MALANG apalah agaknya hari ni! Adelia menyumpah di dalam
hati. Sudah berbakul-bakul mesej daripada Kayla masuk ke dalam telefon.
Kau kat mana? Kau kata nak datang awal? Takkan kau tak dapat teksi
lagi? Aku datang ambil kau laa... Hari ni teksi mogok ke? Kau okey?
Adelia teringat perbualannya bersama Kayla. Hah... kan aku kata
aku nak beli kereta? Ada kereta kan senang nak ke mana-mana? Tak payah nak berbaris
tunggu teksi. Pemandu teksi pula macam-macam fiil. Kalau nasib tak baik, dapat
yang tak senonoh, macam mana?
Kalau nyawa melayang tak apa juga. Ni... kalau menjadi mangsa
nafsu rakusnya? Nauzubillah Min Zalik. Seumur hidup mungkin akan dilanda fobia
yang dahsyat. Tidak mustahil bila nampak teksi saja, akan menjadi histeria.
JAM hampir 6.15 petang sewaktu Adelia
menekan punat lif untuk naik ke kondominium sewaan Kayla. Lambatlah pula lif
turun. Mungkin ramai penghuni kondominium itu turun ke tempat-tempat riadah.
Setibanya di hadapan kondominium Kayla, Adelia mengetuk pintu
bertalu-talu. Dia sudah membayangkan perkara pertama, kedua dan ketiga yang
akan dibuat sebaik saja dia masuk ke dapur Kayla.
Lama pulalah Kayla membuka pintu. Ataukah semuanya terasa begitu
lambat jika kita hendak cepat? Akhirnya pintu terbuka. Yang berdiri di muka
pintu bukan Kayla tetapi seorang gadis tidak bertudung.
“You... Adelia?” soal gadis itu.
Adelia mengangguk seraya masuk ke ruang tamu. “Kay mana?”
“Bersiap. Oh ya... “ Gadis itu menghulurkan tangan. “I, Siti
Hani.”
Adelia menggigit bibir kerana terlupa tata susila yang baik.
Mereka bersalaman dan berbalas senyuman. Siti Hani menutup pintu lalu melangkah
ke dapur. Rupa-rupanya tadi dia sedang memotong tembikai.
Di atas kabinet sudah ada susu, krim, telur dan gula. Adelia
terkial-kial mencari periuk untuk membuat karamel. Dari beg sandang, dia
mengeluarkan pemutar belon.
Matanya melilau ke serata pelusuk dapur. Periuk yang ada telah
berisi kari ayam. Mana lagi periuk Kayla? Takkan dia simpan dalam bilik tidur
kot?
“You cari apa?” soal Siti Hani.
Ligat saja tangan kanannya menyusun hirisan tembikai di dalam
pinggan. Sementara tangan kirinya mencapai sebiji epal merah. Di sisinya
semangkuk air berisi garam, tentunya... untuk mengelak isi epal menjadi
keperangan.
“Periuk.”
“Tadi ada dua. Satu dah buat kari. Satu lagi rebus ubi.”
Adelia membuka kabinet untuk mencari mangkuk. Kalau dia ubah kari
ke dalam mangkuk, pasti dia boleh guna periuk itu untuk memasak karamel. Inilah
lecehnya di dapur orang bujang. Semua perkakas tiada. Semua benda tak cukup.
“Hai, chef...” Kayla menyapa dengan mesra.
Adelia ingat rakannya itu hendak menyumpahnya kerana sampai
lewat. Mungkin malam ini moodnya baik.
“Sorryaku lambat.”
“Tak apa. Kau buatlah krim karamel tu, janji boleh hidangkan
sebelum tetamu aku sampai...”
Adelia tidak tahu sama ada untuk tergelak atau menangis. Dia
hanya ada sejam saja.
“Kau ada serbuk agar-agar?” soal Adelia. “Kalau nak setcepat,
kena guna agar-agar.”
Kayla tersengih. “Rumah aku ni nampak macam Giant ke?”
“Aku serius ni. Kalau aku tahu tadi, mesti aku singgah beli
sebelum naik...” luah Adelia.
Hisy, masa begini pun Kayla masih hendak menyakat aku, fikir
Adelia.
“Mesti ada kat kedai bawah,” jawab Siti Hani.
“Siapa nak beli?” Adelia bertanya macam orang bodoh.
“Kalau I nak tolong, mungkin sejam baru sampai balik sebab I tak
berapa tahu tempat ni,” akui Siti Hani.
“Oh ya... Lia, ada pula hamba ALLAH jiran aku ni nak bawa kawan-kawan dia datang sekali. So,kau masak
banyak sikitlah ya? Semua orang suka krim karamel, kan Siti?”
Siti Hani membenamkan hirisan terakhir epal ke dalam air garam
sebelum meletakkan mangkuk itu di tepi singki. “You
nak I tolong buat apa lagi, Kay?”
“Kay, kau tolong pergi beli serbuk agar-agar sementara aku buat
karamel ni?” Adelia memujuk Kayla.
“Leceh nak turun bawah,” sahut Kayla. “Nanti aku tanya jiran aku
dulu. Hari tu masa aku pergi jemput, dia orang suruh aku makan puding laici...
yang, mak datuk... sedapnya!”
“Kenapa kau tak suruh dia buat bawa sini?” Dengan derasnya Adelia
bertanya.
Kayla cuma tersenyum kecil. Tanpa banyak soal, dia melangkah ke
pintu lantas keluar. Tidak sampai lima minit kemudian, dia sudah membawa pulang
sepaket serbuk agar-agar.
Adelia yang sedang membasuh periuk melepaskan keluhan lega. Nasib
baik! Setelah meletakkan paket itu di tepi bekas berisi telur, Kayla membantu
Siti Hani menghidangkan makanan lain. Adelia segera menyibukkan diri menjerang
gula di dalam periuk.
Sementara itu, dia menyapu mentega pada acuan. Dalam kelekaan,
dia terlupa pada gula yang semakin menghanguskan dirinya. Tanpa membuang masa,
dia menuangkan air dan mengacau deras supaya gula hangus itu larut. Kemudian
barulah dia menuangkannya ke dalam acuan.
Langkah seterusnya dia memukul telur dengan gula hingga hancur.
Kemudian menambah susu dan krim. Setelah itu ditapiskan pula ke dalam periuk.
Hah? Periuk gula hangus belum dibasuh! Adelia mencapai periuk pula. Mujurlah
tiada saki baki gula hangus di dalamnya. Cepat saja ia bersih.
Seterusnya dia menjerang campuran telur bersama serbuk agar-agar.
Kacau lagi sehingga mendidih barulah dituang ke dalam acuan.
“Semua okey ke?” soal Kayla yang muncul di pintu dapur.
Adelia mengangguk. Setengah jam lagi dia boleh simpan krim
karamel itu di dalam peti pembeku. Memang sepatutnya di dalam peti sejuk tetapi
tentulah ia lambat beku pula nanti.
“Kau pergilah siap.”
“Siap?”
“Yalah... takkan kau nak pakai jeans lusuh dengan kemeja T
tu? Carilah blaus aku yang cantik sikit... dalam almari ada.”
Adelia mendengus. “Yang nak datang jiran-jiran kau aje, kan?”
Kening Kayla berkerut. “Ikut suka kaulah.”
“Lagipun, aku duduk kat dapur aje, tolong basuh pinggan atau
potong buah lagi...”
Siti Hani tiba-tiba muncul di sisi Kayla. “Mana best duduk
dapur? Jomlah kenal-kenal dengan jiran Kay.”
“Okey.” Adelia bersetuju saja sebab semakin malas berdebat dengan
mereka. “Pukul berapa dia orang nak datang?”
“Lepas maghrib kot...” sahut Kayla.
“Kalau macam tu, aku mandi dan solat dululah, ya?”