Pernikahan Ainin Sofiya dan Ahmad
Ziyad selamat berlangsung. Dengan sekali lafaz, Ainin sah menjadi isteri kepada
Ziyad. Berdebar-debar dada Ziyad tatkala menyarungkan cincin emas bertatahkan
berlian di jari manis Ainin. Gelombang debar di dada Ziyad tambah mengganas
ketika bersalaman dengan seluruh ahli keluarga Ainin.
Walaupun berniat baik,
Ziyad tetap rasa bersalah kerana tidak ikhlas menikahi Ainin. Mujur hanya Ainin
dan emak mentuanya sahaja yang tahu tentang itu. Pada emak mentua dan
isterinya, awal-awal dia sudah berpesan agar mengunci rahsia itu rapat-rapat.
Dia tidak mahu rahsia itu bocor di telinga ahli keluarga sebelah isterinya.
Lebih-lebih lagi pada abang Ainin yang menjadi wali pada pernikahan mereka pagi
itu. Tidak tahulah apa reaksi Abang Asyraf bila mendapat tahu cerita sebenar.
Meletup agaknya gunung kemarahan abang ipar yang nampak gayanya seorang yang
panas baran.
Ketika mencium dahi Ainin
selepas upacara membatalkan air sembahyang, Ziyad sempat merenung lama wajah
wanita yang kini bergelar isterinya. Ainin kelihatan cantik dalam pakaian serba
putih. Solekan yang agak tebal menyerlahkan lagi warna kulitnya yang cerah
kemerah-merahan. Wajah yang tidak pernah ditepek bedak berlebih-lebihan itu
nampak berbeza benar dari biasa. Cantik sungguh Ainin pagi itu. Setiap lelaki
yang memandang wajah cantik itu pasti akan berkata, betapa bertuahnya Ziyad
kerana memiliki Ainin Sofiya. Tetapi… mengapa hati Ziyad tidak teruja
memikirkannya?
“Awak macam mana?” tanya
Ziyad tatkala mereka berdua berada di dalam bilik setelah selesai majlis
pernikahan.
Ainin yang sedang duduk di
atas katil, mengangkat kepala memandang Ziyad yang duduk di kerusi.
“Macam mana apa?” tanyanya
tidak faham dengan arah pertanyaan Ziyad.
“Perasaan awak. Macam mana
perasaan awak?” Ziyad menyoal dengan lebih jelas.
“Tak ada rasa apa-apa.
Macam biasa aje,” jawab Ainin dengan
muka bersahaja. Memang itu pun yang aku rasa. Takkan nak berbohong kata aku
gembira jadi isteri dia? Dia perasan wajah Ziyad kelihatan serba tidak kena.
“Encik Ziyad pulak?” tanyanya pula.
“Saya pun macam tu,” jawab
Ziyad sambil melepaskan keluhan berat.
Cuak rasa hati Ainin mendengar Ziyad mengeluh. Dia dah mula rasa
menyesal berkahwin dengan aku ke? Hatinya berdetak kencang.
“Encik Ziyad menyesal
berkahwin dengan saya?” Ainin tidak
dapat bertahan lama untuk menyuarakan bisikan hatinya pada Ziyad.
“Awak jangan salah faham.
Saya dah berjanji. Jadi saya akan tunaikan janji saya pada awak. Saya tak mahu
awak timbulkan soal ni. Apa yang saya rasa dalam hati saya, biarlah saya dan Allah saja yang tahu,” jawab Ziyad
lembut.
Dia tidak berniat langsung
mengecilkan hati Ainin. Namun, suara hatinya harus sampai di telinga Ainin.
Jika tidak, hatinya tidak akan tenteram.
“Lagi satu, sepanjang
perkahwinan kita ni, saya tak nak awak ambil peduli tentang diri saya. Saya tak
nak dengar komen awak tentang apa saja yang saya buat, terutama yang berkaitan
dengan peribadi saya. Saya berhak lakukan apa saja, keluar dengan perempuan
mana pun yang saya suka dan awak tak berhak untuk masuk campur. Faham tu,
Ainin?” Mata Ziyad melotot memandang Ainin bagaikan menuntut janji daripada
wanita di hadapannya.
Ainin terpaku mendengarnya.
Kepalanya tunduk merenung corak permaidani di hujung kaki. Ligat mentafsir
makna ucapan Ziyad tadi. Mungkinkah kata-kata Ziyad itu bermaksud, dia tidak
suka aku bertanya apa saja tentang perasaannya? Tentang tingkah lakunya? Aku
tidak berhak mempersoalkan apa saja tindak-tanduknya biarpun sebagai seorang
isteri yang sah? Dia berhak berbuat begitu?
Apa-apa sajalah. Aku pun
tak berminat nak ambil tahu pasal dia. Bukan aku cinta pun pada dia, bisik hati
kecilnya kemudian. Kalau sudah begitu keputusan Ziyad, Ainin akan terima
bulat-bulat. Bukankah memang sudah begitu isi perjanjian mereka? Apa lagi yang
mahu dipertikaikan? Biarpun tiada hitam putihnya, namun janji tetap janji.
“Saya juga nak awak
berjanji akan simpan rahsia perkahwinan kita ni sungguh-sungguh. Saya tak mahu
orang-orang yang rapat dengan saya dapat tahu. Saya berharap sangat pada awak,”
pesan Ziyad dengan mata redup merenung muka Ainin. Penuh mengharap.
Ainin hanya mengangguk. Dia
tidak pernah berniat busuk mahu menghebohkan rahsia itu pada seluruh dunia.
Janji dan harapan Ziyad akan dipegangnya hingga ke mati. Mudah-mudahan rahsia
ini akan selamat sampai bila-bila.
“Kenapa Encik Ziyad takut
sangat kalau keluarga Encik Ziyad dapat tahu?” Ainin cuba menggerudi isi hati
Ziyad hingga ke akar umbi.
“Bukan keluarga saya. Kalau
setakat keluarga, saya taklah risau sangat,” jawab Ziyad sambil mengeluh.
“Habis tu?” soal Ainin,
tidak berapa faham.
“Awak pun tahu sebabnya.”
“Takut kekasih Encik Ziyad
dapat tahu ke?” Ainin serkap jarang.
Ziyad mengangguk. “Saya
sayangkan Shafinaz dan saya tak mahu kehilangannya. Kalau dia tahu saya dah
kahwin, mesti dia bencikan saya. Itulah yang saya risaukan.” Dia menyambung
keluhan.
“Kenapa Encik Ziyad tak
terangkan keadaan kita betul-betul pada dia. Mesti dia faham.”
Ziyad tersenyum, tidak
yakin mendengar usul Ainin. “Shafinaz ni lain sikit. Dia kuat merajuk. Sekali
saya dah buat kesilapan, saya tahu dia takkan maafkan saya lagi.”
Ainin terkedu mendengarnya.
Rasa bersalah melilit tangkai hati. Kalaulah dia tahu betapa dalam kasih Ziyad
terhadap gadis bernama Shafinaz itu, tidak mungkin dia bersetuju bernikah
dengan Ziyad. Tetapi, perkara sudah terjadi, bolehkah waktu yang berlalu
diundurkan kembali?
“Kalau tahu akan jadi macam
tu, kenapa Encik Ziyad buat keputusan nak berkahwin dengan saya? Encik Ziyad
rela menanggung risiko kehilangan dia kerana saya. Encik Ziyad ni dah tak betul
agaknya,” rungut Ainin sambil melemparkan pandangan ke arah lain. Tidak selesa
memandang muka Ziyad.
“Dah. Jangan persoalkan
keputusan saya berkahwin dengan awak. Saya dah kata apa yang berada dalam hati
saya cuma saya dan Allah saja
yang patut tahu. Saya tak nak awak timbulkan pasal ni lagi. Apa-apa pun, awak
dah sah jadi isteri saya. Jadi, saya nak awak jaga maruah awak sebagai seorang isteri,”
pesan Ziyad kepada Ainin.
“Encik Ziyad ada terfikir
nak lepaskan saya tak? Kalau Encik Ziyad terfikir macam tu, buat ajelah. Saya
reda,” sahut Ainin dengan kepala menunduk ke bawah.
“Apa awak cakap ni? Awak
ingat perkara nikah kahwin ni boleh dibuat main-main ke? Kahwin hari ni, esok
bercerai. Walaupun saya tak cintakan awak, saya takkan lakukan perkara macam tu
pada awak. Saya tak mahu menganiayai awak. Saya masih ingat dosa pahala!” marah
Ziyad perlahan. Mengawal suara agar tidak kedengaran di telinga tetamu-tetamu
yang masih ramai di luar.
Melihat muka Ziyad
berkerut-kerut susah hati, Ainin Sofiya terdiam. Tidak bersemangat mahu
menyambung kata-kata. Sudahnya masing-masing melayan fikiran yang melencong
entah ke mana-mana.
Kedua-duanya tersedar
daripada lamunan yang panjang tatkala mendengar bunyi ketukan di pintu bilik.
Daun pintu ditarik perlahan.
“Along nak balik, Ainin,
Ziyad. Pergilah jumpa dia. Dia ada kat dapur,” kata Kak Anida. Mengarahkan si
adik dan suami barunya untuk bertemu dan bersalaman dengan abang sulung mereka,
Asyraf yang akan segera pulang ke Johor Bahru.
Ainin dan Ziyad mengangguk.
Kemudian beriringan keluar dari bilik pengantin dengan senyuman manis terpamer
di bibir. Senyuman yang ternyata palsu.