Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 14

SEPERTI biasa, setiap hari Isnin memang ada mesyuarat di pejabat Hajar. Awal-awal lagi, Zahim, Idan dan beberapa orang pengurus projek sudah mengambil tempat masing-masing. Tidak berapa lama kemudian, Hajar dan Safi pula masuk lalu duduk di kepala meja.

Seketika Zahim terkejut lantas memandang Idan. Dia bertanya dengan isyarat mata sebaik perasan gadis yang duduk di sebelah Hajar. Apa sudah jadi? Patutlah wajah Idan cemberut dua tiga hari ini.

Dia pula baru balik dari outstation, mana hendak tahu pembantu peribadi baharu Hajar rupanya adalah gadis yang Idan reject itu. Memang seronok kalau sudah begini. Zahim mahu tahu juga bagaimana si bujang terhangat ini menangani gadis seperti Safi Awadah.

Idan sekadar mengangkat bahu, malas hendak menjawab apa-apa. Dia mahu memberi tumpuan pada mesyuarat dan tidak mahu fikir pasal perkara lain. Zahim pula sedikit kecewa kerana pertanyaannya tidak dilayan.

Mesyuarat berjalan seperti biasa, namun Zahim masih tertanya-tanya. Tiba-tiba dia merasakan masa terlalu lambat berlalu. Sebaik sahaja mesyuarat ditangguhkan pada jam dua belas tengah hari, dia tidak menunggu lama untuk tahu perkara sebenar.

“Itu Safi, kan? Macam mana dia boleh jadi pembantu peribadi Kak Hajar?” tanya Zahim.

Dalam mesyuarat tadi dia memang asyik memerhati gelagat Idan yang kononnya serius, namun apabila berkesempatan, wajah gadis itu juga yang dipandang! Ini yang membuat Zahim bertambah musykil.

“Magik!” jawab Idan sepatah.

Zahim tertawa mendengarnya. “Magik, ya?”

“Entah apa yang dia jampi, sampai Kak Hajar boleh ambil dia bekerja,” sungut Idan.

“Kau ni… memang dah rezeki dialah tu.”

“Aku pun pelik dengan Kak Hajar tu. Apa yang dia nampak kat budak Safi tu pun, aku tak tahu.”

“Apa-apa pun kita tunggu dan lihat aje. Mana tahu dia memang boleh buat kerja,” balas Zahim pula.

“Lantaklah! Aku malas nak bertekak dengan kakak aku tu. Akhirnya aku terpaksa ikut cakap dia jugak.” Idan mencapai diarinya lalu bangun. Dia mahu segera kembali ke biliknya.

“Wei, tunggulah dulu. Aku tak habis lagi!” ujar Zahim pula.

“Kalau kau nak tahu sangat, kau tanyalah kakak aku tu!” balas Idan. Dia malas hendak berbicara lanjut pasal isu itu. Nanti menambah sakit di hatinya sahaja.

Zahim tidak terkata. Nampaknya dia kena mengorek cerita daripada Inalah jawabnya!


“SERONOK kerja kat tempat baru?” tanya Nana ketika mereka melepak menonton televisyen.

“Setakat ni memang seronoklah. Ada bos yang baik, malah anggap aku macam adik sendiri pulak,” beritahu Safi. Dia memang berasa amat bertuah dapat bekerja dengan Hajar. Bukan sahaja senang berurusan dengannya, wanita itu juga tidak kedekut berkongsi ilmu.

“Beruntungnya kau. Dia tak ada adik lelaki ke?” Soalan cepumas Nana sudah keluar.

“Nilah aku nak cerita dengan kau,” Safi memang suka berkongsi cerita dengan sahabatnya itu. Siapa lagi tempat dia meluahkan perasaan kalau bukan dengan Nana. Kawan-kawan sekolej sudah berumah tangga, tinggal dia dan Nana sahaja yang masih solo.

“Ceritalah, ini mesti lebih sensasi dari cerita artis yang dah basi.”

“Aku memang tak sangka yang Kak Hajar tu rupanya ada adik lelaki yang segak. Tak senyum pun menawan. Kalau dah tersenyum, lagilah buat aku terpikat!” Safi memuji sambil berangan suatu hari nanti lelaki itu akan menjadi kekasih hatinya. Tidak kisahlah andai lelaki itu pernah membuat dirinya sakit hati.

So, yang ini dah masuk senarailah?” Nana sudah dapat menduga. Kalau Safi sudah mula bercerita, memang hati dia sedang berbunga-bunga.

“Sudah semestinya masuk senarai yang paling atas sekali,” balas Safi sambil angkat kening beberapa kali.

“Habis tu, macam mana pulak dengan pemilik BMW tu? Takkan yang itu kau nak tolak tepi?” Nana mengingatkan Safi pasal lelaki yang sampai sekarang sahabatnya itu tidak dapat kesan.

“Hmm… yang itu aku letak sebelah sebagai pilihan kedua,” jawabnya. Jejaka yang itu masih tidak dapat Safi lupakan. ‘Hai, tamak betul hati ini!’ desisnya.

“Aku peliklah dengan kau. Cerita kau nak cari jodoh ni, dah bertahun-tahun. Abang Arif dan Kak Aisarah pun dah berderet anak dia orang. Sudahnya kau masih sendiri jugak. Mula-mula dulu bukan main lagi,” komen Nana pula.

“Kau ni… janganlah buat semangat aku jatuh pulak! Ni tengah berkobar-kobar mencari pemilik sebenar hatiku ini,” sungut Safi.

“Yang betulnya kau tak payah susah-susah nak cari siapa jodoh kau tu. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik,” ujar Nana yang naik jemu dengan kisah sahabatnya ini. Nasib mereka bukan teman sekerja. Kalau tidak, dua puluh empat jam mereka sentiasa bersama.

“Kalau tak dibelah kelapa muda, mana nak dapat isinya?” balas Safi pula. Dia tidak mahu asyik kena menunggu sahaja. Kadang-kadang diri sendiri perlu memulakan langkah.

“Alah, kau boleh aje keruk dengan sudu!” sakat Nana.

“Belah aje lagi senang!” balas Safi pula.

“Kali ini, siapa pulak nama lelaki yang dah curi hati kau tu?” tanya Nana.

“Idan Jauhari… sedap kan nama dia?”

“Klasiknya nama dia! Ni mesti hari-hari buat kau teringatkan dia,” usik Nana.

“Bukan setakat hari-hari, setiap detik nafasku, pasti ada nama dia. Huhu…” ujar Safi dengan gembiranya.

“Kau macam yakin aje yang si Idan tu jodoh kau. Kau ni biar betul?” Nana membuat telahan sebaik melihat wajah Safi yang bercahaya ketika bercerita tentang lelaki itu.

“Mestilah! Aku yakin lima ratus peratus. Kalau tak, buat apa aku nak rancang strategi mengurat dia?”

“Amboi, nak mengurat pun kena ada strategi jugak ke?” Nana sudah tepuk dahi. Lain macam pula perangai si Safi ini.

“Idan ni bukan jenis yang mudah digoda. Kena usaha lebih sikit,” komen Safi. Buat masa ini, begitulah yang dapat dia simpulkan.

“Hish kau ni… jangan sampai memalukan wanita Melayu terakhir, sudah!” tegur Nana.

“Aku tahulah. Takkan aku nak memalukan diri sendiri hanya kerana nak pikat dia. Aku akan perlahan-lahan pancing hati dia,” beritahu Safi. Sebenarnya rancangan di kepala masih samar-samar. Namun kalau sudah bercerita dengan Nana, biarlah nampak bersungguh sikit.

“Apa yang best sangat pasal adik bos kau tu?” tanya Nana sambil membetulkan duduknya. Tidak selesa pula apabila terpaksa duduk mengereng.

“Bila hati disentuh pada suatu yang tak pernah kau rasa, memang lain tau,” cerita Safi bersungguh-sungguh.

“Fulamak, bukan main lagi ayat kau tu!”

“Walaupun ini bukan kali pertama aku jatuh hati, aku tetap dapat rasa kelainannya. Encik Idan ni memang lain sikit. Dalam menyampah, aku boleh aje tersuka dengan dia.” Safi meluahkan apa yang hatinya rasa sejak beberapa hari ini.

“Apa yang lainnya?” Semakin berminat Nana hendak tahu. Pasti sahaja lelaki itu ada keistimewaan yang tiada pada lelaki lain.

“Yang itu aku susah nak terangkan. Kau kena jumpa dia dulu, baru boleh menilainya.”

“Aduhai… masa bila pulak aku boleh berjumpa dengan dia? Kau cerita ajelah,” pinta Nana.

“Karang kau kata aku terlebih perasan pulak.”

“Alah, sekarang pun kau dah terlebih perasan pun,” kutuk Nana.

“Tak kisahlah kau nak kata apa pun. Aku yakin satu hari nanti dia akan nampak keistimewaan aku ni.”

“Apa-apa pun aku doakan kau akan dapat capai impian kau tu. Jangan sampai jatuh terguling-guling, sudah!”

“Kau ni… kalau nak doa, doa yang baik-baik!” marah Safi.

“Aku cuma nak ingatkan kau aje. Karang kau jugak yang sakit sendiri,” balas Nana.

Safi sekadar mencebik. Kalau tidak melalui berbagai rintangan, bukan bercinta namanya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.