Home Novel Cinta AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
Laila Qaisara
6/12/2012 13:30:40
47,248
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

Datin June meneliti butiran dalam fail yang diberikan oleh Suraya, setiausahanya. Setiap data yang dicatat dalam laporan itu meragukannya.

“Siapa yang sediakan laporan ni, Suraya?”

“Datuk Mukhriz, Datin,”

“Mana dia?”

“Dia….. tadi lagi dah keluar,”

“Dia pergi mana?”

“Saya tak tahu, Datin,”

“Mana Syakilla, setiausaha Datuk?”

“Dia MC hari ni, Datin,”

Datin June mengeluh. Laporan di tangannya kini amat menyesakkannya. Dia tunduk seketika.

Tok! Tok! Kepala Datin June terdongak.

“Masuk!”

Laila masuk ke dalam pejabat Datin June dengan penuh bergaya. Namun senyuman tidak lekang dari bibirnya. Dihadiahkan senyuman paling manis buat setiausaha Mamanya itu.

“Ada apa Mama panggil Laila?” tanya Laila sopan. Datin June memandangnya sambil tersenyum.

“Sampai bila Mama nak ke uruskan syarikat ni? Mama rindukan butik Mama,” Datin June bersuara separuh merayu.

Laila senyum nipis. Sudah agak lama dia dirayu oleh Datin June supaya ambil alih syarikat itu namun jawapannya ketika itu, ‘belum bersedia’.

“Mama rindukan sangat butik Mama tu?” tanya Laila kembali.

“Mama rindukan sangat butik tu,” jawab Datin June laju. Matanya bersinar-sinar.

“Laila bagi dua syarat,”

“Syarat? Apa syaratnya?”

“Pertama, jangan pecat Norita. Dia seorang pereka yang baik. Ramai pelanggan sukakan dia,” kata Laila.

“Yang itu, Mama tak ada masalah. Norita boleh terus bekerja di situ asalkan prestasinya memuaskan,” ujar Datin June. Laila gembira mendengarnya.

“Syarat yang kedua?”

Laila menarik nafas. “Jangan paksa Laila kahwin dengan Uda dalam masa terdekat ni,”

*****

Tersedak Datuk Muhkriz mendengar berita yang baru disampaikan oleh Datin June. “Apa?”

“Apa abang ni, sampai tersedak segala,” Datin June menghulurkan segelas air kosong kepada suaminya. “Laila akan ambil alih syarikat tu minggu depan,”

“Habis, projek yang abang tengah jalankan sekarang ni?”

“Nanti abang akan berurusan dengan dia je la. Saya dah malas nak masuk campur. Sekaran ni, tumpuan saya hanya pada butik saya tu je. Dah bertambah maju sejak Laila uruskan setahun lalu,”

“Sayang, bukan awak tak tahu yang anak awak tu tak sukakan saya,”

“Abang, dia seorang yang sangat profesional. Jangan risau,”

‘profesional itu yang aku takut’ kata hati Datuk Mukhriz.

“Hah, itu pun dia dah balik. Laila sayang, mari makan sekali,” Datin June menggamit Laila yang baru pulang. Laila melangkah lemah menuju ke meja makan.

“Laila lapar tak? Mari makan sekali,” ajak Datin June sekali lagi. Laila menggeleng perlahan.

“Tak nak la Mama. Masakan ni tak sedap. Tak macam masakan Ibu,” selamba Laila menolak ajakan Datin June. Merah muka wanita itu dibuatnya. “Mama makanlah dengan suami Mama. Laila nak masuk dulu,” Laila melangkah meninggalkan mereka suami isteri di meja makan.

“Esok Mama pecat dia,”

Langkah Laila terhenti. Dia memusingkan badannya menghadap Datin June.

“Tak payah Mama susah-susah nak pecat dia. Biarkan dia terus bekerja di sini. Sama macam Mama buat dengan Ibu Midah dulu,”

“Laila!” spontan Datin June bangun. “Kenapa cakap macam tu?”

“Siang tadi Mama sebut pasal rindu kan? Jujur Laila cakap, Laila rindukan Ibu Midah dan Dara,” air mata Laila bergenang. Dia terus masuk ke bilik. Dia tidak mahu, air mata itu tumpah di hadapan Mama dan suaminya itu.

Di dalam bilik, Laila menangis sepuas-puasnya. Gambar Dara dan Ibu Midah yang berada dalam simpanannya, ditatap kembali. Gambar itu sudah lusuh kerana setiap kali dia menatapnya, air matanya pasti mengalir.

“Ibu, Laila rindukan Ibu. Dara, aku rindukan kau….,”

“Dara, bulu mata kau jatuh,” tegur Salsabila, rakan serumah Dara di Singapura.

“Eh, ye ke? Belah mana?” tanya Dara kembali.

“Belah kanan. Ada yang rindu tu,” balas Salsabila sambil tersengih. Dara menarik muka masam. Mengejek la tu!

“Takkan Ibu rindu kot? Baru petang tadi kau hantar dia ke JB. Mesti tunang tersayang yang rindu tu,” Salsabila mengejek lagi. Dara hanya diam. Rindu? Tiada istilah rindu pada Taufiq, tunangnya.

“Diam tu tandanya betul la tu,” Salsabila tersengih lagi. Dara hanya tersenyum melihat telatah rakannya itu. Dia bangun, menuju ke balkoni.

“Kira bintang di langit, sebanyak itu juga rinduku padamu,” usik Salsabila lagi. Dara menjeling tajam.

“Kau ni belajar dengan A Samad Said ke apa?” perli Dara. Salsabila ketawa besar. Dara kembali memandang langit. Dia tiba-tiba teringatkan Laila. Kenangan lalu kembali lagi….

“Dara, nanti bila bulu mata kau gugur, pandang la ke langit,” kata Laila.

“Apa kena mengena bulu mata dengan langit pulak ni?”

“Kalau kau pandang langit, kau mesti tersenyum. Sebab langit akan beritahu yang aku rindukan kau,”

“Kau patut cakap macam ni dengan Taufiq la,” usik Dara. Berjiwang pula Laila malam-malam ni.

“Dengan Taufiq aku bagi ayat lain,” Laila tersengih. “Dara, janji ya? Bila aku rindu, aku akan tatap gambar kita. Bila kau rindu, kau tatap la langit tu,”

“Oh, ini tidak adil! Kenapa aku tak boleh tatap gambar pulak?”

“Sebab aku tahu, kau tak suka simpan gambar,”

Dara tertawa kecil. Hatinya terasa pilu. Aku rindukan kau, Laila………!

*****

“Cik, faks dari Tan Sri Kamaruzzaman,” Suraya menghulurkan sepucuk surat kepada Laila yang sedang menyiapkan kertas kerjanya. Tumpuan Laila terganggu. Namun dia mempamerkan senyuman manis buat Suraya.

“Tan Sri Kamaruzzaman? Dari Zaman Corporation?”

“Iya ,”

Laila membaca faks itu sekilas lalu dan….

“Kerjasama antara kita dengan mereka dibatalkan? Kenapa?” suara Laila sedikit tinggi. “Siapa yang kendalikan projek ni?”

“Datuk Mukhriz, cik,” Suraya menjawab takut-takut.

Dahi Laila berkerut. Datuk Mukhriz? Lelaki tu?

“Suraya, saya nak semua fail yang berkaitan dengan projek ni atas meja saya dalam masa setengah jam. Ambil dari Datuk Mukhriz kalau ada yang dia masih pegang. Saya nak semua sekali tanpa kompromi. Faham?”

“Faham, cik. Saya keluar dulu,”

Laila tersandar di kerusi. Pening dia memikirkan hal ini. Pantas dia mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Datin June.

“Assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam. Mama, apa yang suami Mama buat di pejabat ni? Dia tak ada pejabat sendiri ke?”

“Sayang, Papa Mukhriz nak tolong kita. Apa salahnya?”

“Laila tak perlukan pertolongan dia, Mama,”

“Dia tengah kendalikan satu projek besar, Laila,”

“Laila akan ambil alih daripada dia. Dan keputusan itu muktamad!”

“Laila!”

“Mama ingkar wasiat arwah Papa!” Laila terus meletakkan telefonnya. Dia mengeluh kasar. Kepalanya dipicit perlahan.

Suraya masuk membawa fail-fail yang diminta oleh Laila.

“Letak atas meja kopi tu,” arah Laila. Suraya menurut perintah.

“Suraya, minta maaf la sebab marah-marah awak tadi. Saya melepaskan marah pada orang yang salah pulak. Maaf sangat,”

“Tak apalah, cik. Saya tahu, cik tertekan. Erm, cik nak saya buatkan kopi ke? Sambil-sambil tengok fail ni semua,”

Laila tersenyum. “Boleh juga. Oh, buatkan dua cawan ya. Satu untuk awak. Kita teliti fail ni sama-sama,”

“Baik, cik,” Suraya keluar. Sebentar kemudian dia kembali menatang dua cawan minuman. Dia membantu Laila menyusun dan meneliti fail-fail yang bertaburan di meja kopi.

“Suraya, awak mengingatkan saya dengan sorang kawan saya. Perangai dia macam awak. Lembut pun macam awak juga,”

“Sekarang ni dia kat mana, cik?”

Laila mengeluh kecil. “Yang saya tahu, dia di Singapura. Tak tahu pulak di bahagdian mana atau kerja apa,”

“Mesti dia sangat baik kan, sampaikan cik boleh bercerita dengan saya pasal dia,”

“Sangat baik,” mata Laila berkaca. Suraya nampak itu. Dia tidak bertanya lagi. Mereka terus tenggelam dengan segala fail yang ada di hadapan mereka.

“Suraya awak taip surat ni. Kemudian bagi pada saya untuk saya tandatangan,” Laila menulis sesuatu di atas kertas kosong. Kemudian dia hulurkan kepada Suraya. Suraya membaca sekilas dengan dahi yang berkerut.

“Cik nak pecat Datuk Mukhriz?”

Laila angguk.

*****

“Cik Laila, saya dah aturkan pertemuan empat mata dengan Tan Sri Kamaruzzaman, seperti yang cik minta semalam. Ini butirannya,” Suraya menghulurkan sekumal kertas kepada Laila. “Er, maaf ronyok sikit,”

“Tak apa. Janji boleh baca,” Laila membaca sekilas. “Hari ni ke?”

Suraya mengangguk. Laila mengemas mejanya.

“Saya keluar awal. Kalau ada sesiapa yang telefon, ambil saja mesej,” pesan Laila. Dia terus keluar dari pejabat tanpa dia menyedari ada sepasang mata yang memandangnya tajam.

Sampai di tempat yang dijanjikan….

“Eh, tu macam Daddy Uda. Tapi tu bukan Mummy Uda. Siapa pula tu?” berkerut dahi Laila melihat kelibat dato’ Hazmi dengan seorang wanita muda. Yang pasti bukannya Datin Eryna.

Telefon bimbit yang berdering membantutkan keinginan Laila untuk terus mengekori Dato’ Hazmi. Segera dia menjawab panggilan tersebut.

“Cik Laila?”

“Ya?”

“Saya minta maaf, Tan Sri Kamaruzzaman masuk hospital. Dia tak dapat jumpa dengan cik petang ni,”

“Oh ye ke? Kirim salam dengan keluarga Tan Sri. Nanti bila dia dah sembuh baru saya jumpa dia balik,”

“Cik Laila, boleh ke kalau kami aturkan pertemuan dengan anak tan Sri? Tapi bukan hari ini la, cik,”

“Tak apa, tak kisah pun, terima kasih sebab tolong,” laila segera menamatkan panggilan. Apabila dia memandang ke hadapan, bayang Dato’ Hazmi sudah tidak kelihatan. Laila mengeluh.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.