Cerpen
: Aidil sayang Adha
Oleh
: Isha Idiaz
*****
AIDILmelihat
emak masih duduk termenung di tepi tangga. Ibu ayam sudah sibuk membawa anak
masuk ke reban. Kereta yang lalu-lalang di jalan raya di hadapan rumah juga
semakin banyak. Namun semua tidak boleh mengembalikan emaknya ke alam nyata. Emak
seolah-olah hanyut di dalam dunianya setiap kali hari raya aidiladha tiba.
“Sudah-sudahlah tu maknya termenung,”
ujar Encik Ali sekaligus membuatkan Puan Aina berpaling dan keluar dari
dunianya.
“Saya ni masih ada. Awak jangan lupa. Aidil ni
pun masih ada,” tambah Encik Ali lagi. Sedar ada benarnya kata-kata Encik Ali
tadi, Puan Aina bangun dan mengesat air mata yang bergenang di kolam mata.
“Awak
tak faham perasaan saya abang,” ujar Puan Aina kepada Encik Ali sebelum masuk
ke dapur menyiapkan makanan berbuka.
Aidil
lihat ayah menggeleng-gelengkan kepala. Lama dia berdiri di sudut itu sebelum berlari
keluar dari rumah. Aidil dengar ayah menjerit memanggil namanya. Namun dia
terus berlari hingga sampai di tebing sungai ini.
Aidil
duduk di tebing sungai itu. Melihat airnya yang mengalir tenang petang itu. Sungai
inilah punca segala-galanya. Tiba-tiba kenangan bersama Adha mengasak ingatan. Aidil
menangis teresak-esak di situ.
“Aidil
sayang Adha!” laung Aidil kuat.
Lapan
tahun yang lalu…
ADHA
sibuk menolong Puan Aina memarut kelapa yang akan dijadikan kerisik untuk
memasak rendang sebentar nanti. Sesekali Puan Aina mengerling ke arah anak
lelaki sulungnya itu. Walaupun Adha ini anak lelakinya, tetapi anak ini sudah
mengambil kerja anak perempuan. Dari memasak hingga membetulkan paip, semuanya
boleh diserahkan kepada Adha.
“Berapa biji kelapa lagi mak nak
pakai untuk masak?” soal Adha sambil tangannya memarut kelapa. Matanya tidak
lepas memandang mesin parut kelapa di hadapan. Sekali hilang fokus, silap hari
bulan tangannya yang diparut.
“Dua biji lagi cukuplah Adha,” ujar
Puan Aina. Bibirnya mengukir senyum. Walaupun tiada anak perempuan, dia tidak pernah
rasa kekurangan. Adha segala-galanya untuk dia.
Adha mengangguk. Dia harus
menyelesaikan pekerjaannya dengan cepat supaya emaknya boleh memasak. Setelah
siap memarut kelapa nanti dia mahu menggantung langsir pula. Nak diharapkan
Aidil, adiknya itu baru enam tahun. Yang dia tahu cuma main mercun kalau tiba
musim raya ni.
Setelah meletakkan kelapa yang sudah
diparut ke dalam besin, cepat-cepat Adha membasuh tangan. “Adha naik atas dulu
mak. Nak pasang langsir,” ujar Adha meminta diri. Puan Aina hanya mengangguk
dan melihat Adha naik ke atas rumah.
“Abang Adha. Aidil nak tolong jugak,”
ujar Aidil petah. Kain langsir yang masih belum digantung, diheret ke sana
sini. Adha yang pening melihat gelagat adiknya itu sudah mula panas hati.
“Janganlah adik. Adik duduk je. Biar abang buat. Adik bukan sampai
pun,” ujar Adha.
“Tak mahu! Adik nak buat jugak,” protes Aidil. Tidak cukup dengan
kata-kata, Aidil sudah menghentak-hentakkan kakinya ke lantai apabila Adha
tidak melayan permintaannya.
“Abang cakap tak payah. Abang janji
nanti apa je adik nak, abang buatkan,”
ujar Adha sambil mengusap kepala adiknya itu.
Mendengar kata-kata Adha, cepat
sahaja Aidil mengangguk. Abangnya tidak pernah tidak menunaikan janji. Aidil
sudah tersenyum lebar. Otaknya sudah merencanakan sesuatu. Aidil teringat
perbualannya dengan Aiman di sekolah.
“Aidil sayang Abang Adha!” ujar
Aidil gembira sebelum menghilangkan diri ke dalam bilik.
Adha yang tidak tahu apa-apa hanya
menggelengkan kepalanya. Langsir seterusnya digantung.
AIDIL
lihat semua orang berkumpul di meja Aiman. Dia turut berlari ke arah meja
tersebut. Puas dia menyelit di antara kawan-kawan yang lain untuk melihat apa
yang ada di meja Aiman.
“Waaaaa..” Terlopong mulutnya
apabila melihat seekor anak ikan yang cantik berada di dalam balang di atas
meja Aiman.
“Ha, Aidil. Aku ada anak ikan ni.
Kau ada?” ujar Aiman sombong.
Aidil tidak segera menjawab. Dia
leka memandang anak ikan itu di dalam balang.
“Hei, kalau nak tengok kena
bayarlah! Mana boleh free,” Aiman
menjerkah Aidil. Aidil memandang wajah Aiman.
“Nanti aku suruh abang Adha tangkap
lagi besar daripada kau punya,” ujar Aidil dan langsung meninggalkan Aiman
disitu terpinga-pinga.
DARI
tadi Aidil mengekorinya ke mana-mana. Naik rimas Adha dibuatnya. Hatta Adha
mahu ke tandas pun Aidil mahu mengikutinya.
“Adik ni dah kenapa?” jerkah Adha
tiba-tiba.
Aidil yang membontotinya dari
belakang sedikit terkejut. Tapi tepat tiga saat, Aidil buat muka tidak
bersalahnya.
“Mana ada apa-apa,” ujar Aidil
selamba.
Puan Aina yang sedari tadi menjadi
pemerhati, meragui tindak tanduk Aidil dan Adha. Namun, kerana dia sedang sibuk
menyiapkan juadah hari raya, dia tidak berkata apa-apa.
“Tengok Aidil ni mak. Dari tadi dia
ikut je mana abang pergi,” ngadu Adha
kepada Puan Aina.
“Abang mainlah dengan adik tu,” Puan
Aina akhirnya bersuara. Arahan Puan Aina tadi disambut dengan senyum kambing
oleh Aidil.
Adha mengeluh. Main apa
petang-petang raya begini. Dia sudah penat. Apalagi hari ini dia masih berpuasa.
Adha duduk di atas pangkin berhampiran rumah.
Aidil berlari mendapatkannya lalu
duduk di atas pangkin tersebut. Sekejap-sekejap, Aidil memandang Adha dan
tersenyum. Sebentar kemudian, Aidil bangun dan duduk betul-betul depan Adha.
“Abang…” Aidil memulakan
muqaddimahnya.
“Hmm.” Adha sudah menyandarkan
badannya ke batang pokok kelapa.
“Tadi abang cakap, abang akan buat
apa je yang Aidil nak kan?” ujar
Aidil seraya mengingatkan janji Adha kepadanya.
“Hmm.” Sungguh dia letih kini. Adha
lihat maknya masih sibuk ke sana ke mari. Sekejap dilihat Puan Aina mengacau
kuah. Sekejap lagi dia lihat Puan Aina sibuk mencuci pinggan mangkuk.
“Aiman dia bawak ikan pergi sekolah
hari tu. Cantik,” ujar Aidil cuba memancing perhatian Adha.
“Jadi?” Adha menjawab acuh tak acuh.
“Aiman tanya Aidil ada ke tak ikan
macam tu,” ujar Aidil jujur. Dia cuba curi-curi melihat reaksi Adha.
“Lepas tu adik jawab apa?” Kali ini
Adha sudah memandang ke arah Aidil.
Melihat umpannya sudah mengena,
Aidil makin bersemangat bercerita.
“Adik cakap dekat Aiman, nanti abang
boleh pancingkan ikan lagi besar daripada dia punya,” ujar Aidil bongkak. Adha
sudah mahu tertawa. Ternyata ini muslihat adiknya mengekorinya sejak tadi.
“Owh, tu yang adik ikut abang ke
mana-mana tadi tu?” Sengaja dia mengenakan Aidil.
Aidil sudah tarik muka masam.
“Tapi esoklah abang pergi. Hari ini
abang penat. Hari pun dah nak hujan,” ujar Adha kepada Aidil.
“Alaaa tapi Aiman dah janji nak
datang raya esok dan nak tengok ikan adik,” Aidil sudah mula merengek lagi.
Adha berat hati mahu pergi memancing
petang itu. Banyak lagi kerja yang belum disiapkannya. Balang kuih belum
berisi. Ketupat yang sudah masak tadi belum digantung. Namun setelah mendengar
pujuk rayu Aidil, akhirnya dia akur, tetapi dengan satu syarat.
“Aidil jangan beritahu mak ya abang
pergi pancing dekat sungai tu. Kalau mak tahu, nanti abang kena pukul,” Adha
meletakkan syarat itu kepada Aidil dan anak kecil itu bersetuju dengan
syaratnya.
PUAN
Aina melihat Adha meninggalkan perkarangan rumah dengan sebuah baldi kecil dan sebuah
dahan rambutan yang sudah patah di tangan.
“Adha nak pergi mana tu!” Laung Puan
Aina dari rumah.
Adha berhenti seketika. Dia lupa
memberitahu Puan Aina. Langkah kaki dihalakan semula ke rumah.
“Adha nak ke mana?” soal Puan Aina sekali
lagi apabila Adha menghampirinya.
Adha menundukkan kepalanya. Entah
kenapa dia rasa hatinya berat mahu memberitahu Puan Aina arah tujuannya lewat
petang itu. Kali ini, dia terpaksa menipu Puan Aina. Akhirnya Adha bersuara.
“Adha nak pergi rumah Zaki sekejap
boleh mak?” Adha meminta izin. Dia lihat riak wajah Puan Aina sudah berubah.
“Buat apa pergi rumah orang petang
raya ni Adha. Esok kan ada,” Puan Aina cuba memujuk Adha.
“Tapi Adha dah janji dengan Zaki nak
datang petang ni,” Adha cuba berdalih lagi. Wajah Aidil dipandang.
Belum sempat Puan Aina berkata
apa-apa, Adha cepat-cepat mencapai tangan ibunya. Dia mengucup lama tangan Puan
Aina. Badan itu dipeluk lama.
“Maafkan salah silap abang mak.
Selamat Hari Raya Korban mak,” ujar Adha sayu.
Puan Aina pelik dengan perubahan
sikap Adha. Anaknya ini entah kenapa tiba-tiba meminta maaf petang raya.
Selalunya, malam raya, setelah solat Maghrib baru mereka akan bermaaf-maafan.
Namun, bibirnya seolah-olah terkunci untuk berbicara. Dia hanya mengusap lembut
kepala Adha.
Adha meminta diri dan melangkah
keluar daripada perkarangan rumah. Wajah Puan Aina dilihat sekilas sebelum dia
meneruskan perjalanan.
“Mak tunggu Adha balik berbuka,”
laung Puan Aina.
Adha hanya mengangguk. Dan tiba-tiba
hujan gerimis membasahi bumi.
AZAN
Maghrib di masjid sudah menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Lauk-pauk
sudah tersedia di atas meja. Namun, kelibat Adha masih belum kelihatan. Puan
Aina sudah tidak senang hati dibuatnya.
Sebentar tadi, Puan Aina sudah
menelefon ke rumah Zaki bertanyakan tentang Adha. Namun ibu Zaki mengatakan
Adha tidak ke rumahnya. Malah Zaki juga tidak keluar rumah kerana demam. Makin
risau Puan Aina. Encik Ali dari tadi sudah keluar mencari Adha. Namun, hingga
kini, kelibat suaminya itu belum lagi kelihatan.
“Aidil tahu abang Adha pergi mana?” soal
Puan Aina sambil berharap anak bongsunya itu tahu ke mana abangnya menghilang
sejak petang tadi.
Aidil diam lama kemudian menggeleng.
Jawapan tanpa suara Aidil itu membuatkan Puan Aina kecewa. Mahu sahaja dia
meraung saat ini.
“Betul Aidil tak tahu?” soal Puan
Aina lagi inginkan kepastian.
Dan serentak itu, pintu rumah mereka
diketuk. Berlari-lari anak Puan Aina ke depan untuk membuka pintu. Dia agak
Adha sudah pulang.
Namun, sebaik sahaja pintu dibuka,
Puan Aina terduduk di atas tangga. Adha memang sudah pulang. Tetapi hanya jasadnya
yang pulang. Puan Aina meraung di hadapan pintu. Dia tidak percaya Adha sudah
meninggalkannya selama-lamanya.
Menurut cerita orang kampung, ada
beberapa orang yang merentas titi sungai itu untuk ke kampung sebelah menjumpai
Adha sudah terapung di atas air. Bersusah payah mereka cuba membawa keluar Adha
daripada air sungai yang semakin deras akibat hujan yang turun lebat. Untung tubuh
Adha tersangkut pada akar pokok. Jika tidak pasti sudah hanyut.
SEDAR
Aidil tidak ada di rumah petang itu, Puan Aina sudah tidak tentu arah. Dia
tidak mahu kejadian lapan tahun lalu berulang kembali. Dia tidak mahu
kehilangan Aidil pula.
“Abang, carilah anak kita abang,”
rayu Puan Aina.
Encik Ali sudah tidak keruan. Dia
trauma dengan kejadian yang berlaku lapan tahun lalu. Walaupun dia tidak pernah
menunjukkannya kepada Puan Aina, tetapi dia merasai kehilangan Adha.
“Baik. Saya pergi cari sekarang.
Awak tunggu di rumah. Kalau ada apa-apa telefon saya,” Encik Ali memesan
sebelum meninggalkan rumah itu.
ENCIK
Ali kembali ke rumah dengan Aidil yang sudah basah kuyup. Puan Aina yang
melihat kelibat kedua beranak itu, terus berlari menuruni anak tangga dan
mendapatkan mereka.
“Aidil pergi mana? Kenapa pergi tak
beritahu mak?” soal Puan Aina bertubi-tubi. Tubuh anak itu dipukul
berkali-kali.
Aidil diam. Air matanya mengalir laju.
Sama lajunya dengan rintik hujan yang turun petang itu.
Puan Aina memeluk erat Aidil. Air matanya yang
tumpah sejak tadi semakin deras kini. Hatinya yang risau hanya Allah yang tahu.
Takutnya sebentar tadi sama takutnya seperti dia menerima jasad Adha yang sudah
kaku.
“Mak, Aidil minta maaf. Kalau Aidil
tahu abang Adha pergi tak balik-balik, Aidil mesti dah beritahu mak petang tu,”
ujar Aidil perlahan.
Puan Aina melonggarkan pelukan dan
menolak sedikit badan Aidil sehingga dia dapat memandang anak itu tepat di
wajahnya.
“Aidil tahu abang Adha pergi sungai
petang tu. Abang Adha dah janji nak tangkap ikan untuk Aidil,” ujar Aidil
berterus-terang.
Puan Aina keliru. Peristiwa lapan
tahun lalu kembali menjengah ingatan. Waktu itu, dia ingat Aidil hanya
menggelengkan kepala sewaktu dia bertanya di mana Adha.
“Kenapa Aidil tak beritahu bila mak
tanya?”soal Puan Aina. Kedengaran nada suaranya sedikit tinggi.
“Sebab Aidil dah janji dengan abang
Adha Aidil tak kan beritahu mak. Abang Adha cakap kalau Aidil beritahu mak yang
abang Adha pergi dekat sungai tu, mesti nanti mak pukul Abang Adha,” ujar Aidil
sambil teresak-esak menangis.
“Aidil sayang abang Adha. Aidil tak
nak mak pukul abang Adha. Sebab tu Aidil tak beritahu masa mak tanya,” kali ini
suara Aidil sudah tenggelam timbul.
“Tapi kalau Aidil tahu abang Adha
akan tinggalkan kita buat selama-lamanya hari tu, Aidil mesti dah beritahu mak.
Maafkan Aidil mak,” tambah Aidil lagi. Puan Aina yang sedari tadi mendengar
pengakuan anaknya hanya mampu menangis. Tubuh Aidil dipeluk erat.
Puan Aina tidak tahu anak bongsunya
itu menanggung rasa yang lebih berat daripadanya. Pasti anak itu merasa
bersalah sewaktu melihat jenazah Adha dibawa masuk ke dalam rumah. Pasti anak
itu merasa bersalah setiap kali melihat dia menitiskan air mata sewaktu hari
raya aidiladha.
“Kenapa Aidil tak pernah beritahu
mak semua ni dari dulu?” soal Puan Aina dalam tangis.
“Sebab Aidil takut mak marah dan tak
sayangkan Aidil lagi,” ujar Aidil tersedu-sedu. Kali ini Puan Aina sudah tidak
boleh menahan sebak. Encik Ali juga begitu.
“Aidil sayang abang Adha, mak,” ujar
Aidil dalam esakannya yang bertambah kuat.
“Mak dan ayah sayang Aidil juga,”
ujar Puan Aina dan Encik Ali.
©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz
*****
Saya Isha Idiaz, ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Maaf zahir dan batin. Terima kasih atas sokongan semua kepada saya selama ini.
Sudikanlah meringankan jari dan tangan anda dengan menekan bintang di sudut paling atas cerpen untuk memberikan penilaian bagi cerpen Aidil sayang Adha ini. Terima kasih.
'Isha Idiaz sayang anda!'
Salam dari perantauan,
Isha Idiaz.