Hari minggu, Ziyad dan Ainin
berkemas untuk pulang ke Kuala Lumpur.
“Esok awak nak sambung cuti
ke? Kalau awak nak, telefon umi. Saya tak boleh cakapkan bagi pihak awak. Takut
umi syak yang bukan-bukan nanti,” kata Ziyad sambil menatap wajah Ainin yang
keletihan.
Sejak hari Khamis lepas,
Ainin sudah pulang ke rumah Kak Anida. Membantu Kak Anida membuat persiapan
untuk hari pernikahannya. Dia penat dan tidak cukup rehat. Sebab itu mukanya
kelihatan pucat.
Malam tadi, sebaik saja
masuk ke bilik pengantin, dia terus
merebahkan diri ke atas katil. Tidak sampai setengah jam, wanita itu sudah
terlelap. Ziyad yang tidur di atas lantai dengan beralaskan selimut, tidak
dipedulikannya. Sama ada Ziyad selesa atau tidak tidur di situ, Ainin langsung
tidak ambil kisah. Lantak. Pandai-pandailah Ziyad menguruskan diri sendiri.
Mengapa mesti dia pedulikan Ziyad? Bukankah itu permintaan Ziyad sendiri?
“Puan hajah tak marah ke
nanti? Kalau saya sambung cuti, maknanya lima hari saya bercuti. Saya takut
puan hajah merungut nanti. Gaji pun nanti tak dapat penuh,” balas Ainin menyatakan kebimbangannya.
“Kenapa awak risau sangat
pasal gaji? Bukan ke saya yang bayar gaji awak? Kalau awak nak sambung cuti,
baik awak telefon umi saya awal-awal. Tak adalah umi kelam-kabut nanti.”
“Alasan apa saya nak bagi
pada puan hajah?”
“Cakap aje awak penat
tolong Kak Nida kemas rumah.”
“Boleh ke puan hajah terima
alasan tu?”
“Takkan umi nak marah awak
pulak? Dah awak kata penat... takkan nak paksa juga awak kerja? Jangan risau,
umi saya tu jenis tak kisah orangnya. Saya yakin dia boleh terima alasan awak.”
“Tak apalah. Esok saya
datang kerja. Kesian pulak puan hajah.”
“Hmm… suka hati awaklah!”
Ziyad malas mendesak Ainin. Dia yang bersimpati pada Ainin hanya memberikan
usul. Terpulang pada Ainin mahu menerimanya atau tidak. Jangan pula Ainin jatuh
pengsan ketika melakukan kerja-kerja rumah. Nanti menyusahkan orang lain pula!.
Wajah manis yang dilindungi
tudung berwarna krim itu dikerling dengan ekor mata. Sejak bernikah pagi
semalam hingga hari ini, Ziyad belum pernah melihat walau sehelai pun rambut
Ainin. Kepalanya sentiasa berbungkus walaupun semasa tidur. Biarpun akad nikah
telah diangkat dan Ziyad sebagai suami halal melihat tubuh isterinya dari
hujung rambut hingga ke hujung kaki, Ainin seperti tidak bersedia mempamerkan
apa yang menjadi miliknya. Mungkin Ainin masih menganggap dia bukan mahramnya.
Tidak mengapalah. Dia pun tidak kisah. Dia bimbang jika terlebih memandang,
bukan mustahil perasaannya terhadap Ainin akan berubah sedangkan dia mahu
perasaannya kekal begitu.
“Pukul berapa kita nak
bertolak ni?” tanya Ainin ketika melihat Ziyad menyisir rambut di hadapan
cermin.
Subuh-subuh
lagi, Ziyad sudah siap mandi dan keluar dari bilik air, lelaki itu telah
lengkap berpakaian, sementara Ainin masih dengan baju kaftannya. Disebabkan keletihan, dia terlewat
bangun pagi tadi. Hanya sempat menggosok gigi kerana mahu mengejar waktu subuh
yang hampir ke penghujungnya. Hendak mandi, bilik air yang cuma ada sebuah itu
sentiasa penuh. Terpaksa bergilir dengan saudara-mara dan anak-anak buah yang
masih ramai di rumah Kak Anida.
“Kita balik lepas sarapan.
Saya tak mahu sampai rumah lewat. Esok saya kerja,” jawab Ziyad sambil
memandang Ainin yang duduk di birai
katil.
Ziyad kelihatan tampan bila
mengenakan seluar jean dan kemeja T berwarna hitam berbelang kuning. Belum
pernah Ainin melihat Ziyad berpakaian ringkas begitu. Biasanya, setiap kali
bertemu Ziyad, pemuda itu tidak lekang dengan kemeja dan tali lehernya.
“Encik Ziyad tak risau ke
kalau puan hajah bertanya ke mana Encik Ziyad pergi dua hari ni?” tanya Ainin
yang tiba-tiba terfikir ke situ.
“Saya kata dengan umi, saya
pergiout station. Saya rasa umi percaya dengan alasan saya tu sebab saya memang
kerap pergi out station. Awak tak perlu bimbang. Yang saya risaukan awak tu. Takut awak
tersilap cakap pada umi saya nanti. Ingat, Ainin... lepas ni awak kena jaga
tutur kata awak. Saya takkan maafkan awak kalau awak tersilap cakap,” balas
Ziyad seperti mengugut Ainin pula.
Terkedu Ainin mendengarnya.
Matanya tunak memandang wajah Ziyad menerusi cermin besar. Dari ucapan tegas
tadi, jelas menunjukkan Ziyad tidak bersenda dalam melahirkan isi hatinya.
Nampaknya selepas ini Ainin kena lebih berhati-hati dan berfikir dahulu sebelum
melontarkan kata-kata.
“Malam tadi dengan Kak
Nida, awak hampir-hampir tersilap cakap. Lain kali pandai-pandailah berlakon
sikit. Nampak sangat awak tak guna otak yang Allah
bagi tu dengan sebaik-baiknya,” kutuk Ziyad dengan muka keruh bagaikan
air Sungai Kelang selepas hujan lebat.
Kata-kata Ziyad tidak
dibalas. Ainin akui kesilapan sendiri. Dia memang suka bercakap lepas dan tidak
berfikir panjang. Malam tadi sewaktu bersembang dengan kakak dan abang iparnya,
dia hampir-hampir memanggil suaminya dengan panggilan ‘Encik Ziyad’. Mujur dia
terperasankan mata Ziyad mencerlung memandangnya bagaikan memberi amaran. Terus
diubah panggilannya menjadi ‘abang’.
Abang! Janggal benar bibir
Ainin menuturkannya. Sudah lama dia tidak menyebut panggilan itu. Semenjak
Abang Hairi pergi menghadap Ilahi,
sejak itulah Ainin Sofiya berhenti menyebutnya. Hendak menjadikan Ziyad sebagai
pengganti Abang Hairi? Tidak! Baginya, belum ada sesiapa pun yang layak
mengambil tempat Abang Hairi di hatinya.
“Maafkan saya. Lepas ni
saya akan lebih berhati-hati,” janji Ainin.
Ziyad hanya menjeling
mendengarnya. Belum habis marahnya pada Ainin. Tiba-tiba telefon bimbitnya di
dalam poket seluar berbunyi nyaring. Dengan pantas dia menyeluk poket,
mengeluarkan telefon bimbitnya. Nampak saja nama yang tertera pada skrin
telefon, senyumannya berbunga.
“Hai, sayang!” sapa Ziyad
riang dengan suara berbisik.
Ziyad memalingkan muka
membelakangkan Ainin. Telefon selular dilekapkan ke telinga. Sambil menundukkan
kepala, dia tekun mendengar bicara si pemanggilnya.
“I tak boleh datang. I ada kat
Muar sekarang,” kata Ziyad.
Ainin yang sedang
menyelongkar beg pakaian, memasang telinga. Siapakah gerangan yang menelefon
Ziyad? Kekasihnyakah? Mungkin gadis yang bernama Shafinaz yang kerap
disebut-sebut Ziyad. Patutlah senyuman Ziyad melebar sampai ke telinga. Buah
hati pengarang jantungnya yang menelefon!
“I pergi kenduri kahwin
kawan I. Pagi ni I balik. Sampai KL mungkin tengah hari. You tunggu. Sampai
nanti, Icall,” sambung Ziyad sambil ketawa gemersik.
Kenduri kahwin kawan? Hmm…
pandai betul Ziyad menipu. Orang yang di sana pula mati-mati kena ‘goreng’ dengan buah hati sendiri. Hendak buat macam
mana? Mahu terus hidup mesti cekap menipu!
“I miss you, Naz. I can’t wait to see you,” bisik
Ziyad kemudian.
Eleh... Cakap orang putih
tu macam tak nak aku tahu apa maknanya, desis Ainin di dalam hati. Dia bukannya
bodoh sangat sampai langsung tidak mengerti apa maksud ucapan Ziyad kepada
kekasihnya tadi. Dia ini berkelulusan SPMlah! Bukan mahu mendabik dada tetapi
kertas Bahasa Inggerisnya masih berpangkat kredit!
Malas mendengar lebih
lanjut perbualan Ziyad dengan buah hatinya, Ainin terus keluar dari bilik
membawa bersama sepasang baju kurung berwarna hijau pucuk pisang. Hajat di
hatinya hendak berebut bilik air dan selepas mandi, terus bersalin pakaian di
situ juga. Nanti tidak perlulah dia
menyuruh Ziyad yang sedang asyik mahsyuk melayan kekasih hatinya keluar
dari bilik kerana mahu menyalin pakaian.