Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
598,776
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

"Hisyam dah minta duit sewa rumah?” tanya Ziyad pada keesokan paginya sebaik saja Ainin muncul di hadapan mata.

“Belum.” Sepatah jawapan Ainin. Menonong langkahnya menghala ke dapur. Malas menghadap muka Ziyad lama-lama.

“Saya dah letakkan duit atas almari dapur. Kalau awak ubah fikiran, awak ambil duit tu, bayar sewa rumah awak,” kata Ziyad. Belum jemu menawarkan bantuan kewangan kepada Ainin.

Ainin langsung tidak bersuara. Mukanya tidak beriak. Tangannya lincah mengeluarkan kuih koci pulut hitam dari kampit plastik dan diletakkan ke dalam piring. Kuih itu kini menjadi kegemaran Ziyad. Hampir setiap hari dibungkusnya kuih koci dari rumah untuk sarapan anak muda itu.

“Janganlah degil. Saya ikhlas mahu menolong awak. Awak tak payah bimbang, saya tak harapkan apa-apa balasan. Saya tak ada niat lain menolong awak. Saya bukan macam pak cik awak tu,” pujuk Ziyad yang mengekori langkah Ainin hingga ke dapur.

Ainin mencebik bibir tanpa disedari Ziyad. Cakap saja tak ada niat lain tapi hati Ziyad bukannya boleh diteropong. Entah-entah jauh di sudut hati Ziyad, tersembunyi maksud lain. Mana ada orang suka-suka mahu menolong tanpa mengharapkan sebarang balasan? Kalaupun ada orang sebegitu, mungkin satu dalam seribu.

“Encik Ziyad tak perlu susah hati kerana saya. Saya sedang cari ikhtiar lain untuk bayar hutang saya pada Hisyam. Saya akan cuba pujuk Hisyam untuk bayar sebulan dulu. Bakinya nanti saya akan usahakan,” jawab Ainin sambil menatang piring berisi kuih koci pulut hitam dan cucur badak ke meja makan.

“Awak nak bayar dengan duit gaji awak tu ke? Banyak manalah duit tu, Ainin. Kalau awak ambil duit saya tu kan senang? Lepas bayar, habis cerita. Awak tak ada hutang tertunggak dan Hisyam takkan ugut-ugut awak lagi,”

“Lepas tu bulan depannya macam mana? Sama juga, kan? Gaji yang saya dapat pun takkan boleh menampung kehidupan saya. Apa Encik Ziyad akan tolong saya lagi ke?”

“Kan saya dah cakap, saya akan tolong awak sampai bila-bila!”

Ketawa besar Ainin mendengarnya. Tidak percaya ada insan sebaik Ziyad di dunia ini. Sejak semalam lagi, Ziyad tegaskan akan membantu Ainin sampai bila-bila selagi dia belum bertemu dahan lain tempat bergantung. Mulianya hati Ziyad. Itu yang membuatkan Ainin susah hendak percaya.

“Tak apalah, Encik Ziyad. Encik Ziyad simpanlah duit tu,” ujarnya kemudian.

“Awak ni degil. Belum pernah saya jumpa orang bongkak macam awak ni!” Ziyad merengus.

Ziyad benar-benar meradang dengan sikap Ainin. Tak sedar diri! Dah tahu miskin, masih berlagak. Orang sudah membuka jalan pintas untuknya, dia masih lagi memilih jalan yang penuh berliku. Perempuan bernama Ainin Sofiya ini sungguh keras hati. Hati Ziyad yang sakit mencemuh Ainin.

“Suka hati sayalah nak bongkak ke... nak sombong ke... Encik Ziyad peduli apa?” marah Ainin dengan muka asam payanya. Matanya yang bulat memancar merah merenung Ziyad. Sedapnya mulut mengata orang bongkak, desisnya di dalam hati.

“Awak marah saya sebab sibukkan hal awak? Okey, lepas ni saya tak mahu pedulikan hal awak lagi! Kalau Hisyam datang bawa tok kadi ke rumah awak dan paksa awak kahwin dengan dia nanti, awak jangan pulak datang mengadu pada saya! Memang padan dengan muka awak!” balas Ziyad meninggalkan wanita itu.

Terkejut besar dan kecut perut Ainin mendengar kata-kata itu.

Laju Ziyad melangkah ke pintu dengan hati yang hangat dan fikiran yang berkecamuk. Betul ke aku takkan pedulikan dia lagi? Hatinya berdetik. Entahlah! Dia sendiri pelik memikirkan hati sendiri. Mulut Ziyad saja yang berkata begitu, tetapi hati? Hatinya belum mahu berhenti memikirkan Ainin Sofiya!

Betulkah keputusan yang aku buat ini? Dalam sepi, hati Ziyad bertanya. Sambil duduk berteleku di meja, fikirannya sibuk menganalisis jalan penyelesaian kepada masalah Ainin.

Selagi masalah Ainin tidak selesai, selagi itulah fikiran Ziyad tidak reti duduk diam. Walaupun Ainin itu cuma pembantu rumahnya, dia tidak mampu memekakkan telinga dan membutakan mata dengan masalah yang membelenggu kehidupan wanita itu. Ziyad tidak tergamak. Namun, pertolongan bagaimana lagi patut dihulurkan apabila wang pemberiannya,ditolak mentah-mentah?

Bukan sekali dua Ziyad memujuk Ainin menerima wang pemberiannya. Berkali-kali. Namun, jawapannya tetap serupa. Ainin yang keras hati hanya buat tidak peduli dengan keikhlasan hatinya mahu membantu. Malah Ainin tarik muka masam apabila dia mula membuka cerita tentang niat suci murninya. Jika setakat tarik muka, dia masih boleh terima. Ini Ainin naik angin sehingga sanggup meninggikan suara. Aininlupa yang dia itu hanya seorang pembantu rumah dan dia ini majikannya. Hati mana yang tidak berbahang melihat perangai pembantu rumah yang tidak menghormati majikan?

Kalau diikutkan, mahu saja Ziyad menutup mata daripada melihat keperitan hidup Ainin. Tetapi, dia tidak sampai hati. Dia betul-betul tidak sampai hati.

Betulkah keputusan yang aku buat ni? Tak menyesalkah aku nanti? Bertanya lagi hati kecil Ziyad dalam menimbang-nimbang keputusan yang diambilnya sekejap tadi. Bagaimana dengan penerimaan umi dan abah kalau mereka mendapat tahu? Marahkah mereka nanti? Shafinaz pula macam mana? Bolehkah gadis itu terima keputusan gilanya ini? Mengamukkah dia jika rahsia itu pecah di telinganya? Janganlah sampai Shafinaz mengambil keputusan untuk memutuskan cinta mereka. Merana hidup Ziyad kelak.

Gila! Keputusan yang diambil Ziyad ini memang kurang waras. Kalau orang lain mendengar, mungkin Ziyad akan ditertawakan sampai pecah perut. Tetapi, Ziyad rasa itulah jalan penyelesaian terbaik untuk Ainin. Orang mengata? Biarkan! Umi, abah, Farhana dan Shafinaz menuduhnya gila? Lantaklah. Apa yang penting, niat sucinya mahu membantu Ainin akan terlaksana. Mudah-mudahan Allah akan mengurniakannya dengan pahala sebesar-besarnya kerana menolong insan yang sedang tersepit seperti Ainin.

Tapi... betulkah keputusan yang aku buat ni? Hati Ziyad berbolak-balik buat kesekian kalinya. Hatinya sendiri masih berbelah bahagi tetapi pilihan apa lagi yang dia ada? Dan... mahukah Ainin menerima perngorbanan yang cukup sukar dilakukannya ini? Entah-entah Ainin juga akan menuduhnya gila!

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.