Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
579,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

Fahmi masih memikirkan jawapan untuk Nur Alia. Isterinya itu meminta izin untuk pulang ke kampung esok. Bukan sehari dia mahu, tetapi seminggu. Puas dia memujuk Nur Alia untuk mengikuti isterinya. Tapi isterinya berkeras. Bapa dan mak mentuanya tidak mahu dia ikut sekali selagi majlis perkahwinan tidak diadakan lagi. Fahmi terpaksa akur.

Akhirnya Fahmi mengambil keputusan untuk pulang ke Melaka. Menghabiskan cutinya di sana. Lagipun uminya sudah banyak kali meminta dia untuk pulang. Dia bukan tidak mahu pulang tetapi dia tidak mahu meninggalkan Nur Alia. Jauh di sudut hatinya dia tidak percaya akan gadis itu.

Pagi-pagi lagi Fahmi sudah merancang untuk menghantar Nur Alia ke Pudu Raya. Namun apabila dia keluar dari kamar, kedengan suara kereta memasuki perkarangan rumah mereka. Tiba-tiba dada Fahmi berdegup kencang. Jelas dia melihat Mak Jah menjemput Sofia dan aUminya yang turun dari perut kereta. Musibah apa pula kali ini......

“Hi Fahmi!” Sofia menjerit kecil. Gembira melihat buah hatinya di depan mata.

Fahmi tersenyum kelat. Pantas dia menyalami uminya yang tersenyum lebar melihat dia.

“Umi dari mana? Kenapa tak call nak datang?” Fahmi kalut, wajahnya pucat.

“Umi nak pergi mesyuarat persatuan kejap lagi. Umi ajak Sofia sekali. Boleh juga temankan umi. Abah kirim salam, dia pergi Vietnam semalam. Katanya nak jumpa kamu dulu, tapi tak sempat.” Datin Ani melabuhkan punggungnya.

“Hmm... eloklah nanti Sofia hantar aunti ke Equatorial Hotel. Lepas tu bolehlah kita keluar jalan-jalan...kan Fahmi”

“Ha, yelah tu. Petang nanti terus jemput umi. Kita balik sama-sama ke Melaka” Datin Ani menyokong cadangan Sofia sambil memandang anaknya.

Fahmi kelu. Dia sudah bercadang untuk menghantar isterinya ke Pudu Raya. Lagipun Lina dan Sasha sudah pulang semalam. Aina pula semenjak pergaduhan tempoh hari sudah jarang pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, Nur Alia muncul dari kamarnya menjinjit beg pakaian. Gadis itu terkejut menerima kunjungan yang tidak dijangkakan pagi itu. Pantas dia tersenyum bagi menutup keresahannya.

“Datin.... “

Datin Ani tersenyum melihat penyewa rumahnya itu. Ini baru kali kedua mereka berjumpa.

“Lia kan?...... lama tak jumpa. Awak sihat?” Datin Ani menyambut huluran tangan Nur Alia. “Bawa beg ni, nak balik kampung ke?”

Fahmi yang duduk di sisi Sofia hanya memandang. Dia mula gelisah.

“Alhamdulillah, sihat Datin...... Ha'a Datin, nak balik. Kebetulan cuti panjang”

“Siapa ni aunti?”

Sofia memandang wajah jelita di hadapannya. Kehadiran gadis yang bertudung itu seakan membuatkan dirinya resah.

“Oh, ni penyewa di sini. Ada tiga lagi. Mana yang lain?” Datin Ani tersenyum. Matanya meninjau sekeliling rumah yang agak sunyi.

“Semua dah balik kampung...” Mak Jah muncul dari dapur menatang Semangkuk mee goreng dan beberapa cawan berisi air panas.

Nur Alia tanpa dipinta membantu Mak Jah menghidangkan makanan. Mata Sofia dari tadi tidak lekang memandang Nur Alia. Sengaja dia merapatkan badannya kepada Fahmi. Fahmi masih membatu. Mencari alasan yang sesuai untuk melepaskan diri sebentar lagi.

“Jemput makan Ani, Sofia..... Lia yang masak mee goreng ni. Dalam rumah ni, Lia aje yang rajin membantu saya masak” Mak Jah cuba memuji. Manalah tahu dengan cara itu Datin Ani mula menyukai Nur Alia.

“Oh ye ke..... nampak sedap ni. Marilah Lia makan sekali” Datin Ani tersenyum lebar. Mee goreng di letakkan di dalam pinggan lalu dijamahnya sedikit. Memang sedap.

“Awak, Sofi ambilkan untuk awak ya” Sofia mencapai pinggan dihadapannya.

Berat Fahmi menyambut pinggan tersebut dari tangan Sofia. Matanya dari tadi hanya memandang Nur Alia. Gadis itu tenang. Tapi sukar diitafsir apa yang tersirat dihatinya. Mak Jah yang sudah melabuhkan punggung tidak mampu meneruskan kata-katanya. Melihat suasana semakin menyukarkan nafasnya, dia meminta diri untuk ke dapur.

“Datin.... saya nak minta diri dulu. Takut nanti tertinggal bas pula”

“Oh.... elok-elok di jalan. Sampaikan salam saya dengan keluarga kamu ya” Datin Ani memandang Nur Alia. “Ha, terima kasih. Mee yang Lia masak ni memang sedap. Tak rugi saya datang pagi ini”

Nur Alia menangguk. Langkahnya di atur menuju ke pintu. Dia sudah menghubungi teksi untuk menjemputnya di depan rumah bila tahu Datin Ani dan gadis disisi suaminya itu sampai pagi tadi. Melihat cara Sofia, dia sudah dapat meneka apa hubungan gadis itu terhadap Fahmi. Apatah lagi melihat layanan Datin Ani terhadap Sofia. Pastinya hubungan mereka berdua sudah lama terjalin. Nur Alia akur. Dia tidak ingin berharap kepada Fahmi. Selepas menyalami Mak Jah di dapur dan Datin Ani juga Sofia, teksi pun sampai. Fahmi hanya mampu memandang tubuh Nur Alia masuk ke dalam teksi dan berlalu pergi.

“Kamu ni kenapa Fahmi? Umi tengok dari tadi macam jumpa hantu aje” Datin Ani meneguk teh yang masih panas di dalam cawan. “Umi dah nak pergi ni. Kamu nak hantar umi tak?”

Fahmi tersentak. Dia tidak boleh menghantar uminya. Dia ingin mengejar Nur Alia.

“Awak!....umi awak tanya tu. Kenapa dengan awak ni?” Sofia mengoncangkan lengan Fahmi. Hairan juga dia melihat Fahmi tidak seperti selalu.

“Ha! Apa?” Fahmi tercengang. “Oh hantar umi ya?”

Datin Ani menggelengkan kepala. Muda-muda lagi sudah jadi pelupa. Baru dua bulan buat kerja pejabat, gelagatnya sudah seperti suaminya. Kalau sepuluh tahun lagi menguruskan perniagaan, bagaimanalah agaknya Fahmi ni. Datin Ani bersungut dalam hati.

“Fahmi ada kerja di office pagi ni. Ada janji dengan orang” Fahmi mencari alasan. Dia berharap uminya tidak mengesyaki apa-apa. Lalu pandangannya beralih kearah Sofia. “Awak hantar umi dulu. Nanti awak jumpa saya di KLCC. Kita pergi tengok wayang petang ni” Sengaja dia mengajak Sofia. Pasti Sofia dengan senang hati menurut arahannya.

Sofia tersenyum manis. Mendengar perkataan 'wayang' membuatkan dirinya tidak berfikir panjang. Fahmi lega. Selepas mendapatkan Mak Jah yang sibuk di dapur, mereka bertiga keluar bersama-sama. Sofia sudah merancang untuk menghantar Datin Ani dan dia boleh menaiki teksi ke KLCC. Dia tidak mahu rancangannya tergendalan kerana terpaksa menjemput wanita itu semula di hotel. Dia ingin menghabiskan masanya bersama Fahmi. Sudah lama dia tidak berdua-duaan dengan jejaka itu.

Fahmi pula hanya terfikirkan Nur Alia. Sengaja dia memandu melebihi had laju yang dibenarkan dengan harapan dia sempat menemui Nur Alia. Lia....tunggu Fahmi!

Nur Alia sudah sampai di Pudu Raya. Ketika dia pergi ke kaunter dan bertanyakan akan waktu bas bertolak, petugas di kaunter tersebut mengatakan bas akan bertolak lewat setengah jam. Nur Alia termangu sendiri. Dia mengambil keputusan untuk menunggu di kerusi yang disediakan sambil membaca novel yang baru dibelinya tadi. Tidak lama kemudian, dia terdengar sayup-sayup seorang lelaki memanggil namanya.

“Lia! Tak sangka pula jumpa awak di sini” Ikbal tersenyum lebar. Buah hati kesayangan berada di depan mata tanpa ditemani sesiapa. Nampaknya dia harus menggunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Ikbal, awak buat apa di sini?” Nur Alia memandang Ikbal. Lelaki itu sudah duduk di sebelahnya.

“Nak jumpa kawan di Perlis. Ada hal. Kebetulan pula, awak nak balik kampung ke? Bas Pelangi Ekspres?”

Nur Alia mengangguk. Memang itu basnya. Nampaknya dia satu bas dengan Ikbal. Lama mereka berdua berbual. Bila melihat bas mereka sudah bersedia, Nur Alia dan Ikbal seiringan masuk ke dalam perut bas. Ramai penumpang hari itu. Maklum sajalah cuti panjang. Nur Alia mendapat tempat duduk di sebelah lelaki Bangladesh. Ikbal yang melihat Nur Alia, terus meminta lelaki itu bertukar tempat duduk dengannya. Pada mulanya lelaki itu tidak mahu. Tapi selepas Ikbal memujuk dan menyelitkan not 20 ringgit ke dalam saku baju akhirnya dia tersenyum. Lelaki itu mengambil barang-barangnya lalu beralih ke tempat duduk belakang.

Nur Alia baru saja melabuhkan punggungnya ketika kedengaran sekali lagi namanya dipanggil. Nur Alia berpaling ke arah pintu bas. Fahmi!

“Lia!” Fahmi bergegas menghampiri isterinya. Namun belum sempat dia berkata apa-apa, Ikbal muncul di sisi Nur Alia sambil memegang beg kecil kepunyaan Nur Alia.

Lidah Fahmi kelu. Nur Alia juga begitu. Tidak menyangka Fahmi akan mengejarnya sampai di Pudu Raya. Sangkanya Fahmi sudah berdua-duaan dengan Sofia.

Fahmi pula tidak menyangka Nur Alia akan melakukan perkara itu. Semalam dia mahu mengikut isterinya itu pulang ke kampung tetapi macam-macam alasan yang Nur Alia berikan. Namun kini, Nur Alia pulang bersama Ikbal. Melihat hanya tinggal tempat duduk di sebelah Nur Alia yang belum diisi dia pasti itu tempat duduk Ikbal. 'Kalau itu yang gadis itu mahu, biarlah'..... tanpa sepatah kata Fahmi berundur. Apatah lagi pemandu bas sudah berkali-kali menyuruhnya keluar. Fahmi akur. Langkahnya laju turun dari bas. Perasaannya membara. Marah kerana dikhianati. Marah kerana isterinya sedang berdua-duaan dengan lelaki lain. Lia! Aku tak akan lepaskan kau. Walau apapun yang terjadi!

Nur Alia memandang sepi. Ikbal yang sudah duduk disisinya hanya memandang wajah sugul Nur Alia. Ini bukan satu kebetulan, pastinya Nur Alia ada hubungan dengan Fahmi. Tapi dia juga tidak akan mengalah. Baginya selagi Nur Alia tidak diikat dengan orang selagi itu dia bebas mahu mendekati Nur Alia. Dia akan berusaha untuk menawan hati Nur Alia. Walau apa pun yang terpksa dilakukan.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.