuh, mujur tangannya sempat berpaut pada meja.
“Zahrah…?” Dr. Khalid juga terkejut sebaik menyedari gerangan yang berada di hadapannya. Tidak menduga boleh bertemu semula dengannya.
Bakri yang menyusul tidak berapa lama kemudian terus menghampiri sebaik terlihat isterinya tidak stabil ketika berdiri.
“Sayang, kenapa ni?” Seketika Bakri berasa panik tatkala menyedari wajah isterinya berubah pucat. Seakan tiada darah langsung di wajahnya.
“Abang, saya tak sengaja.... saya tak tahu…” Lemah suara Zahrah, cuba menjelaskan situasi yang dialami kepada suaminya.
Saat ini, kepalanya juga kian berat. Tubuhnya turut menggigil. Setahunya lelaki itu telah membawa diri ke luar negara. Bagaimana boleh berada di sini? Sungguh dia tidak mampu menanggung dugaan yang satu ini.
“Kenapa ni, sayang? Jangan buat abang risau.” Bakri bertambah tidak keruan melihat keadaan isterinya yang terus-terusan mengalirkan air mata.
“Zahrah, are you okay?”Dr. Khalid yang tadinya cuma memerhati terpaksa bertanya kerana merasakan ada yang tidak kena.
Mendengar suara doktor itu, membuat jantung Bakri seakan berhenti berdegup. Dia pantas memandang wajah yang empunya diri.
“Ya ALLAH!” Kini giliran Bakri pula hampir tumbang. Mujur dapat mengimbangi badan. Saat ini tahulah dia maksud kata-kata isterinya dan kenapa dia menangis.
“Macam mana ni, bang? Sumpah saya tak tahu…” Zahrah sudah tidak mampu menahan air matanya yang laju mengalir. Baru hendak mengecap bahagia, kini dia terpaksa menghadapi sebuah perpisahan yang sama sekali tidak dia inginkan.
Bakri kehilangan kata untuk melakar sebarang ayat. Dia hanya mampu menggeleng dan menyesali kesalahan diri. ‘Kenapalah dulu aku terlalu mengikut perasaan dan bertindak melulu?’
Dr. Khalid masih terpinga-pinga, tidak faham apa sebenarnya yang telah berlaku. Sekejap dia memandang Bakri, kemudian beralih memandang Zahrah.
“Apa sebenarnya ni, Bakri?” Dr. Khalid masih ingin tahu cerita sebenarnya. Melihat keadaan suami isteri ini, bagai ada masalah yang amat besar menimpa mereka.
“Kenapa kau yang berada kat sini, Khalid? Kenapa bukan orang lain?” keluh Bakri. Kini matanya turut berkaca menahan kesedihan.
“Sekejap, korang cakap pasal apa ni? Boleh tak jangan buat aku tertanya-tanya?” Dr. Khalid semakin hairan dengan bicara lelaki yang pernah menjadi sahabat baiknya suatu ketika dahulu.
Bakri tidak menjawab pertanyaannya, sebaliknya mendakap erat anaknya ke dada. “Maafkan papa sayang, maafkan papa…” Air matanya turut menitis bersama kekesalan di hati.
Dr. Khalid beralih memandang Zahrah, mengharapkan jawapan daripadanya. Malangnya hanya tangisan yang menghiasi wajah wanita yang pernah bertakhta di hatinya.
“ASTAGHFIRULLAHALAZIM…aku tak pernah jumpa lelaki sebodoh kau ni, Bakri!” Khalid terus meluahkan kekesalannya. Terasa sia-sia memendam perasaan dan melepaskan Zahrah kepadanya.
“Ya, aku memang lelaki paling bodoh dan tak guna! Tapi, nak buat macam mana? Masa tu aku tengah marah!” Dia turut menyalahkan dirinya.Kerana cemburu buta dan perasaan marah yang meluap-luap menyebabkannya bertindak mengikut perasaan dan tidak berfikir panjang.
“Tulah, cemburu tak bertempat! Kau bukan aje tak sabar, tapi dah hilang akal!” tegur Khalid lagi dengan perasaan geram.
Setelah mengetahui kisah sebenarnya, dia berasa amat terkejut. Apa yang terjadi antara Bakri dan Zahrah sesuatu yang sukar diterima fikiran yang waras.
“Memang salah aku… salah aku kerana terlalu mengikut perasaan,” keluh Bakri lagi.
“Menyesal pun dah tak berguna! Memang aku pernah ada hati dengan Zahrah. Tapi bila dia dah jadi isteri kau, aku dah lupakan dia. Walaupun payah, aku terpaksa reda dan terima yang kami tak berjodoh,” akui Khalid sambil mengusap kepalanya beberapa kali.
“Aku nak buat macam mana ni, Khalid?” Sesungguhnya saat ini Bakri tidak tahu apa yang patut dilakukan. Memandang wajah Zahrah juga membuat hatinya retak seribu.
“Aku tak boleh nak bantu. Kesian Zahrah, dia baru aje lahirkan anak kau.” Khalid jatuh simpati pada wanita itu, lebih-lebih lagi pada si kecil yang masih tidak tahu apa-apa.
“Itu jugak yang aku kesalkan...” keluh Bakri. Ketika ini jiwanya terasa kontang walaupun baru sahaja menerima anugerah paling berharga buat dirinya.
“Terlajak perahu boleh berundur. Terlajak kata, tanggunglah akibatnya,” celah Khalid.
Dia berasa amat kesal dengan keterlanjuran sahabatnya. Namun,hukum agama tidak boleh dibuat main. Dia kasihan pada Zahrah, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa.