BAB 10
SATU khemah dihuni oleh sepuluh orang pelajar. Maka
bersempit-sempitlah mereka tidur di dalam khemah yang sepatutnya dihuni oleh
enam orang sahaja. Sungguh, ianya tidak selesa.
Faizah
membetulkan posisi baringnya. Dia berbaring mengiring ke kiri dan mukanya
dihadapkan ke dinding khemah. Hujan renyai-renyai sedari petang tadi kini mula
turun dengan lebat. Memandangkan matanya masih belum mengantuk, Faizah leka
memandang bayang-bayang titis hujan yang turun jatuh di khemahnya.
Hujan
lebat yang turun membasahi bumi ini selebat air mata Faizah yang deras mengalir
saat ini. Ingatannya berbalik pada kejadian petang tadi. Tangannya menekup
mulutnya agar suara tangisnya tidak didengari oleh teman sekhemah yang lain.
“Arghhhhh!
Arghhhhhh!” Suara mengerang itu didengari oleh Faizah. Semakin lama, suara itu
semakin kuat.
Faizah menoleh ke sebelah kanan. Dilihat seorang daripada
ahli khemahnya sedang menekan-nekan perut. Kakinya merengkok. ‘Sejuk
barangkali,’ fikir Faizah. Namun gadis itu masih mengerang. Tidak senang hati,
Faizah bangun dan merangkak melintasi teman-teman yang lain bagi menghampiri
gadis itu.
“Arghhhh!” Kali
ini gadis itu mengerang sambil menangis. Faizah yang panik memegang bahu
temannya daripada kursus perladangan itu. “Kenapa ni? Awak sakit ke?” Gadis
yang dikenali dengan nama Wani itu sekadar mengangguk. Air matanya semakin
menjurai-jurai keluar membasahi pipi.
Muka Faizah sudah gelisah. Dikerling jam tangan yang
dipakainya. Baru jam sebelas malam. Khemah komander yang bertugas terletak agak
jauh daripada khemah mereka. Faizah berfikir dua tiga kali hendak meredah
keluar daripada khemahnya memanggil komander. Takut juga jika babi hutan sedang
berlegar-legar di luar sana.
“Dah makan ubat?
Sapu minyak tak perut tu?” Soal Faizah bertubi-tubi kepada Wani. Gadis itu
hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Namun tangisannya semakin lama semakin
kuat dan mengganggu lapan orang ahli khemah yang lain yang sudah
mengosek-ngosekkan kaki mereka tanda mereka terganggu dengan tangisan Wani.
Panik dengan raungan Wani, akhirnya, Faizah tekad. Zip
pintu khemah dibuka. Faizah keluar daripada khemah dan menyarungkan selipar ke
kakinya. Pantas juga kakinya menghala ke khemah komander meredah hujan yang
semakin lebat. Hanya bertemankan samar-samar cahaya bulan, Faizah berusaha
menyusuri jalan untuk ke khemah komander.
Belum jauh daripada khemahnya, secara tiba-tiba tangan
Faizah dipegang oleh seseorang. Faizah hampir tersungkur. Namun tubuh sasa itu
pantas menyambut Faizah. Muka Faizah terbenam di dadanya yang bidang. Tangannya
memegang belakang badan Faizah.
Faizah yang terkejut dengan keadaan itu hanya membatukan
dirinya. Badannya sudah menggigil ketakutan. Peluh dingin membasahi dahinya.
‘Ya Allah, selamatkanlah hambamu ini,’ bisiknya dalam hati. Matanya dipejam
rapat. Takut untuk melihat makhluk yang ada di depannya ini. Entahkan manusia
entahkan makhluk lain.
“Faz nak pergi
mana dalam hujan-hujan ni sayang?” makhluk itu bersuara setelah keadaan sepi
sejenak.
Mendengar suara lunak itu, pantas Faizah membuka matanya.
Suara itu dikenalinya. Suara Iskandar. Dia berada di dalam dakapan Iskandar
saat ini. Pantas Faizah menolak tubuh sasa milik Iskandar.
“Kawan Faz sakit dalam khemah. Tak tahu kenapa. Faz nak
panggil komander,” Faizah menuturkan laju.
Iskandar dapat melihat wajah Faizah yang masih dalam
ketakutan dalam titis-titis hujan yang semakin lebat itu. “Astaghfirullah,”
hanya itu ucapan yang terkeluar daripada mulut Iskandar setelah sepasang
matanya menatap sekujur tubuh Faizah yang sedang berdiri di hadapannya kini.
Goyah imannya apabila dilihat kemeja-T PBSM yang bewarna putih dan agak jarang
itu sudah melekat di tubuh Faizah lalu menampakkan susuk tubuhnya. Rambut
Faizah yang ikal itu kini basah.
Faizah yang baru perasan dia tidak bertudung pantas
memalingkan badannya daripada pandangan Iskandar. ‘Faiz, apa pasal kau boleh
lupa sauk tudung tu tadi. Ni namanya bala Faiz oii. Bala. Tak pasal-pasal abang Is tu dapat tengok free show. Kau pun dapat dosa free je ni,’ Faizah mengutuk dirinya
sendiri di dalam hati. Tangannya kini di bawa ke dada lalu Faizah memeluk
tubuhnya.
Iskandar menghampiri Faizah daripada belakang. Baju sejuk
yang tersarung di badannya dibuka lalu disarungkan ke badan Faizah. Pantas juga
tangan Iskandar memegang rambut Faizah yang masih basah itu. Bau syampu Sun
Silk menusuk hidungnya. Hud yang tersedia di baju sejuk itu di tarik untuk
menutup rambut Faizah yang masih terdedah. Faizah hanya membatukan dirinya
waktu itu. Malunya tidak tertangggung.
“Khemah Faz dekat mana? Jom abang tengok kawan Faz tu,”
perlahan Iskandar menuturkan sambil matanya menatap wajah Faizah.
“Tu,” ujar Faizah lalu menudingkan jari telunjuknya ke
arah khemah yang dimaksudkan olehnya. Iskandar mendahului menuju ke khemah.
Faizah sekadar mengekori daripada belakang.
Setelah berdiri betul-betul di hadapan khemah, Faizah dan
Iskandar berpandangan antara satu sama lain apabila suara Wani mengerang
kesakitan daripada dalam.
“Semua tengah tidur. Faz masuk dulu suruh dia orang pakai
tudung. Nanti dah siap Faz panggil abang,” ujar Faizah kepada Iskandar.
Iskandar mengangguk. Belum sempat Faizah melangkah, sekali lagi Iskandar
memegang tangan Faizah. Faizah menoleh minta penjelasan.
“Faz jangan lupa pakai tudung sekali ya,” ujar Iskandar
lalu menghadiahkan sekuntum senyuman buat Faizah.
Faizah menarik muka masam. Tidak disangka Iskandar masih
mahu mempermain-mainkan dirinya pada waktu-waktu kritikal seperti ini. Akhirnya
Faizah berlalu masuk ke dalam khemah dan mengejut ahli lain lalu menyuruh
mereka memakai tudung. Iskandar sabar menanti di luar khemah.
Sehelai tuala di capai oleh Faizah di dalam beg
belakangnya lalu tuala itu di letakkan di atas kepala Wani yang sememangnya
tidak bertudung agar tidak dibasahi hujan nanti. Setelah semuanya bersedia,
Faizah membuka khemah. Ahli khemah yang lain keluar untuk memberi laluan kepada
komander Iskandar dan Faizah mengusung keluar Wani yang dalam kesakitan.
Dengan kudrat yang ada sebagai lelaki, Iskandar
menggendong gadis yang bertubuh agak gempal itu ke khemah komander untuk
tindakan lanjut. Faizah hanya mengekorinya daripada belakang. Setelah sampai di
khemah komander, komander siswi yang lain segera memberi ubat tahan sakit
kepada Wani sementara komander Rid
menghubungi jurulatih untuk mengejarkan Wani ke Hospital Jengka kerana
di takuti sakitnya tidak reda.
Iskandar menghantar Faizah pulang kembali ke khemahnya
setelah Wani dibawa pergi oleh jurulatih.
“Faz...” Suara Iskandar kedengaran begitu romantis.
Berdiri bulu roma Faizah apabila dipanggil begitu oleh Iskandar.
“Hmm...” hanya itu yang terkeluar daripada mulut Faizah.
Dadanya berdegup pantas. Kakinya masih mengorak langkah perlahan-lahan.
“Abang minta maaf pasal petang tadi ya,” perlahan
Iskandar menuturkan. Matanya melirik ke wajah Faizah yang berjalan di
sampingnya.
“Forgiven. But not
forgotten,” ringkas, tepat dan padat jawapan Faizah. Bukan mudah baginya
melupakan peristiwa yang terjadi petang tadi. Jika mudah, tidaklah dia bermandi
air mata sebentar tadi.
Iskandar tidak meneruskan langkahnya. Langkah Faizah juga
terhenti. Faizah memalingkan badannya ke belakang memandang Iskandar.
“Kenapa?” soal Faizah sambil mengangkat keningnya tanda
pelik.
“Tak ada apa-apa. Sayang juga Faz dekat abang,” tutur
Iskandar dengan ketawa kecil.
Faizah menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kasut nak?”
Faizah seolah-olah mengugut. Iskandar tertawa mendengar ugutan Faizah itu.
Perjalanan mereka diteruskan sehingga ke khemah Faizah.
JAM sudah menunjukkan pukul satu pagi. Faizah berbaring
semula di tempatnya. Dia kesejukan kerana pakaiannya tidak ditukar. Faizah
masih memakai baju yang telah basah lencun tadi. Bukan dia tidak mahu menukar
pakaiannya, namun ruang yang terlalu sempit di dalam khemah itu membantutkan
hasratnya untuk menukar pakaian.
Mujur baju sejuk yang diberi oleh
Iskandar tadi masih tersarung kemas di badannya. Setidak-tidaknya tidaklah dia
merasa begitu dingin. Faizah memeluk tubuhnya. Kakinya dibengkokkan sedikit
agar dia sedikit hangat.
Mengenang
kejadian tadi, Faizah tersenyum sendiri. Walaupun kejadian tadi hanya dilihat
oleh Iskandar, namun perasaan malu terus merajai dirinya. ‘Free show’ Kata-kata itu bermain-main di fikirannya. Pantas Faizah
mencapai tuala kecilnya lalu ditutup mukanya seolah-olah rasa malu itu boleh
disembunyikan.
Di
khemah komander, Iskandar berbaring memandang bumbung khemah. Fikirannya
menayangkan semula kejadian tadi. Umpama sedutan episod sesebuah drama, wajah
Faizah yang menerajui drama itu datang silih berganti. Sekejap tergambar wajah
Faizah yang dalam ketakutan. Sekejap lagi, susuk tubuh Faizah kelihatan jelas
dalam titis-titis hujan. Sebentar kemudian, air hujan yang membasahi rambut
Faizah yang menutupi sebahagian matanya jatuh menitis di pipinya. Dan akhirnya
muncul wajah Faizah yang kemerah-merahan apabila dia menyarungkan baju sejuk
itu di badan wanita kesayangannya itu.
Keadaan
yang dingin menimbulkan rasa yang lain bagi Iskandar. Masih terasa degupan
jantung Faizah yang maha hebat lajunya sewaktu Faizah dalam dakapannya.
Permainan otaknya semakin mengganas. Badannya dirasakan semakin hangat walaupun
cuaca di luar dingin. Akhirnya Iskandar duduk. Dia beristighfar beberapa kali.
Tangannya meraup muka beberapa kali.
Komander
Ali yang sedar perlakuan Iskandar sedikit pelik itu akhirnya menegur. “Kau
kenapa Is? Mimpi ngeri?”
Iskandar
yang tidak sedar dirinya diperhati sejak tadi terperanjat apabila ditegur
begitu. Setelah di lihat mata Ali terbuka memandangnya, akhirnya Iskandar
melepaskan keluhan berat.
“Sangat
ngeri,” ujarnya dengan senyuman hambar kepada Ali. Iskandar memeluk kakinya dan
merenung bayang-bayang titis-titis hujan daripada dalam khemah.
“Kenapa?”
Ali bertanya sepatah. Pelik benar kelakuan teman sebiliknya ini. Tangannya
menupang kepala sementara menanti jawapan daripada Iskandar.
“Aku
nampak Puteri Gunung Ledang tadi. Cantik,” selamba sahaja Iskandar menuturkan.
Di tubir matanya sudah terbayang wajah Faizah. Senyuman sudah mekar di bibir
merah miliknya.
“Merepek
kau ni. Kita bukannya dekat Gunung Ledang. Puteri Kem Gading kotyang kau nampak tu,” ujar Ali.
Kemudian Ali sudah terkekeh-kekeh ketawa.
“Puteri
Kem Gading pun boleh jugaklah Ali. Sebab aku jumpa dia basah dalam hujan depan
khemah tu. Lepas tu aku peluk dia,” Iskandar masih cuba memancing Ali dengan
ceritanya.
Iskandar menyanyi-nyanyi kecil. “Masih gelap warna
embun.” Zip khemah mereka dibuka.
“Masih deras turun
hujan.” Tangannya dikeluarkan daripada khemah menadah titis-titis air
hujan.
“Masih ada desau angin malam, angin malam.” Lembut sahaja
udara sejuk masuk ke dalam khemah mereka seolah-olah faham bait-bait lirik yang
dinyanyikan oleh Iskandar itu.
“Masih ingin aku memeluk dirimu lagi, Masih ingin
menyayangmu lagi..” Iskandar berlakon seolah-olah memeluk seseorang di
hadapannya lalu menutupkan matanya.
Setelah agak lama, matanya dibuka. Ali yang dari tadi
memerhati terkesima memandang Iskandar. Akhirnya, Iskandar mengenyitkan matanya
kepada Ali.
“Biar betul kau ni Is?” Ali sudah duduk menghadap
Iskandar. Matanya besar memandang Iskandar. Tidak sabar menunggu cerita
selanjutnya.
“Betul. Tapi dalam mimpilah,” selamba sahaja
Iskandar menjawab. Ali yang sedar dirinya dipermain-mainkan menarik muncungnya
panjang sedepa. Melihat Ali yang sudah mula menunjukkan tanda protes, akhirnya
Iskandar tertawa.
“Muncung
kau tu Ali dah mengalahkan muncung itik kau tahu tak?” Setelah keadaan sepi
seketika, akhirnya ketawa Ali dan Iskandar terhambur jua.
FARHAN merenung ke luar tingkap. Hujan lebat pagi ini telah
membasahi bumi Jengka yang sekian lama tidak hujan. Dia risau akan keadaan
Faizah yang sedang mengikuti perkhemahan PBSM.
Esok pagi dia juga akan ke Kem Gading untuk perkhemahan
bagi pelajar semester satu Diploma Sains. Namun Faizah dan siswa siswi Diploma
Sains lain yang mendaftarkan PBSM sebagai mata kuliah kokurikulum telah
mendapat pengecualian untuk tidak mengikuti kem ini memandangkan dia diwajibkan
menghadiri kem PBSM sebagai syarat untuk lulus kokurikulum. Ini kali pertama
Faizah berjauhan daripadanya. Hatinya risau bukan kepalang.
“Kau ni macam ayam berak kapur je aku tengok Farhan,” tegur Afiq setelah dilihat hampir sejam
Farhan duduk termenung di meja belajarnya sambil merenung ke luar tingkap. Afiq
menghampiri Farhan dengan secawan mug
di tangan.
Bau air Milo menusuk hidung Farhan. Hujan-hujan begini
memang sedap jika dapat minum air panas. Farhan menoleh ke arah Afiq yang sudah
duduk di kerusi sebelahnya. Akhirnya dia berbicara, “Aku risaulah Afiq. Faiz
tu. Dia kan dekat Gading. Hujan-hujan macam ni.”
Afiq hanya tersenyum. Mug
yang berisi Milo panas tadi ditolak ke meja Farhan. Farhan memerhati asap yang
berkepul-kepul keluar daripada mug
itu. “Minumlah, aku buatkan untuk kau,” ujar Afiq.
Farhan menyua mug
yang diberikan oleh Afiq tadi ke mulut. Seteguk air milo dihirup perlahan.
Terasa air panas itu berjalan melalui trachea,
esofogus dan usus-ususnya.
“Apa yang kau nak risaukan. Kan Faiz tu rapat dengan
komander PBSM tu. Siapa nama komander yang tak habis-habis usha dia tu?” Afiq mengerut-ngerutkan keningnya cuba mengingati
nama komander yang rapat dengan Faizah.
Farhan melepaskan keluhan berat. Pandangan dihalakan
kembali ke luar tingkap. “Iskandar. Sebab dia ada tulah aku risau. Kalau dia
tak ada aku tak risau sangat,” jujur dia memberitahu Afiq.
“Ha, Iskandar tu. Dia tu pun seniorkita. Yang kau nak risau tu kenapa? Okeylah tu ada Iskandar
tu. Boleh juga dia tengok-tengokkan si Faiz tu,” Afiq menyatakan pendapatnya.
“Sebab dia tu pernah melamar si Faiz tulah yang aku
risau.” Setelah sekian lama Farhan menyimpan cerita ini seorang diri, akhirnya
diberitahu juga kepada Afiq.
Mata Afiq bulat memandang Farhan. Otaknya masih belum
dapat mencerna berita yang baru
diterimanya ini. “What? Lamar?
Hey hey. Coollah Farhan. Kalau ya pun kau risau dekat Faiz tu, tak kan
sampai kau nak buat cerita si Iskandar tu propose
dia pula,” uja Afiq sambil ketawa kecil.
“It’s not a jokelah
Afiq. Aku tengok sendiri si Iskandar tu propose
Faiz dekat restoran seafood tu,” Farhan
meneguk sekali lagi air Milo di dalam mug itu.
Kali ini mulut Afiq ternganga besar. Matanya bulat
memandang Farhan. Kalau tidak ada tulang rusuknya ini, pasti jantungnya sudah
terkeluar daripada badan dek terperanjat mendengar berita yang disampaikan oleh
Farhan sebentar tadi.
Ami yang sedari tadi leka bermain game sambil meniarap di atas katilnya menekan butang pause. Pantas dia duduk bersila di atas
katil lantas memandang muka Farhan menunggu cerita selanjutnya. “Seriouslah?” soalnya setelah keadaan
bilik mereka sunyi seketika.
“Pernah ke aku main-main kalau soal Faiz?” Farhan
bertanya kembali kepada teman sebiliknya itu sambil memandang wajah Afiq dan
Ami silih berganti. Kedua-duanya menggeleng serentak.
Melihat kedua-dua temannya menggeleng-gelengkan kepala
mereka, akhirnya Farhan menyambung bicara. “Dah tu?”
“Speechless,”
Afiq dan Ami menjawab serentak.
SEMUA
komander sudah berkumpul. Kini,
jam menunjukkan pukul tiga pagi. Pagi ini mereka akan membawa peserta kem
melalui ujian sebagai seorang junior. Siren dibunyikan berulang-ulang kali bagi
mengejut semua peserta kem.
Faizah
yang mendengar bunyi siren itu sayup-sayup cuba membuka matanya. Namun matanya
begitu berat. Mira yang sudah terjaga, mengejut Faizah. Mira terperanjat
apabila dirasakan tangan Faizah sangat panas. Pantas diraba dahi Faizah. Panas
juga.
Mira panik.
Kepala Faizah dipangku di pahanya. Tangannya mengusap lembut rambut Faizah.
Faizah masih tidak membuka matanya. “Faizah, awak kenapa ni? Kenapa panas
sangat ni,” Mira menggoyang-goyang bahu Faizah.
Faizah
membuka matanya perlahan-lahan. “Hmm. Dah kena kumpul ke?” Suaranya lemah.
“Nak
saya panggil abang Is ke?” Mira inginkan kepastian. Dilihat badan Faizah
menggigil.
“Ta-tak
pa-payah,” jawab Faizah tergagap-gagap. Tangannya yang terketar-ketar kesejukan
cuba memegang tangan Mira.
“Kita
dah kena kumpul dekat luar ni,” terang Mira. Pintu khemah diselak melihat
pelajar yang sudah mula berkumpul.
Iskandar
tercari-cari bayang Faizah setelah semua pelajar berkumpul di hadapan khemah
komander. Setelah dilihat Faizah tidak ada disitu, Iskandar bergegas menuju ke
khemah Faizah. Iskandar mundar-mandir di luar khemah. Akhirnya Iskandar memberi
salam. “Assalammualaikum, Faz ada dekat dalam?”
Mira
yang mendengar suara Iskandar pantas memakaikan tudung di kepala Faizah dan
mengalas beg di bawah kepala Faizah. “Waalaikummussalam abang,” jawab Mira
setelah membuka pintu khemah sambil menjengukkan kepalanya ke luar.
Lega
sedikit perasaan Iskandar. “Faz ada?” soal Iskandar.
Mira
memalingkan muka ke belakang memandang Faizah. “Ada. Demam rasanya. Menggigil
tu,” terang Mira.
“Boleh
abang masuk?” soal Iskandar. Jelas kerisauan di wajahnya. Mira mengundur ke
belakang memberi laluan kepada Iskandar melihat keadaan Faizah.
Pantas
sahaja Iskandar meletakkan tangannya di dahi Faizah. ‘Panas,’ bisiknya dalam
hati. “Faz ada bawa panadol tak?” soal Iskandar kepada Faizah. Matanya tidak
lepas daripada memandang wajah Faizah. Faizah menganggukkan kepalanya.
“Mira...”
panggil Faizah sambil menudingkan jarinya ke arah beg yang dibawanya.
Pantas
Mira membuka beg Faizah dan mengeluarkan ubat-ubatnya. Dicari panadol dalam beg
ubat Faizah. Mira menghulurkan panadol itu kepada Iskandar. Iskandar mengambil
panadol itu lalu dibuka satu bahagian pil dan memegangnya di tapak tangan.
“Air
masak ada Mira?” soal Iskandar. Mira mengangguk. Sebotol air mineral milik
Faizah diberikan kepada Iskandar. Iskandar memangku kepala Faizah lalu
memasukkan sebiji panadol ke dalam mulutnya. Botol air mineral tadi disua ke
mulut Faizah. Faizah meneguk air beberapa kali lantas menelan panadol tersebut.
“Faiz
kena pergi juga ke abang pagi ni?” soal Mira inginkan kepastian.
“Kena.
Tak apa. Mira jangan risau. Nanti abang jaga Faizah. Mira keluar dulu,” arah
Iskandar.
“Okey
abang,” jawab Mira lantas keluar setelah tangannya mencapai kain yang
diletakkan di atas begnya. Belum lagi dia melangkah pergi, Iskandar memanggil
kembali namanya. Mira menoleh kembali ke dalam khemah.
“Mira,
kalau abang Rid tanya kenapa lambat, cakap abang yang tahan Mira,” Iskandar
memberitahu. Mira mengangguk tanda faham dan berlalu pergi.
Iskandar
membantu Faizah unuk bangun dan memakaikannya kasut. Setelah itu, dibantu
Faizah untuk berdiri. Setelah dilihat Faizah agak stabil, Iskandar melepaskan
tangannya. Faizah menapak perlahan menuju ke tapak berkumpul. Sebaik sahaja
tiba, dilihat semua peserta kem sudah mengikat kain yang dibawa di kepala bagi
menutup mata mereka.
Faizah
memandang Iskandar lalu menyerahkan kain yang dibawanya. Iskandar mengangguk.
Diambil kain itu dan diikat di kepala Faizah.
“Jangan
risau, abang teman,” ujar Iskandar. Faizah mengangguk lemah. Badannya tidak
terdaya. Seram sejuk badannya.
Perjalanan
dimulakan merentas hutan. Mereka berjalan dalam kumpulan sambil memegang
tangan. Faizah orang ketiga dalam barisan kumpulannya. Iskandar berjalan di
samping Faizah. Memandangkan mereka tidak dapat melihat keadaan persekitaran,
mereka hanya berjalan berpandukan arahan yang diberikan oleh komander.
Iskandar
melihat sebuah lubang besar di hadapan. Dijerit memberi arahan kepada kumpulan
Faizah yang melintasi jalan itu.
“Lubang
besar dekat depan kumpulan lima. Langkah besar dua kali,” arah Iskandar.
Menurut
arahan yang diberikan oleh Iskandar, semua ahli kumpulan Faizah melangkah
besar-besar. Tiba giliran Faizah untuk melangkah, Iskandar memegang tangannya
dan menyuruh Faizah melangkah. Dahan pokok yang menghalang jalan Faizah itu
dipegang oleh Iskandar agar kepala Faizah tidak terhantuk.
Kedengaran
suara peserta kem menjerit di hadapan. Kedengaran juga bunyi kocak air dan
suara komander menjerit memberi arahan. Seram juga Faizah mendengarnya.
“Depan
tu ada paya. Faz kena masuk dalam paya. Faz okey tak?” soal Iskandar seraya
memandang Faizah. Dia tidak yakin Faizah mampu masuk ke dalam paya itu.
Faizah
mengangguk. Dia tidak mahu terlalu bergantung kepada Iskandar. Dia juga tidak
mahu komander lain berfikir dia mengambil kesempatan dengan kehadiran komander
Iskandar.
Mereka
berpimpin tangan meredah paya. Tiba ditengah paya, Faizah hampir tenggelam. Air
paya itu sudah separas hidungnya. Di dalam air, kakinya sudah tidak boleh
bergerak kerana selut tebal melekat di kasut yang dipakainya.
“Abang,”
panggil Faizah panik setelah dia tidak boleh bergerak dan ahli kumpulan di
depannya sudah melepaskan tangan.
“Kenapa
Faz?” soal Iskandar. Iskandar datang mendekati.
“Faz tak
boleh gerak abang. Kaki tak boleh angkat.
GroupFaz dah terlepas tangan ni,” ujar Faizah cemas.
Iskandar
tunduk ke bawah dan mencelupkan tangannya ke dalam paya itu mencari kaki
Faizah. Di bantu Faizah untuk mengalihkan kakinya daripada kawasan itu. Setelah
semua ahli kumpulan Faizah berjaya keluar daripada paya itu, Iskandar
menyambungkan semula pegangan tangan mereka kepada ahli kumpulan yang terpisah
tadi.
Kini
mereka ke checkpointseterusnya. Di checkpointini, setiap ahli
kumpulan akan diasingkan secara
individu. Tangan Faizah sudah dilepaskan daripada ahli kumpulannya yang lain.
“Awak
nak dekat mana? Dekat hujung hutan?” sergah satu suara sambil menarik Faizah
untuk dibawa ke suatu tempat.
Faizah
hanya diam. Dia tahu suara itu milik Komander Rid. Langkah kakinya hanya
mengikuti arah yang dibawa oleh Komander Rid memandangkan dia tidak dapat
melihat apa-apa.
Melihat
keadaan disitu agak selamat dan sunyi, Komander Rid meninggalkan Faizah di
situ. Faizah diarah untuk duduk. Malas mahu melayan, Faizah duduk di atas tanah
yang dia sendiri tidak tahu di mana.
Alang-alang
tidak dapat melihat, Faizah menutup matanya. Rasa mengantuknya mula datang.
Mungkin kerana efek samping dia menelan sebiji panadol tadi. Akhirnya Faizah
terlelap di situ tanpa menghiraukan suara-suara komander menjerit memberi
arahan yang masih kedengaran di telinganya.
“Buka
mata semua!! Babi!! Lari!!” Komander Rid memberi arahan kepada semua peserta
kem. Keadaan menjadi huru-hara apabila semua peserta kem membuka kain yang
menutupi mata mereka. Semua menjerit-jerit berlari tanpa arah bagi
menyelamatkan diri.
Faizah
yang tertidur hanya statik ditempatnya. Telinganya mendengar jerit pekik
manusia. Namun dia tidak terdaya untuk membuka matanya.
“Semua
cari kumpulan masing-masing dan kira ahli cukup ke tidak,” arah Komander Rid.
Iskandar
bergegas menuju ke arah kumpulan lima. Dicari Faizah. Dadanya berdegup kencang
apabila dilihat Faizah tidak ada di situ. Pantas Iskandar berlari mencari Rid.
Matanya liar mencari kelibat Rid.
Setelah dilihat Rid berdiri di hadapan, Iskandar menolak bahu Rid sekuat
hatinya.
“Mana
kau letak budak tu?” soal Iskandar dengan suara tinggi. Dia tahu pasti Rid
meletak Faizah jauh daripada peserta lain.
“Hujung
hutan,” jawab Rid selamba dengan senyuman mengejek. “Dia yang minta nak duduk
hujung hutan tu,” tambah Rid lagi.
Iskandar
yang geram mendengar jawapan Rid tadi pantas mengepal tangannya. “Kurang ajar,”
bentak Iskandar seraya melepaskan tumbukan itu tepat ke muka Rid. Rid yang
tidak sangka dengan tindakan spontan Iskandar itu hanya menggosok-gosok pipinya
yang terasa kebas.
Pantas
Iskandar berlari mencari Faizah. Dijerit memanggil nama itu. Ali turut membantu
Iskandar mencari Faizah. Hampir longlai kakinya apabila dilihat Faizah hanya
kaku duduk ditempatnya sambil memeluk lututnya.
Iskandar
datang menghampiri lalu memegang bahu Faizah. Namun tiada respon ditunjukkan
oleh Faizah. Apabila ditolak bahu Faizah, Faizah rebah ke bumi. Berderau darah
Iskandar. Pantas dipangku kepala Faizah dan ditepuk-tepuk pipi gebu Faizah.
Masih tidak sedar.
“Dukung
dia bawa keluar dulu Is. Bahaya dekat sini,” Ali mengusulkan. Iskandar
mengangguk lalu menggendong Faizah dan membawanya kembali ke kem. Faizah di
baringkan di dalam khemahnya yang dikongsi bersama Ali. Pintu khemah dibiarkan
terbuka. Ali menemani Iskandar.
Iskandar
menyelimuti Faizah dengan tualanya yang masih belum digunakan. Sehelai tuala
kecil yang telah dibasahkan diletakkan di kepala Faizah. Dilihat wajah Faizah
pucat. Mira telah dimaklumkan Faizah dijaga oleh Iskandar setelah Ali diutus
untuk memberitahunya tentang keadaan Faizah.
Sepanjang malam itu Iskandar menjaga Faizah. Diharap esok
Faizah akan kembali sihat untuk menduduki ujian praktikal untuk membolehkannya
lulus mata kuliah kokurikulum ini.
FAIZAH
hanya terjaga daripada tidurnya
apabila bahang cahaya matahari terkena pipinya. Matanya juga silau dek panahan
cahaya matahari yang agak terik. Akhirnya Faizah membuka matanya. Matanya
digosok-gosok perlahan. Dilihat Iskandar di sebelahnya terlelap.
Faizah
bingkas duduk. Dilihat badannya dibaluti oleh tuala. Tudungnya masih tersarung
kemas di kepala. Entah apa yang terjadi malam tadi juga dia tidak ingat. Faizah
menepuk bahu Iskandar perlahan.
“Abang..”
ujar Faizah perlahan. Di sudut khemah, Faizah terlihat komander Ali yang sedang
tidur.
Iskandar
mendengar sayup-sayup namanya dipanggil. Akhirnya matanya dibuka. Dilihat
Faizah sudah terjaga.
“Faz dah
okey?” soalnya perlahan sambil tangannya meraup mukanya beberapa kali untuk
menghilangkan rasa mengantuk.
“Okey
rasanya. Faz keluar dulu ya abang. Terima kasih,” tutur Faizah sambil melipat
tuala yang membaluti tubuhnya.
“Tu
tanggungjawab abang Faz. Tak payah cakap terima kasih. Faz jangan mandi dulu
ya. Lap-lap badan tu je dah cukup,”
ujar Iskandar sambil melihat Faz menyarungkan kasutnya di hadapan khemah.
“Baiklah,”
Faizah menjawab dan berlalu pergi kembali ke khemahnya. Sebentar lagi dia harus
mengikuti ujian praktikal. Dia harus segera bersiap-siap.
SETELAH diuji dengan cara menyelamatkan mangsa yang patah dan
memberi bantuan CPR, akhirnya ujian praktikal untuk kumpulan Faizah selesai.
Hampir jam dua petang, baru kesemua kumpulan selesai ujian praktikal. Upacara
penutupan di sudahi dengan nyanyian lagu negaraku dan lagu PBSM, dan secara
rasminya, kem kokurikulum untuk pelajar semester satu telah tamat.
“Tak
sangka dah habis,” ujar Mira sewaktu mereka berjalan pulang kembali ke Kompleks
Kediaman Siswi. Faizah menghadiahkan sekuntum senyuman kepada Mira. Nafas lega
dihelakan.
Sewaktu
melintasi simpang yang menghala ke tasik dibelakang Kolej Siswa itu, mereka
terserempak dengan siswa siswi Diploma Sains yang juga baru pulang daripada
kem. Mata Faizah tertancap pada suatu susuk tubuh yang dikenalinya. Farhan.
Langkah
kaki masih dalam kelajuan yang sama. Mira yang baru melihat Farhan, Afiq dan
Ami yang berjalan bersama-sama menegur mereka.
“Hoi
Afiq!” jerit Mira. Afiq menoleh ke belakang. Begitu juga dengan Farhan dan Ami.
Masing-masing menoleh ke belakang dan menghentikan langkah.
“Kau
baru balik juga ke Faiz?” soal Farhan apabila melihat Faizah hanya mendiamkan
diri. Ini kali pertama dia menegur Faizah setelah peristiwa yang berlaku tempoh hari. Dilihat
wajah Faizah pucat lesi.
“Baru jedapat lepas ni,” jawab Faizah tanpa
memandang muka Farhan. ‘Sudah gaharu, cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Pang sekali baru tau,’ bisik hati
Faizah.
“Puteri
Gunung Ledang aku ni tak sihat ke Mira?” soal Farhan dalam nada bergurau
inginkan kepastian.
“Demam tu.
Kau jangan kacau kalau tak nak makan kasut,” terang Faizah sambil
terkekeh-kekeh ketawa. Akhirnya Faizah juga tertawa. Tidak disangka Mira akan
memberikan jawapan sebegitu kepada Farhan.
Melihat
senyuman Faizah, akhirnya mereka berlima ketawa serentak. Faizah sudah kembali
normal. ‘Moga persahabatan mereka tidak diuji lagi selepas ini,’ doa Faizah dan
Farhan dalam hati.
“Tak
rindu aku ke?” soal Farhan kepada Faizah setelah mereka tiba di pintu pagar
Kompleks Kediaman Siswi. Farhan sudah menayang muka gatal kepada Faizah. Lama
dia tidak mengusik Faizah.
“Say yes please,” rengek Farhan lagi.
“Kasut
nak?” Faizah menyoal kembali berbaur ugutan. Tangannya sudah mahu mencapai
kasutnya.
“Ohho! Ganas ea. Tak padan dengan demam,” ujar Farhan sambil ketawa terbahak-bahak.
Mira, Afiq dan Ami juga sama-sama ketawa.
Akhirnya
Faizah dan Mira meminta diri kerana mereka keletihan. Farhan, Afiq dan Ami
berlalu pergi setelah bayang Faizah dan Mira tidak kelihatan lagi. Mereka juga
sangat letih dan harus mendapatkan rehat yang cukup. Sungguhpun penat, mereka
gembira kerana hari ini hubungan mere