Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,594
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 12

PERLAHAN-LAHAN Miya membuka pintu. Terkejut dia apabila ternampak Ain sedang menonton televisyen.Tidak sangka hari ini teman serumahnya sampai dahulu sebelum dirinya. Selalunya paling awal pun dah dekat nak masuk waktu maghrib.

“Cepat kau balik hari ni?” tegur Miya sambil meletak beg tangannya di atas meja kopi.

“Hari ni aku ada tugasan kat luar. Bila kerja dah selesai dan dah dekat pukul lima, baik aku terus balik rumah,” beritahu Ain.

“Ni, aku nak tanya...” Tiba-tiba Miya teringatkan  persoalan yang perlukan kepastian daripada gadis itu.

“Pasal apa?” Ain memandang Miya yang jelas kepenatan. Wajahnya turut kelihatan kusam dan muram. Tak pernah dia kelihatan begitu teruk sekali.

“Sebelum ni, ada tak sapa-sapa call kau?”

Sorry la Miya... bila kau tanya baru aku teringat! Hari tu memang ada satu mamat ni call aku.” Ain terus membuka cerita.

“Siapa?”

“Entah la, aku pun tak kenal. Peliknya dia cari kau, tapi apasal call aku, kan?”

“Lepas tu?”

“Dah call masa kerja, memang kau tak ada kat sebelah la. Aku pun tanya, dia tu siapa.”

“Mamat tu jawab apa?”

“Kau tahu? Dia boleh jawab yang dia tu tunang kau. Kurang asam betul!”

“Ya? Sesuka hati aje mengaku tunang pada aku yang single ni!” Miya menggeleng. Dia memang dah agak, ni mesti kerja lelaki itu!

“Aku pun apa lagi, berdas-das aku tembak dia. Ingat aku nak percaya? Mentang-mentang guna private nombor,nak menyamar konon!”

“Aduhai... patut la!” keluh Miya.

“Patut la apa?” Ain bertanya kehairanan.

“Tu mesti anak bos aku yang telefon kau.”

“Maksud kau, si Arash tu?”

“Sebenarnya dia call kau sebab nak sahkan status aku,” terang Miya.

“Ooo... kira bijak jugaklah dia guna taktik tu. Tanpa sedar aku dah sahkan yang kau memang bukan tunangan sesiapa. Tapi apasal dia nak buat macam tu?”

“Dia tu memang gila sikit!”

“Entah-entah dia gilakan kau, tak? Sebab tu dia nak pastikan kau masih single.”

“Kau tahu? Dia boleh ajak aku berkolaborasi dengan dia. Entah siapa yang bagi idea macam tu kat dia,” cerita Miya.

“Berkolaborasi? Aku tak faham.”

“Apa lagi? Berkongsi hidup la...”

“Habis tu, kau setuju tak?” tanya Ain sambil memegang kejap lengan Miya.Bab-bab kahwin ni memang mengujakan dirinya.

“Tak ingin aku!”

“La... kenapa pulak tak nak? Okey apa berkolaborasi dengan dia.” Ain berasa sedikit hampa. Baru nak berkongsi kegembiraan, dah terpaksa dilupakan.

“Aku tak nak ambil risiko. Kenal dengan dia pun tak,” jelas Miya. Andai telah kenal lama sekalipun, belum tentu dia akan bersetuju.

“Apa kata kau bagi syarat kat dia.” Tiba-tiba Ain memberi cadangan pula.

“Syarat apa?”

“Nak berkolaborasi cinta dengan saya? Pelaburan tidak akan dipulangkan.Bersedia berkongsi untung dan rugi tanpa had! Okey tak syarat macam tu?”

“Ain, kolaborasi cinta ni pasal hati dan perasaan. Kalau kita melabur hati, kita berhak terima kebahagiaan. Tapi kalau gagal, hati kita hangus terbakar.Aku tak sanggup!” beritahu Miya.

“Betul jugak cakap kau. Kalau si Arash tu tak faham melabur dalam bercinta,baik jangan jadi pasangan dia. Nanti kau yang sengsara.”

“Sebab tu jugak aku tak setuju. Lagipun dia paksa aku ikut cakap dia.”

“Yalah, perkahwinan ni umpama pelaburan syariah compliant. Sama-sama kongsi keuntungan dan kerugian. Kalau dia aje yang nak menang dan asyik memaksa, baik kau jauhkan diri dari dia.”

“Masalahnya hari-hari aku akan jumpa dia. Tu yang aku pening nak buat macam mana.”

“Apa-apapun, pilihan di tangan kau. Tapi kan, tak salah kalau kau bagi peluang kat dia dan diri kau sendiri. Siapa tahu korang ada jodoh?”

“Perlu ke buat macam tu?”

“Kau kena bagi tempoh mencuba kat diri sendiri. Masing-masing tak berapa kenal lagi, takkan nak terus tolak? Entah-entah korang serasi bersama,” cadang Ain.

“Tengok gaya, macam susah nak serasi bersama…”

“Kenalah bagi dia ruang untuk jadi kawan kau dulu. Barulah dia boleh dekat dengan kau.Mengenali kau dengan lebih rapat lagi.”

“Entahlah, aku pun buntu nak buat bagaimana,” keluh Miya.

“Relaks dan tenangkan hati. Malam nanti kau bangun dirikan solat tahajud dan istikharah. Berdoa banyak-banyak dan minta ALLAH tunjukkan jalan yang terbaik,” nasihat Ain.

“Yalah,aku nak mandi dulu,” balas Miya lalu menuju ke biliknya.

Usai mandi dan menunaikan solat asar, Miya berbaring di katil. Mengingatkan kata-kata Ain, buat dia terfikir sesuatu. Perlukah dia beri peluang kepada Arash?

Andai lelaki itu tidak serius, tentu sahaja dia tidak bersungguh. Tetapi dia baru beberapa kali sahaja berurusan dengannya, takkan Arash boleh jatuh hati padanya?

Tiba-tiba Miya teringat bicara Arash ketika mereka berada di Seremban. Anak bosnya itu ada beritahu dia sukakan dirinya ketika pertama kali terpandang dirinya. Ketika mana pula si Arash ini ternampak dia? Dia sendiri memang berkali-kali pernah ternampak Arash, cuma lelaki itu yang tak pernah ambil peduli.

Penat memikirkan isu Arash dan dirinya, akhirnya mata Miya terkatup sendiri. Mujur dia cuma terlelap sekejap sahaja. Kalau tidak, tak pasal-pasal terlepas maghrib!

 

 

PETANG Sabtu, Miya bercadang mahu berjoging di Taman Tasik. Di pertengahan jalan, tiba-tiba dia berubah fikiran dan  berhentikan keretanya di bahu jalan.

Dari jauh dia sudah nampak Pak Cik Payung keluar dari surau. Hari ini dia mahu berdating dengan pak cik itu. Semoga berkurang tekanan perasaan yang dialami.

Dia segera membuka cermin tingkap lalu melambai kepadanya. Lelaki itu laju sahaja menapak sebaik mengenali gerangan yang melambainya.

“Malam tadi mimpi apa?” tanya Pak Cik Payung bersungguh-sungguh.

“Hahaha… tak ada mimpi apa. Saja nak dating dengan pak cik handsome petang ni.Jom ikut saya,” ajak Miya.

Pak Cik Payung turut tertawa. “Bagus jugak Miya datang sini. Dah lama pak cik nak belanja kamu.”

“Saya baru aje pelan nak belanja pak cik makan cendol kat tepi tasik tu.”

“Miya macam tau-tau aje selera pak cik. Pak cik pun cadang nak ajak Miya ke situ jugak.”

“Tak sangka kita berdua ada makanan kegemaran yang serupa,” balas Miya.

“Kerja macam mana sekarang ni?”

“Bolehlah, tapi rasa macam nak tukar kerja kat tempat lain pulak.”

“Bagus jugak berubah angin dan cari pengalaman baru. Tapi kena dapat dulu kerja baru, lepas tu baru letak jawatan sekarang,” nasihat Pak Cik Payung.

“Pak cik memang hari-hari akan jalan kaki ke surau ke?” tanya Miya.

“Nak buat macam mana? Sejak pak cik langgar kereta orang, terus anak pak cik tak bagi memandu lagi. Bahaya katanya.”

“Jauh jugak pak cik kena berjalan ke surau tu.”

“Tak apa, setiap langkah tu dapat banyak pahala.”

“Betul jugak!” balas Miya sambil mengangguk.

“Lagipun bagus dapat jalan kaki setiap hari ni.Tengok  macam hari ni, dapat duduk sebelah awek muda.”

Miya tertawa mendengar gurauan pak cik itu.

“Tapi kalau masa panas terik dan hujan lebat, kesian kat pak cik.”

“Tak ada masalah. Payung,  kan ada?”

“Kalau angin kuat, terus terbang melayang payung tu!”

“Miya pulak, bila nak kahwin? Pak cik teringin nak makan nasi minyak kamu.”

“Huhuhu… boyfriend pun tak ada, macam mana nak kahwinnya?”

“Pak cik ada cucu-cucu yang bujang. Kalau Miya nak, boleh aje pak cik kenalkan.”

“Tak apalah, sampai masanya Miya akan hantar kad jemputan kat pak cik.” Miya segera menolak.

“Kalau ada lelaki yang baik datang melamar, terima aje. Berkahwin ni sunnah Nabi. Kalau kita pasang niat, insya-ALLAH dapat pahala dan mudah capai matlamat. Akan ada waze dan laluan yang memudahkan kita.”

“Tiba-tiba aje, si dia pun ada kat sebelah, ya pak cik?” sambung Miya.

“Pandai pun!”

“Tulah, moga TUHAN permudahkan jodoh saya,” tutur Miya.

“Sebenarnya kita tak perlukan pasangan terbaik, memadai serasi dan sesuai dengan kita.”

“Ya ke…”

Actually you need right people with you, not the best people.

“Amboi pak cik, speaking London!” Miya memang betul-betul tak sangka Pak Cik Payung akan berbahasa Inggeris dengannya.

“Betul kan apa yang pak cik cakap tu?”

“Yup,” jawab Miya sepatah.

“Apa yang penting kita selalu reda dan bersangka baik. Tapi bukan sekadar menerima takdir yang datang saja, kita kena yakin dan percaya apa yang berlaku adalah yang terbaik buat kita.”

“Terima kasih pak cik sebab sudi bagi nasihat kat saya,” ucap Miya. Tiba-tiba dia berasa sebak pula mendengar nasihatnya.

“Sama-sama. La… asyik sangat menyembang, tak perasan dah sampai pun kita,” tutur pak cik itu.

“Jom pak cik! Hari ni kalau pak cik nak pesan lebih dan nak bungkus pun, saya akan belanja.”

“Terima kasih Miya. Moga murah rezeki kamu.”

“Aamiin…”

Miya berasa amat seronok dapat makan cendol dan bertukar cerita dengan Pak Cik Payung. Bertambah ceria apabila pak cik itu suka bergurau dan mengusiknya. Terubat rindunya pada ayah dan datuk yang telah tiada.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.