Selepas minum teh tarik di
Restoran Bukhari, Ziyad menghantar Ainin pulang ke rumah. Ketika melalui lorong
keluar menuju ke jalan besar, Ziyad memberhentikan kereta. Betul-betul di bawah
sebatang pohon rendang di tepi jalan.
“Kenapa Encik Ziyad
berhenti di sini?” Ainin risau berdua-duaan dengan Ziyad di tempat sunyi waktu
malam begini. Buatnya diserbu pegawai pencegah maksiat, bukankah mencari fasal
namanya?
“Saya nak bincang dengan
awak,” kata Ziyad sambil menjeling Ainin yang duduk di sebelahnya.
“Tadi
kat restoran, kenapa Encik Ziyad tak cakap?” Puas Ainin menanti Ziyad memulakan
bicaranya di Restoran Bukhari tadi, tetapi pemuda itu hanya bercakap hal-hal biasa. Tidak ada
pun perkara penting seperti dikatanya sebelum ini.
“Awak nak semua orang kat
restoran tu tengok kita ke?” tanya Ziyad.
“Kenapa pulak semua orang
tengok kita? Kita bukannya ada buat salah,” soal Ainin hairan.
“Kalau dah berbincang mesti
bertengkar. Saya tak akan puas berbincang dengan awak kalau tak tinggikan
suara. Saya tahu awak pun macam tu, kan? Jadi, awak nak ke semua orang kat situ
pandang kita bila kita bergaduh nanti?” Ziyad menjeling ke wajah putih bersih
di sebelahnya.
“Kalau kita bergaduh dalam
ni, tak ada orang dengar ke? Silap-silap kena sergah dengan pencegah maksiat.”
Ziyad tersenyum
mendengarnya. “Baguslah. Saya dapat kahwinfreedengan
awak. Jadi settlelah masalah awak, kan?”
Tersentak mendengar
kata-kata itu, Ainin menjegilkan mata besar-besar memandang Ziyad. “Apa maksud
Encik Ziyad tu? Encik Ziyad ingat saya suka ke jika perkara macam tu terjadi
pada saya? Ingat saya suka sangat ke dapat kahwin dengan Encik Ziyad?”
marahnya. Hatinya sudah mula panas dituduh melulu begitu.
“Awak tak suka tapi saya
suka,” balas Ziyad selamba.
“Encik Ziyad ni memang suka
cari pasallah! Kalau inilah hal penting yang Encik Ziyad cakapkan tadi, baik
tak payah cakap! Encik Ziyad hantar saya balik sekarang!” Ainin suka-suka hati
mengarah majikannya.
“Sebab nilah saya tak nak
bincang dengan awak kat restoran tadi. Saya tahu awak tentu melenting. Tapi apa
yang saya cakap tadi, memang betul. Saya memang nak kahwin dengan awak. Saya
mahu jadi suami awak,” kata Ziyad serius. Dia sudah menggerakkan badan
memandang Ainin. Wajah lembut dengan mata bulat kerana terkejut itu dipandang
lama. Dia tahu Ainin terperanjat besar mendengar kata-katanya. Dia juga sudah
menjangkakan begitu. Apa tidaknya, bercinta tidak, apa pun tidak, tiba-tiba dia
mengajak kahwin!
“Encik Ziyad ni dah gila
agaknya!” herdik Ainin sambil menggelengkan kepala.
“Saya tak gila. Saya dah fikirkan
hal ni masak-masak. Saya rasa itulah cara terbaik untuk selesaikan masalah
awak. Awak tak mahu terima bantuan kewangan dari saya sebab tak mahu terhutang
budi. Tapi saya tak boleh buat bodoh saja tengok awak susah tanpa buat apa-apa.
Jadi, cara terbaik ialah... kita nikah,” jelas Ziyad sambil merenung tajam ke
mata Ainin.
“Saya tak mahu terima idea
bodoh macam ni!”
“Idea bodoh? Dengar sini,
Ainin! Saya rasa itulah idea paling bernas untuk perempuan err...” Kata-kata
Ziyad terhenti. Tidak tahu perkataan paling sesuai untuk menggambarkan sikap
Ainin. Bimbang kalau tersalah cakap, Ainin akan naik angin. Lebih-lebih lagi
bila melihat muka Ainin sudah macam harimau betina lapar. Garang bukan main.
“Itulah idea paling bernas untuk perempuan istimewa macam awak ni. Saya akan
jadi suami awak dan sebagai seorang suami yang mithali, saya akan jalankan
tanggungjawab saya memberi nafkah pada awak dan membantu awak menyelesaikan
masalah kewangan awak. Awak tak perlu terhutang budi pada saya dan tak payah
fikir bagaimana nak bayar balik hutang awak tu,” sambungnya.
“Setakat kahwin memang
senang, Encik Ziyad. Tapi Encik Ziyad dah fikir ke macam mana penerimaan umi
dan abah Encik Ziyad nanti? Nak ke dia terima menantu orang gaji macam saya ni?
Perkahwinan ni, Encik Ziyad... lebih dari setakat kahwin saja!”
Ziyad menarik nafas
panjang-panjang sebelum menyambung kata. Dia pasti Ainin akan lebih terkejut
bila mendengar penjelasannya selepas ini.
“Umi dan abah tak perlu
tahu pasal ni. Semua orang pun tak perlu tahu tentang ni, kecuali kita berdua
dan mak awak,” terang Ziyad lambat-lambat.
Seperti yang dijangka,
wajah Ainin berubah sebaik sahaja mendengar bicara Ziyad. Lama mata Ainin
memaku wajah Ziyad bagaikan meminta penerangan lanjut. Macam tidak percaya
dengan apa yang menerjah telinganya tadi.
“Encik Ziyad nak
rahsiakannya?”
“Ya. Awak tahu kan niat
saya sebenarnya nak menikah dengan awak? Niat saya cuma nak bantu awak aje. Tak
lebih dari tu. Jadi, saya tak naklah umi dan abah kecoh-kecoh. Saya tahu mereka
mesti bantah. Nanti, baik-baik saya boleh tolong awak, langsung tak dapat...”
Ainin terdiam. Bibirnya
bergerak-gerak mahu membalas, tetapi tiada suara terlontar. Bahang marah di
dada yang tadinya cuma suam-suam kuku tiba-tiba menggelegak panasnya. Wajah
putih kuning itu sudah bertukar jadi merah padam bagai udang dibakar. Tidak
menyangka Ziyad sanggup merendahkan maruahnya hingga ke tahap itu. Ziyad fikir
dia apa? Batang kayu mati?
“Encik Ziyad ni dah hilang
akal ke?” bentak Ainin geram.
“Awak cakaplah apa yang awak
nak cakap. Niat saya ikhlas nak tolong awak, Ainin. Tapi saya belum bersedia
menempuh kehidupan berumah tangga yang sebenarnya. Tapi... jangan takut, saya
akan jalankan tanggungjawab saya sebagai suami memberi nafkah zahir pada awak.”
Ziyad sudah membuang pandang ke luar tingkap.
Tidak semena-mena Ainin
lihat Ziyad macam tidak selesa ketika menuturkan ayat yang akhir tadi. Nafkah
zahir? Nafkah zahir saja tanpa nafkah batinnya? Patutlah muka Ziyad merah padam
ketika menyebutnya tadi!
“Kalau keluarga Encik Ziyad
tahu, macam mana? Tak nak mengaku juga saya ni isteri Encik Ziyad?” perli Ainin
dengan bibir yang sengaja dijebikkan. Sakit hati memandang muka Ziyad.
“Mereka takkan tahu kalau
kita tak cakap.”
“Kalau terbongkar juga
macam mana? Mesti Encik Ziyad akan hantar saya dan keluarga saya jauh-jauh
sebab malu pada keluarga Encik Ziyad kan?”
Perkara belum berlaku
tetapi Ainin sudah dapat mengagak apa yang bakal terjadi. Apa lagi boleh dibuat
Ziyad jika rahsia yang mahu ditutup itu pecah di telinga keluarganya? Mustahil
Ziyad mahu mengakui dia isterinya yang sah. Silap-silap, diceraikannya ketika
itu juga.
“Perkara tu takkan berlaku,
Ainin. Kita akan rahsiakan sungguh-sungguh. Saya rasa perkara ni tak jadi
masalah. Selama ni pun kita cuma bertemu waktu pagi sebelum saya pergi kerja.
Biasanya bila saya balik, awak dah balik rumah. Jadi, bukannya susah sangat pun
nak rahsiakan. Kita buat macam biasa aje. Keluarga saya takkan syak apa-apa.”
Ziyad mesti dah fikir
masak-masak sebelum beritahu aku idea mengarut ni. Sebab itulah dia boleh buat
muka selamba aje, fikir Ainin seraya memandang Ziyad sekilas.
“Macam mana pulak dengangirlfriendEncik Ziyad nanti?” tanya Ainin tiba-tiba.
Mata Ziyad terbelalak
merenung muka Ainin. “Mana awak tahu saya ada girlfriend?” soalnya
tidak sedap hati.
“Macamlah saya tak tahu.
Saya selalu kemas bilik Encik Ziyad.”
Ziyad berfikir sejenak.
Setelah dapat menangkap apa yang dimaksudkan Ainin, barulah dia menarik nafas.
Tentu yang dimaksudkan Ainin ialah gambar Shafinaz yang terletak di atas meja
kerjanya.
“Saya tak bercadang pun nak
beritahugirlfriend saya tentang hal ni. Saya rasa dia pun tak kisah sebab tahu saya
sangat sayangkan dia. Kami memang bercadang nak bertunang dalam masa-masa
terdekat. Saya rasa awak pun tak kisahkan kalau saya kahwin dengan dia? Maksud
saya... kita bukannya ada perasaan apa-apa. Jadi, tak timbul rasa cemburu atau
apa pun kalau saya kahwin dengangirlfriendsaya
nanti.”
“Saya memang tak ada
perasaan pada Encik Ziyad. Tapi... Encik Ziyad tak terfikir ke apa akibatnya
kalau dia dapat tahu? Hati dan perasaan perempuan ni lain sikit.” Benci betul
Ainin dengan perangai Ziyad yang suka ambil mudah. Macamlah dunia ini cuma
dihuni oleh mereka berdua.
“You don't have to worry about her. She's a very understanding person. She knows that my heart is
only for her,” kata Ziyad penuh perasaan.
Hmm... cakap orang putih
pula. Macamlah aku tak faham, kutuk Ainin di dalam hati.
“Ikut hati mati, ikut rasa
binasa, Encik Ziyad,” perlinya mahu mengenakan Ziyad. Sudah acap kali mendengar
Ziyad berkata begitu, ayat itu sudah sebati di telinganya.
“Saya tak akan mati kerana
ikut kata hati dan tak akan binasa kerana ikut rasa, sebab saya pasti tindakan
saya tu betul. Jadi, macam mana, Ainin?” Ziyad tidak sabar menuntut kepastian daripada
mulut Ainin.
“Saya tak nak terima idea
mengarut ni!” kata Ainin .
“Awak tak nak fikirkannya
dulu?”
“Tak nak!” putus Ainin
menengking sedikit.
“Baguslah tu! Awak hiduplah
dalam dunia awak tu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Orang nak
bagi awak hidup selesa, awak tak nak! Saya kata awak bongkak, awak marah!”
Ziyad yang naik darah, terus menghidupkan enjin kereta dengan muka masam
mencuka. Selepas ini kalau Ainin mengadu lagi tentang hidupnya, dia sudah
membuat keputusan tidak akan melayan. Boleh jalanlah!