Jam belum menunjukkan pukul
7.00 pagi, tetapi Ainin sudah tiba di
rumah Hajah Fauziah dengan menunggang motosikal barunya.
“Awal datang hari ni,
Ainin?” sapa Hajah Fauziah sebaik membuka pintu utama. Dia nampak terkejut
sedikit melihat motosikal yang ditunggang Ainin sudah bertukar jenisnya.
“Hmm… ya,puanhajah.
Hari ni saya tak tunggu kat gerai nasi lemak. Lepas hantar nasi lemak pada
orang yang tolong jualkan tu, saya terus ke mari,” ujar Ainin memberi alasan.
Ainin sebenarnya punya
sebab lain datang awal hari ini. Awal pagi semalam, Ziyad sudah mengarahkannya
supaya segera bersiap sedia. Mereka merancang untuk menikah minggu depan. Oleh
itu, dia perlu memohon cuti awal untuk memberi masa pada Hajah Fauziah bersedia
apa-apa yang patut. Kalau tidak, kelam-kabut wanita itu nanti bila dia
tiba-tiba tidak datang bekerja.
“Motosikal baru ke?” tanya
Hajah Fauziah dengan senyuman.
“Err… ya, Puan Hajah.
Motosikal secondhand aje. Saya bayar ansur. Yang dulu tu saya dah hantar ke kedai besi
buruk,” gurau Ainin. Ketawa kecil.
“Eloklah awak tukar.
Motosikal awak yang lama tu dah buruk sangat. Bahaya kalau awak terus bawa di
jalan yang sibuk macam di Puchong ni.” Hajah Fauziah bersetuju dengan tindakan
Ainin membeli motosikal baru.
Sambil bercakap, Ainin
sempat mengerling sekilas ke arah Ziyad yang berwajah selamba duduk menemani
abahnya bersarapan di meja makan.Track bottom danT-shirt masih melekat di badan Ziyad. Mungkin belum mandi kerana waktu
masih terlalu awal untuknya ke pejabat.
“Awak bawa apa tu?” tanya
Hajah Fauziah memandang bungkusan plastik di tangan Ainin.
“Nasi lemak dengan kuih.
Ada lebih, saya bawa sini sikit. Puan
hajah nak rasa?”
“Boleh juga,” jawab Hajah
Fauziah yang gembira dapat merasa nasi lemak Ainin. Pagi ini pun tiada sarapan
berat yang disediakan untuk suami dan anak-anaknya kerana terlewat bangun pagi.
“Nanti saya letakkan dalam
pinggan,” kata Ainin dan terus menuju ke dapur. Nasi lemak dan kuih-muih
diletakkan ke dalam pinggan dan
dihidangkan di atas meja makan.
Hajah Fauziah sudah duduk
di meja makan bersama Haji Marzuki dan Ziyad. Farhana seperti biasa masih di
biliknya. Sedang bersiap dan selalunya tidak pernah sempat bersarapan pagi.
Hajah Fauziah menghulurkan
sebungkus nasi lemak kepada suaminya. Sebungkus lagi diletakkan ke dalam
pinggannya sendiri. Pada Ziyad cuma dihulurkan pinggan berisi kuih koci dan
pulut panggang kerana mengetahui anak lelakinya itu tidak gemar bersarapan
berat pada waktu awal pagi.
“Sedap nasi lemak ni,” puji
Haji Marzuki perlahan. Hanya didengari isteri dan anaknya.
Ainin yang sudah bergerak
semula ke dapur, tidak mendengarnya.
“Yalah. Sambal ikan
bilisnya sedap. Tak pedas sangat. Ziyad nak rasa?” Hajah Fauziah yang bersetuju
dengan pendapat suaminya menggoda Ziyad untuk menjamah sama nasi lemak Ainin.
“Lain kalilah, umi,” jawab
Ziyad dengan tangan mencapai sekeping kuih koci pulut hitam. Kuih yang sebelum
ini tidak dipandang tetapi sejak merasanya buat kali pertama dulu terus jatuh cinta dan hampir setiap hari
mengidam untuk memakannya.
Ainin ke depan membawa
seteko kecil air kopi yang baru dibancuh. Kopi yang dibancuh Hajah Fauziah
sebelum ini sudah luak separuh. Jadi dia membancuh yang lain.
“Awak yang masak nasi lemak
ni, Ainin?” tanya Hajah Fauziah yang sudah menghabiskan sebungkus kecil nasi
lemak. Kerana keenakannya, Haji Marzuki sudah mencapai sebungkus yang lain.
“Ya, saya yang masak.
Kenapa, puan hajah?” Ainin tidak sedap hati mendengar soalan Hajah Fauziah.
“Sedap,” puji Hajah
Fauziah.
Haji Marzuki menganggukkan
kepala tanda sependapat dengan kata-kata isterinya.
Ainin tersenyum senang
mendengar puji-pujian itu. Muka Ziyad yang bersahaja mengunyah kuih pulut
panggang, direnung dengan perasaan serba salah. Nak cakap kepada Hajah Fauziah
sekarang atau sekejap lagi? Hatinya berbelah bahagi. Sekaranglah, putusnya kemudian.
Buatnya Hajah Fauziah terus pergi kerja selepas bersarapan, susah pula dia
nanti. Terpaksa menanti hingga ke petang untuk bersemuka lagi dengan wanita
bekerjaya itu.
“Puan hajah, err... saya
nak cakap sikit dengan puan hajah.” Ainin bersuara terketar-ketar sedikit.
Takut Hajah Fauziah tidak membenarkan dia mengambil cuti.
“Apa dia, Ainin?” tanya
Hajah Fauziah sambil mendongak memandang Ainin yang berdiri tegak di
hadapannya.
“Err... saya… saya nak
minta cuti. Saya nak balik kampung. Kakak saya kat kampung buat kenduri sikit.
Dia jemput saya sekeluarga. Saya pun sebenarnya dah lama tak balik kampung
jumpa kakak saya tu,” jelas Ainin, cuba bersikap setenang mungkin.
“Awak nak balik mana?”
tanya Hajah Fauziah.
Hairan sedikit mendengar
Ainin menyebut kampung. Dia tidak pernah tahu Ainin ada kampung lain selain
kampung yang dia menetap sekarang.
“Balik Muar.”
“Oh… Bila awak nak ambil
cuti?”
“Minggu depan.”
“Berapa hari?”
“Empat hari. Mula hari
Khamis sampai hari Ahad,” jelas Ainin. Berdebar menanti jawapan Hajah Fauziah.
Hajah Fauziah diam. Setelah
menimbang di dalam hati, dia mengangkat kepala memandang Ainin. “Baiklah,
Ainin. Saya benarkan,” putusnya kemudian.
Lega Ainin mendengar kata
putus daripada bibir majikannya. Muka Ziyad sempat dijeling sekilas. Walaupun
tidak secara jelas, dia pasti telah melihat riak kelegaan terpamer pada wajah
itu.
Ziyad pula sepanjang
kehadiran Ainin di meja makan, langsung tidak menoleh atau menegur wanita itu.
Mungkin tidak mahu uminya mengesan hubungan rapat yang terjalin antaranya
dengan Ainin. Tidak mahu umi dan abahnya mengesyaki apa-apa. Rancangan yang
sudah dirangka di kepala mungkin gagal jika umi dan abah mula memandang serong
pada mereka berdua.
“Terima kasih, puan hajah,”
sambut Ainin gembira.
“Awakdah habis buat
persiapan?” tanya Ziyad yang menjengah ke dapur untuk bersembang sebentar
dengan Ainin sebelum berangkat ke pejabat.
Dia sudah menukar pakaian
ke pejabat. Wajah yang sedia kacak itu kelihatan bertambah tampan dengan rambut
kemas tersisir rapi. Memandangnya, membuatkan hati Ainin malu sendiri. Rasa
tidak percaya pemuda setampan Ziyad akan menjadi suaminya sedikit hari lagi.
Bagaimana perasaannya yang
bakal bergelar isteri? Entahlah. Dia tidak pandai mentafsir perasaan sendiri.
Apa yang pasti, perasaannya macam biasa saja. Tidak ada debar mengulit rasa
seperti sewaktu mahu bernikah dengan arwah Abang Hairi dulu. Mungkin kerana
tiada rasa cinta terjalin antaranya dan Ziyad. Tetapi betul juga. Untuk apa
difikirkan sangat? Bukankah perkahwinan yang bakal tercipta itu hanya di atas
kertas?
“Sudah. Ada tinggal
sikit-sikit lagi tapi tu semua kena tunggu hari nikah nanti,” jawab Ainin yang
memilih untuk bernikah di rumah Kak Anida, kakaknya yang tinggal di bandar Muar
kerana mudah membuat persiapan.
Kak Anida, suri rumah sepenuh
masa, jadi bukan masalah besar untuk dia menguruskan persiapan perkahwinan
Ainin. Beri saja duit, pandailah kakaknya yang cergas itu menyediakan apa-apa
yang patut. Hendak diharapkan Ainin menyiapkan segala keperluan dalam masa dua bulan?
Pengsan Ainin!
“Encik Ziyad pulak macam
mana?” Bertanya pula Ainin Sofiya.
“Awak jangan risau. Saya
dah siapkan semuanya.”
Ziyad meminta bantuan Abang
Idris, pekerja am di pejabatnya untuk menguruskan segala hal yang berkaitan
dengan pernikahannya. Dia sengaja memilih orang yang bukan dari kalangan ahli
keluarganya untuk mengelak rahsia itu meletup di telinga insan-insan yang rapat
dengannya.
Pada Abang Idris, awal-awal
Ziyad sudah berpesan agar menyimpan rahsia pernikahannya kemas-kemas agar tiada
seorang pun dapat tahu. Dia tidak mahu orang lain tahu yang dia akan bernikah
dengan pembantu rumahnya sendiri. Lebih-lebih lagi Ashri, rakan kongsinya yang
rapat dengan Shafinaz. Mati dia kalau rahsia itu sampai di telinga Shafinaz.
Kebaslah mulut Ziyad nanti memujuk Shafinaz yang kuat merajuk.
“Ini hadiah untuk awak,”
kata Ziyad sambil menghulur sebuah beg plastik kecil berwarna putih kepada
Ainin.
Hadiah? Tersentak Ainin
mendengarnya. Belum jadi suami, tiba-tiba Ziyad sudah menghadiahkan sesuatu
buat bakal isterinya. Dia memang baik hati, detik hatinya memuji Ziyad.
Walaupun teragak-agak dan fikiran dilanda serba salah, tangan dia bergerak juga
menyambut beg plastik itu.
“Apa ni?” tanyanya. Membuka
sedikit beg plastik dan menjengah ke dalamnya.
“Bukalah dan tengok isi
dalamnya,” arah Ziyad.
Ainin menurut. Sebuah kotak
sederhana besar di dalam beg plastik putih dikeluarkan. Sebaik saja kotak
dibuka, matanya terbeliak. Telefon bimbit! Jenamanya popular di merata dunia.
Bentuknya pun moden, tidak seperti telefon bimbit arwah Abang Hairi yang sudah
ketinggalan zaman. Harganya juga sudah pastilah berganda-ganda!
“Mahal tu. AdaBluetooth dan boleh guna internet sekali. Jaga elok-elok,” pesan Ziyad
dengan mata merenung lama wajah Ainin.
Bluetooth? Apa
bendanyaBluetooth tu? Kalau internet tu aku tahulah. Tapi kalau ada pun buat apa?
Bukan aku tahu guna benda-benda tu semua! Dia kebingungan memandang peranti
moden di tangannya.
“Mari sini handset tu. Saya masukkan nombor telefon saya. Senang awak nak contactsaya nanti.” Tanpa menunggu, Ziyad mengambil telefon bimbit di
tangan Ainin. Setelah memasukkan nombor telefonnya, nombor telefon rumah, umi,
abah dan Farhana, telefon bimbit jenis Nokia itu di hulurkan kembali kepada
Ainin.
“Saya dah masukkan semua
nombor penting. Apa-apa hal,call saya.
Jangan risau, bil saya bayar. Tapi jangan pulak awak suka-sukacall orang berjam-jam sampai bil melambung. Saya potong line telefon tu nanti,” ugut Ziyad.
Ainin tidak menjawab. Masih
terpegun memandang telefon bimbit canggih di tangannya.
“Kenapa?” tanya Ziyad yang
hairan melihat Ainin diam membisu macam
patung.
“Tak... tak ada apa-apa.”
“Tak tahu nak guna ke?
Kejap lagi awak tahulah nak guna handset tu.
Bukannya susah sangat. Awak bercadang nak masak apa hari ni, Ainin?” Ziyad
memusing tajuk perbualan pada hal lain pula.
“Tak tahu lagi.”
“Awak masak asam pedas ikan
parang, ya? Bubuh bunga kantan macam awak masak hari pertama awak datang dulu,”
pinta Ziyad sambil merenung lembut muka Ainin.
“Err… boleh. Tapi ikan
parang tak ada. Ikan merah adalah.”
“Hmm… ikan merah masak asam
pedas. Sedap juga tu,” sambut Ziyad. Mula merindui masakan Ainin yang
diangggapnya mengalahkan tukang masak terkenal.
Ziyad keluar dari dapur
meninggalkan Ainin termangu sendirian.
Asam pedas lagi? Tidak
jemukah Ziyad makan lauk asam pedas? Baru dua hari lepas dia masak asam pedas
daging cencang cara orang Melaka yang dibubuh sedikit rempah kari di dalamnya.
Tidak habis-habis keluarga Hajah Fauziah memuji masakannya. Hari ini Ziyad
sudah mengarah memasak lagi lauk kegemarannya itu.
Hmm… lama-lama nanti, muka
dia pun jadi masam macam kuah asam pedas. Hatinya berbisik mengata bakal
suaminya.
Dalam asyik mengutuk Ziyad,
matanya tidak lepas-lepas memandang telefon bimbit pemberian pemuda itu tadi.
Baiknya hati dia beri aku handset mahal macam ni. Tapi…macam
mana nak guna benda ni? Dia termenung jauh. Bingung.