Home Novel Cinta Cinta Copy Paste
Cinta Copy Paste
7/1/2015 22:48:13
137,074
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

USAI menelefon Emily, Anom Sufi terus menekan nombor Qayyum. Lama juga baru panggilannya dijawab buah hatinya itu.

"Hai, Ann. Ada apa?" tanya Qayyum. Biarpun lembut, suara Qayyum laju macam keretapi ekspres. Macam cepat-cepat ingin menamatkan perbualan. Seperti ada sesuatu yang ingin dikejarnya.

Ann? Mendengarnya, terasa luntur semangat Anom yang berkobar-kobar mahu mendengar suara Qayyum. Selalunya, manis mulut Qayyum memanggilnya, sayang. Kini panggilan sayang itu sudah bertukar jadi nama ringkasnya sahaja. Apa yang tidak kena?

"Qay tengah buat apa?" Anom berbasa-basi. Tidak mahu terus berkisar kepada tujuannya menelefon Qayyum. Kenalah dia pusingkan topik perbualan agar dia dapat bersembang lama sedikit dengan Qayyum.

"Qay dengan geng ni. Ada discussion sikit," kata Qayyum dengan suara agak perlahan. Kedengaran menggelabah nada suaranya.

"Qay ada dengan Fitri ya?" selidik Anom dengan suara agak kuat. Macam mana dia tidak bercakap kuat-kuat? Di seberang sana, kedengaran bunyi muzik berdentum-dentam. Kalah bunyi petir. Discussion apanya dalam suasana bising begitu? Hati Anom mula curiga.

"Err...ya!" Suara Qayyum menjawab seperti tidak yakin dengan jawapannya sendiri.

Lega Anom mendengar Qayyum menghabiskan masa bersama Fitri, teman sekuliah merangkap teman baik buah hatinya itu. Dalam ramai-ramai teman Qayyum, cuma seorang dua sahaja yang Anom kenal rapat. Salah seorang daripadanya ialah Fitri. Jadi sekarang tidak perlulah dia risau Qayyum keluar dengan gadis lain seperti yang dikepohkan teman-temannya.

"Ann nak beritahu Qay, Ann tak jadi keluar malam ni. Ann ada hal lain." Anom terus fokus kepada tujuan asalnya menelefon Qayyum.

"Oh...okey. Tak apa. Qay pun ada kerja sikit malam ni," balas Qayyum kemudian ketawa. Riang suaranya. Sekelip mata rentak suara Qayyum yang macam orang tertelan biji durian tadi, sudah kembali ceria macam biasa. Peliknya?

"Kalau macam tu, Ann jumpa Qay esok ya?"

"Okey!"

Belum sempat Anom berkata apa-apa lagi, Qayyum sudah mematikan talian. Anom jadi resah. Fikirannya bercelaru memikirkan fiil pelik Qayyum. Qayyum seperti gembira tidak jadi keluar dengan dia. Apakah itu tanda-tanda hati Qayyum mula dilanda puting beliung atau itu cuma firasat yang datang bertandang? Anom pantas menarik nafas panjang.

"MAMA, Ann tak nak lama-lama kat sini. Sebelum pukul 11.00 kita mesti balik. Ann banyak kerja nak buat." Setibanya mereka di rumah Tan Sri Bakri, Anom sudah berpesan begitu kepada mama. Risau jika mama bertandang ke rumah orang lama-lama. Dia bukannya suka majlis-majlis sebegini. Maklumlah, ini majlis untuk orang-orang yang sudah lanjut umur sedangkan dia masih muda remaja. Tidak kena langsung dengan cita rasanya.

"Yalah...yalah...." Meleret-leret janji Datin Raihana dengan mata tajam menjeling muka Anom.

Bosan Datin Raihana melayan kerenah anak yang terlalu berkira. Apabila diminta pertolongannya, Anom Sufi banyak sangat 'songeh'nya. Alasannya yang biasa ialah banyak kerja. Tetapi, jika keluar malam dengan kawan-kawan, Anom tidak kisah pula dengan kerja yang melambak-lambak. Ada kalanya Anom keluar rumah bersama mentari petang, pulangnya nanti ditemani embun jantan. Huh! Mujur Anom sudah besar panjang. Kalau tidak, sekarang juga telinga Anom dipulasnya.

Anom memandang muka mama sekilas. Masam mukanya. Dia kurang percaya dengan janji mama. Mama pandai berjanji tetapi payah menepati. Tetapi tidak mengapa. Jika mama susah sangat hendak pulang nanti, pandailah dia mencari akal untuk mendesak mama pulang awal.

Datangnya ke mari tadi pun bukannya ikhlas, kerana kasihankan papa. Ikutkan kepala dia, memang dia tidak akan jejak ke rumah Tan Sri Bakri ini. Namun, ketika melihat tubuh papa tumbang di atas sofa sebaik sahaja pulang ke rumah, dia rasa tidak sampai hati untuk menolak permintaan papa. Papa nampak betul-betul keletihan. Kasihan papa.

Mencecah sahaja kaki di halaman rumah Tan Sri Bakri, mata Anom melilau memandang sekeliling. Ramainya orang! Anom menelan liur. Gugup. Dia bukannya selalu menemani mama ke majlis-majlis seperti ini. Adalah sekali dua. Itu pun sudah agak lama sehinggakan pengalaman berdepan situasi begini sudah berkarat dalam kepalanya.

Anom pandang lagi sekitarnya. Betul sangkaannya. Tetamu yang hadir kebanyakannya sudah lanjut usia. Hanya dua tiga orang gadis-gadis muda yang dia lihat sedang duduk bersembang di meja bulat berhampiran kolam renang, bersama tiga empat orang lelaki. Ada juga kelihatan seorang wanita yang agak berumur di situ. Pakaian mereka sangat sopan dengan berjubah dan bertudung kepala.

Dia? Anom mengalihkan pandangan kepada jeans ketat dan blaus serba hitam yang melekat di tubuhnya. Kasut pula sneakers berwarna hitam juga. 'Sesuai ke pakaian aku ni?' Anom bertanya sendiri.

Baru sekarang Anom menggelabah memikirkan kesesuaian pakaiannya ke majlis di rumah orang kaya. Sedangkan di rumah tadi, mama pot pet pot pet tentang pakaiannya yang tidak menepati tema, dia hanya buat-buat pekak telinga. Bila mama mengejek penampilannya sudah macam 'Orang Minyak Versi Baru', dia cuma ketawa-ketawa. Siap dia sumbat lagi lubang telinganya dengan earphone.Hah...sekarang, rasakanlah balanya apabila tidak mendengar cakap orang tua.

"Jom!" Datin Raihana menarik tangan Anom keluar dari kereta.

Anom mengeraskan badan. "Ann tak nak masuklah, mama. Mama ajelah yang masuk. Ann tunggu sini," tolak Anom sambil merebahkan punggung di atas tembok batu, betul-betul di hadapan pintu pagar rumah besar Tan Sri Bakri.

"Mana boleh, dah sampai kenalah masuk. Siapa nak temankan mama kat dalam tu nanti?" rungut Datin Raihana, sakit hati dengan sikap kepala angin anaknya. Ada sahaja yang tidak kena.

"Tak payahlah teman. Mama kan boleh jaga diri. Tak payahlah nak pakai bodyguardsegala." Anom cari alasan untuk mengelak menemani mama.

"Eh...senangnya Ann cakap? Ann suka ya kalau mama kena goda dengan lelaki kaya kat dalam tu?" balas Datin Raihana sambil terus menarik-narik tangan Anom.

Anom Sufi tergelak. Dalam marah-marah begitu, sempat lagi mama buat lawak bodoh. Mama rasa dirinya macam puteri kayangan ke? Perasan! Dia menyambung gelak sambil memandang tepat ke arah mama.

Memang pun mama nampak cantik malam ini dengan dress labuh berwarna biru tua. Rambut perang mama yang biasanya dilepaskan bebas ke bahu kini disanggul tinggi-tinggi. Mama nampak betul-betul macam puteri kayangan yang sudah agak berumur. Kalau mama benar-benar digoda si tua keladi di dalam sana nanti, macam mana? Pasti dunia haru-biru jika papa dapat tahu. Dia juga yang akan dipersalahkan papa kerana gagal menjaga mama. Anom Sufi sudah mula kalut.

"Jomlah...." Tidak sabar melihat gelagat Anom yang terpinga-pinga, Datin Raihana menarik lagi tangan anaknya. Kali ini dengan sepenuh kudratnya.

Sudahnya, Anom terpaksa menurut. Tersadung-sadung kakinya melangkah mengekori mama masuk ke halaman rumah Tan Sri Bakri.

Pelik rasanya apabila sudah berada di tengah-tengah kelompok manusia yang berbeza dengannya dari pelbagai segi. Tidak ubah bagai langit dan bumi. Terasa diri seperti terawang-awang di dunia serba asing. Lebih-lebih lagi apabila berpasang-pasang biji mata mula memandang ke arahnya macam ternampak alien. Huh! Menyesalnya dia menemani mama ke mari!

"Ikut mama pergi sana," arah Datin Raihana. Dia memaut bahu Anom menghala ke kolam renang. Apabila Anom mengeraskan badannya, dia tarik pula tangan anaknya. Sudahnya, mereka buat adegan tarik menarik tangan di tengah-tengah laman. Sebiji macam adegan filem Hindustan.

"Tak naklah! Mama pergi ajelah sorang-sorang. Ann tunggu sini. Malulah!"

Anom hentak-hentakkan kaki macam budak kecil apabila mama tetap juga memaksa dia menurut kehendaknya. Entah siapa yang hendak ditemui mama di tepi kolam renang. Mungkin salah seorang daripada lelaki-lelaki tua ganyut yang dikelilingi gadis-gadis cantik berpakaian sopan di situ..

"Tahu pun malu. Tadi mama suruh pakai baju cantik-cantik sikit, Ann gelakkan mama. Sekarang, padan dengan muka tu. Mama tak kira, Ann kena juga ikut mama ke sana." Keras suara Datin Raihana memaksa anaknya.

"Mama nak suruh Ann buat apa kat situ?" Anom menjegilkan mata menentang muka mama. Tidak faham dia dengan arahan mama yang tidak masuk akal. Mama ada agenda tersembunyi ke? Mahu mengenalkan dia dengan lelaki lanjut umur yang duduk bersantai di tepi kolam renang itu? Huh! Mama ini agak-agaklah. Kalau ya pun mahu cepat bermenantu, tidak boleh ke kenalkan dia dengan lelaki yang 'waras' sedikit? Carilah pemuda yang kacak, maco dan yang penting kaya. Dia sudah mula menggedik dalam hati.

"Mama nak ajak Ann jumpa Tan Sri Bakri dan anak-anak dia. Mereka ada kat sana," jawab Datin Raihana, menoleh ke arah kolam renang.

'Nak ajak aku jumpa Tan Sri gatal tu? Untuk apa?' Kian cuak hati Anom mendengar jawapan mama. Namun, belum sempat sebarang jawapan dikarang di kepalanya, tangannya sudah diheret mama menuju ke tepi kolam renang.

"Tan Sri, Puan Sri, maafkan saya lewat sampai," pohon Datin Raihana. Dia hulurkan tangannya ke arah seorang wanita awal lima puluhan di hadapannya manakala dengan lelaki yang rambutnya sudah memutih di sebelah wanita itu, dia hanya menunduk hormat.

"Tak mengapa, Datin Raihana. Awal lagi ni. Terima kasih ya sudi datang?" Wanita yang berpangkat Puan Sri itu ketawa sambil menyambut tangan Datin Raihana.

"Tak kisahlah lambat, asalkan Datin sudi datang," sambut lelaki tua berambut putih itu pula. Tersengih lebar dia memandang muka Datin Raihana. Muka anak dara Datin Raihana yang berdiri macam patung itu juga sempat ditenungnya dengan mata tidak berkelip. Seolah-olah terkejut macam ternampak hantu raya.

Geli-geleman Anom Sufi melihat gelagat orang tua di hadapannya ini. Bila merenung muka anak dara orang, matanya terbeliak-beliak. Huh! Merenyamnya! Tidak padan langsung dengan rambutnya yang sudah memutih dan pakaiannya yang macam orang hendak ke masjid. Siap dengan kopiah di atas kepala pula tu.

Pakaian tuan rumah ini langsung tidak mengikut tema. Majlis di rumahnya ini majlis kenduri arwah atau majlis sambutan ulang tahun perkahwinan? Anom betul-betul tidak faham.

"Mana Datuk? Dia tak datang sekali dengan Datin?" tanya Tan Sri Bakri dengan pandangan matanya bersilih ganti memandang Datin Raihana dan muka gadis yang 'serabai' di sebelahnya.

"Dia tak berapa sihat. Sakit kepala katanya. Ada kat rumah, tengah tidur masa saya keluar tadi. Dia kirim salam pada Tan Sri dan Puan Sri." Sambil tersenyumm, Datin Raihana sopan menjawab pertanyaan rakan niaganya.

"Waalaikummussalam..." Serentak kedua-duanya menjawab.

"Anak Datin?" tanya wanita yang bergelar Puan Sri itu seraya memandang Anom dari atas ke bawah. Macam tidak pernah melihat orang sahaja lagaknya. Gayanya juga sudah macam suaminya tadi. Terkejut memandang muka Anom. Entah apa sebabnya.

"Hmm...anak nombor dua merangkap yang bungsu. Salam Puan Sri." Datin Raihana cuit-cuit lengan Anom menyuruh bersalaman dengan Puan Sri Sarah. Sempat dia menjeling sekilas muka Anom. Sakit hati betul dengan gelagat si anak yang terpacak macam batang kayu di sebelahnya. Bukannya tahu menghormati orang tua. Boleh lagi Anom buat muka selamba bersahaja. Eeii...terasa ringan sahaja tangannya mahu mengetil pinggang Anom.

Anom Sufi menghulurkan kedua belah tangannya ke arah Puan Sri Sarah. Kemas tangannya digenggam teman mama itu sampaikan hendak menariknya pun dia berasa serba-salah. Sudahnya dia membiarkan sahaja kedua belah tangannya dalam genggaman Puan Sri Sarah.

"Comel anak Datin," kata Puan Sri Sarah dengan mata tekun membelek wajah Anom.

Anom rasa dirinya macam patung di muzium pula sehingga ditelek orang sebegitu rupa. Namun, komen teman mama itu membuatkan sengihannya melebar sampai ke telinga. Sukanya dia apabila ada orang memuji dia comel. Bukankah comel itu lebih kurang sama maksudnya dengan cantik? Maknanya dia cantiklah kan? Anom ketawa menggedik dalam hati.

"Comel pun kalau comot nak buat apa? Tak laku juga," sambut Datin Raihana sambil menjeling muka Anom. Masih terbias rasa geramnya dengan perangai si anak sekejap tadi. Degil tidak bertempat.

Menarik muka 14 Anom mendengar gurauan kasar mama. Mama kata dia comot? Ingat dia masih budak-budak yang suka bermain masak-masak ke sehinggakan mama kata dia budak comot? Mama ni! Agak-agaklah kalau hendak bersenda-gurau pun.

"Eh...sekarang semua barang naik harga, Datin. Termasuklah hantaran kahwin. Melambung-lambung tingginya sekarang ni. Kalau comel macam anak Datin ni, mesti berebut-rebut orang nak." Menyampuk pula Tan Sri Bakri yang sejak tadi tersengih-sengih mendengar perbualan isterinya dengan Datin Raihana.

Aduhai...masa-masa beginilah hendak sahaja Anom angkat kaki meninggalkan orang-orang tua ini bersembang. Ada ke patut dia disamakan dengan barang? Selepas itu melalut pula sampai ke topik hantaran kahwin. Eh! Siapa agaknya yang hendak berkahwin? Dia ini masih budak mentahlah. Masak nasi pun selalu lembik kerana terlebih air. Mana layak dia pegang status isteri dalam masa-masa terdekat ini?

"Kecil tapak tangan, padang bola saya tadahkan kalau ada orang nakkan Anom Sufi ni," sambut Datin Raihana sambil mengerling lagi ke muka anak perempuannya.

"Anom Sufi? Cutenya nama dia." Puan Sri Sarah ketawa sambil mencubit sedikit pipi Anom.

Hendak sahaja Anom menepis tangan Puan Sri Sarah. Ingat dia ini budak berumur lima tahun ke boleh cubit-cubit pipi?

"Mana Habib? Saya nak kenalkan dia dengan Anom," kata Puan Sri Sarah kepada Tan Sri Bakri. Matanya melilau ke sana ke mari mencari wajah anak bujangnya.

Habib? Hati Anom berdesir mendengar nama itu meniti di bibir Puan Sri Sarah. Sepasang mata bundarnya turut menjelajah ke seluruh pelusuk rumah banglo Tan Sri Bakri, mencari Habib. Habib yang mana? Si Habib Jewels itu ke? Dia mula terbayangkan raut wajah Habib yang dia kenali. Seraut wajah tampan, berkulit cerah kemerahan dihiasi sepasang lesung pipit di pipi apabila lelaki itu tersenyum.

"Abang!" Terpandang sahaja Habib di kejauhan, Tan Sri Bakri melambai.

Anom turut menoleh ke arah pemuda yang dilambai dan dipanggil abang itu. Memang sah dia si Habib Jewels! Anom terkedu.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.