Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,630
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 13

FIKIRAN Miya masih berserabut. Beberapa hari juga dia seakan hilang fokus ketika di pejabat. Tindakan Arash benar-benar membuat dia berasa tertekan. Andai diturut rasa hati yang panas, mahu saja dia bakar tuan punya badan. Biar rentung!

Sebolehnya, dia juga akan mengelak dari terserempak dengan anak bosnya itu. Dia cukup risau andai lelaki itu mengulangi pertanyaannya.

Tiba di Wisma Bakri, langkah Miya pantas menyusuri foyer menuju ke lif. Hari ini entah bagaimana dia terlewat bangun pula. Nasib baik dia sampai di pejabat tepat pada waktunya. Baru sahaja dia mahu melangkah ke pintu lif, dadanya terus berdebar. Arash dan Tuan Bakri!

Hendak tak hendak, Miya terpaksa memaniskan wajah pada Tuan Bakri dan tentu jugalah buat anaknya yang turut ada bersama.

Bagi Arash pula, rela atau terpaksa, pada pandangannya gadis itu tetap manis sekalipun sedang menahan geram! Memang benarlah kata Haziq, apabila sudah jatuh cinta, semuanya akan kelihatan indah.

Setiap detik rindu bertandang andai tidak dapat menatap wajahnya. Andai sehari tidak dapat berjumpa dengannya, apa yang dia lakukan serba tidak kena.Mujur tiada siapa yang tahu kerana dia pandai melindungi hatinya yang berkocak.Lirikan mata gadis itu memang membuat dia berdebar, apatah lagi senyumannya walaupun ditujukan untuk orang lain.

Dalam lif Miya mengomel sendiri. ‘Apahal pagi-pagi begini lelaki itu datang ke pejabat Tuan Bakri? Mesyuarat apa yang penting sangat?’

“Miya?” panggil Tuan Bakri ketika masuk ke ruang pejabat.

“Ya.” Miya memandang bosnya.

“Sepanjang saya bercuti, Arash akan duduk di bilik saya,” beritahu Tuan Bakri.

“Oh!” Miya mengutuk diri sendiri kerana boleh terlupa tentang keberangkatan Tuan Bakri ke luar negara. Baru dia teringat bosnya akan bertolak dengan isterinya pada malam nanti.

“Kejap lagi saya nak keluar. Nanti kalau ada apa-apa, minta tolong tunjukkan Arash.”

“Okey,” balas Miya berbahasa.

Aduhai... inilah tugasan yang paling Miya tidak suka. Tolong tunjukkan Arash? Huh! Nasib Tuan Bakri hanya bercuti seminggu sahaja. Kalau sebulan,habislah dia!

 

 

PENDINGIN hawa yang terpasang terasa semakin sejuk. Miya pula sememangnya telah lama membekukan hatinya dari memikirkan cadangan tak masuk akal anak bosnya.

‘Eii…panggil aku masuk bilik, tapi tak bercakap-cakap!’ rungut Miya dalam hati.

Arash membetulkan duduknya. Lama dia memandang Miya tanpa berkata-kata apa-apa. Miya pula naik rimas apabila dirinya jadi perhatian lelaki itu.

“Saya ada banyak sebab nak berkolaborasi dengan awak, Miya.” Arash mula bersuara.

Miya pura-pura tidak mendengar. Pada masa yang sama menarik nafas dalam-dalam. Nampakya lelaki itu bagai tidak sabar menunggu kata putusnya. Kata mahu memberinya masa untuk berfikir, tetapi sebenarnya memaksa dirinya mengikut kehendaknya.

“Hanya awak yang ada apa yang saya nak. Hujung bulan ni ya?”

“Hujung bulan apa?” tanya Miya. Nada suaranya memang jelas geram dengan Arash.

“Jumpa keluarga awak la...”

No! Awak ni memang dah sewel,kan?”

“Mungkin ada sikit la, tapi sewel yang baik,” balas Arash sambil tersengih.

Matanya sengaja dilarikan dari bertentangan dengan gadis itu. Semakin lama berbalas renungan dengannya, boleh tertusuk kalbunya.

“Memang susah bercakap dengan orang yang asyik otak bisnes saja. Bercinta tidak akan sama dengan berbisnes!” ungkap Miya.

“Banyak persamaannya Miya. Tetap ada untung dan rugi. Tetap ada kos melepas.”

“Awak berkolabarasilah sorang-sorang!”

“Bercinta dan berbisnes ni, hubungan dua hala Cik Miya. Kalau tak ada pembeli, tiadalah penjual. Tak ada penjual, pembeli sah-sah tak wujud.”

Wajah Miya mencuka. Malas hendak ambil peduli bicara Arash yang sah-sah ikut logik akal fikiran sendiri saja.

“Sama jugak dengan bercinta dan berumah tangga. Tak ada suami, sah-sah isteri tu tak wujud,” sambung Arash lagi.

“Lantak awaklah! Saya peduli apa?” balas Miya.  Entah apa di fikiran lelaki itu sampai menyamakan bercinta itu seumpama berbisnes. Harap muka sahaja nampak tampan dan berpelajaran, tapi soal hati memang ke laut dalam.

“Pandang saya,” pinta Arash tiba-tiba.

Miya menentang tajam mata Arash. Hatinya berdetik seketika. Sungguh dia tidak mengerti dengan lelaki di hadapannya ini. Dia masih tertanya-tanya kenapa Arash masih mahu mendesaknya.

“Kalau awak nak selesaikan masalah sendiri, jangan libatkan saya,” tutur Miya apabila Arash tidak berkata-kata.

“Kalau ia tidak melibatkan awak, saya takkan bangkitkan isu ni.”

“Saya dari awal lagi dah tak nak dan tak setuju dengan cadangan awak.Kenapa awak masih tak faham-faham?”

“Sebab saya rasa saya dah jatuh cinta dengan awak.” Lancar sahaja ayat itu Arash lafazkan.

Miya tertawa sinis. “Jangan bohong boleh tak?”

“Habis tu, awak nak saya belah dada saya, baru awak nak percaya?”

“Atas dasar apa awak jatuh cinta dengan saya?”

Arash terkedu dengan pertanyaan gadis itu. Andai dirinya sendiri tidak tahu, bagaimana dia harus menjawabnya? Apa yang yang pasti, hatinya inginkan gadis itu. Kenapa dan bagaimana boleh terjadi, dia tidak mahu bebankan kepala untuk fikirkan.

“Awak?” panggil Miya, geram dengan kebisuan Arash.

“Yang itu saya memang tak mampu nak jawab.”

“Tengok! Entah apalah agenda awak nak perangkap saya.” Miya sengaja serkap jarang. Siapa tahu akhirnya lelaki itu akan berterus terang.

“Setiap apa yang kita lakukan memang ada agenda yang tersendiri dan niat tertentu, kan?”

“Kan betul apa yang saya cakap!” bidas Miya.

“Bukan, bukan itu maksud saya. Awak silap.” Arash segera menafikan.

So apa yang betulnya?”

“Yang betulnya saya dah mula sayang dan cintakan awak!” Arash mengulangi rasa hatinya.

Sorry, tak semudah itu untuk saya terus percaya.”

“Awak kena percaya. Perasaan cinta ini adalah fitrah yang TUHAN campakkan pada sesiapa sahaja. Termasuk saya,” tutur Arash.

Miya sedikit gugup. Kelu lidah untuk membuka mulut dan memberi kata balas. Tiba-tiba dia gelisah dan diburu dilema. Sungguh, dia seakan terjerat dari membuat sebarang keputusan selain mengikut sahaja rentak Arash.

Seketika dia mengerling ke arah anak bosnya yang masih menunggu jawapan daripadanya. Pada masa yang sama sempat juga dia meneliti wajah lelaki yang cuba meredah pintu hatinya. Memang kurang asam sungguh! Omelnya dalam hati.

“Rasanya wajah saya tak ada cacat celanya...” ujar Arash bersahaja. Pada masa yang sama memainkan jarinya di sekitar dagu.

Miya buat tak tahu sahaja sambil memegang hujung tudungnya. Padahal rasa segan juga sebab dah kantoi dengan lelaki itu. Sebenarnya dia baru perasan perubahan pada wajah Arash. Kumis dan janggut sejemput di dagu telah ditrim kemas, tiada lagi jambang menghiasi wajahnya.

“Tak payah betulkan tudung awak tu. Saya tak perlukan wanita yang cuma penampilan saja cantik tapi tidak hatinya,” tegur Arash walau suaranya perlahan sahaja.

“Awak ni memanglah, kan?” marah Miya.

“Apa?” tanya Arash.

“Senget!”

“Miya… bagi saya kes kita ni mudah aje.”

“Soal masa depan, awak kata mudah? Awak silapTuan Arash!” balas Miya.

“Sangat mudah kalau awak memberi kerjasama. Bukan ke tadi Tuan Bakri minta awak tolong tunjukkan saya?”

“Tunjukkan apa?” Tiba-tiba Miya blur.

“Tunjukkan jalan ke hati awak…” jawab Arash kemudian mengorak senyuman paling menawan buat gadis pujaan hatinya.

Miya terus bangun meninggalkan Arash. Mahu sakit jiwa andai masih bersamanya.

Arash menggeleng. Terasa payah menangani kedegilan gadis ini. Begitu pun dia tekad tidak akan terus mengalah. Memang pantang dia apabila dirinya ditolak mentah-mentah!

 

 

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.