Home Cerpen Seram/Misteri Hati Dhia
Hati Dhia
Isha Idiaz
8/9/2013 00:29:39
10,260
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Cerpen : Hati Dhia

Oleh : Isha Idiaz

*****

“MAAFKAN abang Dhia,” ujar Diaz sambil melihat ke arah Dhia yang lena di atas ribanya. Rambut Dhia dibelai lembut. Isterinya itu bagai sedang asyik diulit mimpi.

Bunyi air mendidih di dapur mematikan lamunan Diaz. Kepala Dhia diletakkan di atas sofa dengan berhati-hati. Takut isterinya itu terjaga dari tidurnya yang lena. Langkahnya juga diatur baik-baik agar tidak mengganggu Dhia.

Setibanya di dapur, api gas dipadamkan. Sebuah cawan diletakkan di atas meja. Dua senduk kopi dimasukkan ke dalam cawan. Satu sudu gula di tambah kemudiannya. Secawan kopi sudah siap dibancuh. Bau kopi semerbak di dapur itu.

Diaz menghirup kopi itu. Diletakkan kembali cawan di atas meja. Sesuatu kurang di dalam kopi itu. Mata Azman meliar memandang sekeliling dapur. Akhirnya matanya tertancap pada mesin pengisar. Cepat dia mengambil pengisar itu dan menuangkan sesudu bancuhan di dalam pengisar itu ke dalam cawan kopinya.

Kali ini, Diaz menghirup sekali lagi kopi itu. Senyumannya lebar hingga ke telinga. Ini baru rasa kopi sebenar. Kopi dengan cinta.

SEPULUH minit Diaz melihat isterinya menonton rancangan yang sangat digemarinya di kaca televisyen sehingga kepulangannya tidak disambut seperti biasa di muka pintu. Diaz berjalan menghampiri ruang tamu rumahnya sambil melonggarkan ikatan tali lehernya. Beg kerjanya diletakkan di atas meja.

Langkah kakinya membawa Diaz menghampiri Dhia. Perlahan jari-jemari Diaz menyentuh bahu Dhia. Dhia yang sedari tadi leka menonton rancangan master chef terperanjat apabila dirasakan ada sesuatu menjalar di lehernya. Cepat-cepat dia menepis tangan itu. Hatinya sudah berdebar kencang. Dhia menoleh ke belakang.

“Abang!” jeritnya sekuat hati. Diaz hanya tersenyum memandang ke arahnya. Dhia pula sudah rasa jantungnya bagai mahu melompat keluar daripada tulang rusuk.

“Kenapa?” Diaz berpura-pura bertanya. Padahal dia sudah tahu, Dhia paling tidak suka jika ada yang menakut-nakutkan dirinya.

Dhia menjeling tajam. Berpura-pura merajuk. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba mengatur detak jantung agar kembali normal. Masih tidak berjaya. Sehingga Diaz mengambil tempat di sebelahnya dan memeluk erat dirinya dalam dakapan.

“Kan sayang dah cakap saya tak suka abang buat macam tu,” ujar Dhia manja. Detak jantung mula berdenyut seperti biasa. Bahagia. Diaz masih menyayanginya hingga kini.

“Baiklah, abang tak buat lagi. Abang janji,” ujar Diaz sambil mengangkat kelima-lima jarinya ke atas seperti berikrar. Dhia tersenyum lega.

Mata masih melekat di televisyen. Dhia masih dalam dakapan Diaz. Namun lama-kelamaan pelukan Diaz semakin kuat hingga membuatkan Dhia sukar untuk bernafas. Dhia yang bertubuh kecil berusaha melawan kekuatan Diaz yang memeluknya namun tidak berjaya. Akhirnya, dengan kudrat yang ada, Dhia berjaya menolak tubuh Diaz yang sasa ke belakang. Dhia mula merasakan hatinya tidak enak dengan perubahan sifat Diaz yang drastik itu.

Berjaya meloloskan diri, Dhia cepat bangkit dari sofa dan berdiri di sudut dinding. Dipandangnya wajah Diaz. Dilihat wajah suaminya itu kemerah-merahan. Dada suaminya berombak kencang. Tidak lama kemudian, Diaz ketawa besar. Satu rumah hingar-bingar dengan gelak tawanya itu. Dhia menekup telinganya.

Bingit!

“Abang ni dah kenapa?” soal Dhia memberanikan dirinya untuk bertanya.

Diaz yang sedang gelak ketawa langsung diam. Matanya mencerun memandang Dhia. Butang di lengan kemejanya di buka lalu di sensing lengan baju itu hingga ke siku. Melihat keadaan Diaz saat itu, Dhia sudah mula takut.

Diaz bangun dari sofa dan menghampiri Dhia. Dhia pula menapak satu langkah ke belakang setiap kali Diaz menghampirinya. Sehingga pada akhirnya, Dhia sudah terjebak di sudut dinding yang menempatkan pasu bunga besar di situ. Diaz mula ketawa. Dia seolah-olah dirasuk hantu. Dhia ketakutan.

Satu tapak lagi dan akhirnya kedengaran dentingan pasu bunga yang jatuh pecah di atas lantai. Serpihan kaca tadi tertusuk di telapak kaki Dhia. Diaz yang melihat keadaan itu hanya ketawa terbahak-bahak. Dhia mula menitiskan air mata kerana sakit yang dialami. Darah mula keluar dan membasahi jubin lantai yang putih bersih itu apabila Dhia mencabut serpihan kaca yang tertusuk di kakinya.

Tidak cukup itu, Diaz mengambil serpihan pasu runcing yang pecah tadi lalu dia menikam-nikam ke arah sofa yang mereka duduki tadi. Koyak rabak sampul sofa tersebut. Diaz melepaskan kemarahannya kepada sofa itu. Menjerit-jerit Diaz di ruang tamu itu bagai hilang akal lagaknya.

“Aku sayang kau Dhia!”

“Aku cinta kau!”

Dhia ketakutan. Apabila namanya disebut, dirasakan jantungnya bagai mahu tercabut. Badannya menggigil. Darah yang tadinya sedikit kini bertambah banyak mengalir keluar. Melihat kelakuan Diaz yang berubah mendadak itu hanya membuatkan Dhia semakin bingung.

Akhirnya, apabila mendapat peluang melarikan diri, Dhia meloloskan diri ke dalam bilik tidur. Cepat-cepat Dhia mengunci pintu bilik dari dalam lalu menyendalnya dengan katil dengan harapan Diaz tidak dapat membuka pintu itu. Dhia bersandar di dinding pada sudut bilik. Badannya menggigil. Kaki tangannya dirasakan dingin.

Kesakitan yang dirasakan mula menjalar ke seluruh kaki memaksa Dhia mencari kotak kecemasan di dalam almari. Dhia membuang serpihan pasu yang masih bersisa dan membalut kakinya semampu mungkin. Untung kotak kecemasan ini ada di biliknya.

Tidak betah untuk tidur, Dhia hanya bersandar di dinding dan menguping setiap bunyi yang datang dari luar bilik. Terkadang, Dhia mengintai dari bawah pintu melihat jika Diaz berada di hadapan pintu bilik itu. Nafas lega dilepaskan apabila Dhia mendengar suara televisyen yang sedari petang tadi menyala sudah senyap. Itu petanda Diaz sudah tidur.

Perlahan Dhia merebahkan dirinya di atas katil. Matanya cuba dipejamkan namun Dhia tidak berjaya untuk tidur. Difikirannya bermain berpuluh soalan. Apa salahnya? Apa masalah Diaz? Mungkinkah suaminya itu punya masalah di tempat kerja sehingga suaminya bertindak kejam kepadanya.

Setitis air mata jatuh juga di pipi. Air mata yang tadi ditahan daripada mengalir kini membanjiri kolam matanya hingga jam lima pagi sewaktu matanya terpejam dek kerana mengantuk dan letih yang teramat sangat.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.