Di rumah, Ainin teringatkan Ziyad.
Mencecah kepala di bantal, dia terus terkenangkan lamaran Ziyad tadi.
“Awak tahu kan niat saya
sebenarnya nak kahwin dengan awak? Niat saya cuma nak bantu awak aje. Tak lebih
dari tu.”
Kata-kata Ziyad tadi
terngiang-ngiang mengusik mindanya. Dia nak kahwin sembunyi-sembunyi dengan
aku. Macamlah aku ni hidup sebatang kara di dunia ni, cemuhnya di dalam hati
sambil memejamkan mata rapat-rapat. Walaupun sudah tidak punya ayah, dia masih
ada emak. Pernahkah Ziyad fikirkan perasaan emaknya apabila anak perempuannya
diperlakukan orang sebegitu rupa? Mesti emak sedih. Mesti emak malu.
Tetapi... kalau bernikah
dan sah menjadi isteri Ziyad, akan lenyaplah beban berat sebagai ketua keluarga
yang selama ini ditanggungnya. Ziyad sudah pasti memenuhi janji untuk memberi
nafkah zahir padanya. Hidupnya, emak, Faiz dan Arisha akan lebih terjamin.
Namun, bagaimana pula
dengan nafkah batin? Hisy, dia malu memikirkan hal itu. Ziyad tidak mahu
menuntut haknya sebagai suami? Hmm… lagi bagus! Ainin tidak perlu susah payah
melayan kehendak Ziyad. Arisha pun masih kecil. Buatnya ada rezeki, Arisha
dapat adik, bukankah mencari bala namanya itu? Di mana hendak disorokkan
perutnya yang membuncit nanti? Tentu orang menuduh dia mengandungkan anak luar
nikah! Eeii... tak sanggup!
Dua, tiga hari lagi, Hisyam
akan datang menuntut janjinya. Di mana hendak dikoreknya duit sewa rumah yang
sudah lima bulan tertunggak? Hisyam mengugut hendak menghalaunya sekeluarga
jika gagal melunaskan hutang sebanyak RM1000 itu atau dikira langsai jika dia
sudi berkahwin dengan lelaki itu. Huh! Daripada kahwin dengan Hisyam lebih baik
dia berkahwin dengan Ziyad. Walaupun cuma kahwin di atas kertas,
sekurang-kurangnya dia tahu Ziyad lebih bertanggungjawab daripada Hisyam yang
kaki judi dan kaki rayap!
“Awak hiduplah dalam dunia
awak tu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Orang nak bagi awak
hidup selesa awak tak nak! Saya kata awak bongkak, awak marah!”
Dia terkenang lagi
kata-kata Ziyad tadi. Hangat hatinya mengingatkan cara Ziyad mengumpamakan
kehidupannya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia ingat aku ni
ayam ke? Tahulah aku ini miskin tapi belum sampai hidup melarat seperti yang
diumpamakan Ziyad!
Kalau itu anggapan Ziyad
terhadapnya, elok Ainin terima saja lamaran itu. Dia tidak akan terjejas
sedikit pun jika menjadi isteri ‘sulit” Ziyad. Ziyad yang akan berdepan dengan
seribu satu macam masalah apabila membuat keputusan gilanya mahu berkahwin
dengannya.
Jika rahsia ini terbongkar?
Biarlah! Biar Ziyad sendiri mencari jalan penyelesaian. Bukankah dia juga yang
gatal mulut mengajaknya menikah?
Ainin berpaling ke sebelah
kiri. Arisha sedang tidur nyenyak di sebelahnya. Selimut yang terletak di
hujung kaki Arisha ditarik sehingga menutupi dadanya. Malam ini cuaca agak
sejuk. Angin bertiup kencang. Mungkin malam ini hujan akan turun. Sebab itulah
tubuh Arisha dibalut kemas-kemas dengan selimut tebal. Bimbang Arisha kesejukan
dan mungkin menyebabkannya terkena selsema.
Mak Ipah yang tidur di
sebelah Arisha dipandang. Emak kelihatan tidak selesa. Kejap-kejap dia
berbaring mengiring, kemudian menelentang. Emak bagaikan resah memikirkan
sesuatu. Entah perkara apa yang emak fikirkan.
“Mak tak tidur lagi?” tanya
Ainin apabila melihat mata Mak Ipah terbuka sedikit.
“Tak. Tak boleh tidur,”
jawab Mak Ipah dan terus duduk berlunjur kaki di atas tilam.
“Kenapa, mak?”
“Mak risaukan sewa rumah
ni. Masa Ainin keluar dengan Encik Ziyad tadi, Hisyam datang. Mak kata Ainin
tak ada. Dia kata, minggu depan dia akan datang semula. Dia suruh sediakan
sekali duit seribu. Kalau tak ada, dia kata kita kena cari rumah lain. Dia tak
kasi kita duduk sini lagi,” kata Mak Ipah sambil memicit kepala yang tiba-tiba
terasa pening.
“Hisyam datang? Kenapa mak
tak cakap dengan Ainin?” Ainin susah hati.
“Mak tak mahu Ainin risau.
Kalau mak cakap pun, kat mana Ainin nak cari duit tu?”
Ainin diam. Berfikir.
Patutkah aku ceritakan lamaran Ziyad tadi?
“Mak… tadi Encik Ziyad ada
beritahu Ainin suatu perkara penting. Ainin nak minta pendapat mak,” jelas
Ainin perlahan.
“Apa dia?” Mak Ipah
berpaling memandang Ainin. Ketika anaknya pulang dari keluar bertemu Ziyad
tadi, dia sudah berkira-kira hendak bertanya sebab-sebab Ziyad mengajak keluar
tetapi terus terlupa kerana asyik mengenangkan kedatangan Hisyam tadi.
Ainin tidak terus menjawab.
Termenung sejenak.
“Encik Ziyad… ajak Ainin…
nikah.” Suaranya tersekat-sekat. Sukarnya dia mahu menjelaskannya kepada emak.
“Apa?!” Bagai sudah diduga,
Mak Ipah terkejut besar.
“Encik Ziyad nak kahwin
dengan Ainin, tapi... perkahwinan tu nanti tak seperti perkahwinan biasa.”
Ainin kuatkan hati menjelaskannya kepada emak. Apa-apa pun, dia perlu meminta
pendapat emak. Sama ada emak setuju atau tidak, dia hanya menurut.
“Apa maksud Ainin bukan
seperti perkahwinan biasa?” tanya Mak Ipah. Pelik mendengarnya. Kalau kahwin,
kahwin sajalah. Mengapa mesti ada biasa dengan luar biasanya?
“Encik Ziyad suruh kita
rahsiakan perkahwinan ni. Dia tak mahu sesiapa pun tahu, terutama keluarganya. Niat
Encik Ziyad kahwin dengan Ainin kerana nak bantu keluarga kita. Dia kesian
tengok hidup kita sekeluarga,” terang Ainin. Tidak berani memandang muka emak.
Mak Ipah terdiam.
Fikirannya tambah bercelaru mendengar kata-kata Ainin. Perkahwinan apa namanya jika
disuruh berahsia? Nampak sangat Ziyad tidak ikhlas menjadikan Ainin isterinya.
Baik tidak usah kahwin daripada hidup berpura-pura. Begitulah yang
difikirkannya.
“Kenapa pulak Encik Ziyad
tak mahu mak ayahnya tahu?” selidik Mak Ipah.
“Dia takut mak ayahnya tak
benarkan dia kahwin dengan Ainin.”
“Encik Ziyad sayangkan
Ainin ke?”
“Tak, mak. Ainin pun tak
ada perasaan langsung pada dia. Dia nak kahwin dengan Ainin sebab nak tolong
keluarga kita. Hari tu Encik Ziyad ada bagi Ainin duit untuk langsaikan hutang
Hisyam tapi Ainin tak terima duit tu. Ainin tak nak berhutang dengan Encik
Ziyad, mak.”
“Lepas tu Ainin ada suruh
Encik Ziyad kahwin dengan Ainin ke?” Mak Ipah sebenarnya hairan mendengar
berita yang timbul secara tiba-tiba itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut,
tiba-tiba anaknya akan berkahwin sekali lagi. Dengan anak orang kaya pula tu!
“Tak, mak! Tiba-tiba aje
Encik Ziyad ajak Ainin kahwin. Ainin tak nak kahwin rahsia macam tu tapi… kalau
Ainin kahwin dengan Encik Ziyad, sekurang-kurangnya masalah kita akan selesai.
Apa pendapat mak?”
“Entahlah, Ainin. Mak pun
tak tahu apa nak cakap. Terpulanglah pada Ainin. Kalau Ainin rasa perkara tu
baik, terima ajelah pinangan Encik Ziyad tu. Mak ikut aje,” kata Mak Ipah. Dia
malas berfikir banyak-banyak. Banyak berfikir bukan dapat menyelesaikan
masalah. Semakin bertambah sakit kepalanya. Biarlah. Apa nak jadi, jadilah.
Tetapi, apa-apa pun dia tetap mendoakan yang terbaik untuk anaknya, Ainin
Sofiya.