Selepas menunaikan solat maghrib,
Ainin ke dapur menyediakan makan malam. Arisha yang sudah pandai meniarap dan
menelentang dibiarkan bermain-main sendiri. Sesekali Faiz yang duduk
berhampiran, mengagah-ngagah anak saudaranya dengan pertuturannya yang sedikit
pelat. Tersenyum sendiri Ainin melihat
keletah kedua-dua permata hatinya itu.
Ainin membawa mangkuk nasi
lalu diletakkan ke atas meja kecil di ruang tamu. Di situlah biasanya tempat
mereka menjamu selera. Hendak makan di dapur, ruangnya hanya muat untuk
memasak. Kalau diletakkan lagi meja dan kerusi, susah pula mahu bergerak.
Mangkuk berisi gulai lemak
kuning nangka muda dan ikan kembung goreng dibawa ke depan. Turut serta
sepiring sambal belacan dan beberapa batang kacang botol untuk dibuat ulam.
Sedang sibuk menyiapkan meja
makan, kedengaran dari luar, bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumah.
Beberapa saat kemudian, terdengar pula suara orang memberi salam.
Siapa tu? Hisyamkah? Hati
Ainin sudah mula cuak. Kalau si pemberi salam itu Hisyam, dia tidak mahu
membuka pintu. Lantaklah kalau Hisyam mahu menjerit sekuat hati hingga tercabut
anak tekak. Tetapi, macam mana kalau orang lain yang datang?
Ainin menjengah ke bilik.
Emak sedang berwirid panjang sementara menanti masuk waktu isyak. Bila sudah
berwirid, emak seperti tidak kisah dengan dunia luar. Patutkah diganggu emak
yang sedang khusyuk mengumpul pahala buat bekalan di akhirat?
Rambut panjangnya segera
diikat. Kemudian, Ainin mencapai tudung
yang tersangkut di tempat penyidai dan disarungkan di kepala. Bagi memastikan
siapa yang datang, dia menolak sedikit daun pintu dan mengintai ke luar.
Di luar, tersadai sebuah
kereta mewah berkilat. Seorang lelaki sedang berdiri sambil bersandar di badan
kereta. Orang itu ialah... Ziyad?
Apa yang dia mahu
malam-malam macam ni? Nak suruh aku kerjaovertime ke? Huh!
Tak ingin aku! Hatinya membentak geram.
Marah Ainin pada Ziyad
kerana sedap-sedap mengatanya bongkak, masih berbekas di kalbu. Kalau boleh,
Ainin tidak mahu bertentang muka dengan Ziyad sebelum marahnya reda. Namun, apakan
daya, dia bekerja di rumah Ziyad.
Mahu tidak mahu Ainin
terpaksa juga berhadapan dengan Ziyad dan melayan kerenah anak muda yang sukar
diramalmoodnya itu. Sekejap baik dan adakalanya tegang semacam.
“Saya dah nampak awak. Tak
payah nak main sembunyi-sembunyi lagi. Keluarlah,” kata Ziyad sambil memandang
Ainin yang mengintai di balik pintu.
“Encik Ziyad nak apa?”
Ainin malas keluar bertemu
Ziyad. Apalagi dengan berpakaian bajukaftan yang
agak jarang bila disuluh cahaya. Hisy, malunya!
“Saya nak cakap sikit
dengan awak. Jom kita keluar kejap,” ajak Ziyad dengan muka serius.
Sememangnya Ziyad
bersungguh-sungguh mahu berbincang dengan Ainin. Cadangnya mahu bertemu
Ainin petang tadi tetapi sepulangnya
dari pejabat, wanita itu sudah pulang ke rumah.
Di pejabat tadi, dia berasa
tidak tenteram kerana sering teringatkan Ainin. Hatinya merusuh selagi tidak
berjaya membantu Ainin menyelesaikan masalah kewangannya.
Ainin pula terkejut sedikit
mendengar pelawaan Ziyad. Keluar? Dia ajak aku keluardating ke? Biar betul dia ni! Hatinya bergetus curiga. Matanya mengecil
memandang Ziyad, tidak percaya dengan bicara yang sampai ke telinganya.
“Tak payah fikir-fikir
lagi. Jom keluar, Ainin. Kita minum aje sebab saya kenyang lagi, baru lepas
makan nasi. Sedap betul sup tulang yang awak masak tadi. Sampai dua kali saya
tambah nasi. Awak ni memang pandai masaklah, Ainin. Bertuah betul saya dapat
pembantu rumah yang pandai masak macam awak.” Melambung-lambung pujian Ziyad
untuk pembantu rumahnya. Begitupun, pujian itu sememangnya benar-benar ikhlas
untuk Ainin.
Mendengar kata-kata Ziyad,
hati Ainin sudah berubah rentaknya. Bukan kerana puji-pujian itu tetapi sebab
lain. Sudah beberapa kali dia mendengar Ziyad menyebut namanya sedangkan
sebelum ini hanya berawak-awak saja. Selepas itu sikap Ziyad nampak lain macam
sedikit.
Apa maksudnya tu? Dia buat
begitu untuk ambil hati aku ke? Supaya aku maafkan dia atas keterlanjurannya
mengata aku bongkak dan bodoh sombong tu? Ainin menduga di dalam hati. Walaupun marah masih membekam
di dada, Ainin tidak bercadang untuk menyimpannya terus dalam hati. Dia lebih
senang membiarkan rasa marah itu berlalu ditelan waktu.
“Jangan bimbang, saya bukan
suka-suka ambil masa awak. Masa yang awak ambil untuk temankan saya nanti, saya
kiraovertime. Ataupun saya perlu minta izin dari mak awak untuk ajak awak
keluar?” Ziyad tersenyum-senyum mengusik Ainin.
“Eh, tak payah!” bantah
Ainin cepat. Nanti lain pula anggapan emak pada hubungan mereka. Macam orang
bercinta saja. Mahu keluar berdua, perlukan izin orang tua! “Encik Ziyad nak
cakap pasal apa?” tanyanya malas.
“Adalah...” jawab Ziyad
singkat.
“Tunggu kejap, saya
beritahu mak saya,” kata Ainin setelah
berfikir sejenak. Dia masuk ke dalam semula dan terus melangkah ke bilik.
Mak Ipah sudah selesai
mengerjakan solat isyak dan sedang menyidai telekung di ampaian.
“Mak, boleh tak Ainin
keluar kejap?”
“Nak ke mana?”
“Tak tahu. Encik Ziyad ajak
Ainin keluar,” terang Ainin tanpa
berselindung.
“Encik Ziyad ajak keluar?
Ada apa?” Mak Ipah tersentak mendengarnya. Tidak pernah-pernah pula majikan
anaknya itu mengajak Ainin keluar malam. Ada hal pentingkah hingga tidak boleh
menunggu sampai esok?
Di rumah Hajah Fauziah
tadi, Ainin ada buat salahkah? Manalah tahu ada barang hilang dan Ainin dituduh
mencuri. Hatinya yang cuak mula berfikir yang bukan-bukan.
“Entah... katanya ada hal
penting.”
“Hal penting apa?”
“Entah, mak. Ainin pun tak
tahu.”
Setelah berfikir sejenak,
Mak Ipah mengangkat muka memandang Ainin Sofiya. “Boleh keluar tapi jangan lama
sangat,” pesannya.
“Baiklah.” Ainin akur
arahan emak. Faham maksud emak yang bimbangkan Arisha. Takut si kecil itu
menangis mencari ibunya. Arisha kalau hendak tidur, kena menyusu badan dulu.
Selepas itu ditepuk-tepuk punggungnya. Barulah si manja itu boleh terlelap.
Sambil menukar pakaian yang
lebih sesuai, telinga Ainin menangkap
suara perbualan orang di luar rumah. Suara emak dan Ziyad. Tentu emak melayan
Ziyad berbual sambil menantinya menukar pakaian.
Sesudah menepek muka dengan
sedikit bedak kompak, dia keluar dari bilik. Malas hendak berhias
cantik-cantik. Dia bukannya keluar mahu memikat Ziyad. Dia pun sedar siapa
dirinya di mata Ziyad. Lagipun dia sedar Ziyad sudah punya teman wanita
istimewa. Masakan boleh disamakan taraf pembantu rumah dengan kekasih hatinya
yang cantik lawa itu?
Ziyad hanya buat muka
bersahaja ketika melihat Ainin di muka
pintu.
Setelah mencium pipi Arisha
yang berada di dalam dukungan Mak Ipah, dia cepat-cepat keluar menuju ke kereta
Ziyad. Takut Arisha merengek mahu mengikut. Tadi pun wajah puterinya sudah
mencemik sedih bila melihat dia sudah lengkap bertudung. Kecil-kecil begitu pun
Arisha sudah pandai mengagak akan ditinggalkan ibu sebentar lagi.
Pintu kereta ditutup.
Kereta mula bergerak meninggalkan rumah Mak Ipah.