Cerpen : Selamat Ulang
Tahun Sayang
Oleh : Isha Idiaz
*****
“ABANG tak nak ucap dulu ke
dekat sayang sebelum sayang gerak ni?” soal
Fina lembut kepada suaminya melalui corong telefon.
Kedengaran tawa kecil Faris menampar
gegendang telinganya sebelum Faris menjawab ringkas ayat yang tidak mahu
didengarnya.
“Tak
nak.”
Fina
sudah menarik muncung panjang dua depa. Tidak puas hati dengan jawapan yang
diberikan oleh Faris. Selalunya, Farislah orang pertama yang akan mengucapkan
selamat ulang tahun kepadanya setiap kali tanggal dua puluh satu haribulan Mac
menjenguk kalendar.
“Alaaaa…
Kenapa abang tak nak ucap dekat sayang ni…” Sengaja Fina berjeda dan membuat
suara manja untuk melembutkan hati Faris.
“Tak
nak,” ujar Faris lagi. Tegas.
Fina
mengeluh. Sudah hampir setengah jam dia cuba berdiplomasi dengan Faris namun
entah mengapa hari ini Faris begitu tegar tidak mahu mengucapkan ayat yang satu
itu. Bukannya susah pun hendak mengucapkan Happy
Birthday kepadanya. Cuma dua patah perkataan yang harus dituturkan. Malah
kata-kata itu hanya memerlukan satu saat untuk diucapkan.
“Yalah,
nanti kalau tak sempat nak ucap dekat sayang, abang jangan menyesal tahu,” ujar
Fina dalam nada merajuk.
Hatinya
sudah sebak. Alasannya cuma satu. Suami kesayangannya itu tidak mahu
mengucapkan selamat ulang tahun kepadanya. Susah sangat ke nak tuturkan ayat
itu?
“Baiklah
sayang. Abang doakan sayang selamat sampai ke pangkuan abang malam nanti,” ujar
Faris lembut. Dia tahu Fina merajuk. Jika tidak, masakan isteri kesayangannya
itu diam sahaja di hujung talian.
“Abang
rindu dan sayang Fina sangat-sangat,” tambah Faris lagi. Kata-kata itu ikhlas
dari hatinya. Dua tahun tidak bertentang mata dengan Fina membuatkan perasaan
rindu menggebu dalam hatinya.
Fina
tersenyum. Tahu pun rindu. Ingatkan tak rindu tadi.
“Fina
pun sayang dan rindu abang sangat-sangat. Tunggu Fina ya abang,” ujar Fina
sayu. Dua tahun masa yang sangat lama untuk berjauhan dengan suami. Namun dia
dan Faris akur memandangkan Fina harus menamatkan pelajarannya di perantauan.
Hidup tanpa Faris bagai siang tanpa matahari. Tiap hari Fina merindui belaian
manja daripada suaminya.
Faris
senyum bahagia. Hubungan mereka bukan sekadar cinta jarak jauh. Bagi dirinya,
Fina adalah isteri jarak jauh dan bagi Fina pula, Faris adalah suami jarak
jauh. Merindui dan dirindui itu menambahkan lagi rasa cinta dalam perhubungan
mereka.
*****
FINA
menyandarkan kepalanya di kerusi. Pandangannya dibuang ke luar tingkap pesawat.
Melihat awan tebal yang berarak laju ditiup angin. Sesekali terasa badan
pesawat bergegar tatkala melanggar awan tebal. Namun, Fina yang sudah biasa
dengan keadaan itu, hanya duduk tenang di kerusinya. Fikirannya menerawang
mengingati Faris. Mengingati saat pertama kali mereka bersua dahulu. Waktu itu,
Fina masih pelajar tahun pertama.
*****
HARI
itu, dia diajak oleh rakan-rakannya untuk menemani mereka berbelanja. Tidak
menolak, Fina mengikuti mereka tanpa rasa syak wasangka. Namun, Fina
terperanjat sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam restoran itu.
“Surprise!”
jerit kawan-kawannya yang entah bila sudah berada di dalam restoran itu. Bukan
seorang dua. Hampir dua puluh orang semuanya di situ. Belon yang bewarna-warni
tergantung di setiap sudut restoran itu.
Lagu Happy Birthday pun berkumandang dengan kuatnya di dalam restoran
yang sederhana besar dan kurang pengunjung di petang hari itu. Sebiji kek
ditatang oleh seorang rakannya yang datang menghampirinya.
Fina yang terharu dengan kejutan itu
hanya mampu mengalirkan air mata. Sungguh, dia tidak menyangka rakan-rakannya
akan mengadakan kejutan untuknya. Lilin sebanyak dua puluh empat batang di atas
kek tadi ditiup. Serentak itu, tepukan gemuruh memenuhi ruang restoran itu.
Pisau yang dihulurkan oleh rakannya tadi disambut lalu kek hari lahirnya
dipotong.
Fina diajak oleh rakannya untuk ke
meja mereka. Namun dalam perjalanan menuju ke meja mereka itu, bahunya
dilanggar oleh seseorang. Fina menoleh ke belakang cuba memandang wajah orang
yang melanggarnya tadi.
“Selamat Ulang Tahun sayang,” ujar
orang yang melanggarnya tadi dengan senyuman manis di bibirnya.
Fina ternganga. Faris? Abang Faris?
Faris. Lelaki pertama yang diminati
oleh Fina semenjak dia menjejakkan kaki di bumi Indonesia ini. Bukan kerana
kekacakkan lelaki itu walaupun wajah Faris hampir seiras dengan Aaron Aziz.
Bukan juga kerana kegagahan lelaki itu walaupun badan lelaki itu segagah Salman
Khan. Lelaki itu cuma lelaki biasa di mata orang lain. Namun di mata Fina,
lelaki itu cukup luar biasa. Dia tertarik dengan bicara lembut lelaki itu dan
ya, senyumannya. Senyuman Farislah yang menghancur leburkan hatinya selama ini.
“Abang Faris yang merancang semua
ni,” ujar Su yang berdiri di sebelahnya saat itu.
Fina memandang Su dengan pandangan
tidak percaya.
“Kenapa?” soal Fina hairan. Matanya
masih tidak lepas memandang wajah Faris yang masih tidak berganjak dari tempat
dia berdiri tadi.
“Sebab abang suka Fina,” ujar Faris
tenang.
“Sejak bila?” Fina masih tidak
berhenti bertanya. Semuanya umpama mimpi saat ini. Dia sukakan Faris dan Faris
juga menyukai dirinya.
“Sejak pertama kali abang nampak
Fina,” lancar sahaja ayat itu keluar daripada mulut Faris tanpa dipaksa.
Fina kelu. Fina terharu. Air matanya
kini gugur satu persatu. Kejutan ini benar-benar membuatnya terkejut. Mujur dia
tidak punya riwayat penyakit jantung. Jika tidak, mahu dia terkena serangan
jantung saat ini.
*****
GEGARAN
pesawat yang menggila membuat Fina tersedar daripada lamunannya. Isyarat tali
keledar telah dinyalakan. Sekejap-kejapan sahaja pramugari sudah membuat
pengumuman.
“Lampu isyarat memasangkan tali
pinggang keselamatan sudah dinyalakan. Semua penumpang dikehendaki memasangkan
tali pinggang keselamatan anda dan duduk di tempat masing-masing. Penggunaan
tandas pada waktu ini tidak dibenarkan sama sekali.”
Fina menarik nafas dalam lalu
menghembusnya perlahan. Hari ini cuaca tidak elok. Dia dapat melihat awan tebal
di luar. Gelap. Fina berdoa agar perjalannannya ini selamat. Dia mahu bertemu
dengan Faris.
*****
“FINA
jangan
tak balik pula nanti kalau dah habis,” ujar Faris mengusik isterinya itu
sewaktu pertama kali melepaskan Fina pergi setelah usia pernikahan baru
menjangkau satu bulan.
Fina mengangguk lemah. Kalau boleh,
dia tidak mahu berjauhan daripada Faris saat ini. Dia mahu menjaga Faris
seperti isteri orang lain menjaga suaminya.
“Janganlah nangis. Nantikan kalau
ada cuti Fina boleh balik. Kalau tidak pun, nanti abang datang sana,” ujar
Faris seraya menyeka air mata yang jatuh di pipi Fina. Bahu isterinya itu
dirangkul erat.
Hari ini, genaplah usia perkahwinan
mereka selama sebulan. Dan hari ini juga, Fina harus pulang ke universiti untuk
memulakan semester baru. Jika universiti di dalam negara, seminggu sekali pun
Faris tidak kisah jika dia harus berulang-alik untuk berjumpa dengan Fina.
Memandangkan Fina belajar di Indonesia, tidak dapatlah dia hendak berjumpa
dengan isterinya itu setiap hari.
“Abang kan tahu lepas ni Fina tak
boleh balik dah sampai Fina habis. Dulu pun abang tak boleh balik juga masa
praktikal,” ujar Fina lirih. Air matanya jatuh lagi.
Faris tersenyum. Dia maklum akan hal
itu. Dulu sewaktu dia praktikal juga tidak pernah sekali dia pulang ke Malaysia
kerana mahu pengajiannya tamat tepat waktu. Namun, saat ini, hanya kata-kata
itu yang mampu diucapkannya untuk memujuk Fina.
Belum sempat dia menyambung bicara,
Fina sudah mencelah lagi.
“Abang pun tengah housemanship. Mana boleh ambil cuti
sesuka hati.”
Tepat dan padat ayat yang diucapkan
oleh Fina. Kini Faris kehilangan kata-kata. Dia hanya mampu tersenyum dan
menggenggam erat jari-jemari Fina.
“Sabarlah sayang. Dua tahun je lagi. Lepas dua tahun ni, Fina boleh
teman abang sampai bila-bila.”
Fina mengangguk lemah. Mahu tidak
mahu, dia harus meneruskan perjuangannya untuk mendapat gelar doktor sama
seperti Faris. Jika tidak, percuma sahaja dia menghabiskan masa selama tiga
tahun sebelum ini di tempat orang.
Kedengaran pengumuman untuk
perlepasan pesawat menuju ke Makassar, Indonesia. Fina memandang wajah Faris.
Lelaki itu menghadiahkannya sebuah senyuman. Perlahan, tangan lelaki itu
dicapai lalu dikucupnya penuh hormat. Terasa ubun-ubun kepalanya diusap lembut
oleh Faris.
“Jangan tak terbang pulang. Abang
akan menanti Fina penuh kerinduan. Selamat tinggal. Selamat jalan sayang,”
bisik Faris ke telinga Fina sebelum melepaskannya pergi.
Setitis air mata lelakinya menitis
jua apabila melihat Fina melambai dari kejauhan setelah memasuki balai
perlepasan.
‘Ya Allah, kau lindungilah isteriku.
Kau tabahkanlah hatinya di sana tanpa aku,’ ujar Faris dalam hatinya.
Kelibat Faris sudah tidak kelihatan.
Fina meneruskan langkah kakinya.
‘Ya Allah, kau lindungilah suamiku.
Kau tetapkanlah hatinya di sana tanpa aku,’ bisik hatinya.
*****
Setahun
yang lalu…
“SELAMAT
ulang tahun sayang,” bisik Faris ke telinga Fina sewaktu gadis itu ralit
menghadap nota kuliahnya.
Pantas Fina menoleh ke sebelah dan
dapat dilihat Faris yang segak berbaju kemeja lengan panjang jalur-jalur biru
dan slack hitam. Tali leher polos warna senada kemas tersangkut di lehernya.
Melihat muka itu, mudah sahaja bibirnya mengukir senyum.
“Terima kasih abang,” ujar Fina
seraya menghadiahkan senyuman buat Faris. Bibirnya yang nipis dan
kemerah-merahan itu membuatkan senyumannya bertambah manis jika dilihat.
“Sama-sama.”
Fina memasukkan nota yang dibacanya
tadi ke dalam beg sandang yang dibawanya. Faris hanya memerhati gadis
kesayangannya itu. Fina tampak santai hari ini dengan blouse biru cair bercorak abstrak yang dipadankan dengan skirt
labuh warna senada. Selendang warna biru lembut dipin kemas di kepalanya.
“Fina nak hadiah tak?” soal Faris
tiba-tiba.
Fina menoleh. Sebentar kemudian, dia
tertawa kecil. Tangannya menekup mulutnya agar tawanya tadi tidak kedengaran
oleh orang lain. Faris mengangkat kedua-dua alisnya. Dia bertanya bukannya
membuat lawak. Entah kenapa Fina tertawa.
“Abang ni. Ada tanya macam tu,” ujar
Fina sopan.
Wajah
Faris dipandang sekilas sebelum pandangannya dihalakan ke arah dua orang
kanak-kanak perempuan yang sedang leka bermain-main di tepi tasik itu. Waktu
petang begini, memang ramai orang yang akan mengunjungi tasik di universiti
ini. Mengambil angin mungkin. Ada juga yang bersenam tak kurang juga yang
mencari idea untuk melukis mahupun mengarang.
“Yalah, abang ingat nak bagi Fina
hadiah. Tapi…” Sengaja Faris mematikan kata-katanya di situ untuk memancing
minat Fina.
“Tapi?” ujar Fina sepatah tanpa
memandang muka Faris. Kakinya dicelupkan ke dalam air tasik itu. Sebentar
kemudian, cepat sahaja kakinya di angkat. Sejuk.
Faris tertawa memandang gelagat Fina
itu. Comel.
“Tapi apa abang?” soal Fina kembali
apabila soalannya masih belum dijawab oleh Faris.
Faris menarik nafas dalam. Kalau dua
tahun lepas dia masih ragu-ragu tatkala dia melafazkan rasa cintanya kepada
Fina sewaktu merancang sambutan ulang tahun Fina bersama junior-junior yang lain, namun, hari ini, dia yakin, rasa cintanya
hanya untuk Fina.
Untuk mendapat jawapan yang pasti
seperti itu, Faris membuat solat istikharah setiap malam sebelum tidur. Di
dalam doanya, Faris memohon agar Allah
menunjukkan wanita yang terbaik baginya untuk dijadikan isteri. Dan setiap kali
dia melakukan solat istikharah, pada malamnya Faris akan melihat wajah Fina
dalam mimpi.
“Tapi abang takut Fina tak suka
hadiah yang akan abang bagi,” ujar Faris tenang.
Tangannya
diseluk ke dalam kocek seluar. Menutup kegusaran hatinya saat itu. Hatinya
berdebar bukan kepalang. Namun, dia harus berani untuk mendapatkan sebuah
jawapan.
Fina
memandang wajah Faris sekali lagi. Kali ini, dia cuba mencari jawapan kepada teka-teki
yang cuba disembunyikan oleh Faris saat ini. Melihat dirinya direnung begitu,
pantas Faris membuang pandangan ke arah bunga teratai yang menghiasi
tengah-tengah tasik itu.
“Kalau
abang nak bagi hadiah, bagilah. Apapun Fina terima,” ujar Fina lembut.
Selendang yang terjurai di bahagian tepi itu menampar perlahan pipinya apabila
angin petang berpuput lembut.
“Termasuk
ini?” ujar Faris seraya mengeluarkan sebuah kotak baldu bewarna merah daripada
kocek seluarnya yang sedari tadi digenggam erat.
Fina
kaget. Terasa darah menyerbu ke muka. Kotak baldu merah berbentuk hati. Dia
selalu melihat kotak itu di kedai-kedai emas. Di dalamnya pasti akan terisi
sebentuk cincin. Dan dia pasti, di dalam kotak ini pun bakal ada sebentuk
cincin. Dan cincin itu biasanya bukan sebentuk cincin biasa. Namun ianya
merupakan sebentuk cincin pertunangan mahupun pernikahan.
“Fina
sudi menjadi isteri abang?” soal Faris inginkan kepastian dan jawapan daripada
Fina.
Fina
merenung wajah Faris. Sungguh, lidahnya kelu saat ini. Tidak tahu apa yang
harus dijawabnya. Air mata sudah mula bertakung di kolam mata. Akhirnya,
perlahan-lahan Fina mengangguk.
“Alhamdulillah,”
ujar Faris lega. Rasa syukur tidak terhingga dipanjatkan kepada Allah kerana
membuka hati Fina untuk menerima dirinya.
“Abang
datanglah rumah tanya keluarga Fina,” akhirnya Fina bersuara.
Faris
mengangguk laju. Kotak baldu itu diletakkan di atas telapak tangan Fina.
Bibirnya tidak henti-henti mengucapkan syukur.
“Minggu
ini abang hantar pinangan. Kita bertunang dulu ya sayang,” ujar Faris lembut.
Fina
hanya mengangguk. Seketika kemudian, telapak tangannya menutup muka. Malu
apabila mendengar Faris menyatakan ayat itu kepadanya.
*****
“YA,
saya
Faris. Ada apa hal encik?” soal Faris apabila tiba-tiba sebuah panggilan
diterimanya.
“Nama isteri Encik Faris adalah Puan Syafina binti
Syaiful?” soal pegawai itu lagi.
Dada Faris berdebar pantas. Ya,
memang itu nama penuh Fina. Kenapa dengan Fina? Adakah sesuatu terjadi kepada
Fina?
“Ya… Ya…” jawab Faris tergagap-gagap. Inilah hal yang
paling ditakutinya satu waktu dahulu sewaktu dia juga belajar di luar negara.
“Pesawat
AK306 yang dinaiki oleh Puan Syafina penerbangan daripada Makassar menuju ke
Kuala Lumpur tadi mengalami kecelakaan sewaktu mendarat,” ujar pegawai itu
lebih terperinci.
Gelas kaca yang dipegang oleh Faris
tadi terlepas dan pecah berderai apabila mencium permukaan lantai.
“Astaghfirullahalazim…” Faris
mengucap panjang.
“Kami harap encik dapat bersabar.
Kami akan cuba menyelamatkan semua mangsa yang terlibat dalam nahas itu. Kami
harap encik dapat datang ke sini untuk membantu kami membuat pengecaman mangsa
kerana kami hanya menemui kad pengenalan mangsa.”
Air mata sudah merembes keluar
daripada tubir mata. Perasaanya hancur lebur ketika ini. Dia hanya berdoa agar
Fina selamat.
“Baiklah encik. Saya akan segera ke
sana,” ujar Faris seraya memutuskan talian.
Hidangan makan malam yang sedang
disusun atur di atas meja untuk menyambut kepulangan dan ulang tahun Fina
dibiarkan begitu sahaja. Kunci kereta dicapai dan pantas Faris masuk ke dalam
kereta. Dia perlu cepat menuju ke Terminal LCC. Dia mahu berjumpa dengan Fina. Dia
mahu mengucapkan selamat ulang tahun kepada isterinya itu.
“Ya Allah, kau selamatkanlah
isteriku…”
Kereta perdana itu dipecut laju
membelah kegelapan malam.
*****
MATA Fina
masih menatap gambar Faris yang dipegangnya sejak awal perjalanan tadi. Gambar
yang tadinya bersih kini telah kotor dengan percikan darah. Tangannya
terketar-ketar cuba membawa gambar itu dekat di depan mata. Semakin lama,
semakin kabur wajah Faris daripada pandangan matanya. Mulut Fina terkumat-kamit
cuba mengatakan sesuatu.
“Abang me me…mang tak nak ucap
sela…mat ulang ta…hun pada Fina ya…” payah sekali ayat itu mahu diucapkannya.
“
Se…bab tu Fina tung…gu abang ca…kap tadi…” ujar Fina tersekat-sekat. Air mata
keluar dari hujung mata.
“Fina dah ba…lik kepang…kuan abang,”
ujarnya lagi. Gambar Faris masih direnung walaupun kini pandangannya semakin
kabur.
“Maaf…kan Fina abang. Fina tak
ba…lik dengan se…lamat…”
Hujan yang semakin menggila membasahi
tubuh Fina yang cedera teruk. Kepalanya berlumuran darah akibat hentakan yang
kuat. Kali ini, tubuh Fina seolah-olah kejang. Dadanya berombak laju.
“Allahhhhhhhh…” ucapnya perlahan.
*****
TUBUH yang
berlumuran darah itu dipandang kosong. Sewaktu proses pengecaman mangsa tadi,
dia melihat sekujur tubuh ini memegang gambarnya. Walaupun Faris tidak mahu
mengakui sekujur tubuh yang kaku di hadapannya ini adalah tubuh isterinya,
namun dia tahu inilah Fina. Gambarnya dipegang kemas dalam gengaman Fina.
Faris mendekatkan mulutnya ke
telinga Fina. Dia mahu mengatakan sesuatu kepada isterinya itu walaupun dia
tahu Fina takkan bisa mendengar suaranya lagi.
“Selamat Ulang Tahun sayang,”
ujarnya perlahan seraya mengurut lembut ubun-ubun Fina yang basah dengan darah.
Sekujur badan kaku itu dipeluk erat.
Dia sangat merindui Fina walaupun Fina kini sudah berada di hadapan matanya.
“Innalillahhiwainnailaihirojiun…”
ucap Faris tersedu-sedu.
“Ya Allah, kau tempatkanlah isteriku
di kalangan orang-orang yang solehah. Aku redha dengan pemergiannya Ya Allah.”
*****
Ucapkanlah selamat ulang tahun
kepada yang tersayang secepat yang mungkin. Kita tidak tahu adakah kita masih
diberi peluang kedua dan lebih masa untuk membuat mereka tersenyum lagi apabila
mendengar ucapan tersebut daripada kita.
-Isha Idiaz-
*****
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz