Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
601,390
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Jam belum menunjukkan pukul 7.00 pagi, tetapi Ainin sudah tiba di rumah Hajah Fauziah dengan menunggang motosikal barunya.

“Awal datang hari ni, Ainin?” sapa Hajah Fauziah sebaik membuka pintu utama. Dia nampak terkejut sedikit melihat motosikal yang ditunggang Ainin sudah bertukar jenisnya.

“Hmm… ya,puanhajah. Hari ni saya tak tunggu kat gerai nasi lemak. Lepas hantar nasi lemak pada orang yang tolong jualkan tu, saya terus ke mari,” ujar Ainin memberi alasan.

Ainin sebenarnya punya sebab lain datang awal hari ini. Awal pagi semalam, Ziyad sudah mengarahkannya supaya segera bersiap sedia. Mereka merancang untuk menikah minggu depan. Oleh itu, dia perlu memohon cuti awal untuk memberi masa pada Hajah Fauziah bersedia apa-apa yang patut. Kalau tidak, kelam-kabut wanita itu nanti bila dia tiba-tiba tidak datang bekerja.

“Motosikal baru ke?” tanya Hajah Fauziah dengan senyuman.

“Err… ya, Puan Hajah. Motosikal secondhand aje. Saya bayar ansur. Yang dulu tu saya dah hantar ke kedai besi buruk,” gurau Ainin. Ketawa kecil.

“Eloklah awak tukar. Motosikal awak yang lama tu dah buruk sangat. Bahaya kalau awak terus bawa di jalan yang sibuk macam di Puchong ni.” Hajah Fauziah bersetuju dengan tindakan Ainin membeli motosikal baru.

Sambil bercakap, Ainin sempat mengerling sekilas ke arah Ziyad yang berwajah selamba duduk menemani abahnya bersarapan di meja makan.Track bottom danT-shirt masih melekat di badan Ziyad. Mungkin belum mandi kerana waktu masih terlalu awal untuknya ke pejabat.

“Awak bawa apa tu?” tanya Hajah Fauziah memandang bungkusan plastik di tangan Ainin.

“Nasi lemak dengan kuih. Ada lebih, saya bawa sini sikit. Puan hajah nak rasa?”

“Boleh juga,” jawab Hajah Fauziah yang gembira dapat merasa nasi lemak Ainin. Pagi ini pun tiada sarapan berat yang disediakan untuk suami dan anak-anaknya kerana terlewat bangun pagi.

“Nanti saya letakkan dalam pinggan,” kata Ainin dan terus menuju ke dapur. Nasi lemak dan kuih-muih diletakkan ke dalam pinggan dan dihidangkan di atas meja makan.

Hajah Fauziah sudah duduk di meja makan bersama Haji Marzuki dan Ziyad. Farhana seperti biasa masih di biliknya. Sedang bersiap dan selalunya tidak pernah sempat bersarapan pagi.

Hajah Fauziah menghulurkan sebungkus nasi lemak kepada suaminya. Sebungkus lagi diletakkan ke dalam pinggannya sendiri. Pada Ziyad cuma dihulurkan pinggan berisi kuih koci dan pulut panggang kerana mengetahui anak lelakinya itu tidak gemar bersarapan berat pada waktu awal pagi.

“Sedap nasi lemak ni,” puji Haji Marzuki perlahan. Hanya didengari isteri dan anaknya.

Ainin yang sudah bergerak semula ke dapur, tidak mendengarnya.

“Yalah. Sambal ikan bilisnya sedap. Tak pedas sangat. Ziyad nak rasa?” Hajah Fauziah yang bersetuju dengan pendapat suaminya menggoda Ziyad untuk menjamah sama nasi lemak Ainin.

“Lain kalilah, umi,” jawab Ziyad dengan tangan mencapai sekeping kuih koci pulut hitam. Kuih yang sebelum ini tidak dipandang tetapi sejak merasanya buat kali pertama dulu terus jatuh cinta dan hampir setiap hari mengidam untuk memakannya.

Ainin ke depan membawa seteko kecil air kopi yang baru dibancuh. Kopi yang dibancuh Hajah Fauziah sebelum ini sudah luak separuh. Jadi dia membancuh yang lain.

“Awak yang masak nasi lemak ni, Ainin?” tanya Hajah Fauziah yang sudah menghabiskan sebungkus kecil nasi lemak. Kerana keenakannya, Haji Marzuki sudah mencapai sebungkus yang lain.

“Ya, saya yang masak. Kenapa, puan hajah?” Ainin tidak sedap hati mendengar soalan Hajah Fauziah.

“Sedap,” puji Hajah Fauziah.

Haji Marzuki menganggukkan kepala tanda sependapat dengan kata-kata isterinya.

Ainin tersenyum senang mendengar puji-pujian itu. Muka Ziyad yang bersahaja mengunyah kuih pulut panggang, direnung dengan perasaan serba salah. Nak cakap kepada Hajah Fauziah sekarang atau sekejap lagi? Hatinya berbelah bahagi. Sekaranglah, putusnya kemudian. Buatnya Hajah Fauziah terus pergi kerja selepas bersarapan, susah pula dia nanti. Terpaksa menanti hingga ke petang untuk bersemuka lagi dengan wanita bekerjaya itu.

“Puan hajah, err... saya nak cakap sikit dengan puan hajah.” Ainin bersuara terketar-ketar sedikit. Takut Hajah Fauziah tidak membenarkan dia mengambil cuti.

“Apa dia, Ainin?” tanya Hajah Fauziah sambil mendongak memandang Ainin yang berdiri tegak di hadapannya.

“Err... saya… saya nak minta cuti. Saya nak balik kampung. Kakak saya kat kampung buat kenduri sikit. Dia jemput saya sekeluarga. Saya pun sebenarnya dah lama tak balik kampung jumpa kakak saya tu,” jelas Ainin, cuba bersikap setenang mungkin.

“Awak nak balik mana?” tanya Hajah Fauziah.

Hairan sedikit mendengar Ainin menyebut kampung. Dia tidak pernah tahu Ainin ada kampung lain selain kampung yang dia menetap sekarang.

“Balik Muar.”

“Oh… Bila awak nak ambil cuti?”

“Minggu depan.”

“Berapa hari?”

“Empat hari. Mula hari Khamis sampai hari Ahad,” jelas Ainin. Berdebar menanti jawapan Hajah Fauziah.

Hajah Fauziah diam. Setelah menimbang di dalam hati, dia mengangkat kepala memandang Ainin. “Baiklah, Ainin. Saya benarkan,” putusnya kemudian.

Lega Ainin mendengar kata putus daripada bibir majikannya. Muka Ziyad sempat dijeling sekilas. Walaupun tidak secara jelas, dia pasti telah melihat riak kelegaan terpamer pada wajah itu.

Ziyad pula sepanjang kehadiran Ainin di meja makan, langsung tidak menoleh atau menegur wanita itu. Mungkin tidak mahu uminya mengesan hubungan rapat yang terjalin antaranya dengan Ainin. Tidak mahu umi dan abahnya mengesyaki apa-apa. Rancangan yang sudah dirangka di kepala mungkin gagal jika umi dan abah mula memandang serong pada mereka berdua.

“Terima kasih, puan hajah,” sambut Ainin gembira.

“Awakdah habis buat persiapan?” tanya Ziyad yang menjengah ke dapur untuk bersembang sebentar dengan Ainin sebelum berangkat ke pejabat.

Dia sudah menukar pakaian ke pejabat. Wajah yang sedia kacak itu kelihatan bertambah tampan dengan rambut kemas tersisir rapi. Memandangnya, membuatkan hati Ainin malu sendiri. Rasa tidak percaya pemuda setampan Ziyad akan menjadi suaminya sedikit hari lagi.

Bagaimana perasaannya yang bakal bergelar isteri? Entahlah. Dia tidak pandai mentafsir perasaan sendiri. Apa yang pasti, perasaannya macam biasa saja. Tidak ada debar mengulit rasa seperti sewaktu mahu bernikah dengan arwah Abang Hairi dulu. Mungkin kerana tiada rasa cinta terjalin antaranya dan Ziyad. Tetapi betul juga. Untuk apa difikirkan sangat? Bukankah perkahwinan yang bakal tercipta itu hanya di atas kertas?

“Sudah. Ada tinggal sikit-sikit lagi tapi tu semua kena tunggu hari nikah nanti,” jawab Ainin yang memilih untuk bernikah di rumah Kak Anida, kakaknya yang tinggal di bandar Muar kerana mudah membuat persiapan.

Kak Anida, suri rumah sepenuh masa, jadi bukan masalah besar untuk dia menguruskan persiapan perkahwinan Ainin. Beri saja duit, pandailah kakaknya yang cergas itu menyediakan apa-apa yang patut. Hendak diharapkan Ainin menyiapkan segala keperluan dalam masa dua bulan? Pengsan Ainin!

“Encik Ziyad pulak macam mana?” Bertanya pula Ainin Sofiya.

“Awak jangan risau. Saya dah siapkan semuanya.”

Ziyad meminta bantuan Abang Idris, pekerja am di pejabatnya untuk menguruskan segala hal yang berkaitan dengan pernikahannya. Dia sengaja memilih orang yang bukan dari kalangan ahli keluarganya untuk mengelak rahsia itu meletup di telinga insan-insan yang rapat dengannya.

Pada Abang Idris, awal-awal Ziyad sudah berpesan agar menyimpan rahsia pernikahannya kemas-kemas agar tiada seorang pun dapat tahu. Dia tidak mahu orang lain tahu yang dia akan bernikah dengan pembantu rumahnya sendiri. Lebih-lebih lagi Ashri, rakan kongsinya yang rapat dengan Shafinaz. Mati dia kalau rahsia itu sampai di telinga Shafinaz. Kebaslah mulut Ziyad nanti memujuk Shafinaz yang kuat merajuk.

“Ini hadiah untuk awak,” kata Ziyad sambil menghulur sebuah beg plastik kecil berwarna putih kepada Ainin.

Hadiah? Tersentak Ainin mendengarnya. Belum jadi suami, tiba-tiba Ziyad sudah menghadiahkan sesuatu buat bakal isterinya. Dia memang baik hati, detik hatinya memuji Ziyad. Walaupun teragak-agak dan fikiran dilanda serba salah, tangan dia bergerak juga menyambut beg plastik itu.

“Apa ni?” tanyanya. Membuka sedikit beg plastik dan menjengah ke dalamnya.

“Bukalah dan tengok isi dalamnya,” arah Ziyad.

Ainin menurut. Sebuah kotak sederhana besar di dalam beg plastik putih dikeluarkan. Sebaik saja kotak dibuka, matanya terbeliak. Telefon bimbit! Jenamanya popular di merata dunia. Bentuknya pun moden, tidak seperti telefon bimbit arwah Abang Hairi yang sudah ketinggalan zaman. Harganya juga sudah pastilah berganda-ganda!

“Mahal tu. AdaBluetooth dan boleh guna internet sekali. Jaga elok-elok,” pesan Ziyad dengan mata merenung lama wajah Ainin.

Bluetooth? Apa bendanyaBluetooth tu? Kalau internet tu aku tahulah. Tapi kalau ada pun buat apa? Bukan aku tahu guna benda-benda tu semua! Dia kebingungan memandang peranti moden di tangannya.

“Mari sini handset tu. Saya masukkan nombor telefon saya. Senang awak nak contactsaya nanti.” Tanpa menunggu, Ziyad mengambil telefon bimbit di tangan Ainin. Setelah memasukkan nombor telefonnya, nombor telefon rumah, umi, abah dan Farhana, telefon bimbit jenis Nokia itu di hulurkan kembali kepada Ainin.

“Saya dah masukkan semua nombor penting. Apa-apa hal,call saya. Jangan risau, bil saya bayar. Tapi jangan pulak awak suka-sukacall orang berjam-jam sampai bil melambung. Saya potong line telefon tu nanti,” ugut Ziyad.

Ainin tidak menjawab. Masih terpegun memandang telefon bimbit canggih di tangannya.

“Kenapa?” tanya Ziyad yang hairan melihat Ainin diam membisu macam patung.

“Tak... tak ada apa-apa.”

“Tak tahu nak guna ke? Kejap lagi awak tahulah nak guna handset tu. Bukannya susah sangat. Awak bercadang nak masak apa hari ni, Ainin?” Ziyad memusing tajuk perbualan pada hal lain pula.

“Tak tahu lagi.”

“Awak masak asam pedas ikan parang, ya? Bubuh bunga kantan macam awak masak hari pertama awak datang dulu,” pinta Ziyad sambil merenung lembut muka Ainin.

“Err… boleh. Tapi ikan parang tak ada. Ikan merah adalah.”

“Hmm… ikan merah masak asam pedas. Sedap juga tu,” sambut Ziyad. Mula merindui masakan Ainin yang diangggapnya mengalahkan tukang masak terkenal.

Ziyad keluar dari dapur meninggalkan Ainin termangu sendirian.

Asam pedas lagi? Tidak jemukah Ziyad makan lauk asam pedas? Baru dua hari lepas dia masak asam pedas daging cencang cara orang Melaka yang dibubuh sedikit rempah kari di dalamnya. Tidak habis-habis keluarga Hajah Fauziah memuji masakannya. Hari ini Ziyad sudah mengarah memasak lagi lauk kegemarannya itu.

Hmm… lama-lama nanti, muka dia pun jadi masam macam kuah asam pedas. Hatinya berbisik mengata bakal suaminya.

Dalam asyik mengutuk Ziyad, matanya tidak lepas-lepas memandang telefon bimbit pemberian pemuda itu tadi. Baiknya hati dia beri aku handset mahal macam ni. Tapi…macam mana nak guna benda ni? Dia termenung jauh. Bingung.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.