Sudah dua hari Ainin tidak
melihat muka Ziyad kerana pemuda itu keluar rumah awal untuk ke pejabat. Entah
apa sebabnya Ziyad bersikap dingin begitu, dia tidak dapat meneka. Apa yang
dapat disimpulkannya, Ziyad mahu mengelak daripada bertembung muka dengannya.
Mungkin marah Ziyad padanya masih berbekas di hati.
Namun pagi ini, sebaik saja
tiba di rumah Hajah Fauziah, hati Ainin melonjak melihat kereta Ziyad masih
berada di halaman rumah. Lambat pula dia pergi kerja hari ini. Dia dah tak
marah pada aku ke?Tanyanya di dalam hati.
Ainin masuk ke rumah Hajah
Fauziah menggunakan kunci pendua yang diberikan Ziyad. Sejak dimarahi Ziyad
tempoh hari, dia tidak berani lagi memberi salam atau mengetuk pintu. Dia masuk
sesuka hati. Rumah Hajah Fauziah sudah dibuatnya seperti rumah sendiri.
Ziyad sedang menyarung stoking apabila dia melangkah masuk ke rumah besar itu.
Pemuda itu langsung tidak
menghiraukan kedatangan Ainin. Sambil berdiri tegak berhampiran sofa tempat
Ziyad duduk, Ainin memandang wajah pemuda berkulit cerah itu tepat-tepat.
“Tawaran Encik Ziyad pada
saya tu masih terbuka ke?” Walaupun berdebar, Ainin kuatkan semangat untuk
berdepan dengan Ziyad.
Sudah tiga malam
berturut-turut Ainin melaksanakan solat
istikharah supaya diberikan petunjuk memilih jodohnya. Dan sudah tiga malam
berturut-turut juga, lelaki itu hadir menjengah mimpinya. Ziyadlah lelaki itu.
Mungkin memang Ziyadlah lelaki yang diciptakan
Allah untuk menjadi pelindung seorang perempuan bernama Ainin Sofiya.
Ziyad yang nampak terkejut
mendengar pertanyaan Ainin mengangkat kepala. “Kenapa? Awak dah ubah fikiran?”
“Kata-kata Encik Ziyad
memang betul. Saya tak seharusnya pentingkan diri sendiri dan bersikap ego.
Saya sepatutnya mendahulukan orang-orang yang saya sayang dari hati dan
perasaan saya sendiri,” ucapnya lambat-lambat.
“Apa yang membuatkan awak
ubah fikiran?” soal Ziyad seperti tidak berminat melayan Ainin bercakap. Dia
pura-pura menumpukan perhatian pada kaca televisyen di hadapannya. Semua siaran
ditekan menggunakan remote control walhal
hatinya bukan berminat sangat mahu menonton.
“Hisyam nak duit malam ni,”
terang Ainin singkat.
“Jadi awak dah
terdesaklah,” perli Ziyad sambil menjeling Ainin sekilas.
Ainin Sofiya tidak
menyahut.
“Duit awak ada atas almari
kat dapur. Bayar duit Hisyam, lebih tu beli motosikal baru. Esok, saya tak nak
tengok awak datang naik motosikal buruk tu lagi,” tegas Ziyad.
Ziyad memang sengaja
meletakkan wang yang dipulangkan Ainin tempoh hari di atas almari di dapur.
Manalah tahu kalau-kalau Ainin berubah fikiran untuk menerima pemberiannya.
“Tapi… saya tak nak berhutang
dengan Encik Ziyad.”
“Siapa kata awak berhutang?
Janji tetap janji. Saya bagi awakduabulan untuk
buat persediaan. Telefon abang awak untuk jadi wali dan sediakan apa-apa yang
patut. Nanti saya masukkan duit ke dalam akaun awak untuk awak uruskan semua
perkara tu. Manalah tahu awak nak buat kenduri untuk orang-orang kampung awak
di Muar sana.”
“Ki… kita nak bernikah di
Muar ke?” tanya Ainin yang masih keliru dengan keputusan yang dibuatnya. Ianya
terlalu pantas. Terlalu drastik.
“Yalah. Takkan nak bernikah
di sini? Saya dah cakap, saya tak nak orang tahu. Kalau setakat saudara-mara
awak yang tahu, saya tak kisah sangat. Mereka bukannya kenal saya,” kata Ziyad
ambil mudah.
Ainin tidak berkutik
mendengarnya. Matanya terkebil-kebil memandang Ziyad. Betul ke keputusan aku
ni? Hatinya masih berbelah bahagi.
“Kenapa diam? Nak ubah
keputusan lagi? Baik fikir masak-masak sebelum terlambat. Bila tok kadi dah ada
depan awak, awak dah tak boleh buat apa-apa lagi. Jangan pulak awak lari
tinggalkan saya masa tu. Awak jangan malukan saya. Saya cencang awak
lumat-lumat nanti,” ugut Ziyad dengan mata tajam memanah anak mata Ainin.
“Tak. Saya tak akan tarik
balik keputusan saya,” tegas Ainin dengan menelan air liur.
“Baguslah. Mak awak dah
tahu ke pasal ni?”
Ainin mengangguk.
"Kita berdua kena pergi
kursus kahwin, kan? Saya cuba booking
tempat untuk kursus tu hari ni. Kalau dapat lagi dua minggu kita pergi."
Ziyad mengusulkan begitu.
Tercengang Ainin
mendengarnya. Walaupun pernah punya pengalaman berkahwin, dia tidak teringat
tentang itu. Nampaknya dalam bab nikah kahwin, Ziyad lebih peka dari Ainin.
Agaknya Ziyad sudah tidak sabar-sabar bergelar suami kepada Ainin Sofiya!
“Ada beberapa syarat yang
awak kena ikut untuk jadi isteri saya ni, Ainin. Awak dengar betul-betul.
Pertama, untuk mengelakkan orang syak kita dah jadi suami isteri, saya mahu
awak kekal panggil saya Encik Ziyad. Tak payah panggil saya abang ataupun
Ziyad. Kedua, simpan sijil nikah kita tu ditempat yang selamat. Kalau boleh
jangan simpan dalam dompet ataupun handbag awak.
Ketiga, saya nak awak kekal bekerja di sini sebab umi saya suka sangat pada
awak dan dah tak mahu cari pembantu rumah lain. Awak faham semua tu?” Tegas
suara Ziyad.
Ainin mengangguk lagi.
“Kalau dah faham, pergi
buat kerja awak. Apa-apa hal nanti saya beritahu,” putus Ziyad kemudian.
Perbincangan mereka tamat
di situ. Ainin bergerak ke dapur dan Ziyad pula terus ke pejabat. Mudahnya
kedua-dua insan ini merancang untuk mendirikan sebuah masjid!