BAB 09
PEJAM celik pejam celik sudah hampir ke penghujung semester.
Sebelum tamat semester, siswa siswi semester pertama harus mengikuti kem
sebagai salah satu syarat untuk lulus aktiviti kokurikulum.
“Dah
kemas barang ke untuk kem nanti?” Deli datang menghampiri Faizah dan duduk di
sebelahnya.
“Dah.
Malam tadi.” Faizah masih membaca nota Biologi yang ditulisnya dalam
lembaran-lembaran kertas yang dilipat kemas.
“Jangan
lupa bawa Ya’asin. Kem Sri Gading tu bahaya sikit,” ujar Deli prihatin.
“Kau tu
dah siap kemas barang ke belum?” Faizah sekadar berbasa-basi.
“Aku
balik nanti baru kemas. Pukul berapa kita kena kumpul?” Deli menyoal kembali.
“Pukul
empat dekat Padang Kawat. Agak-agak boleh tak aku nak skip benda ni?” soal Faizah dengan suara mendatar.
“Apasal kau nak skip? Tak sihat ke?” Muka Deli sudah kelihatan cemas.
“Nope. Nothing. Saja.” Faizah terus
bangun meninggalkan Deli yang masih terpinga-pinga.
Akhir-akhir
ini perangai Faizah agak pelik. Begitu juga dengan Farhan. Kedua-duanya tidak
banyak bicara. Malah Faizah seolah-olah menjauhkan diri daripada mereka. Deli
yang tidak berpuas hati dengan jawapan Faizah tadi menghampiri Farhan yang masih termenung memandang pelajar yang lalu
lalang di luar kelas. Entah di mana fikirannya ketika ini.
“Kau
kenapa Farhan? Termenung je aku
tengok. Ada masalah ke?” ujar Deli sambil menepuk-nepuk bahu Farhan.
“Tak ada
apalah. Aku okey je. Tak payahlah risau,”
ujarnya perlahan. Satu keluhan berat dilepaskan. Pandangannya dihalakan kembali
ke luar kelas.
“Apalah
masalah kau orang berdua ni. Faiz pun macam ni juga. Kau orang gaduh ke?” Deli
terus kepada topik yang ingin dibicarakan bersama Farhan.
Satu keluhan
dilepaskan lagi. Farhan meraup mukanya. Faizah. Nama itu yang membuatkan
dirinya sebegini. Nama itu yang membuat dia membawa hati.
“Cuba
kau cerita dekat aku apa sebenarnya terjadi,” Deli cuba berdiplomasi.
Peristiwa
sabtu lalu sewaktu di Bandar Jengka bermain semula di layar matanya umpama
sedutan-sedutan filem yang akan ditayangkan di pawagam. Kolam matanya sudah
berkaca.
“She needs time. Me too,” ujar Farhan
ringkas. Pantas dia berlalu meninggalkan Deli yang mati kebuntuan di situ.
PANDANGAN mata mereka bertemu lagi. Wajah bujur milik Faizah
ditatap penuh kasih. Gadis ini walau secara zahir kelihatan kasar, namun jika
direnung dengan dalam sangat ayu wajahnya. Dengan bibir yang nipis, lesung
pipit di pipi kiri dan mata yang bulat itu menambah keayuannya lagi. Faizah
yang perasan dirinya diperhati oleh Iskandar menundukkan wajahnya.
Iskandar
menghela nafas. Senyuman diukirkan. “Faz dah kemas barang untuk petang ni?”
Perlahan sahaja nada suaranya.
“Sudah,” ringkas Faizah menjawab.
Matanya memandang siswa siswi yang lalu-lalang di hadapan Perpustakaan
Al-Bukhari itu. Masing-masing berebut-rebut untuk ke ruang kuliah. Mujur
kuliahnya telah tamat ketika itu. Dapatlah dia ke sini menemui Iskandar.
Mira yang duduk di kerusi berdekatan
sekadar memerhati. Tadi sewaktu tamat kuliah Fizik, Faizah mengajak dia
menemaninya menemui Iskandar. Kerana itu dia berada di sini.
“Faz marah lagi ke dekat abang?”
Iskandar masih cuba mengajak Faizah untuk berbual. Sebenarnya dia risau melihat
keadaan Faizah akhir-akhir ini. Mukanya pucat. Mungkin sakit atau mungkin juga
tidak cukup tidur.
Faizah mengalihkan pandangannya
menatap wajah Iskandar. Mata Iskandar direnung dalam. “Untuk apa nak marah?”
soalnya kembali.
Iskandar tersenyum lagi. Nyata
Faizah masih marah dengan kejadian sabtu lalu. “Abang tengok Faz macam dah lain je dengan abang sekarang ni,” tenang Iskandar menuturkan.
Keningnya berkerut. “Lain yang macam
mana?” Faizah kembali bertanya.
“Yelah, message abang pun tak reply
dah. Abang callpun Faz tak angkat.”
Wajah Faizah masih ditatap. Dicari kebenaran dari sepasang mata milik Faizah.
Keluhan dilepaskan. Pandangannya
dibuang ke dedaun yang bergoyang ditiup angin petang itu. “Kredit tak ada nak reply message. Tak perasan abang call,” rendah sahaja suaranya memberikan
alasan yang tidak mungkin dapat diterima oleh akal orang normal seperti
Iskandar. Namun dia tidak peduli. Asalkan dia dapat menjawab semua soalan yang
ditanyakan oleh Iskandar, itu sudah cukup baik.
Mira sudah memandang jam tangannya.
Hampir jam dua tiga puluh minit. Mereka harus bersiap-siap sebelum berkumpul di
Padang Kawat untuk ke kem kokurikulum jam empat nanti. Mira bangun dan
menghampiri Faizah.
Iskandar sekadar memerhati Mira
membisikkan sesuatu ke telinga Faizah. Dilihat Faizah mengangguk-anggukkan
kepalanya.
Setelah Mira berlalu, Faizah
mengangkat wajahnya memandang Iskandar. “Faz nak balik dulu. Nak siap-siap
untuk petang nanti,” ujarnya perlahan.
Iskandar melihat jam yang dipakai di
pergelangan tangan kanannya. Kemudian dia mengangguk perlahan tanda faham.
“Baiklah, jangan lupa bawa ubat gastrik dan mana-mana ubat yang Faz biasa
makan. Kita jumpa petang nanti,” Iskandar sekadar mengingatkan. Dia juga belum
mengemas barang yang harus dibawa ke kem. Dia menjadi fasilitator untuk kem ini
memandangkan dia salah seorang komander.
Faizah mencapai buku di atas meja
dan bingkas bangun. Setelah menapak beberapa langkah, dia menoleh kembali ke
arah Iskandar. “Assalammualaikum abang,” tuturnya sopan. Sebuah senyuman
diukirkan.
Iskandar mengangguk perlahan dan
menjawab salam di dalam hatinya. Senyuman Faizah yang menyerlahkan lesung
pipitnya di pipi kiri itu benar-benar menggetarkan nalurinya. Cepat-cepat dia
beristighfar di dalam hati dan meraup-raup mukanya.
Setelah hatinya agak tenang, Iskandar
juga berlalu pulang ke Kolej Kediaman Siswa untuk mengemas barang-barang yang
harus dibawa ke kem petang nanti.
“MASUK
barisan gerak!!” Komander Rid sudah memberikan arahan. Semua siswa siswi
Ko-PBSM sudah beratur bertiga-tiga memasuki barisan mengikut fakulti
masing-masing.
“Assalammualikum semua.” Walaupun
pemilik suara itu bertubuh kecil, namun suaranya mampu memecahkan gegendang
telinga sesiapa yang mendengarnya.
“Waalaikummussalam,” semua pelajar
menjawab salam yang diberikan oleh Komander Rid.
“Ada sesiapa yang tidak sihat hari
ini?” Mereka sudah boleh menghafal soalan ini. Soalan lazim ini yang sering
ditanyakan oleh Komander Rid sejak mereka MMS lagi. Semua hanya mendiamkan
diri.
Iskandar sekadar memerhati. Matanya
mencari-cari Faizah. Akhirnya matanya berhenti pada wajah yang dirinduinya itu.
Dilihat Faizah berdiri di barisan paling belakang. ‘Mungkin kerana dia tidak
mahu mencari masalah dengan Rid’, bisik hatinya.
Faizah membuat muka bosan. Sungguh
hatinya panas setiap kali melihat atau mendengar suara Komander Rid. Entah
kenapa dia merasa begitu.
Iskandar yang tidak tahan melihat
Faizah membuat berbagai-bagai memek muka di belakang sewaktu Komander Rid
memberikan taklimat akhirnya tertawa juga. Mulutnya ditekup dengan tangan agar
tidak terlihat oleh sesiapa.
Namun
Mira yang sedari tadi memerhati tindak-tanduk Iskandar dengan pantas memandang
Faizah yang berdiri di sebelahnya. Dapat dilihat Faizah sedang membuat memek
muka menyampah seolah-olah mengejek Komander Rid di hadapan. Mira juga tertawa.
‘Patutlah Abang Is gelak-gelak dekat depan tu. Rupanya Faiz ni buat muka,’
bisik hati Mira.
Akhirnya
Mira menendang kaki Faizah sedikit. Faizah yang terperanjat menoleh ke arah
Mira dengan muka tidak puas hati. Keningnya diangkat bagai ingin menanyakan
kepada Mira kenapa dia ditendang tadi.
“Elok-elok sikit muka tu. Awak
tengok Abang Is dekat depan tu dah gelak-gelak pandang awak buat muka tu
daripada tadi,” tuturnya seolah-olah berbisik agar suaranya tidak didengari
oleh orang lain sambil memuncungkan bibirnya ke arah Iskandar.
Faizah memandang ke arah Iskandar.
Iskandar masih menutup mulutnya. Kelihatan kedutan di tepi matanya menandakan
memang dia sedang tertawa. Pantas Faizah menundukkan wajahnya. ‘Macam mana
boleh kantoi ni Faiz oii,’ Faizah mengutuk dirinya sendiri di
dalam hati.
Mira yang melihat tindakan spontan
Faizah itu hanya tersenyum. Pasti Faizah sedang mengutuk dirinya sendiri.
Iskandar yang merasakan Faizah sudah perasan dirinya diperhati segera mengubah
posisinya berdiri di bahagian belakang barisan pula. Kini dia berdiri
betul-betul di belakang Faizah.
“Ada sesiapa yang tak ada lagi di
sini?” soal Komander Rid tegas.
Semua kumpulan mengira jumlah ahli
masing-masing. Kumpulan Faizah masih kekurangan dua ahli. Amirul dan Shafik.
“Group
kami tak cukup lagi dua orang,” Deli memberitahu Komander Rid.
Pantas Komander Rid berjalan
menghampiri kumpulan Faizah. Pandangnnya mencerun. Mukanya bengis. “Siapa yang
tak ada? Telefon mereka sekarang juga.” Soal Komander Rid lantas memberikan
arahan diktatornya.
“Amirul dan Shafik. Saya callsekarang,” Deli memaklumkan
kembali.
Komander Rid mengangguk lantas
berlalu memeriksa bilangan ahli kumpulan lain.
“Siapa ada nombor Mirul ni? Aku tak
ada simpan pulak,” Deli sudah mula
menggelabah. Tangannya masih sibuk mencari-cari nama Amirul di daftar
kontaknya.
Akhirnya Deli memandang Faizah.
Pasti Faizah tahu kerana Faizah rapat
dengan Amirul sejak MMS lagi. “Faiz, kau ada kan? Kau calldia” Pantas sahaja Deli menyuruh.
Faizah mengeluarkan telefon
bimbitnya. Dia mencari nombor Amirul. Didail nombor itu. Panggilan bersambung.
Semua mata bertumpu kepadanya. Tidak selesa direnung sebegitu Faizah mula
bersuara. “Yang kau orangni pandang
aku macam nak telan kenapa?”
Akhirnya semua tergelak. Tidak
sangka Faizah akan melemparkan soalan begitu kepada mereka. Akhirnya panggilan
bersambut.
“Hello,”
suara lemah menyahut di hujung talian.
“Hello
boyfriend. Kau tidur ke?” Faizah melembutkan suaranya.
Mendengar suara itu Amirul sudah
tahu siapa yang menelefonnya. Tidak lain tidak bukan Faizah. “A-ah aku tidur. Apa hal kau telefon aku
ni girlfriend?” soalnya lemah.
Faizah sudah mengeleng-gelengkan
kepalanya. Yang lain menanti penuh debar.
“Kau tanya aku apahal ya,” suaranya
seolah-olah menggoda.
“Yalah.
Kenapa girlfriend? Kau rindu dekat
aku ke? Esoklah kita jumpa kalau kau rindu dekat aku,” Amirul menuturkan
perlahan. Matanya masih tertutup rapat.
“Hoi Mirul! Orang semua tunggu kau ni dekat
Padang Kawat. Kau boleh lagi sedap-sedap tidur dekat bilik eh!” Faizah menyergah. Suaranya meninggi. Mata Amirul yang tadinya
seolah-olah digam dengan gam UHU serta merta terbuka luas.
Faizah
sudah menalakan pandangannya ke arah bilik hujung di tingkat tiga di Blok A
Kolej Kediaman Siswa itu. Dia mendengar Amirul berlari-lari dari corong telefon.
Pasti Amirul menuju ke tingkap biliknya itu. Ya, dia sudah dapat melihat bayang
Amirul yang sedang menyelak langsir.
“Damn!” ujar Amirul apabila melihat semua
sudah beratur di Padang Kawat itu.
“Baik
kau turun sekarang sebelum orang tua Rid tu mengamuk,” Faizah memberikan
peringatan sambil melambai-lambaikan tangannya kepada Amirul daripada bawah.
Amirul melihat lambaian Faizah itu.
Amirul
menurunkan kembali langsir. Kakinya mengarah ke almari pakaiannya. “Apasal kau
tak kejut aku girlfriend? Kau nilah,”
Kelam kabut dia mencari bajunya yang
digantung di dalam almari.
“Boyfried, sila tengok berapa kali aku call kau,” Faizah menuturkan selamba.
“Akulah
yang tidur mati ni. Dah dah aku nak pakai baju ni,” tuturnya dengan nafas yang
tersekat-sekat.
“Okey boyfriend. Kita tengok nanti orang tua
tu nak buat apa dekat kau. Tata,” pantas Faizah mematikan talian.
Ahli
kumpulannya yang lain memandang Faizah. Seolah-olah memahami persolan yang
bermain dibenak ahli kumpulannya, dengan selamba Faizah menuturkan, “Putera
Katak tidur mati. Baru bangun tu.”
Tawa
Faizah terhambur juga apabila dilihat ahli kumpulannya masing-masing ternganga
memandangnya. Bagai mahu terjatuh sahaja rahang mereka. Barangkali tidak
percaya dengan ayat yang baru dituturkannya sebentar tadi.
“Sudahlah
tu. Karang masing-masing tak ada
rahang bawah tu,” Faizah menambah. Spontan, masing-masing menutup mulut mereka.
Iskandar
hanya tertawa melihat gelagat Faizah yang keanak-anakan itu. Gadis itu memang
suka mengusik.
Kelihatan
dua orang siswa berlari-lari menuju barisan mereka. Pasti Amirul dan Shafik.
Komander Rid yang perasan akan kehadiran dua siswa itu pantas memberi arahan
kepada yang lain untuk duduk di Padang Kawat itu. Tidak mengingkari, semua
pelajar duduk tanpa membuat sebarang bunyi bising. Mereka tahu sebentar lagi
Komander Rid akan meletup bagaikan sebuah bom yang pernah menghancurkan Bandar
Hiroshima di Jepun suatu ketika dahulu.
“Kenapa
lambat?” soal Komander Rid dengan nada serius. Dilihat dua siswa yang berdiri
dihadapannya itu tercungap-cungap.
Amirul
mendepangkan tangannya dan menghirup sebanyak udara yang mungkin. ‘Tak ada
oksigen dah ke dekat bumi Jengka ni?
Kenapa aku rasa macam tak bernafas?’ soalnya bertubi-tubi di dalam hati. Shafik
tunduk sambil menekan perutnya.
Muka
Komander Rid mula memerah apabila soalannya tidak berjawab. “Kenapa lambat?”
Kali ini suaranya lebih tinggi daripada tadi.
Amirul
dan Shafik yang masih tercungap-cungap masih tidak boleh menuturkan apa-apa.
Amirul meletakkan kedua-dua tangannya di pipi kanannya dan melentokkan sedikit
kepalanya sebagai isyarat yang dia tidur tadi. Shafik sekadar menganggukkan
kepalanya tanda membenarkan kata-kata yang disampaikan oleh Amirul melalui
bahasa badan. Faizah sudah tergelak melihat rakannya itu.
“Awak
boleh tidur lagi dekat bilik tu? Awak tahu tak kawan-kawan awak dah tunggu
dekat bawah ni berapa lama?” Komander Rid masih menyoal.
“Mana
saya nak tahu. Kan saya tidur. Nasib baik girlfriend
saya tu baik tolong kejutkan,” ujar Amirul selamba setelah nafasnya mula
stabil. Matanya dikenyitkan kepada Faizah. Faizah sekadar mengukirkan senyuman
mengejek kepada Komander Rid.
Komander
Rid yang perasan akan hal itu segera memberikan hukuman kepada Amirul dan
Shafik. Dia tahu, jika dia memarahi Faizah pasti Komander Iskandar akan masuk
campur.
Kini,
Amirul dan Shafik sedang mengelilingi satu Padang Kawat itu dengan memegang
sehelai daun yang dikongsi bersama. Amirul memegang hujung daun di sebelah
kanan dan Shafik memegang hujung daun di sebelah kiri.
Apabila
mereka melintasi Faizah, Faizah sempat berbisik, “Romantiknya kau boyfriend. Macam cerita Mohabbatein pun ada.” Dan tanpa dipaksa
tawanya kedengaran. Malah semua yang ada disitu tertawa melihat Amirul dan
Shafik.
Setelah
habis membuat satu pusingan, Amirul dan Shafik masuk ke barisan kumpulan
mereka. Amirul mengambil tempat di sebelah Faizah. Pantas sahaja tangannya menyekeh kepala Faizah di sebelahnya. “Kau
gelakkan aku ea girlfriend. Bengong betul,” tuturnya separuh
berbisik.
Faizah
hanya tertawa. Kini mereka mula berjalan dalam barisan kumpulan masing-masing
menuju ke Kem Sri Gading di hutan yang terletak di bahagian belakang kampus
UiTM Jengka ini yang sememangnya terkenal dengan jolokan Kampus Khazanah Alam.