Home Novel Cinta Asam Pedas Untuk Dia
Asam Pedas Untuk Dia
7/1/2015 15:43:21
599,668
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Ainin Sofiya menongkat motosikalnya di bawah pokok mangga di hadapan rumah. Muka cerahnya yang berminyak dikesat dengan tuala kecil yang tersangkut di bahu. Kemudian, gadis itu mengangkat beberapa buah bekas plastik bertutup dan bakul kosong dari atas motosikalnya. Dibawanya masuk ke dalam rumah dan diletakkan di tepi pintu dapur.

Setelah menanggalkan tudung di dalam bilik, dia menyisir rambutnya yang panjang mengurai hingga ke pinggang. Kemudian, mengikatnya tinggi macam ekor kuda sebelum keluar semula mendapatkan emak yang berada di ruang tamu.

“Habis tak nasi lemak dan kuih tu, Ainin?” tanya Mak Ipah yang sedang mendukung Arisha, anak Ainin yang berumur enam bulan.

“Tadi ada tinggal sikit lagi, mak. Ainin dah sedekah pada anak-anak Kak Midah. Nak bawa balik pun bukan ada siapa-siapa nak makan. Nanti buang juga,” jawab Ainin sambil mengangkat bakul dan bekas plastik lalu membawanya ke singki untuk dicuci.

“Tak apalah, biarlah anak-anak Midah makan. Mereka pun orang susah macam kita juga,” sahut Mak Ipah. Tidak kisah nasi lemak dan kuih-muihnya disedekahkan kepada anak-anak Midah, jiran yang tinggal di simpang jalan, tempat Ainin selalu menjaja kuihnya. “Banyak dapat hari ni, Ainin?”

“Adalah sikit. Lepas beli tepung, gula, keledek kat kedai Pak Cik Daud tadi, ada baki dua puluh ringgit,” sahut Ainin yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk kotor di dapur.

Mak Ipah mengangguk. Sambil mendukung Arisha, dia mencongak di dalam kepala. Cukupkah RM20 itu untuk belanja hari ini? Ikan dan sayur di dalam peti ais sudah habis. Lampin pakai buang dan susu Arisha juga tinggal sedikit lagi. Esok lusa habislah. Walaupun Arisha lebih banyak minum susu badan daripada susu tepung, stok susunya kena juga ada. Buatnya Arisha melalak semasa ibunya tidak ada, susah juga dia.

Apabila mengenangkan nasib anak perempuannya itu, Mak Ipah rasa sayu sendiri. Muda-muda sudah menjadi balu. Sudah lima bulan suami Ainin pergi menghadap Ilahi.Dulu, suami Ainin bekerja di sebuah kilang sebagai pembantu stor. Arwah meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangnya disondol sebuah kereta.

Dulu, ketika arwah suami Ainin masih ada, hidup mereka tidaklah sepayah ini. Sekarang ini hendak mencari sesuap nasi, terasa terlalu sukar kerana Ainin tidak bekerja. Nasib baik anak Ainin cuma seorang. Kalau berderet-deret, mahu tidak tidur siang malam, Ainin mencari rezeki buat mengisi perut anak-anaknya.

Mata Mak Ipah berkalih ke arah Faiz, anak lelakinya yang sedang berbaring di atas tikar di sudut ruang tamu. Sesekali Faiz mengerekotkan badannya seperti ada sesuatu yang mengganggu tidurnya.

Bergenang air mata Mak Ipah mengenang nasib Faiz yang tidak seperti anak orang lain. Sejak lahir, tumbesaran mental Faiz tidak sempurna seperti manusia normal. Dalam erti kata lain, Faiz tergolong dalam insan kurang upaya. Sekarang umurnya sudah masuk 10 tahun, tetapi pemikirannya tidak ubah seperti kanak-kanak tadika.

“Ainin dah tanyakan jiran-jiran kat simpang tu, kalau ada orang tinggal dekat-dekat sini nak cari orang gaji. Ainin nak kerja kat rumah orang ajelah, mak. Senang sikit. Pergi pagi, balik petang. Tengah hari, Ainin boleh balik kejap susukan Arisha. Kalau kerja kat kilang, tengah hari tak boleh balik,” beritahu Ainin yang sudah selesai menyiapkan tugas-tugas di dapur.

Dia mendekati Mak Ipah dan mengambil Arisha yang sejak tadi di dalam dukungan emaknya itu. Sempat dia mencium pipi gebu Arisha lalu mengagah si kecil comel itu. Arisha ketawa mengekek menampakkan gigi hadapannya yang baru tumbuh dua batang.

“Ada ke orang nak ambil orang gaji macam tu? Setahu mak, jadi orang gaji kena tinggal terus kat rumah orang. Mana boleh balik sesuka hati?” balas Mak Ipah sambil memandang wajah Ainin dengan dahi berkerut.

“Kita cubalah dulu. Mana tahu ada orang yang tak perlukan orang gaji sepenuh masa. Kalau dah siap semua kerja, buat apa nak tunggu lagi kat situ? Balik ajelah. Kalau dia nak kira separuh gaji, tak apalah. Ainin tak kisah dapat gaji kurang asalkan Ainin boleh balik rumah. Mana boleh Ainin tinggalkan mak, Faiz dan Arisha kat sini, lepas tu Ainin pulak tinggal kat rumah orang?” Ainin menyatakan pendapatnya tanpa memandang emaknya. Asyik mengagah puterinya yang gemar ketawa itu.

Mak Ipah menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kata-kata Ainin. Wajah anak perempuan yang putih bersih dengan sedikit lekuk di dagu itu ditatap sekali lagi. Mudah-mudahan adalah orang yang mahu mengambil anaknya bekerja. Dia berdoa di dalam hati. Akan kuranglah sedikit bebanan kewangan yang membelenggu kehidupan mereka sekeluarga kelak.

“Kalau Ainin tak dapat kerja kat rumah orang, Ainin nak kerja kat mana?” tanya Mak Ipah, risau.

Jika Ainin masih tidak dapat mencari pekerjaan sehingga akhir bulan ini, parahlah hidup mereka. Duit simpanan hasil peninggalan Hairi, arwah suami Ainin Sofiya hanya berbaki dua, tiga ribu. Itu pun entah sampai bila boleh bertahan. Hendak mengharap wang hasil jualan nasi lemak dan kuih-muih, bukannya cukup. Arisha yang semakin membesar memerlukan perbelanjaan lebih setiap bulan.

“Ainin terpaksalah kerja kilang, mak. Takkan nak biar macam tu aje? Mati kebulur kita sekeluarga nanti. Mak tak kisah kan jaga Arisha dan Faiz sorang-sorang kat rumah?” soal Ainin pula. Menoleh memandang emaknya yang sedang duduk bertimpuh di tepi pintu dapur.

“Mak tak kisah, Ainin. Kerjalah kat mana pun, asalkan Ainin pandai jaga diri,” pesan Mak Ipah sayu. Tidak memandang langsung muka Ainin. Bimbang anaknya dapat mengesan manik-manik jernih yang mula bertakung di tubir matanya.Mak Ipah faham jerih payah Ainin mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal kerana dirinya sendiri suatu masa dulu pernah menempuh kehidupan perit sebegitu. Bila suaminya kembali kepada sang penciptanya 9 tahun lalu dan meninggalkannya sendirian membesarkan 4 orang anak, Mak Ipah rasa cukup terbeban. Kini, nasibnya diwarisi pula Ainin, anak nombor tiganya.

Ainin Sofiya hanya mengangguk tanda akur dengan nasihat emak sambil mencium pipi Arisha bertalu-talu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.