Bab 27

Semenjak menjalankan misi tidak mahu bertembung dengan Amr di rumah, lelaki itu juga jarang kelihatan.  Mereka berdua langsung tidak bertegur sapa selepas hari itu. Buat masa ini Nika berjaya mengekalkan keadaan selesanya tanpa kehadiran lelaki itu. Dia berharap Amr akan mengalah dan membiarkannya pergi. Walaupun kata-kata Puan Rahimah  meninggalkan kesan mendalam kepadanya dia tidak akan beralah lagi. Dan kemudian datang lagi Dania menekan emosinya untuk terus tidak mempercayai Amr, Nika mula keliru. Sebagai manusia yang tidak suka mencari masalah maka dia akan gembira jika semua halnya dengan Amr akan selesai. Titik!

Sudah hampir dua minggu juga cerita gincu bibir di baju Amr masih melekat di kepalanya. Jika dia membayangkan apa yang Amr mungkin lakukan dengan pemilik gincu itu Nika kembali dirasuk cemburu dan benci pada Amr. Betapa sukarnya dia hendak memaafkan Amr!

Sesekali dia menggeleng kesal. Selain bosan dan buat kerja dalam rumah besar ini Nika tak tahu lagi nak buat apa. Nak jenguk facebook, semuanya status tentang isteri yang bahagia dengan keluarganya. Status kawannya banyak yang menyambut ulangtahun perkahwinan mereka membuatkan Nika geram dan cepat-cepat menutup handphone. 

“Baik aku ambil angin kat luar, lama-lama dalam rumah ni, nanti aku yang stres,” keluhnya sendiri dan terus turun ke bawah. Maghrib sudah pun berlalu setengah jam tadi.

Nika berjalan-jalan di taman kaca di pinggir rumah pada awal malam. Dia menyebutnya sebagai taman kaca kerana terdapat kebun bunga di situ yang di tembok dengan dinding kaca yang dilapisi pelindung sinaran matahari. Emaknya pernah cerita kalau taman itu idea arwah Tuan Rahmad yang suka dengan alam semula jadi. Selain bunga-bunga berwarna-warni, terdapat sebuah kolam ikan koi dan pohon krismas yang mengelilingi taman sebesar tingkat atas rumah tersebut. 

Taman kaca itu, selain membuat hatinya gembira di situlah juga dia mencurah rasa, barangkali cuma ikan-ikan koi di dalam kolam itu yang memahami segala rasa perih yang ditanggungnya. Asyik merenung kolam seekor rama-rama terbang hinggap di bahunya. Ketika dia cuba menyentuh sayapnya, rama-rama itu terbang semula. Nika berdiri memerhatikan rama-rama tadi berterbangan di atas kepalanya serentak dia teringat link bukti penyabitan Amr dalam jenayah. Patutkah dia mencari maklumat itu? Atau lupakan saja. Dia tentu akan sakit hati kalau dia terjumpa benda-benda yang teruk dalam link itu.

Nika mengurut dahinya. Apa yang dia nak buat, dia sendiri pun tidak tahu.

“Nika.”

Bahu Nika terhenjut sebab terkejut. Dia berpaling ke belakang dan melihat Amr tiba-tiba saja muncul macam halimunan. Dia langsung tak dengar bunyi kereta masuk. Ataupun mungkin Amr dah lama sampai masa dia kat dalam bilik tadi cuma Amr bersembunyi menyiasat apa Nika buat dalam rumah ni, detus fikiran negatifnya.

Amr masih tegar berdiri di depannya dengan riak wajah yang tak dapat diramal. Ketika Nika cuba beredar Amr menghadang jalan dengan tangan kanannya. Bila dia beralih ke tepi, Amr tetap menghalangnya pergi dari situ. 

Dia mula berang dan menderam marah. “Ada apa lagi,” tanyanya dengan wajah bosan.

Amr tersenyum dan berkata perlahan. “Aku nak bercakap dengan kau.”

“Tak ada apa yang penting yang perlu aku dengar,” Nika memberi amaran.

“Aku takkan ganggu kau lagi kalau kau mahu bercakap dengan aku,” pinta Amr.

“Tak ada apa-apa yang nak dikatakan lagi Amr, hubungan kita dah tiba di hujung jalan. Aku mohon kau lepaskan aku, itu lebih baik dari mendengar kau mengaku cintakan aku. Kita akan selesaikan hutang ayah aku dengan cara hitam putih,” jelas Nika tidak peduli lagi tentang masalah Amr yang lainnya.

“Kita boleh bincangkan itu nanti, aku nak beritahu kau sesuatu,” Amr terus menarik tangan Nika masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Nika yang sedang menahan geram ketika mereka menuju ke ruang bersantai yang terletak di sebelah ruang tamu.

Mahu tidak mahu Nika menurut tanpa banyak soal. Sampai di situ mereka sama-sama berdiri di hadapan dinding yang dipenuhi lukisan bunga-bunga sakura yang menjalar dari atas dinding hingga ke lantai. Ruangan itu hampir sebesar ruangan makan malam dengan sebiji sofa, sebuah piano berwarna putih yang tidak pernah dibuka sesiapapun tergeletak seperti benda-benda itu terasing dari semuanya. Nika masih tertanya-tanya kenapa mereka berdiri di hadapan dinding lukisan pohon berbunga sakura. 

Nika memerhatikan saja Amr menekan sesuatu dari salah satu bunga yang berwarna lebih merah berbanding warna bunga yang lain, putih kemerahan. Sebaik saja Amr menekannya, suatu bukaan kecil berserta butang bernombor di sebelah bunga merah tadi. Amr kemudian menekan nombor tertentu sebelum tiba-tiba suatu pintu terbuka dengan pantas lalu mendedahkan sebuah bilik rahsia. Bilik itu kecil sahaja. Mungkin sekecil sebuah lif yang mampu memuatkan 20 orang.

“Ada apa ….?” Nika semakin tertanya-tanya.

“Ini dipanggil safe room. Kebanyakan rumah-rumah besar di barat terutamanya rumah orang yang berkemampuan ada safe room atau bilik kebal. Bilik ini anti letupan dan bencana alam. Ia berfungsi sebagai tempat perlindungan atau tempat menyimpan aset berharga dari bencana alam atau pencerobohan atau rompakan,” jelas Amr.

“Kau perlu ingat kod pintunya. Aku akan bagi kau kod rahsianya nanti,” Amr semakin serius.

“Kenapa aku perlu tahu pasal bilik ni.”

“Sebab kau sebahagian dari orang dalam rumah ni,” jelas Amr tegas. “Kita tak tahu bagaimana nasib kita nanti. Kau boleh terdedah dengan bahaya kalau kau tak berhati-hati.”

Nika memandang Amr tanpa berkelip. Lelaki itu semakin merisaukan. Pintu safe room tertutup semula, tertutup dengan pantas juga.

“Ada kamera keselamatan di dalam bilik tu.” Beritahu Amr lagi sambil dia berjalan ke piano tadi dan berdiri di tepinya memerhatikan Nika yang masih berdiri di depan dinding. Gadis itu kelihatan kagum tetapi enggan menyuarakan kekagumannya.

“Ada sesuatu bakal berlaku ke?” tanya Nika sewaktu berpaling menghadap Amr. Jarak mereka berdiri lebih kurang lima langkah jauhnya.

“Aku tak tahu, aku bukan peramal cuaca,” jawab Amr sambil tersenyum senget.

“Aku tak tanya pasal cuaca,” sahut Nika geram. 

“Kau mahu duduk?” pelawa Amr mula, maksudnya duduk bersebelahan di bangku piano itu.

Dengan pantas Nika menggeleng. Dia sekadar bersandar di dinding tadi bersebelahan dengan pintu safe room.

“Pernah berlaku satu pencerobohan besar di rumah seorang kaya di taman ini, rompakan yang melibat nyawa pembantu rumah dan pengawal keselamatan dan isteri orang kaya terbabit sebab itu arwah Tuan Rahmad buat bilik ini untuk keselamatan semua orang.” 

Nika tahu pasal cerita itu. Ia berlaku 5 tahun yang lalu. Cerita yang memenuhi surat khabar muka depan. Perompaknya sampai sekarang tidak ditemui.

“Tapi, kau tak rasa tempatnya tak strategik,” Nika menunjuk pada bilik kebal itu. “Kalau kita berada di tingkap atas dan perompak ada di dalam, kita tak sempat masuk pun ke dalam bilik ni,” ujar Nika tenang.

“Itu kalau kau tidur mati. Pencuri dan perompak tak sama. Pencuri melakukan kerja dengan senyap dan kadang-kadang tidak berniat membunuh tapi berlainan dengan perompak atau pencerobohan. Mereka akan meninggalkan tanda-tanda pencerobohan, termasuk dengan bunyi-bunyi mencurigakan, keadaan pintu atau tingkap yang dipecahkan. Sebab itu pintu dan tingkap di rumah-rumah mewah selalunya lebih kukuh dan menyusahkan pencerobohan melainkan mereka terpaksa gunakan alat-alat seperti bahan letupan atau benda-benda bahaya. Begitu juga cuaca buruk, semuanya ada petanda. Jadi kau boleh bersedia lebih awal untuk dapatkan perlindungan dalam bilik itu,” jari telunjuk Amr tepat kepada pintu safe room.

“Oh… kau buat aku takut,” Nika tak berbohong yang dia takut. Dia kelihatan ingin merintih tetapi dalam masa yang sama cuba mengawal keresahannya. 

Amr yang tidak beriak simpati, memahami atau apa sahaja perkataan yang menyamai maksud empati hanya memandang Nika dengan wajah tegar.

“Aku tak bermaksud nak buat kau takut. Asal kau tahu, aku selalu ada untuk kau Nika. Cuma kau takutkan aku lebih dari kau takutkan perkara lain, begitulah yang aku rasa setiap kali kita berdepan.”

“Aku takut … pada kau?” Nika ketawa kecil.

“Jadi, kau belum bersedia?” Amr tersenyum-senyum macam orang yang hendak cari pasal hendak bergaduh.

Nika menghembus nafas kasar. “Bukan soal aku bersedia atau tidak, persoalannya sekarang, aku percaya atau tidak,” Nika tak tahu betulkah ayat yang digunakannya itu. Mungkinkah Amr akan tersentap dan kembali murung, tetapi buat masa ini dia tidak peduli.

“Tak percaya? Kau mahu kita cuba?” Amr lalu berdiri. “Aku boleh membuatnya lebih jelas kalau kau mahu,” kemudian dia melangkah ke arah Nika.

“Cukup. Berhenti di situ,” Nika mengangkat tapak tangan mencegah Amr dari hampir kepadanya yang sedang berusaha mengawal segala debaran di dada. “Aku ada kerja nak buat,” kata Nika dan kemudian beredar meninggalkan Amr berdiri menghadap dinding itu tadi. Ketika dia berpaling ke belakang, dia berani bersumpah yang lelaki itu cuba hendak menggodanya! 


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.