Home Novel Cinta Ulam Kasih Sambal Cinta
Ulam Kasih Sambal Cinta
Nor Zailina Md Nordin
6/6/2015 09:44:07
117,132
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

"SEJAK tadi saya perhatikan chef asyik mengelamun aje,” tegur Syed Idlan sambil menarik kerusi di hadapan Adelia.

Oh TUHAN! Mamat bertuah ni lagi! Suasana kafetaria yang tadinya hingar-bingar seolah-olah menjadi sunyi-sepi serta-merta. Macam dalam filem bila dua orang pahlawan bertarung. Jeritan askar-askar lain terus hilang daripada pendengaran.

Adelia terfikir untuk bangun dari kerusi, tetapi perutnya terasa sangat lapar dan dia baru saja hendak mula makan. Baru sesaat tadi dia melihat jam di dinding kafetaria. Jam 7.30 malam, tetapi dia belum makan tengah hari lagi... bayangkanlah.

Si Konon Bijak itu hendak memancing kemarahannya pula. Isy. Memang lelaki itu nampak cooldan sesekali merenungnya dengan penuh sindiran. Ataukah itu cuma pada firasatnya saja?

“Saya tak kacau awak, okey?” Adelia menempelak dengan selamba.

Syed Idlan meneguk kopi Onya perlahan-lahan. Kemudian memintal spageti di hujung garfu. Dari ekor mata Adelia, dia perasan mata lelaki itu asyik memandangnya. Malah semasa dia menyuap spageti bersos bebola daging itu ke mulutnya, renungannya langsung tidak putus.

“Mungkin tak kacau, tapi melihat awak dari tadi asyik tersenyum sendiri akan buat orang yang tak kenal awak fikir yang awak ni tak betul.” Amboi, memandai aje dia!

Adelia terus makan tanpa mengangkat muka. Dua tiga orang kakitangan hotel yang tadinya duduk di meja berdekatan bangun setelah menghabiskan makanan masing-masing. Semuanya bergegas hendak memulakan tugas. Memang ada CCTV di situ dan mudahlah untuk mengetahui siapa yang tuang kerja.

Kafetaria memang sunyi pada waktu-waktu begitu kerana kebanyakan kakitangan sudah pulang ke rumah. Yang ada cuma beberapa orang chef di bahagian masing-masing. Juga bahagian Housekeeping untuk memenuhi beraneka permintaan tetamu yang bermalam.

“Awak ni kadang-kadang memang mengejutkan,” kata lelaki itu pula.

Adelia terkedu. “Maksudnya?”

Syed Idlan mendengus.

Malam ini giliran Adelia stand-by untuk majlis yang diadakan di dewan bankuasi. Dia harus memastikan semua hidangan menepati kehendak pihak penganjur majlis tersebut.

“Chef masakan lauk-pauk Melayu, tapi tak takut nak masuk pertandingan manisan...

“Awak... awak, macam mana awak tahu?”

Syed Idlan tergelak. Dia terus makan tanpa menghiraukan renungan tajam gadis itu. Berlagak bukan main!

“Macam mana saya tahu tak penting,” balas Syed Idlan. “Yang penting, kita akan bersaing. Dan saya tahu kelemahan awak sebelum pertandingan bermula lagi.”

“Woi, tu tak adil!”

Syed Idlan nampak terkejut mendengar kata-kata Adelia. “Apa yang tak adil?”

“Saya tahulah awak pakar pastri... tapi, tu tak bermakna awak boleh kutuk saya sesuka hati! Awak main belasah saya dengan cara awak yang konon pandai, konon bijak!” Entah macam mana terkeluar ayat-ayat yang powerdari mulut gadis itu.

“Kalau awak nak buat kesimpulan pasal keupayaan saya berdasarkan puding krim karamel yang pahit tu, saya janji, awak akan menyesal.”

“Krim karamel? Pahit?” Buat seketika, kekeliruan terbayang pada wajah anak muda itu.

Adelia makin meluat dengan sikapnya. Mungkinkah dia sengaja berlagak seolah-olah telah melupakan episod yang memalukan itu? Ataukah dia benar-benar terlupa?

Syed Idlan menolak pinggan spagetinya yang sudah licin. Lelaki itu mengerutkan keningnya. Nampak macam dia cuba mengingati sesuatu.

Adelia cepat-cepat menghabiskan sirap selasih dan bersedia untuk bangun sebelum peristiwa tersebut kembali dalam ingatan chef itu.

“Oh ya... di rumah jiran Razip. Kawan awak yang namanya agak pelik tu... Kay... Kayla. Dan dia sekarang ni asyik berWhatsApp dengan Razip.”

Kayla? Razip. Oh, okey. Tak ada kena-mengena dengan aku, fikir Adelia. Tapi, aku rasa Razip terlalu matang untuk Kayla. Aku tak tahu usia sebenar Razip. Tapi, apa yang mustahak, kalau mereka berkahwin, bukankah aku tidak akan dapat ‘lari’ daripada Syed Idlan sepanjang hidupku?

Razip dan Syed Idlan kawan baik. Kayla dan aku kawan baik. Adelia membuat kesimpulan, kalau Kayla dan Razip buat apa-apa majlis, semestinyalah mereka kena ajak aku dan Syed Idlan. Isy. Rimas, rimas!

“Tolonglah lupakan krim karamel saya yang pahit tu. Cuba awak ingat panini sedap yang saya buat tu, yang awak tak habis-habis puji tu!” tegas Adelia.

Syed Idlan tersenyum hambar. “Tapi, sekali chef silap, selama-lamanya orang akan ingat... dan...”

Mujur pada waktu itu, telefon bimbit Adelia berbunyi. Dia terus berdiri dan terkial-kial mengambil telefon dengan tangan kirinya sambil tangan kanan mengimbangi pinggan dan gelas. Kalau terjatuh memanglah malu, tetapi dia sanggup mengambil risiko itu daripada terus berada di hadapan Syed Idlan.

“Helo, Lia. Kau kat mana?” Oh, Kayla rupa-rupanya.

Adelia memang tidak sempat melihat skrin sebelum menjawab tadi. Apa halnya Kayla mencarinya pada waktu-waktu begini, agaknya?

“Syif malam.”

“Hmm...”

Adelia melangkah deras ke arah surau. Dia mesti solat maghrib dulu sebelum ke Dewan Bankuasi. Kelak kalau masuk ke situ, ada-ada saja yang melalaikan. Lagi pun, waktu maghrib sangatlah pendek.

“Bila kau off?

“Sabtu ni...”

“Jom pergi camping?

Adelia tersentak seketika. “Camping?

“Pasang khemah, buat unggun api, panggang ikan, tidur dalam sleeping bag...sangat best!”

“Kau bukan jenis yang suka out-door,kan?” Adelia bertanya kembali.

“Tu dulu... sekarang aku suka. Jomlah. Satu malam aje. Kau tak payah buat apa-apa. Kau packingbaju aje. Lain-lain aku uruskan.”

“Tak boleh janji, Kay.”

“Boleh aje kalau kau nak. Lagipun, kau bukan ada boyfriend yang nak ajak lepak-lepak kat shopping mall.

Langkah Adelia sudah sampai ke hadapan pintu surau. Dia menanggalkan kasut dan stoking. Kalau mengajak Kayla berdebat memanglah dia akan kalah, tetapi kali ini dia memang tak dapat memenuhi ajakannya.

“Aku ada kerja nak buat...” Gadis itu memberi alasan. “Nak cuba resipi baru.”

“Ala, takkan tak boleh buat hari lain. Untuk aku, pleaselah Adelia Naurah. Aku datang rumah kau, jemput kau. Lepas camping aku hantar kau balik rumah.” Amboilah, beria-ia pula Si Kayla ni, Adelia merungut sendirian.

“Serius, tak dapat. Sorrylah sangat.”

Kayla masih tidak berputus asa. “Aku terpaksa batalkan kalau kau tak datang... Kali ni kau penuhilah permintaan aku. Tolong, Lia. Ni penting sangat.”

Adelia termenung sebentar. “Penting? Okeylah, Kay.”

“Okey? Kau nak pergi sekali?” soal Kayla dengan suara girang.

“Yalah, Cik Kayla. Bye...

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nor Zailina Md Nordin