Bab 28

Sejak kebelakangan ini kesibukan Amr bekerja mengalahkan presiden, sekejap dia di rumah kemudian sebelah malam menghilang lagi. Kadang-kadang subuh baru nampak batang hidung. Minggu lalu sahaja Nika hanya dapat melihatnya ketika dia tidur sebab bila Amr bangun dia sudah pun kerja. 

Pada petang khamis, ketika Nika baru berkira-kira hendak menyediakan makan malam. Tidak lama kemudian Amr muncul di ruang tengah, mata mereka bertemu sesaat sebelum Amr menaiki tangga dengan tangannya seperti sengaja disembunyikan sambil dia menahan sesuatu.

Diam-diam Nika mengekori Amr menaiki tangga dan cepat-cepat masuk ke dalam bilik. Seperti seorang pengintip Nika melihat Amr sedang terkial-kial mencari-cari sesuatu di dalam almari. Tangan kiri Amr kelihatan berdarah. 

“Apa kau cari?” tanya Nika.

Amr diam tidak bergerak sebelum berpaling. Ada darah mengalir di tepi matanya. Terdapat luka kecil tetapi tidak berbahaya. Begitu juga jari telunjuk Amr yang kelihatan seperti tercucuk benda tajam

Nika tercungap seketika. “Kau cedera?” ujarnya risau lalu menghampiri Amr mahu melihat lebih jelas luka tersebut. “Tunggu sekejap,” pantas dia turun semula ke bawah mendapatkan First Aid Kit yang terletak di dalam almari tepi peti sejuk.

Kemudian secepat itu juga dia naik semula. Entah disebabkan tanggungjawab sebagai seorang jururawat atau isteri yang prihatin, Nika sendiri tidak tahu kenapa. Mungkin juga sifat sebagai jururawat yang menyebabkan dia tidak boleh melihat orang lain sedang cedera. Amr sedang duduk di birai katil masih memegang luka di dahinya yang terus mengalirkan darah di tangannya. Nika mengambil tuala kecil dan membasahkannya dengan air kemudian menekapnya pada luka di dahi Amr.

“Nasib baik lukanya kecil, tapi ada lebam sikit,” gumam Nika sambil membersihkan luka di tepi mata Amr dengan antiseptik.

“Aku tak apa-apa,” ujar Amr. Barangkali tidak mahu Nika bertanyakan soalan-soalan yang menjurus kepada rasa curiganya lagi.

“Tak ada apa-apa? Luka begini pun kau kata tak ada apa-apa...” dia menggeleng kemudian membubuh ubat sebelum menampal kedua-dua luka dengan plaster. “Aku bukan bodoh Amr..”

“Aku tak pernah kata isteri aku bodoh. Isteri aku cantik dan bijak. Dia sangat prihatin dan mahu menyiasat semuanya,” katanya lalu tersenyum senget.

“Ya.. betul, aku memang nak tahu semuanya, bukan sekali kau dapat luka begini. Ingat lagi masa kau datang ke wad emergency dengan luka ni!” telunjuknya menujah ke lengan Amr yang telah pun berparut sepanjang tiga inci. “Kau bergaduhkan!” 

“Tak... err.. ya.”

“Mengaku pun! Dengan siapa kau bergaduh?” dia merenung muka Amr yang sedang mengelap darah yang mengenai tangannya tadi. 

“Cuma salah faham.. jangan risau,” katanya lantas berbaring kepenatan.

Nika tidak sampai hati mahu bertanya lebih lanjut. Hatinya sahaja yang berdoa semoga apa-apa pun yang dibimbangkannya dia bermohon itu semua tidak berlaku kepada Amr.


Mungkin dia tak perlu tahu dari Amr, fikiran itu tiba-tiba menerpa. Mungkin inilah masanya. Nika tidak dapat menahan hatinya untuk kembali jadi penyiasat. Ketika Amr sedang lena tidur, dia keluar diam-diam. Kemudian dia duduk di suatu sudut tepi balkoni dan mula mencari link yang Dania berikan kepadanya beberapa hari lalu.

Sekejap saja dia  sudah terjumpa blog DaniaWall. Mungkin ada jawapan dalam blog itu. Hanya beberapa saat dia segera menemui tajuk Kisah Hidup Kawan Baik - Jasmine. Nika terus menekan untuk membacanya. Cerita itu telah diterjemah oleh Dania sendiri ke dalam bahasa melayu.

Nika menumpukan perhatiannya sepenuh hati membaca semula dari awal kisah yang ditulis oleh ibu Jasmine sebagai kisah menyayat hati. Kisah seorang gadis yang dulunya hidup periang akhirnya menamatkan riwayat hidupnya dalam keadaan menyedihkan.

Jasmine, seorang gadis lincah yang bijak, baik hati dan sudah tentulah jelita. Dia anak gadis saya yang paling periang dan selalu menghiburkan hati. Ketika Jasmine memasuki universiti, sayalah orang yang paling bersedih. Bukan kerana tidak menyukai khabar baik itu tetapi saya tidak sampai hati untuk berpisah dengannya. Dia selalu katakan pada saya, “oh mak.. kita akan selalu berjumpa, walau sesibuk mana sekalipun saya akan pastikan saya selalu menelefon mak setiap hari.” Setiap kali teringat kata-katanya itu saya akan menangis.

Kemudian cerita itu memasuki alam universiti Jasmine yang selalu mendapat keputusan terbaik dalam bidang perakaunan. Ketika melangkau pada nama Raylan. A seperti yang tertera pada perenggan pertengahan jantung Nika berdebar-debar, dia takut hendak mengetahui apa yang telah berlaku.

Jasmine berkenalan dengan Raylan dan menjalin hubungan beberapa tahun yang membahagiakan seperti yang selalu diceritakannya pada saya. Katanya, dia mempunyai seorang teman lelaki yang prihatin dan selalu mengambil berat akan dirinya. Bagaimanapun... setelah tiga tahun hubungan itu berubah bila Raylan keluar dari universiti dan mengikuti kursus yang membuatkan mereka berdua jarang berjumpa apatah lagi berhubung seperti selalunya. Jasmine sering mengadu pada saya yang dia tidak tahu samada Raylan masih menyayanginya lagi. Lelaki itu sering mengongkong hidupnya. Dia tidak boleh ke mana-mana tanpa memberitahu kepada Raylan dahulu ke mana dia mahu pergi. Bukan itu sahaja Raylan juga mula berkasar kepadanya. Setiap pertemuan mereka yang hanya beberapa kali setahun itu akan dihabiskan dengan pertengkaran dan ugutan-ugutan Raylan yang tidak mahu hubungan mereka ditamatkan. 

Namun, kerana sukarnya mereka bertemu dia merasakan yang Raylan sudah berubah hati. Akhirnya dia membuat keputusan menerima kehadiran Mike dalam hidupnya dan memutuskan hubungan dengan Raylan walaupun lelaki itu tidak rela dan sering menghubunginya setelah dia menamatkan kursusnya. Lelaki itu memaksa Jasmine melupakan Mike dan kembali kepadanya. Dia langsung tidak mahu bertolak ansur dan menerima hakikat bahawa Jasmine bukan kepunyaannya lagi. Pernah sekali Jasmine membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan Raylan yang sering menganggunya. Kemudian lelaki itu diperintahkan oleh mahkamah supaya tidak mendekatinya. Tetapi, lelaki itu langsung tidak peduli, dia tetap mahu berjumpa dengan Jasmine dan menjalin kembali hubungan mereka hingga tercetusnya pergaduhan dengan Mike. 

Hinggalah suatu hari, Raylan memecah masuk rumah Jasmine dan mereka bergaduh lalu menyebabkan Jasmine cedera. Lelaki itu telah memukulnya dan menyebabkan Jasmine terlantar di hospital. Mike yang turut berada dalam rumah itu melaporkan pada polis kejadian itu. Sekali lagi Raylan ditahan di lokap untuk sementara atas tuduhan mencederakan Jasmine.

Akhirnya setelah seminggu Jasmine dimasukkan ke dalam wad, anak gadis saya ditemui mati kerana mengambil ubat berlebihan. Walaupun mahkamah tidak dapat membuktikan yang Raylan bersalah dalam hal ini tetapi, demi hati seorang ibu, saya yakin Raylan yang membunuh Jasmine kerana sikap cemburunya yang melampau itu. Raylan sepatutnya dihukum dengan hukuman yang berat bukan sekadar menghantarnya ke dalam pusat pemulihan  jiwa. Saya percaya lelaki itu cuma berpura-pura bahawa dia menjalani proses penyembuhan kerana mengalami kemurungan yang teruk akibat kehilangan teman wanitanya. Sudah tentu dia dilindungi oleh orang-orang tertentu agar dia tidak disabitkan dengan kesalahan membunuh Jasmine.

Beberapa keping gambar para keluarga dan teman-temannya termasuklah Dania yang meletakkan bunga-bunga pada  pusara Jasmine. Pada batu nisannya, ditulis bersama memori

Beloved Daughter

Jasmine Charlie Hugh

May 16, 1981- Aug 30, 2010

Itulah cerita sebenarnya yang membuatkan Nika tergamam. Perasaannya saat ini bercampur baur antara rasa simpati pada Jasmine dan benci pada Amr. Dia yakin memang itulah yang telah berlaku sebab itulah Amr pulang ke sini selepas dia menjalani rawatan pemulihan jiwanya yang hampir-hampir rosak itu. Amr kembali ke sini semata-mata mahu melupakan apa yang telah diperlakunya pada Jasmine. Dan entah siapa yang menduganya kemudian dia dan Amr dipertemukan lalu mereka berkahwin. Dia sedang menjalani hidup yang sedikit kacau bersama Amr sebelum Dania muncul sekali lagi membongkar kisah Amr yang begitu menakutkan realitinya.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.