Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 30

“TOLONG ambil RayBan saya dalam laci dashboard tu,” pinta Idan ketika kereta berhenti di lampu isyarat. Cahaya matahari yang terus ke arah dirinya memang menyilaukan.

“Bos pun pakai reben jugak ke? Takkanlah!” Sengaja Safi mahu membuat abang seri berasa geram.

Idan terus menjeling tajam gadis itu. Sekarang ini bukan macam, gaya Idan memang hendak telan Safi saja!

“Alah… saya gurau aje pun nak marah!” tutur Safi sambil menghulurkan kaca mata yang diminta kepada Idan.

“Kalau nak gurau tu agak-agaklah. Saya ni bos awak, bukan kawan serumah awak!” tegur Idan.

Wajah dan telinganya memang jelas kelihatan merah tanda menahan geram di hati. Hampir sahaja dia jadi serigala jadian, nasib waktu siang!

“Yalah, saya mintak maaf.”

Hari ini Safi terpaksa menemani Idan menghadiri mesyuarat di Shah Alam. Sepatutnya Hajar yang pergi, tetapi dia ada mesyuarat penting yang lain pula. Hendak tak hendak Idan terpaksa membawa Safi bersama. Andai ada apa-apa, dia boleh rujuk terus dengan gadis itu kerana dia pernah menghadiri mesyuarat sebelum ini.

Mesyuarat bermula pukul 3.30 petang di pejabat klien. Pelbagai isu yang diutarakan, namun kebanyakannya melibatkan syarikat lain. Idan memang sudah tidak selesa apabila mesyuarat mula meleret-leret. Jenuh jugalah dia duduk melangut. Sekali-sekala matanya jatuh pada wajah gadis di sebelahnya.

Akhirnya Idan berasa lega apabila mesyuarat ditangguhkan pada jam 6.00 petang. Inilah mesyuarat paling lama dan membosankan. Kalau dia tidak menghadirinya pun tidak mengapa. Memang buang masa dan tenaga memandu ke Shah Alam!

“Bos, nanti kita solat asar kat masjid negeri ajelah,” cadang Safi.

Dia sebenarnya risau juga. Hendak patah balik ke pejabat memang terpaksa menempuh kesesakan jalan raya. Sekarang ini pun sudah pukul 6.00 lebih. Dalam perjalanan nanti dia takut tidak sempat hendak menunaikan solat maghrib.

Seperti biasa, apabila Idan setuju dengan cadangan Safi dia akan terus ikut. Dia memang tidak akan berkata apa-apa dan terus menuju ke masjid negeri.


USAI solat asar, mereka segera bertolak menuju ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan, seseorang telah menghubungi Idan dan mahu berjumpa dengannya pula.

Safi yang mendengarnya sudah tidak boleh tahan. Dia mahu segera balik ke pejabat kerana keretanya diparkir di sana. Selepas itu, memandu balik ke Selayang Bahru pula. Entah pukul berapa baru dia sampai ke rumah. Sekarang, dia sudah rasa melekit satu badan walau berada dalam kereta mewah bosnya.

Ketika waktu maghrib, mujur mereka sempat bersolat di surau Petronas. Sampai di pejabat kawan Idan, Safi terpaksa menunggu dalam kereta sementara lelaki itu berjumpa dengan kawannya. Safi terpaksa patuh sebab dia menumpang kereta orang.

Sepatutnya tadi dia minta Idan turunkan dia di perhentian bas atau teksi dan dia boleh balik sendiri ke pejabat. Tidak perlu mengikut Idan ke kawasan yang dia sendiri tidak tahu di ceruk mana.

Apabila sudah bosan menunggu, tangan Safi pun gatal hendak mengusik itu ini. Perlahan-lahan dia membuka laci dashboard untuk mencari sesuatu yang boleh dibaca. Tiba-tiba matanya tertarik pada diari dan kad kahwin di dalam dashboard. Tadi semasa mengambil kaca mata Idan, tidak perasan pula.

Rasa hati Safi seperti pernah tengok kad kahwin itu. Dia berdebar-debar membaca nama pengantin yang tercatat dalam kad kahwin itu. Rupa-rupanya memang kad kahwin Idan.

Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa beberapa tahun yang lalu. Ketika seorang perempuan dilanggar lari dan dibiarkan di tepi jalan. Wajah perempuan itu cuba diingati kembali.

Adakah kakak itu tunang Idan? Kad kahwin ini memang sebiji kad kahwin yang ada bersama barangan peribadi kakak itu. Wajah yang berlumuran darah tidak dapat diingati sepenuhnya. Apa yang Safi ingat, dia telah menghubungi nombor panggilan terakhir di telefon kakak itu.

Spontan Safi terus mencari nombor lelaki yang pernah dia hubungi untuk beritahu pasal kakak itu, tetapi dia tidak ingat dia save atas nama siapa pula. Dahulu pun dia terlupa juga, padahal dia simpan nombor itu untuk bertanya perkembangan kakak itu.

“Awak buat apa hah?” sergah Idan saat terlihat Safi sedang memegang diarinya. Sepantas kilat Idan merampasnya. Kad kahwin pula sudah jatuh di kaki Safi.

Sorry, saya tak sengaja. Sumpah, saya tak buka pun diari bos tu,” ucap Safi.

“Awak tak ada hak nak selongkar barang peribadi saya!” marah Idan.

Sorry bos… saya bosan tunggu kat kereta. Jadi, saya bukalah dashboard kut ada buku untuk dibaca.” Terketar-ketar Safi memberi alasan. Sedar sekarang ini Idan sangat marah.

“Awak keluar sekarang!” arah Idan.

Matanya memang sudah merah menyala bagaikan Safi melakukan kesalahan yang amat besar.

Safi pandang Idan. Biar betul? Sekarang dah malam kut? Takkan Idan nak tinggalkan dia di sini?

“Saya mintak maaf sangat-sangat sebab buat bos marah,” ucap Safi dengan rasa amat bersalah.

“Keluar saya kata!” jerit Idan.

Safi tidak mahu menaikkan amarah Idan, tanpa berlengah dia keluar dari keretanya. Dalam hati dia berdoa semoga senang hendak dapat teksi.

Sebaik Safi keluar dan menutup pintu kereta, Idan terus memecut. Turun naik dadanya menahan rasa marah di hati. Dia amat pantang andai ada yang mengusik barang peribadinya. Uminya sendiri tidak pernah sentuh apa-apa barang miliknya.

Tiba-tiba iPhonenya berbunyi.

“Ya, kak…” Segera dia menjawab panggilan yang masuk.

“Idan dan Safi dah sampai ofis?” tanya Hajar.

Idan diam sahaja.

“Idan, akak tanya ni?”

“Dia dah besar kak, pandailah dia balik sendiri.” Idan menjawab malas.

“Bertuah punya adik. Dia balik naik apa?” tanya Hajar yang kerisauan.

“Idan baru tinggalkan dia kat tepi jalan. Nanti dia naik teksilah,” jawab Idan acuh tak acuh.

“Sekarang jugak Idan patah balik dan cari dia! Idan ni tak belajar-belajar lagi ke? Safi tu anak orang tau, bukan anak kucing! Dah lupa ke apa yang terjadi kat arwah Zarith?” marah Hajar.

Saat itu juga Idan terus menekan brek kereta. Mujur tiada kereta lain di belakangnya. Kemudian dia membuat pusingan U di persimpangan jalan. Ketika ini jantungnya berdegup kencang. Kereta dipandu selaju mungkin untuk sampai semula ke tempat tadi.

Tidak sampai lima minit, dia sudah tiba. Matanya meliar mencari kelibat Safi, namun hampa. Dia segera menghubungi gadis itu. ‘Jawablah!’ Dia berasa geram kerana panggilan tetap tidak berjawab.

Tiba-tiba Idan perasan ada sebuah surau. Dia segera membelok menuju ke situ. Dia amat berharap Safi ada di situ.

Sebaik keluar dari kereta, dia segera ke pintu laluan muslimah. Dia berasa amat lega sebaik terpandang kasut milik Safi. Lebih lima minit juga dia menunggu, baru gadis itu muncul.

“Masuk kereta!” arahnya sebaik Safi menyarung kasutnya.

“Tak apa, saya boleh aje naik teksi,” balas Safi. Jual mahallah kononnya.

“Masuk atau saya seret awak!” marah Idan pula.

“Yalah, yalah! Tadi bukan main suruh saya keluar dan tinggalkan saya macam tu aje,” perli Safi. Begitupun dalam hati dia berasa amat bersyukur.

Tadi, dia sudah mula risau sebab tiada teksi yang lalu. Mujur dia ternampak surau ini. Baiklah dia solat isyak dahulu. Selepas itu baru fikir siapa yang perlu dihubungi untuk menolongnya. Menunggu di surau lebih selamat dari di tepi jalan.

“Saya mintak maaf sebab berkasar dengan awak,” pinta Idan setelah kereta keluar dari pekarangan surau.

“Nasib ada surau tu. Kalau tak, saya pun tak tahu nak pergi mana. Apa yang buat bos patah balik?” tanya Safi.

“Jangan banyak tanya boleh tak?”

Safi pejam mata menahan rasa geram di hati.

‘Apa jugalah abang seri ini? Sekejap marah lepas tu okey pula. Tak lama kemudian marah balik. Kenapalah lelaki ini jugak yang aku kejar?’ desisnya.

“Lain kali jangan sesuka hati sentuh barang orang lain. Tak kiralah barang siapa pun,” tegur Idan tetapi dengan suara perlahan. Tiada langsung nada marah.

“Hmm…” Safi hanya berdeham.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.