"SAYA
tak nak kahwin dengan Datuk!" Jeritan Anom sudah mengalahkan pekikan
Tarzan dalam hutan.
Kerana
terkejut cepat-cepat Habib menjauhkan telefon bimbit dari lubang telinganya. Diurutnya
dada sendiri. Aduhai...kalau selalu macam ini, umur belum setengah abad, dia
sudah diserang sakit jantung. Tetapi, apabila seringkali dikejutkan begitu
tidak mustahil suatu hari nanti, dia yang sihat walafiat akan mendapat serangan
jantung juga.
"Kenapa
ni, Sufi?" tanya Habib lembut.
Dengan
Anom yang berperangai kasar, Habib tidak boleh bersikap kasar. Kena melawan
arus dan banyak-banyakkan bersabar. Kalau kedua-duanya 'panas' alamat berperang
besarlah mereka. Tidak ke mana hubungan mereka kelak.
"Datuk
tak dengar ke apa saya cakap tadi? Saya tak nak kahwin dengan Datuk!" Anom
mengulangi kata-katanya. Lebih tegas kali ini.
"Sufi
kat mana ni? Abang datang jumpa Sufi ya?" Habib tidak mahu memujuk Anom di
dalam talian. Dia mahu memujuk Anom secara berdepan. Lapang hatinya jika dapat
menatap wajah comel Anom biarpun wajah itu lebih banyak mencuka daripada
manisnya.
"Tak
payah!" Anom buat lagak kepala batu.
"Sufi
kat kampus ya? Tunggu abang kat situ. Kejap lagi abang datang."
Habis
bercakap, Habib tamatkan panggilan. Langsung tidak menunggu Anom membalas
kerana dia sudah tahu jawapan Anom. Mesti Anom hendak sambung bertekak
dengannya. Daripada membuang masa bertekak, lebih elok dia cepat-cepat pergi pujuk
Anom dan tenung muka comel Anom. Hilang juga rindunya yang mendesak-desak ini.
Setelah
menutup laptop dan mengemas fail-fail di atas meja, Habib bingkas berdiri. Kot
hitam yang tersidai di kerusinya ditarik. Briefcase
di atas meja dicapai. Kemudian dia bergegas ke pintu.
Selepas
berbincang dari hati ke hati dengan Anom nanti, dia tidak berhajat untuk
kembali ke pejabat. Dia mahu ke rumah Anom, bertemu mama dan papa gadis itu.
Selepas itu terus memohon restu mereka berdua. Dia tidak mampu menunggu sampai
hujung minggu ini baru hendak bertemu bakal ibu dan bapa mentuanya. Tidak mahu
dia melambat-lambatkan rancangannya. Risau Anom buat perangai.
Semalam
ketika disampaikan hajatnya, Anom tidak membantah. Ingatkan Anom bersetuju, hatinya
sudah mula lega. Tetapi, tengahari ini Anom meroyan sampai tidak ingat dunia.
Itu yang buat dia pening kepala dan cepat-cepat mahu memujuk Anom.
"Saya
nak keluar. Urgent. Lepas ni saya tak
balik ofis. Kalau ada hal penting baru call
saya," pesan Habib kepada Balqis, setiausahanya.
"Tapi
Datuk ada meeting dengan Tan Sri
pukul tiga ni..." Balqis tidak menghabiskan ayatnya apabila melihat Habib
mengangguk.
"Saya
tahu. Nanti saya beritahu Tan Sri," kata Habib. Dia tidak mahu menunggu
lama di hadapan meja Balqis. Kena cepat-cepat menghilangkan diri sebelum abi
nampak batang hidungnya. Abi kalau sudah
terlihat mukanya, jangan harap dia boleh keluar. Abi sangat tegas dalam soal disiplin
kerja. Tidak boleh langgar sesuka hati. Kalau dilanggar, tanggunglah sendiri
akibatnya.
Habib
pun biasanya berdisiplin juga dalam soal kerja. Tetapi, sejak mengenali Anom
Sufi, prinsipnya jadi longgar sedikit. Apa tidaknya, waktu pejabat belum habis,
Habib sudah menghilang. Kadang-kadang, waktu malam pun Habib tidak lekat di
rumah. Ke mana lagi dia pergi kalau tidak bertemu Anom?
Rasa-rasanya
umi dan abi pun sedar akan perubahan sikapnya cuma belum berkesempatan menegur.
Tidak mengapalah, dalam waktu terdekat ini dia akan heret Anom jumpa umi dan
abi. Waktu itu nanti barulah dia akan bongkarkan rahsia mengapa perangainya
boleh berubah 200%.
ORANG
yang dicari langsung tidak nampak muka ketika Habib tiba di kampusnya. Puas
Habib pusing keliling Fakulti Kajian Perniagaan dan Pengurusan untuk mencari
Anom, namun tidak nampak langsung bayang gadis itu. Penat Habib bertanya kepada
pelajar-pelajar yang hilir mudik di hadapannya, tetapi mereka semua menggeleng
kepala. Panggilan telefon apatah lagi, sudah berulangkali dia tekan telefon
bimbitnya menelefon Anom, namun satu pun tidak tembus ke talian. Macam sengaja
dimatikan.
Habib
sudah putus asa. Geramnya dia dengan perangai Anom tidak terkira. Sebaik sahaja
bertemu Anom nanti, tahulah dia hendak mengajar gadis kepala batu itu. Dia
terasa hendak cubit-cubit pipi gebu Anom kuat-kuat. Biar sampai Anom menangis
mengongoi-ngongoi dan berjanji tidak akan buat begitu lagi.
Tetapi,
boleh ke dia berperangai ganas begitu kepada Anom? Sedangkan sudah menjadi
tanggungjawab suami untuk memberi layanan yang baik dari segi tingkah laku,
perbuatan dan tutur kata kepada si isteri. Jika sebelum kahwin dia sudah garang
bagaikan singa, tentulah Anom berfikir sepuluh kali untuk jadi isterinya.
Akhirnya
dicapainya lagi telefon bimbit. Nombor Anom dicari. Kemudian pantas jari-jemari
Habib menaip SMS untuk Anom.
Sufi
kat mana? Dah lama abang tunggu Sufi kat kafe fakulti. Sufi datang sini ya?
Habis
menaip Habib menekan butang send. Beberapa
minit menunggu, SMSnya tidak juga dibalas Anom. Mengeluh Habib dibuatnya. Tidak
sabar menunggu, dia taip lagi SMS buat Anom.
Abang
tahu Sufi sengaja tak nak cakap dengan abang. Tak mengapalah kalau macam tu.
Abang tak nak tunggu lama-lama. Lepas ni abang bercadang nak ke ofis papa. Nak
bincang dengan papa pasal perkahwinan kita. Rasa-rasanya abang nak cepat-cepat
masuk meminang Sufi. Tak sabar nak jadikan Sufi isteri abang!
Kemudian
Habib menekan butang send. Dia mahu
lihat tindakan Anom selepas membaca SMS berbaur ugutannya. Dengan orang macam
Anom yang degil dan keras kepala, dia kena pandai bermain psikologi. Tidak
boleh terlalu berlembut atau terlampau berkeras. Kena mahir membaca fikiran dan
mengagak tindakan Anom. SMS yang dihantarnya tadi bertujuan untuk mencelarukan
fikiran Anom dan dia percaya sekejap lagi akan berlagulah telefon bimbitnya
dengan panggilan daripada Anom Sufi.
Belum
sempat memikirkan tindakan berikutnya, Iphone 5nya berbunyi nyaring. Sekilas
Habib memandang ke skrin. Nama yang tertera di situ membuatkan senyumannya melebar
sampai ke telinga. 'Kan dah cakap, dia mesti call punya', hati Habib berbisik gembira. Dibiarkan peranti itu
berlagu beberapa detik sebelum menjawabnya. Sengaja dia tidak mahu menjawab cepat-cepat. Nampak
sangat dia yang teruja dan tidak sabar kalau panggilan itu terus dibalas.
"Datuk
kat mana ni?"
Suara
kasar Anom menerobos lubang telinga Habib sebaik sahaja butang answer call ditekan.
"Abang
masih kat kafe," jawab Habib tenang.
"Datuk
tunggu situ sampai saya datang! Jangan cuba-cuba nak pergi ofis papa!"
Sehabis
berkata begitu, talian terputus. Bunyi tut yang panjang kedengaran. Tidak
sampai beberapa saat, Anom sudah menamatkan panggilannya.
Melebar
sengihan Habib mendengar bait-bait kata Anom. Berani Anom mengugut dia? 'Tak
mengapa, kita tengok siapa yang akan kena nanti', hati Habib berkata-kata. Memikirkannya,
Habib langsung jadi teruja. Tidak sabar menanti Puteri Singa datang menjelma di
hadapan mata.
Lima
minit kemudian, Anom tiba di kafeteria. Gadis itu seorang diri. Tidak
nampak muka Emily, si 'kembar siam'nya.
Mungkin Emily hanya menghantar Anom ke sini dan kemudian pergi. Telahan itu
yang berada di benak Habib.
Anom
terus melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Habib. Mencerut muka Anom
merenung Habib. "Datuk ni kenapa tak faham-faham juga? Bahasa apa yang
patut saya guna untuk buat Datuk faham?" Tanpa bertangguh, Anom menyerang
Habib dengan bahasa kasarnya. Walaupun kasar, nada suaranya diperlahankan
kerana tidak mahu ianya sampai ke telinga pelanggan-pelanggan yang memenuhi ruang
kafeteria.
"Apa
yang abang tak faham ni, Sufi?" Habib sengaja mahu membakar perasaan Anom.
Suka sangat melihat Anom Sufi marah-marah. Anom walaupun selalu bengis,
kadang-kadang ada juga lucunya. Terhibur dia dengan perangai Anom yang penuh
warna-warni.
"Datuk
jangan buat-buat tak faham eh? Saya dah cakap tak nak kahwin dengan Datuk! Kenapa
Datuk tak faham-faham juga? Kenapa Datuk pandai-pandai nak jumpa papa
saya?!" Anom mulakan serangan peluru berpandunya. Cakapnya laju
mengalahkan bullet train. Tangannya
terkapai-kapai menggayakan kemarahan yang bersarang di segenap jiwa raga. Jari
telunjuk sudah berkali-kali diangkat di hadapan Habib, menandakan darjah
kepanasan hatinya bukan ditahap yang biasa-biasa.
"Okey....sekarang
abang nak tanya Sufi, kenapa Sufi tak nak kahwin dengan abang? Berikan abang
tiga sebab. Kalau Sufi boleh beri abang tiga alasan kukuh dan boleh diterima,
abang akan batalkan niat abang untuk kahwin dengan Sufi. Tapi kalau alasan Sufi
tu tak logik, habis minum ni abang nak Sufi ikut abang jumpa papa." Habib
senyum lebar-lebar. Tenang melawan serangan si Puteri Singa yang langsung tidak
mahu mengaku kalah. Apabila melihat wajah Anom yang kelam-kabut, dia pasti
sangat, kemenangan pasti berpihak kepadanya.
Anom
berdecit mulut kemudian menepuk dahi. 'Orang tua ni tak habis-habis dengan tiga
sebabnya', sungut hatinya geram. Bukan geram yang sedikit-sedikit tetapi
menggunung tingginya. Sehinggakan dia terasa hendak menghempas cawan kopi di
hadapan Habib. Biar kopi panas itu memercik terkena muka tampan Habib.
Tetapi,
cuak juga hatinya mendengar kata-kata Habib yang di hujung-hujung tadi. Kalau
dia kalah, Habib hendak bawa dia berjumpa papa. Kalau sudah berjumpa papa,
bermakna dia sudah tidak punya harapan dan terpaksa menurut kata-kata papa.
Tetapi dia mana boleh kalah? Pantang datuk neneknya berundur sebelum berjuang!
"Okey, deal. Tapi Datuk jangan cuba-cuba
nak menipu pulak ya nanti?" Anom minta kepastian. Tidak mahu selepas dia
habis mengutarakan hujahnya, Habib berdolak-dalik. Bukan dia tidak kenal
perangai Habib yang suka melencongkan kata-katanya.
"Taklah...
Abang janji." Habib tersenyum.
"Sebab
kita ni tak sekufu, mana boleh kahwin?" Anom melontarkan suara hatinya
tanpa menoleh kiri kanan. Tidak perasan suaranya terkuat sedikit dan dibawa
angin sehingga ke segenap ruang kafeteria.
Apabila
Anom tersedar, semua pelanggan di situ sudah mula pandang-pandang dia. Ada yang
tergelak gelihati dengan tingkahnya. Spontan dia menutup mulut. Aduh! Malunya
dia tidak usah cakap. 'Ini semua salah Habib!' Hatinya membentak menyalahkan
Habib.
Habib
tersengih mendengar perkataan 'tidak sekufu' yang digunakan Anom untuk menggambarkan
alasannya. Entah faham entah tidak Anom dengan makna sekufu itu. Agaknya Anom
main hentam sahaja. Tidak mengapa. Sekejap lagi dia akan uji tahap pemahaman
Anom tentang makna perkataan itu. Tidak sabar dia mahu melihat Anom
tergagap-gagap tatkala berbahas dengannya kelak.
"Sebab
kedua?" Habib mengangkat kening menentang muka Anom.
"Sebab
kedua ialah saya ni masih belajar. Mana boleh suka-suka hati nak kahwin? Nanti
kena extendsemester. Saya tak nak
macam tu. Saya nak cepat-cepat graduate."
Anom memberi alasan mudah berdasarkan pengalaman rakan-rakan sekampus yang
berkahwin ketika masih menuntut. Kebanyakan mereka kena menangguhkan pengajian
apabila sudah berkahwin. Itu yang dia tidak mahu. Dia mahu menamatkan kuliah
seiring dengan rakan-rakan sekelasnya yang lain.
Habib
menahan senyum mendengar alasan Anom yang baginya kurang matang itu. Terherot-herot
bibirnya cuba menahan gelak yang mahu terburai keluar tetapi ditahannya kerana
tidak mahu Anom naik angin. "Okey, abang faham. Sebab yang terakhir pulak,
sayang?" usiknya dan sengihnya memanjang apabila melihat mata Anom sudah
mula mencerun memandangnya, mendengar dia menyebut 'sayang'.
"Sebab
yang terakhir itu merangkumi semua sebab yang diatas tadi," jawab Anom
dengan mulut berdecit dan mata yang merenung geram ke arah Habib.
Terburai
gelak Habib mendengar jawapan Anom yang diucapkan secara spontan dan bersahaja.
Jawapan Anom yang sebiji macam jawapan kertas objektif Bahasa Melayu PMR itu
membuatkan dia rasa mahu ketawa berguling-guling.
Dengan
tangan masih menekan-nekan perut, Habib memandang muka Anom tepat-tepat. Hari
ini dia rasa cukup seronok bersama Anom. Anom Sufi menceriakan hari-harinya
yang sebelum ini malap tanpa sinar. Anom Sufi yang tidak pernah membosankannya.
Dia percaya hidupnya akan lebih bahagia dan berseri bersama Anom Sufi di sisi.
"Okey,
sekarang Sufi dengar pulak apa jawapan abang untuk alasan Sufi tu."
Setelah reda gelombang tawa di dadanya, Habib menghirup nafas dengan wajah
bertukar serius ketika merenung Anom.
Anom
juga memusatkan pandangan ke wajah Habib. Tidak sabar menunggu Habib merungkai
kata.
"Apa
maksud Sufi dengan tak sekufu tu? Cuba terangkan sikit kat abang." Habib
sudah bersedia berbahas dengan Anom dan topik yang akan mereka bincangkan hari
ini ialah perkahwinan tidak sekufu.
Mata
Anom terkebil-kebil memandang Habib. Tidak menduga itu yang akan disoal Habib.
Dia sebenarnya bukan faham sangat maksud sekufu itu. Selalu dia mendengar orang
menyebut tentangnya tetapi inti pati di dalamnya dia langsung tidak ambil
kisah.
Apa
yang dia tahu, perkahwinan tidak sekufu merujuk kepada perkahwinan yang tidak
setaraf di antara lelaki dan perempuan. Contohnya, macam dia dan Habib. Habib
sudah tua dan dia masih muda. Itu sahaja yang dia faham tentang maksud tidak
sekufu itu.
"Eleh...perkara
senang pun Datuk tak faham. Tak sekufu tu macam kita nilah. Datuk tua, saya
muda. Mana boleh kahwin?" Begitu yakin Anom mengutarakan buah fikirannya.
Tersenyum
Habib mendengarnya. Kan dah cakap si Anom Sufi ni memang tak faham? Habib mahu
tergelak memikirkan perangai bakal isterinya ini yang suka bercakap main redah
sahaja. "Bukan macam tu, Sufi. Maksud sekufu tu ialah perkahwinan yang
dikatakan seimbang atau serasi di antara suami dan isteri dari segi agama,
latar belakang keluarga, tahap pendidikan dan juga paras rupanya. Perbezaan
umur tak termasuk dalam perkahwinan tak sekufu."
"Sufi
tak ingat perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W dengan Siti Khadijah? Umur mereka
berdua terlalu jauh berbeza tapi tetap berjodoh. Lagi pun abang tak boleh fikir
apa sebabnya abang tak boleh kahwin dengan Sufi. Kita sama-sama kaya dan
sama-sama bijak. Abang handsome dan
Sufi pun comel. Mengapa kita tak boleh kahwin?" tegas Habib. Terus dia
tergelak bila melihat muka Anom sudah bertukar kelat macam tertelan asam kelubi
mendengar hujahnya.
"Tentang
sebab yang kedua tu, abang bagi pilihan pada Sufi. Kalau Sufi tak nak extend semester, abang tak kisah. Tapi
kalau Sufi nak extend, abang lagi
suka." Meleret senyuman Habib setelah menghabiskan ayatnya.
"Kenapa
pulak?" tanya Anom tidak faham. Pelik melihat Habib sudah tersengih-sengih
macam kena kuman penyakit gatal. Hisy! Apa halnya? Macam ada yang tak kena saja
ni! Hatinya mula cuak.
"Yalah...kalau
extend semester maknanya kita sure akan dapat baby. Kalau tak dapat baby,
buat apa pulak Sufi nak extendsemester?
Ke Sufi memang nak kita cepat-cepat dapat baby?"
jawab Habib selamba. Kemudian dia tersenyum gelihati melihat muka Anom sudah
bertukar menjadi buah strawberi yang masak ranum. Hmm...muka comel Sufinya itu
memang cukup menggamit selera dia yang memandang!
Masam-masam
kelat muka Anom mendengar jawapan Habib. Eeii...orang tua ini memang suka buat
dia macam hendak bertukar jadi kura-kura dan duduk menyorok dalam cengkerang
keras. Alahai...malunya dia!
"Sekarang
ni dah tak ada alasan kan? Tiga alasan yang Sufi bagi tu langsung tak boleh
diterima pakai. So...sekarang, abang
menang. Jom ikut abang jumpa papa sekarang." Habib menghabiskan air di
dalam cawan dan kemudian bangkit dari kerusi. Lengan Anom yang berbalut T-shirt
berlengan panjang berwarna ungu, ditariknya bersahaja menuju ke pintu keluar.
Sudah
tangan ditarik, terpaksa juga Anom mengikut langkah Habib. Kalau tidak diikut,
malu pula dia kerana orang di sekeliling sudah mula pandang-pandang. Hisy!
Habib ini suka benar buat dia rasa macam hendak pakai topi keledar!
Namun,
sudah bersediakah dia mahu menghadap papa? Anom tidak tahu juga tidak mahu. Sudah
bersediakah dia untuk memegang status isteri? Anom tidak pasti. Dia mengikut
sahaja langkah Habib menuju ke kereta dengan perasaan resah mengapung di dada.
Bersediakah
dia untuk jadi Datin Anom Sufi? Entah! Dan hati Anom Sufi terasa mahu menjerit.
Takut!