Bab 21

Zakiah kembali menjadi bayang-bayang yang sangat menjengkelkan pagi ini. Di sebabkan dia langsung tidak berkesempatan untuk mengetahui kisah lanjut mereka berdua terserempak Amr dengan perempuan, jadi, ketika mereka beroleh kelapangan dia menerjah Nika yang sedang menyusun fail-fail Dr. Kumar di meja.

“Kau marah kat dia ke? Apasal dia baik sangat hantar kau pergi kerja dah dua hari ni..” 

“Tak, aku tak kisahpun, itu dia punya pasal,” dia berbohong dan tidak mahu menceritakan pada Zakiah apa yang telah berlaku pada Amr malam dia mencarinya di rumah. Dia tidak rela lagi menjaja kisah hidupnya dengan Amr walaupun dia mengaku hubungan mereka berdua sangat bermasalah. Tidak semena-mena saat itu juga, Nika menanam semangat untuk menjadi seseorang yang membalas budi pada Amr kerana telah membebaskan dia dan ibunya dari seorang lelaki jahat dan sebagai balasan dia ingin benar membantu Amr membebaskannya dari belenggu hidup dalam kecelaruan.

“Betul ke? Bukankah kau cemburu lihat dia malam tu?”

“Err... dia dah minta maaf,” ucapnya perlahan. Berharap Zakiah tidak lagi bertanya. Tapi harapannya  sia-sia, Zakiah belum lagi selesai dan berusaha mendapatkan cerita sebenar hingga ke akar umbinya.

“Kau perasan tak Nika..?” soalnya lagi.

“Apa dia?”

“Kawan-kawan Amr tu, malam kita nampak dia?”

“Kenapa?”

“Macam kumpulan gangster kan?”

Nika berpura-pura tidak mendengarnya. Sejak kebelakangan ini dia memang mencurigai kerja-kerja  Amr. Terutamanya selepas dia mendengar perbualan telefon yang tidak syak lagi tentang urusan tidak baik. Tapi dia tidak ada bukti untuk mengesahkan perkara itu dan sekali lagi dia menekankan dirinya tidak mahu menceritakan hal itu juga pada Zakiah kerana dia bimbang Zakiah akan terlepas mulut lagi. Lebih-lebih lagi jika perkara ini sampai ke telinga Ishak.

“Nika, saya belum tengok lagilah muka suami Nika tu, tak nampak jelas, cermin keretanya gelap sangat,” Dr. Julia kemudian muncul dan duduk di sebelah selepas meletakkan fail-fail laporan pesakit yang ditindihkan di atas meja Dr. Kumar.

Nika termengkelan di situ mendengarnya. Kalau ada orang yang tidak diingininya tahu sama sekali dengan siapa dia kahwin orang itu ialah Dr. Julia. Semuanya kerana Amr pernah merempuh bilik pembedahan ketika Dr. Julia memberitahu padanya kematian seorang pengedar dadah tempohari. Nika yakin Dr. Julia mengingati wajah Amr.

“Eh... apasal muka doktor nampak pucat? Kerja semalaman ke?” ujar Nika mengubah topik perbualan mereka. Zakiah mengerlingnya.

“Emmm.... gitulah, mula pagi semalam sambung ke petang kemudian ke malam.. ha, pagi ni saya kena panggil pulak buat laporan pasal pesakit terkena sakit jantung, sebab kedai emasnya hampir kena rompak petang semalam..” ceritanya panjang sambil menguap Matanya mula kuyu.

“Kedai emas kena rompak lagi?” Zakiah terbeliak.

“Berapa kerugian?” tanya Nika pula.

“Tak ada kerugian, pasukan Unit Tindakan Khas a.k.a UTK dah tangkap tiga perompak tu, nampak macam mereka dah kena intai lebih awal,” cerita Dr. Julia lagi sambil menulis laporannya.

“Macam mana dengan tuan punya kedai tu?” tanya Nika.

“Dah ok, cuma tekanan darahnya naik mendadak pagi ni, sebab tu saya datang tengok di wad.”

Dia dan Zakiah mengangguk faham. Kemudian Dr. Julia terus bercerita.

“Aunt, tuan punya kedai tu cerita kat nurse dalam wad, ada seorang lelaki masuk pura-pura tengok cincin berlian, siapa sangka lelaki tu sebenarnya polis yang bertindak menangkap tiga orang lelaki yang menyerbu masuk nak merompak, polis yang menyamar tu terus menembak dua daripadanya sebelum pasukan UTK datang.”

“Cekap jugak kerja mereka kan,” kata Zakiah.

“Pasukan elit polis ni bekerja lebih teliti, macam pasukan komando 69 yang berjaya mengekang komunis sejak bertahun-tahun.”

“Komando 69 tu apa doktor?” tanya Nika.

“Sebuah unit elit, merekalah yang menghalang Al-mau’nah, ingat lagi kes di Bukit Jenalek, Perak yang gemparkan seluruh negara.” 

“Ooo...” Nika cuba mengingati peristiwa lama dulu yang pernah mengejutkan semua orang dan menjadi bahan cerita paling menggemparkan.

Kemudian selepas setengah jam bersantai-santai, unit kecemasan mereka mula diasak kembali oleh kesibukan. Kes gastrik baru saja dilaporkan, seorang lelaki dan dua wanita. Tidak sampai lima minit, seorang wanita separuh usia didaftarkan sebagai kes melecur kerana tersimbah air panas dan mengalami kelecuran yang teruk. Nika mula sibuk dengan berbagai kerja, begitu juga Zakiah. Dr. Julia kelihatannya sedang merawat budak yang mengalami demam panas.

Sehingga ke petang kerja-kerja mereka tidak dapat diselesaikan dan disambung oleh pekerja-pekerja syif petang. Walaupun penat, Nika senang hati kerana dapat menyelesaikan pelbagai masalah pesakit yang cukup meraih simpati. 

“Nika... kau nak ikut ke tak?” tanya Zakiah sewaktu mereka sama-sama keluar dari bilik air dan bersiap-siap hendak pulang.

Nika ragu-ragu menjawab tapi menganggukkan kepalanya sebab dia tak tahu samada Amr akan mengambilnya. Lelaki itu tidak memesannya semasa menghantarnya pagi tadi. Lantas dia mengikuti Zakiah berjalan keluar.

“Nika!” seseorang memanggil namanya. Dia berpaling laju dan melihat Husin mengangkat tangan memanggilnya.

“Ayah kau cari, tu...... dia kat sana..!” jerit Husin kuat dari kaunter pembayaran sambil menunjukkan pada Nika ayahnya yang sedang mencari-cari di ruangan menunggu.

Nika terkejut dan kelam-kabut bila dapat tahu ayahnya datang ke situ mencarinya. 

“Kita pergi cepat Zak...” pantas tangan Zakiah ditariknya, mereka cepat-cepat berjalan ke tempat letak kereta. Mujurlah kawasan menunggu itu dipenuhi orang ramai, ayahnya masih mencari-cari dia di situ. 

“Nika! Kat sinilah bukan situ.....” jerit Husin padanya lagi.

Tapi Nika dan Zakiah telah pun menghilang dari balik kereta ambulan yang baru saja menurunkan mangsa kemalangan. Mereka berdua langsung mendapatkan kereta yang tersadai di sebelah kanan kawasan parkir. 

Zakiah yang turut terkejut pantas menghidupkan enjin kereta, keluar dari tempat parkir dan mula memandu melintasi perkarangan Unit Trauma dan Kecemasan. Nika sempat berpaling ke kiri dan melihat ayahnya sedang berlegar-legar dengan rupa selekeh dan bermasalah. Sudah tentu ayahnya nak minta wang, kalau tidak mustahil dia begitu berani datang ke tempat kerjanya selepas mereka membuat perjanjian pada malam dia bersetuju menikah dengan Amr.

“Astaga... beraninya ayah kau,” ucap Zakiah sambil terus memandu.

“Tak tahu malu betul,” sahut Nika.

“Orang.. kalau dah ketagih arak, judi mana ada malu lagi, dorang dah lupa diri, aku takut dia cari kau kat rumah Amr,” kata Zakiah.

“Tak.. dia takkan berani, Amr dah beri dia amaran malam tu, dia tak mungkin berani datang ke sana.”

Nika sendiri tidak yakin dengan jawapannya. Zakiah mungkin benar. 

Oh Tuhan... Nika mengucap di dalam hati mohon kelapangan fikiran. Zakiah asyik-asyik mengerlingnya. Kereta-kereta di hadapan semakin menjauh. Dalam masa sepuluh minit lagi dia akan sampai di rumah. Benaknya sekarang dipenuhi bayangan wajah Amr dan kelibat ayahnya yang sanggup mencarinya sehingga ke hospital. Dia benar-benar malu dengan Amr kalau ayahnya mencari Amr pula jika tidak berjaya mendapatkannya nanti. 

“Apalah nasib aku ni.. malang betul,” keluh Nika.

“Tak baik mengeluh Nika, kita ni hidup mana lepas dari masalah. Yang tak de masalah tu orang gila je..” sahut Zakiah dan tersengih sendiri.

Nika mendongak ke langit biru mencari matahari yang langsung tidak menampakkan diri sejak dari pagi tadi. Hanya mendung dan cuaca hangat yang dirasakan semua orang sejak dua hari ini. Dia leka berfikir, cuba-cuba mencari jalan bagaimana hendak terus mengelak dari ayahnya. Jalan lurus di hadapan agak lengang berbanding dengan otaknya yang telah diserabut dengan macam-macam masalah. Dia mula bingung  tidak menyangka selepas beberapa bulan masalah yang sama nampaknya berulang lagi. Belum selesai satu hal dia perlu pula berhadapan hal yang lain lagi. 

Tiba-tiba bunyi hon dari arah belakang mengejutkan lamunannya.

“Ya Allah.. apa ni..! Ya Allah.. Ya Allah....” ucap Zakiah tangannya kelam-kabut mencengkam stereng kereta dan memusing ke kiri membawa keretanya ke tepi jalan.

Nika ikut cemas bila sebuah kereta BMW sport berwarna putih tiba-tiba saja memintas kereta Zakiah dan berhenti betul-betul di depan kereta menghalang perjalanan mereka. Mujur Zakiah sempat menekan brek.

“Astaghfirullahal’azimm... kenapa ni Nika?” tanya Zakiah. 

Nika mengangkat bahunya. Dia memanjangkan leher, semangatnya terbang melayang sebentar tadi. Zakiah masih terkejut sambil memegang dadanya seolah-olah hendak menahan jantungnya dari terjatuh. Dalam berdebar-debar, mereka berdua menunggu pemandu kereta yang menyekat perjalanan mereka itu turun dari keretanya. Kalau sahaja lelaki itu mencurigakan dia akan menjerit pada Zakiah supaya pergi dari situ. Bimbang kalau-kalau pemandu kereta mewah itu adalah Samuel. Walaupun dia tidak pernah melihat rupa lelaki yang diceritakan sebagai tauke pelacuran di bandaraya ini tapi firasatnya kian kuat sementelah melihat ayahnya datang mencarinya tadi.

“Astaga.... laki kau rupanya Nika, aku ingat sapa tadi?” ucap Zakiah yang lega bila Amr turun dari kereta.

Tidak seperti Nika yang tambah terkejut, mulutnya seperti terkena sumpahan, tak boleh bercakap. Cuma  Zakiah yang bersuara penuh teruja.

“Oh... wow, dia pakai BMW sport, alamak bertuahnya kau Nika.. kalau kau tak mau laki kau ni bagi kat aku jer.”

Amr berkacamata hitam, t-shirt kelabu dan jeans hitam lusuh tapi cukup menawan dan bergaya malah dengan gambaran begitu dramatik dia berjalan ke sebelah tempat duduk penumpang sambil tersenyum. Dia mengangkat tangan pada Zakiah yang masih lagi teruja mengekor dengan matanya.

“Kenapa dengan dia?” soal Nika masih kaget, matanya merenung tepat kelibat Amr yang membuka pintu.

“Aku ingat dia nak culik kaulah, apalagi, turunlah tuan puteri, putera raja kau dah datang ambil tu.” 

Pintu kereta dibuka dari luar.

“Kenapa?” tanya Nika pada Amr, nadanya kedengaran pelik dan wajah polos yang sangat naif.. 

Zakiah memukul dahinya sendiri. Nika pula terkebil-kebil di bangku.

“Kau tak tunggu aku.. jadi, aku kejar kereta ni.. thanks Zakiah,”  kata Amr sambil melontarkan senyumnya pada Zakiah dan membongkok mencapai lengan Nika yang seperti dipaksa turun. 

Dia tergesa-gesa mengambil handbagnya.

“Tak apa, dia ingat kau tak datang tadi,” balas Zakiah dengan senyum lebarnya yang aneh.

“Tak payah susah-susah, aku boleh ikut Zakiah,” kata Nika kehairanan melihat Amr hanya tersenyum dan membawanya menuju ke kereta BMW itu.

“Aku perlukan kau,” bisik Amr.

Dahinya berkerut tapi mengikut sahaja kehendak Amr. Nika sempat berpaling ke belakang, Zakiah mengangkat ibu jarinya seronok sedangkan dia berjalan dengan rasa tidak selesa bila dipimpin oleh Amr hingga dibukakan pintu kereta yang hanya mempunyai dua pintu itu. 

Bila pintu ditutup, dia menghidu haruman yang menyegarkan. Hatinya berubah lembut terpesona dengan suasananya. Kereta itu benar-benar mewah, dia tidak pernah melihat kereta sebegitu bagus buatannya, jauh benar dengan kereta Zakiah. ‘Bukanlah dia tak kenang budi kereta Zakiah pulak,’ tapi.. kerusinya sangat menyelesakan. Tiupan pendingin hawanya begitu menyentuh perasaan hingga Nika tidak dapat menggambarkannya dengan kata-kata. Bagaimanapun, dia harus mengawal diri. Kemewahan yang dilihatnya ini bukan apa-apa, dia perlu sedar siapa dia? 

Amr masuk ke dalam dan membawa kereta itu semula dengan senyuman ringkas yang baru sahaja diberikan padanya. 

‘Ada yang tak kena dengan mood lelaki dingin ni,’ fikir Nika pelik.

Amr terus memandu menuju ke jalan yang kembali semula ke bandaraya JB. Bibirnya sesekali dihiasi senyuman nipis.

“Ada yang tak kena ke? Apa yang lucu sangat, tengok cerita lawak ke tadi?” tanya Nika.

Tiba-tiba saja Amr ketawa. Lelaki itu ketawa? Sesuatu yang tak pernah berlaku sebelum ini dan selama mereka berada sedekat ini.

“Kau ketawa?” tanya Nika aneh dan agak janggal melihatnya. 

“Aku senang hati. Aku tak pernah rasa begini,” jawab Amr sambil menoleh padanya ketika sedang memandu. “Hari ini, aku cuba buat apa yang kau suruh, tarik nafas, fikir positif dan entah kenapa aku rasa tenang, tak seperti selalu,” sambungnya lagi.

“Baguslah, begitulah caranya dan jangan ambil arak lagi. Ia bukan saja haram tapi tak bagus untuk kesihatan.” 

Amr mengangkat keningnya dan tersenyum lagi. Senyum yang lama kelamaan akan mencairkan hati Nika yang selama ini cuba bertahan dari terus tergoda.

“Kau tak mahu tahu kita kemana?” 

“Aku takut mood kau tiba-tiba angin tak tentu pasal,” jawab Nika melulu dan senyap. Amr seakan tidak mendengar. Dia turut sama memerhatikan kereta itu yang telah pun masuk ke kawasan bandaraya.

Kemudian, dalam masa beberapa minit, dia hampir tidak menyedari Amr sedang memandu keretanya memasuki kawasan parkir di sebuah tempat membeli-belah. Kawasan tempat parkir itu agak samar dan hanya diterangi beberapa lampu ketika Amr parkir di bahagian kiri sebelah van jenis Nissan. Kemudian mereka berdua turun serentak dengan Nika tertanya-tanya sendirian ke mana Amr hendak membawanya. Kalau pergi makan bagus juga sebab dia lapar, perutnya berkeroncong sejak tengahari tadi.

Bagaimanapun dia sedikit rimas memakai pakaian seragam jururawat bukan waktu kerja. 

Sekejap sahaja Amr sudah berdiri di sebelahnya. Belum sempat mereka masuk ke kawasan lif tiba-tiba ruangan parkir itu dikejutkan dengan suara teriakan kuat perempuan dan lelaki. Nika melihat dua orang sekuriti sedang berlari laju sambil berteriak.

“Peragut!! Tangkap peragut!”  teriak seorang pengawal keselamatan.

Seorang lelaki memakai singlet hitam sedang berlari begitu pantas dan termengah-mengah. Nika tidak nampak beg yang diragutnya, tapi bila dia berpaling, Amr tidak lagi bersamanya, dia ikut berlari mengejar peragut yang sama yang dikejar sekuriti tadi. Suara keriuhan orang memekik memenuhi ruangan di situ disusuli bunyi hon dari kereta yang lalu lalang.

“Amr!!” pekik Nika. 

Amr telah berlari lebih pantas mencelah-celah kereta-kereta yang parkir dan tiba-tiba dia melompat naik di atas sebuah kereta yang lalu di seberang jalan dan terhumban di jalanan. Nika memekik lagi sambil mengejar dari belakang. Tubuhnya menggeletar. Kemudian dia melihat kelibat Amr menangkap peragut tadi dari seberang jalan. Beberapa orang mengerumuni peragut yang sudah terbaring itu.

Ketika dia tiba di tempat kejadian, rupa peragut itu telah pun lebam di bahagian mata manakala mulutnya berdarah kerana dipukul oleh Amr sebelum menyerahkannya kepada dua sekuriti tadi yang mengucapkan syabas pada Amr kerana berjaya menangkap peragut tersebut.

Nika terlopong dengan memegang dahinya, dia terbayangkan sesuatu di luar keinginannya. Apa-apa pun lega kerana Amr langsung tidak mengalami kecederaan.

“ Panggil polis..” arah Amr kepada sekuriti seorang pak cik berusia yang terus sahaja tergagau-gagau mencapai alat perhubungannya. Dia masih memegang tangan peragut tadi ke belakang dan tubuhnya dihadapkan ke dinding, tidak dapat melepaskan diri. 

Perempuan yang diragut tadi tampil ke hadapan mengucapkan terima kasih pada semua  yang telah membantunya. Begnya dikembalikan tanpa sebarang kerugian. Amr kemudian menyerahkan lelaki tadi untuk tindakan selanjutnya dan kembali kepada Nika lalu mereka beredar dari situ dan masuk ke dalam lif.

“Kita pergi makan dulu,” ajak Amr bila tiba di tingkat dua CS mall itu.

Nika masih menggeletar. Bayangan kejadian tadi belum hilang dari ingatannya. Dia tidak menyedari yang mereka berdua telah pun masuk ke dalam pusat membeli-belah terkenal di bandaraya JB itu yang dibanjiri pengunjung yang tak putus-putus. Masing-masing dengan tujuan mereka atau mungkin juga ada yang seperti dirinya, tidak bertujuan langsung hanya menurut sahaja kaki Amr. 

“Kenapa dengan kau...” tegur Amr yang berundur semula. Rupa-rupanya dia tertinggal di belakang. Amr kemudian membawanya masuk di sebuah kafe yang tenang dan kurang pelanggan. 

“Kenapa kau menggeletar..” tanya Amr lagi sewaktu membawanya duduk di tepi tingkap kaca. “Kau tak apa-apa?”

Nika tidak menyangka Amr dapat merasakan yang dia memang bergetar. Lututnya seperti longgar, begitu juga jari-jemarinya yang kemungkinan bercampur-baur antara lapar dan terkejut dengan insiden Amr mengejar peragut tadi.

“Err... emmm, aku terkejut tengok kejadian tadi,” sambil mengenggam tangannya yang sejuk dan lemah.

“Aku ingat kau cukup kuat, bukankah kau dah biasa tengok yang lebih parah dari yang tadi?” kata Amr cuba bergurau lalu meminta hidangan piza itali dan dua cawan kopi putih kepada pelayan yang datang ke meja.

Dia tak mampu senyum dengan usikan Amr. Sedetik yang berlalu sehingga makanan dihidangkan Nika leka memerhatikan kafe tersebut. Dekorasinya begitu mempesonakan, suasananya tenang dan beraromakan bau kopi. Wangi. Dia sebelum ini, pernah melihat kafe itu. Ini kali pertama dia mengunjunginya. 

“Aku mahu bawa kau ke satu majlis awal malam nanti,” ujar Amr selepas meneguk kopinya.

Nika berhenti makan dan terlopong memandang muka Amr seolah-olah dia tidak pernah melihat muka lelaki itu dengan lebih jelas. 

“Ke mana?” soalnya hairan.

“Majlis makan malam ulangtahun ke 20 syarikat arwah Tuan Rahmad, untuk meraih pekerja-pekerja di sana, kita cuma datang sebagai jemputan,” jawab Amr dan mula makan.

“Err... aku tak boleh pergi,” Nika mencelah pantas. Dia segan datang ke majlis orang-orang kaya itu. Apa pula kata tetamu-tetamu pada malam itu kalau melihat dia datang bersama Amr. 

“Kenapa?” dahi Amr berkerut tidak percaya dengan kata-katanya. Matanya tajam merenung.

“Errr.......” dia mencari-cari alasan. “Aku tak mahu pergi,” katanya jujur selepas gagal mendapatkan alasan yang baik.

“Kalau aku boleh buat alasan begitu, aku pun tak mahu pergi, tapi.. aku harus datang, kau perlu ikut aku sebagai pasangan aku, kita berdua pasangan suami isteri,” desak Amr.

“Tak boleh, kau tak malu ke? Aku kan orang gaji, anak orang gaji. Apa kata pekerja-pekerja di sana nanti?”

“Aku tak pernah anggap kau begitu Nika.”

“Tapi....” dia kehilangan kata-kata dan merasakan Amr sudah hilang kewarasan kerana mengajaknya. Dia masih mengingati kata-kata Amr yang memperkenalkannya sebagai kawan pada temannya di hadapan sebuah hotel tempohari. Jadi.. keputusannya untuk menolak adalah keputusan yang sangat tepat. 

“Aku pernah tawarkan pada kau untuk mengupah pembantu rumah, tapi kau yang tak mahu,” Amr cuba mempertahankan pendapatnya sendiri.

“Itu bukan soalnya, cuma...” 

Dia tidak sanggup mengatakan apa yang sedang berkecamuk di fikirannya.

“Aku tak layak datang bersama kau Amr, kau boleh cari wanita lain. Lagipun aku tak rasa kita berdua sebagai pasangan suami isteri,” katanya lemah dan Amr tidak perlu menafikan kebenaran yang terang lagi bersuluh ini.

Rahang pipi Amr mengeras, dia menggetap bibirnya dengan kerlingan tajam sebaik Nika menghabiskan ayat-ayatnya. 

“Jadi... kau mahu aku anggap kau sebagai orang lain dan kau boleh habiskan masa berjam-jam bercerita dengan Dr. Ishak..” nadanya begitu tenang sekali tapi cukup membuat darah Nika mendidih.

“Kau syak aku ada hubungan dengan Ishak?” Nika menyahut geram.

“Kalau tak ada.. buktikan yang kau isteri aku dan aku ada hak untuk gelaran itu,” bidas Amr. 

Betul-betul mengena batang hidung Nika yang tidak mampu lagi mengatakan apa-apa. Apalagi yang hendak dibantahnya sama seperti dia tidak mahu meminta Amr menunaikan hasratnya agar menjadi suami yang sebenar-benar suami seperti dalam sijil pernikahan mereka.

Selepas pertengkaran kecil itu Nika akhirnya beralah atau mungkin dia memang takkan menang setiap kali tercetusnya perbalahan. Dia selalu kalah dengan rasa belasnya sendiri dan Amr seperti biasa akan dapat memujuknya dengan setiap desakan. Selesai makan, dia dan Amr memasuki sebuah butik untuk mendapatkan pakaian sesuai pada malam itu. Sesuatu yang tidak pernah diimpikannya namun sedang melaluinya dengan perasaan yang  tidak menyenangkan. 

Mereka berada di dalam butik pakaian wanita itu selama dua jam dengan Amr memilih sehelai baju gaun berwarna putih yang dikatakannya sangat sesuai dengan kulit Nika yang halus dan putih bersih. Tidak cukup dengan itu, Amr memilih pula sepasang kasut bertumit tinggi. Nika mengiyakan saja dengan rasa tidak relanya sambil membayangkan bagaimana dia akan dihalau sekuriti dalam majlis itu nanti dengan Amr sebagai dalang untuk memalukan dirinya. 

“Kau tak mahu pilihkan aku sut?” tanya Amr pada Nika yang tercengang sesaat. 

“Sut?” dia bertanya semula. “Untuk kau?”

Amr mengangguk kecil. Bukankah sut di dalam almarinya banyak, entah dia pernah pakai atau tidak. Mulut Nika muncung tetapi bangun dan berjalan ke bahagian sut lelaki dibawa oleh gadis cina muda yang baik hati dan suka senyum. Amr mengikut dari belakang. 

Dia mahu mencari sepasang sut yang kelihatan tidak terlalu formal memandangkan mereka bukan taraf datuk dan datin. Matanya lari dari satu rak ke satu rak dan akhirnya Nika berpaling kepada Amr yang sedang menggaru pipinya.

“Amr..” panggilnya perlahan sambil menghampiri Amr sebab tak mahu gadis cina itu mendengar dan berprasangka lucu. 

“Kenapa?” Amr menarik lengan Nika.

“Betul ke kau nak aku pilih?” tanya Nika lagi.

“Iyalah, apa saja, aku akan pakai malam ni..” katanya dengan nada mendatar yang berbaur roman dan suara dalam. Nika suka mendengar kalau Amr bernda seperti itu. 

Kemudian Nika memilih kemeja panjang tangan berwarna ungu muda dan sepasang sut hitam dengan fabrik lembut. 

“Tak perlu tie, nampak formal sangat nanti..” komennya dan membayangkan kehenseman Amr bila memakainya nanti.

“Citarasa yang hebat..” kata Amr mengangkat kening dan mengambil sut itu dari tangan Nika dan membawanya ke dalam bilik khas mencuba. “Kau tak mahu temankan aku di dalam ni?” tanya Amr ketika membuka pintu yang berpantul cermin besar itu.

“Ish!”

Amr tersenyum lebar, gadis cina itu juga tersenyum dengan tingkah mereka.

“Maaflah, dia suka bergurau..” ujar Nika pada gadis cina itu yang ketawa gelihati. 

Setelah proses mencuba pakaian selesai dan Amr telah membayar semuanya dengan harganya yang mahal mereka lalu pulang dan bersiap-siap untuk ke majlis itu pukul 8.30 malam nanti.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.