Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
598,752
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Di rumah, Ainin teringatkan Ziyad. Mencecah kepala di bantal, dia terus terkenangkan lamaran Ziyad tadi.

“Awak tahu kan niat saya sebenarnya nak kahwin dengan awak? Niat saya cuma nak bantu awak aje. Tak lebih dari tu.”

Kata-kata Ziyad tadi terngiang-ngiang mengusik mindanya. Dia nak kahwin sembunyi-sembunyi dengan aku. Macamlah aku ni hidup sebatang kara di dunia ni, cemuhnya di dalam hati sambil memejamkan mata rapat-rapat. Walaupun sudah tidak punya ayah, dia masih ada emak. Pernahkah Ziyad fikirkan perasaan emaknya apabila anak perempuannya diperlakukan orang sebegitu rupa? Mesti emak sedih. Mesti emak malu.

Tetapi... kalau bernikah dan sah menjadi isteri Ziyad, akan lenyaplah beban berat sebagai ketua keluarga yang selama ini ditanggungnya. Ziyad sudah pasti memenuhi janji untuk memberi nafkah zahir padanya. Hidupnya, emak, Faiz dan Arisha akan lebih terjamin.

Namun, bagaimana pula dengan nafkah batin? Hisy, dia malu memikirkan hal itu. Ziyad tidak mahu menuntut haknya sebagai suami? Hmm… lagi bagus! Ainin tidak perlu susah payah melayan kehendak Ziyad. Arisha pun masih kecil. Buatnya ada rezeki, Arisha dapat adik, bukankah mencari bala namanya itu? Di mana hendak disorokkan perutnya yang membuncit nanti? Tentu orang menuduh dia mengandungkan anak luar nikah! Eeii... tak sanggup!

Dua, tiga hari lagi, Hisyam akan datang menuntut janjinya. Di mana hendak dikoreknya duit sewa rumah yang sudah lima bulan tertunggak? Hisyam mengugut hendak menghalaunya sekeluarga jika gagal melunaskan hutang sebanyak RM1000 itu atau dikira langsai jika dia sudi berkahwin dengan lelaki itu. Huh! Daripada kahwin dengan Hisyam lebih baik dia berkahwin dengan Ziyad. Walaupun cuma kahwin di atas kertas, sekurang-kurangnya dia tahu Ziyad lebih bertanggungjawab daripada Hisyam yang kaki judi dan kaki rayap!

“Awak hiduplah dalam dunia awak tu. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Orang nak bagi awak hidup selesa awak tak nak! Saya kata awak bongkak, awak marah!”

Dia terkenang lagi kata-kata Ziyad tadi. Hangat hatinya mengingatkan cara Ziyad mengumpamakan kehidupannya, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dia ingat aku ni ayam ke? Tahulah aku ini miskin tapi belum sampai hidup melarat seperti yang diumpamakan Ziyad!

Kalau itu anggapan Ziyad terhadapnya, elok Ainin terima saja lamaran itu. Dia tidak akan terjejas sedikit pun jika menjadi isteri ‘sulit” Ziyad. Ziyad yang akan berdepan dengan seribu satu macam masalah apabila membuat keputusan gilanya mahu berkahwin dengannya.

Jika rahsia ini terbongkar? Biarlah! Biar Ziyad sendiri mencari jalan penyelesaian. Bukankah dia juga yang gatal mulut mengajaknya menikah?

Ainin berpaling ke sebelah kiri. Arisha sedang tidur nyenyak di sebelahnya. Selimut yang terletak di hujung kaki Arisha ditarik sehingga menutupi dadanya. Malam ini cuaca agak sejuk. Angin bertiup kencang. Mungkin malam ini hujan akan turun. Sebab itulah tubuh Arisha dibalut kemas-kemas dengan selimut tebal. Bimbang Arisha kesejukan dan mungkin menyebabkannya terkena selsema.

Mak Ipah yang tidur di sebelah Arisha dipandang. Emak kelihatan tidak selesa. Kejap-kejap dia berbaring mengiring, kemudian menelentang. Emak bagaikan resah memikirkan sesuatu. Entah perkara apa yang emak fikirkan.

“Mak tak tidur lagi?” tanya Ainin apabila melihat mata Mak Ipah terbuka sedikit.

“Tak. Tak boleh tidur,” jawab Mak Ipah dan terus duduk berlunjur kaki di atas tilam.

“Kenapa, mak?”

“Mak risaukan sewa rumah ni. Masa Ainin keluar dengan Encik Ziyad tadi, Hisyam datang. Mak kata Ainin tak ada. Dia kata, minggu depan dia akan datang semula. Dia suruh sediakan sekali duit seribu. Kalau tak ada, dia kata kita kena cari rumah lain. Dia tak kasi kita duduk sini lagi,” kata Mak Ipah sambil memicit kepala yang tiba-tiba terasa pening.

“Hisyam datang? Kenapa mak tak cakap dengan Ainin?” Ainin susah hati.

“Mak tak mahu Ainin risau. Kalau mak cakap pun, kat mana Ainin nak cari duit tu?”

Ainin diam. Berfikir. Patutkah aku ceritakan lamaran Ziyad tadi?

“Mak… tadi Encik Ziyad ada beritahu Ainin suatu perkara penting. Ainin nak minta pendapat mak,” jelas Ainin perlahan.

“Apa dia?” Mak Ipah berpaling memandang Ainin. Ketika anaknya pulang dari keluar bertemu Ziyad tadi, dia sudah berkira-kira hendak bertanya sebab-sebab Ziyad mengajak keluar tetapi terus terlupa kerana asyik mengenangkan kedatangan Hisyam tadi.

Ainin tidak terus menjawab. Termenung sejenak.

“Encik Ziyad… ajak Ainin… nikah.” Suaranya tersekat-sekat. Sukarnya dia mahu menjelaskannya kepada emak.

“Apa?!” Bagai sudah diduga, Mak Ipah terkejut besar.

“Encik Ziyad nak kahwin dengan Ainin, tapi... perkahwinan tu nanti tak seperti perkahwinan biasa.” Ainin kuatkan hati menjelaskannya kepada emak. Apa-apa pun, dia perlu meminta pendapat emak. Sama ada emak setuju atau tidak, dia hanya menurut.

“Apa maksud Ainin bukan seperti perkahwinan biasa?” tanya Mak Ipah. Pelik mendengarnya. Kalau kahwin, kahwin sajalah. Mengapa mesti ada biasa dengan luar biasanya?

“Encik Ziyad suruh kita rahsiakan perkahwinan ni. Dia tak mahu sesiapa pun tahu, terutama keluarganya. Niat Encik Ziyad kahwin dengan Ainin kerana nak bantu keluarga kita. Dia kesian tengok hidup kita sekeluarga,” terang Ainin. Tidak berani memandang muka emak.

Mak Ipah terdiam. Fikirannya tambah bercelaru mendengar kata-kata Ainin. Perkahwinan apa namanya jika disuruh berahsia? Nampak sangat Ziyad tidak ikhlas menjadikan Ainin isterinya. Baik tidak usah kahwin daripada hidup berpura-pura. Begitulah yang difikirkannya.

“Kenapa pulak Encik Ziyad tak mahu mak ayahnya tahu?” selidik Mak Ipah.

“Dia takut mak ayahnya tak benarkan dia kahwin dengan Ainin.”

“Encik Ziyad sayangkan Ainin ke?”

“Tak, mak. Ainin pun tak ada perasaan langsung pada dia. Dia nak kahwin dengan Ainin sebab nak tolong keluarga kita. Hari tu Encik Ziyad ada bagi Ainin duit untuk langsaikan hutang Hisyam tapi Ainin tak terima duit tu. Ainin tak nak berhutang dengan Encik Ziyad, mak.”

“Lepas tu Ainin ada suruh Encik Ziyad kahwin dengan Ainin ke?” Mak Ipah sebenarnya hairan mendengar berita yang timbul secara tiba-tiba itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba anaknya akan berkahwin sekali lagi. Dengan anak orang kaya pula tu!

“Tak, mak! Tiba-tiba aje Encik Ziyad ajak Ainin kahwin. Ainin tak nak kahwin rahsia macam tu tapi… kalau Ainin kahwin dengan Encik Ziyad, sekurang-kurangnya masalah kita akan selesai. Apa pendapat mak?”

“Entahlah, Ainin. Mak pun tak tahu apa nak cakap. Terpulanglah pada Ainin. Kalau Ainin rasa perkara tu baik, terima ajelah pinangan Encik Ziyad tu. Mak ikut aje,” kata Mak Ipah. Dia malas berfikir banyak-banyak. Banyak berfikir bukan dapat menyelesaikan masalah. Semakin bertambah sakit kepalanya. Biarlah. Apa nak jadi, jadilah. Tetapi, apa-apa pun dia tetap mendoakan yang terbaik untuk anaknya, Ainin Sofiya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.