Home Novel Cinta Halyn 2
Halyn 2
Ann Hann
21/9/2019 10:24:11
91,373
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

Barcelona yang aku bayangkan sebagai tempat paling terbaik untuk aku bertenang bertukar sebaliknya. Tambah memeningkan bila rusuhan masih belum reda. Pagi itu, ramai orang berhimpun berdekatan stadium menurut berita terbaru yang aku baca dari BBC. Banyak konflik sebenarnya sejak awal cuma aku tidak begitu mengikuti perkembangan berita. Akibat dari rusuhan itu Graciana mengumumkan dalam laman rasmi yang Adios akan ditutup sementara sehingga keadaan aman kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini. Aku sendiri tidak sempat kembali ke kuarters semalam dan tidur di dalam trak bersama Kaizil di tepi jalan berhampiran pantai La Barceloneta. Keadaan di sini aman. Tidak ada perusuh berkeliaran.

“Hai…” sapaku lembut ketika Kaizil tersedar dalam keadaan tersentak melihat sekeliling trak sebelum dia melihatku dan bernafas lega.

“Ah… Halyn…” dia meraup wajah dengan kedua belah tangannya.

“Kaizil… kenapa?” aku kehairanan dengan tingkahnya seperti orang yang keresahan.

“Aku mimpi kau hilang. Aku tak nampak kau di tebing tu tadi...” wajah Kaizil tegang ketika menceritakan semula mimpi buruknya.

“Aku ada di sini.”

“Ah…” keluhnya lantas menarik tanganku dan mengenggamnya kuat. 

“Jangan risau.” Aku tahu macam mana perasaannya sebab aku pun pernah mimpikan Kaizil sewaktu di New York, mimpi yang menakutkan hingga aku memekik dalam tidur.

“Kau lapar?” Riaknya bertanya tu, macamlah aku akan jatuh pengsan kalau terlambat makan pagi.

Aku tersenyum mengangguk. “Ya. Tapi kita boleh makan buah,” lantas aku mengangkat sebiji buah pear di tapak tangan. Kaizil segera mengambilnya dari tanganku dan terus menggigit buah itu. Nampak sangat dia pun lapar. Kami berkongsi sebiji pear,  aku sekadar menggigit sedikit-sedikit hanya untuk mengalas perut. Aku lebih suka mengupas dan menghirisnya jadi kepingan. Tetapi Kaizil dengan cepat menghabiskan bakinya.

“Kau pun lapar,” tegurku hampir ketawa.

“Kau yang buat aku rasa lapar.”

Apa?

“Dah lama rasanya aku hilang selera makan yang betul, tapi kali ini dengan kau… kau macam vitamin yang menaikkan selera.”

“Kaizil!” 

Dia ketawa. Lelaki memang suka berfikir pelik-pelik agaknya.

“Aku nak ke pantai tu…” kataku sambil menatap pantai yang tidak jauh dari trak. Pantainya sangat mengkagumkan. Sudah dekat seminggu berada di Barcelona, barulah aku dapat melihat pantai yang sangat indah berdekatan bandarnya. Hanya perlukan beberapa minit berjalan kaki dari La Rambla.

“Kau belum pernah ke sini?”

Aku menggeleng. Kaizil turun dari trak dan terus berpusing ke sebelah. Dia membukakan pintu mengajakku turun. Kami sama-sama berdiri dengan bersandar dari tepi trak sambil melihat pantai yang menakjubkan kewujudannya.

“Nanti aku bawa kau ke sini lagi, tapi sebelum tu kita harus ke London.”

“Sekarang?” aku terkejut.

Dia mengangguk laju dan kembali berwajah serius. Kami berpandangan. Aku merenung wajahnya yang sedikit berjambang yang buat aku teringin hendak menyentuhnya. Cuma aku tidak seberani itu pagi ini.

“Yalah.”

“Aku hantar kau balik kuarters dulu. Kemudian aku balik hotel sekejap ambil barang penting.  Kau bersiaplah, jangan bawa pakaian banyak sangat, kita tak lama di sana. Sementara Barcelona belum lagi aman lebih baik kita tunggu di London.”

Aku menurut sahaja memandangkan aku dilarang membantah walaupun aku teringin hendak menentang cadangannya. Tetapi itulah Kaizil yang aku kenal sejak dulu. Kami akan bertengkar lebih panjang jika aku memilih untuk beralasan yang diyakininya hanya sebagai alasan tidak penting.


a/n Halyn 2/ Halyn Di Bawah Langit Barcelona boleh didapatkan dari Shopee dan dm Ann Hann untuk tempahan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.