Bab 8

Kejadian Amr menjejakkan kaki hingga ke rumahnya membuatkan Nika menjadi sang pemikir yang tidak tahu apa yang harus disimpulkan dalam kepalanya. Sejak semalam sampailah ke pagi ini dia masih memikir-mikir adakah dia sudah diserang penyakit angau kerana kerap membayangkan wajah lelaki itu dalam kepalanya dan merelakan hatinya diusik dengan kehadiran tiba-tiba Amr di rumah besar itu. 

Dia masih bersimpuh di atas sejadah sesudah selesai berdoa panjang. Walaupun dia akui hal seperti itu sangat memalukan tetapi Nika sedar yang Amr keprihatinan lelaki itu bukan perkara remeh.

“Nika..” panggil emaknya dari dapur.

“Ya mak..” katanya lantas membuka kain telekung dan sejadah, melipatnya rapi lalu disidai di tempat khas. Dia pantas keluar dari biliknya. “Ada apa mak?” 

“Tak adalah, saja kejutkan Nika awal, kan kata nak pergi kempen derma darah awal pagi ni,” jawab maknya sambil membancuh minuman panas dalam teko.

“Ohh…” itu sahaja yang mampu disebutnya. Dia ingatkan ada apa-apa tadi  maknya panggil awal-awal pagi begini. Matahari pun belum nampak bayang dari belakang rumahnya. “Kejap lagi,” katanya lalu duduk di meja makan yang kecil itu. Emak menuangkan milo panas yang masih lagi berasap. Bau milo semerbak menusuk ke dalam hidung. Nika menghirup perlahan. 

“Mak banyak kerja sampai esok kat rumah besar tau, pagi ni nak pergi belanja keperluan dapur rumah tu.. dah lama tak buat jadi bila tiba-tiba je sibuk jugak mak dibuatnya.”

“Siapa hantar mak pergi pasar nanti?” 

“Ada pekerja dari syarikat tu datang, Amr dah bagitau mak semalam. Nika bungkus makanan kat luar dulu, nanti mak tak sempat masak kebulur pulak kamu… bungkus lauk siap sekalilah, takut-takut ayah kamu datang nak makan malam nanti.”

“Emm… yalah.”

Selepas bersarapan, membersihkan dapur kemudian dia segera mandi dan bersiap-siap untuk memenuhi jadual kerja luarnya pada pukul sembilan pagi nanti



**

Jarang sekali Nika dapat mengunjungi Seventh Mall yang berlokasi di Skudai. Sebuah kompleks membeli-belah di mana dia boleh melihat masyarakat berbangsa Cina terutamanya lebih bertumpu ke kawasan ini berbanding tempat lain. Bagaimanapun, seperti kelazimannya, di mana sahaja ada kompleks membeli-belah pasti akan meriah dengan kehadiran pengunjung saban waktu. Dia mengikuti kenderaan khas jabatan kesihatan yang disediakan Hospital Sultanah Aminah bersama beberapa lagi jururawat turut serta siap sedia menjalankan tugas termasuklah Dewi yang paling dikenalinya dan juga kak Harziah, ketua jururawat di bahagian Unit Trauma dan Kecemasan.

Setibanya di perkarangan depan Seventh Mall, mereka disambut dengan hiasan arca-arca naga dan bunga-bunga yang dibentuk menjadi gerbang sempena perayaan Tahun Baru Cina yang baru berakhir. Poster-poster kempen menderma darah juga dapat dilihat di sudut kanan dan kiri. Menyeru masyarakat bagi membantu pesakit-pesakit di hospital yang memerlukan darah termasuk jugalah dalam unit kecemasan mereka terutama sekali dalam kes kemalangan.

Kempen itu dijalankan di tengah-tengah sudut yang memudahkan orang ramai mengambil tahu apakah yang sedang mereka lakukan di situ. Beberapa kerusi mudah alih disediakan berbaris-baris untuk para penderma. Nika bersama jururawat lain mula menyediakan peralatan yang akan digunakan nanti, sementara petugas lain membuat kerja mereka. Pendaftaran telah pun dibuka untuk semua orang tepat pada pukul 9.10 minit pagi yang mendung.

Sebaik saja tiga orang lelaki dan dua orang wanita yang telah dijadualkan datang untuk menderma darah, kerja-kerja Nika bermula. Dia dengan ramah menguruskan seorang gadis berusia 21 tahun dan merupakan seorang pelajar dari UITM. Nama gadis itu Nurul Aisyah Hishamuddin berasal dari Pontian, Johor, orangnya agak tembam dan tinggi. Di sebelahnya, Dewi sedang menjalankan ujian darah seorang gadis berbangsa Cina yang juga merupakan rakan baik kepada Nurul Aisyah.

Ketika menunggu beg darah itu penuh dalam beg yang menyimpan darah itu, semakin ramai orang ramai berkumpul mengelilingi tempat kempen itu dijalankan. Dr. Kumar kelihatan sedang memberi beberapa penerangan ringkas kepada para pengunjung yang baru tiba. Beberapa pengunjung nampaknya masih tertinjau-tinjau apa yang sedang berlaku di sudut tengah itu.

Selepas Nika selesai mengambil darah sebanyak 300 ml dia memberikan Nurul Aisyah beg goodie kecil yang berisi bun, minuman kotak dan pil zat besi serta asid folik untuk merangsang kembali tubuh badan dan menghasilkan semula sel darah merah penderma. Kemudian seorang lagi penderma lelaki berbangsa Cina menemuinya setelah mendaftar dan layak untuk menderma darah. Nika seperti biasa menjalan tugasnya dengan teliti tanpa mempedulikan kerja-kerja mereka yang semakin sibuk. Lebih ramai orang berbaris untuk membantu kempen itu pada kali ini.

Setiap kali proses menderma darah selesai dia akan menyimpan blood bag tadi mengikut jenis darah dalam bakul yang tersedia khas. Entah berapa banyak beg-beg  darah yang sudah terdapat di situ. Darah-darah itu nanti akan dibahagi mengikut komponen sel darah merah untuk pesakit seperti talassemia, leukimia, ataupun mangsa-mangsa seperti kemalangan dan kebakaran yang kehilangan banyak darah. Ada juga bahagian plasma dan platelet. Produk darah plasma beku segar, faktor VII dan XI pula akan digunakan untuk pesakit haemofilia. Ada beberapa jenis lagi produk darah yang mempunyai kegunaannya tersendiri.

Ketika Nika berpusing semula mahu ke meja ujian darah, dia terpana seketika di tempatnya berdiri. Nafasnya seperti tersekat bila melihat seseorang yang sememangnya asing tetapi begitu rapat di hati. Amr menunggunya di meja. Mereka saling terpana sebelum Nika tersedar yang dia sedang bertugas. Dia segera menghampiri Amr. 

“Hai…” sapanya lalu tersenyum.

Amr turut tersenyum walaupun dengan airmuka dan kumis tipisnya yang serius itu.

“Nak derma darah ke?” tanya Nika lantas menyedari kebodohan pada soalannya itu.

“Err… ya,” Amr berdehem dua tiga kali seperti tidak tahu hendak berkata. “Pembantu, di sana tu suruh saya terus ke sini, sebab banyak orang mendaftar katanya..” jelas Amr perlahan.

“Dah melepasi tahap kelayakan ke atau belum buat apa-apa ujian?” tanya Nika lagi, cuba mengawal perasaannya sendiri.

“Belum, jururawat tu bawa saya ke sini..” kata Amr sambil memberi borang yang dicatat oleh kak Siti Rosmiah. 

Dia membaca borang itu teliti. Berat badan Amr melepasi tahap layak. Dia mengangkat muka memandang Amr, melihat rupa mengantuk itu seperti yang pernah emaknya cerita kalau Amr jarang sekali pulang awal ke rumahnya. “Berapa jam tidur semalam?” dia cuba menduga.

Amr mengangkat keningnya dan menatap muka Nika juga sebelum dia menjawab. “Cukup.”

“Saya buat ujian darah dan tahap haemoglobin dulu,” lantas dia menarik tangan kiri Amr yang berurat. 

Seperti tersentap, Nika merasakan secuit getaran dihatinya ketika menyentuh jari-jari lelaki itu sambil berharap Amr tidak menyedarinya. Sebelum ini dia percaya perasaan itu tidak ada semasa menjahit luka di lengan Amr tidak lama dulu. Nika kemudian mengambil suntikan dan perlahan dia mencucuk jarum ke hujung jari tengah Amr untuk mengukur tahap kepekatan haemoglobinnya yang melepasi syarat-syarat untuk menderma darah. Kemudian dia memasang alat pada lengan kiri Amr pula untuk mengukur tekanan darah. Mata Nika hanya ke arah ukuran tekanan darah di hadapannya dengan rasa berdebar bila Amr begitu asyik menenungnya.

“Ok.. lulus..” ujar Nika tersenyum. Kemudian dia menyuruh Amr separuh berbaring di atas kerusi mudah alih yang kosong sementara dia menyiapkan alat-alat seperti lazimnya untuk mengambil darah dan duduk di sisi Amr yang rela menunggu.

“Nika….” 

Panggil kak Harziah ketika dia baharu mencapai tangan kiri Amr. Dia berpaling. “Ya..” sahutnya.

“Nanti.. tolong buat ujian haemoglobin untuk adik tu,” dia mengarah ibu jarinya pada seorang remaja lelaki berbangsa India. “Akak sibuk sikit kat depan tu..” kata kak Harziah ketua jururawat mereka.

“Baiklah.”

Kemudian dia kembali berpaling pada Amr dengan tangannya masih memegang tangan Amr mula mencari urat darah untuk dicucuk jarum kecil. Antara sikap berhati-hati dengan kerjanya atau perasaan aneh bila berada dekat bersama Amr, dia tidak jelas dengan keduanya. Cuma satu saja yang dia percaya saat ini, lelaki itu memang berani, bukan kerana dia membuat andaian bodoh kalau-kalau Amr sengaja datang ke situ kerananya tetapi kerana Amr ikut melihat apa yang Nika buat ketika itu sehinggalah saat Nika mencucuk jarum ke dalam uratnya selepas dia menyembur ubat bius. 

“Darahnya keluar lambat sikit..” ujar Nika pada Amr lalu menggerak-gerakkan jarum pada lengan Amr itu yang tenang sahaja melihat darahnya disedut keluar dan mula mengalir ke dalam tiub kecil hinggalah ke dalam beg darah. 

Dia menunggu seketika di sisi Amr sambil bertanya. “Awak datang seorang aje?” soalnya semata-mata kerana malu dengan apa yang difikirkannya saat itu tentang kemunculan Amr dalam kempen derma darah itu.

“Tak.. dengan kawan,” jawab Amr tapi Nika tak tahu mana satu kawan yang Amr maksudkan itu.

“Pernah derma darah?” soal Nika lebih ramah.

“Pernah dua kali, di luar negara..” jawab Amr ringkas. Kemudian mereka berdua kembali senyap hanya mata mereka berdua yang saling berbicara mengerling antara satu sama lain.

Tidak tahu apa lagi hendak dibualkan, Nika pantas berdiri selepas membiarkan Amr mengenggam sejenis alat untuk merangsang bahagian tangan para penderma. Setelah selesai dan mendapat darah 400ml dari tubuh Amr dia menyuruh lelaki itu berehat.

“Awak berehatlah sekejap, kalau pening,” katanya selepas mencabut semula jarum dari lengan Amr dan menutup bekas suntikan tadi dengan kapas berubat. Kemudian Nika menghulurkan beg kertas kecil kepada Amr, beg yang sama diberikan kepada penderma lain. Di dalamnya berisi makanan dan pil zat besi untuk menggantikan sel darah merah yang telah diambil.

“Terima kasih,” ucap Amr.

“Tak.. pihak hospital yang seharusnya berterima kasih kerana awak sukarela mengisi tabung darah kami..” balas Nika mesra.

Amr mengangguk-angguk lalu bangun dan duduk seketika di atas kerusi mudah alih itu sambil memandang Nika sebelum berkata. “Boleh beri saya segelas air..” pintanya.

Nika segera memenuhi permintaan itu. Sejurus dia memberikan air kosong tersebut Amr terus meneguknya bersama pil yang diberi tadi. 

“Sudah ke?” tiba-tiba satu suara mencelah. 

Nika berpusing ke belakang dan melihat seorang lelaki berbangsa India menegur Amr yang mula berdiri. Ada tahi lalat besar pada dagu lelaki india itu.

“Terima kasih kerana sudi menderma darah hari ini,” ucap Nika dan memberikan senyumannya mesranya yang dibalas dengan pandangan kacak serta secebis senyuman kedekut. Kemudian Amr pun beredar pergi bersama kawannya itu.

Bagaimanapun, pertemuan mengejut dengan Amr itu tidak habis di situ sahaja. Ketika kerja-kerja mengumpul darah berhenti seketika untuk berehat, Nika pergi makan dengan Kak Harziah di restoran masakan cina yang halal di tingkat bawah. Mereka memilih meja berdekatan di bahagian tengah. 

Sewaktu sedang menunggu hidangan yang diminta dan ketika Nika sedang seronok bercerita dengan kak Harziah pasal anak lelakinya yang nakal. Dalam diam-diam mata Nika terpandang Raylan Amr yang duduk di hujung sana dengan kawannya yang berbangsa india itu. Jantungnya berdetap-detup saat mata mereka saling berpandangan sebelum Nika melarikan pandangannya dari lelaki itu.

Entah sudah berapa lama Amr duduk di situ dan sekejap-kejap memandangnya hinggakan Nika malu hendak memalingkan wajahnya ke sebelah kanan kerana tidak mahu terpandang Amr. 

Dia dapatkan merasakan wajahnya merona kemerahan bila menjadi tenungan seorang lelaki kacak yang kurang peramah itu hingga hampir tak menghayati cerita Kak Harziah lagi.

“Dah sampai..” ujar Kak Harziah kuat membuatkan Nika mengalih perasaan debarnya bila makanan yang mereka minta sudahpun sampai.

“Jom makan..” jemput Nika sambil membaca doa makan dalam hati.

“Emm.. sedapnyaaa..” puji Kak Harziah dan makan dengan lahapnya ketika Nika menahan diri hendak makan dengan cepat. 

“Ada banyak lagi orang mendaftar tadi harap-harap mereka boleh tunggu kita setengah jam lagi,” kata Kak Harziah.

“Bagus juga buat kempen derma darah hari ni,” sahut Nika pula dan bila dia cuba mengerling ke meja Amr, lelaki itu dan kawannya sudah keluar. Dia hanya dapat melihat belakang Amr lalu menyambung makannya.

Tak lama selepas itu seorang pelayan lelaki datang ke meja mereka membawa resit. “Ada orang dah bayarkan meja akak berdua,” kata pekerja lelaki itu sambil menghulurkan resit kepada Kak Harziah yang tercengang-cengang.

“Hah, siapa?”

Pekerja lelaki itu menunjuk dengan ibu jarinya Amr yang sudah pun keluar dari situ. “Lelaki itu yang bayar.”

Kak Harziah ikut berpaling ke pintu keluar dan melihat siapa yang baik hati membayarkan makananan mereka tengahari ini. “Hah, siapa tu, akak tak kenal pun..” ujar Kak Harziah pelik tetapi masih juga makan.

“Lelaki tu anak majikan mak saya..” jawab Nika bila pekerja lelaki itu beredar.

“Ya ke, syukurlah, murah rezeki kita hari ini. Nanti jumpa dia kirim salam terima kasih tau,” katanya dengan senang hati.

Sementara Nika masih dengan perasaan asingnya yang jelas menganggu selera makan. Pandangan mata Amr itu begitu meninggalkan kesan dalam hatinya sehingga dia mahu sahaja bertanya kepada anak arwah Tuan Rahmad itu.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.