Home Novel Cinta Suamiku Si Tuan Rumah!
Suamiku Si Tuan Rumah!
Nurul Izah
10/2/2014 15:53:16
581,002
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18


Nur Alia bergegas ke dewan peperiksaan hanya beberapa minit saja lagi. Masuk saja di dewan dia terus duduk di tempatnya.

“Lia, sorry……Ikbal tak dapat jemput Lia keluar hospital. Ikbal baru sampai pagi tadi dari kampung. Lia macam mana? Dah ok?”

Nur Alia membalas kata-kata Ikbal dengan senyuman. Semenjak dia jatuh sakit tempoh hari, Ikbal lebih mengambil berat. Lelaki itu juga sudah membahasakan dirinya 'Ikbal' setiap kali bercakap. Setiap hari Nur Alia dapat mesej dari lelaki itu. Namun selepas balas mesej lelaki itu, Nur Alia akan padam mesej tersebut dari telefon bimbitnya. Nur Alia baru saja mahu menjawab soalan Ikbal, namun peperiksaan telah pun bermula. Ikbal kelam-kabut pergi semula ke tempat duduknya. Biarlah….lama-lama nanti jemu juga dia mengikutiku.

Habis saja peperiksaan petang itu, Ikbal sudah menunggu di pintu besar. Senyumannya lebar melihat Nur Alia dan Syikin menuju ke arahnya.

“Amboi! Senyum lebar dia tengok buah hati datang” Syikin menepuk bahu Ikbal. Senyuman Ikbal semakin lebar mendengar usikan Syikin.

Nur Alia mencubit lengan Syikin. Syikin mengadu kesakitan sambil tangannya menggosok lengan.

“Cakap baik-baik sikit. Kalau orang dengar, nanti timbul fitnah!” Nur Alia membuntangkan matanya.

“Kalau mereka nak fitnah aku tak kisah. Kalau memang kenyataan apasalahnya” Ikbal memandang Nur Alia. Senyuman terukir dengan penuh makna tersirat.

“Dahlah, korang ni nak pergi café ke tak? Kalau tak nak aku nak balik!” Nada suara Nur Alia sedikit keras.

“Yelah ni. Janganlah marah. Kami bergurau aje” Syikin menggamit tangan Nur Alia. Semenjak dua menjak ini, Nur Alia cepat terasa hati bila diusik dengan Ikbal. Tidak seperti sebelum ini. Bukan baru kali ini dia mengusik Nur Alia dan Ikbal, sebelum ini juga begitu. Selalunya sahabatnya itu tidak kisah langsung. Ada kalanya mengiakan saja bila sudah diasak berkali-kali. Tapi sekarang, usikan itu akan membuat sikap Nur Alia berubah.

Mereka bertiga beriringan menuju ke café. Ramai pelajar yang juga sedang menikmati minum petang di situ. Selepas masing-masing sudah memesan makanan di kaunter, mereka bertiga duduk di sudut café. Baru saja mereka melabuhkan punggung. Seorang lelaki datang menghampiri tempat duduk mereka. Nur Alia terpempan. Fahmi! Fahmi menjejakinya sehingga di kampus.

“Hi Lia!” Bersahaja wajah Fahmi memandang isterinya yang agak terkejut melihat kehadirannya.

“Fahmi buat apa kat sini?” Terpacul soalan itu keluar dari mulut Nur Alia.

“Tak nak kenalkan kawan-kawan Lia ke?”

Syikin termangu-mangu melihat lelaki tampan berdiri di sebelahnya. Wangian yang Fahmi pakai, membuat dia teruja. Kalau sekali pandang, lelaki itu bukanlah pelajar di sini. Nampak dari wajahnya yang ‘macho’ itu pastinya lelaki itu sudah bekerja. Syikin tersenyum nakal.

“Hi, saya Syikin!” Syikin pantas berdiri lalu menghulurkan tangannya.

Fahmi tersenyum simpul. Huluran tangan Syikin disambut sambil ekor matanya melihat reaksi Nur Alia. Mahu menduga api cemburu isterinya.

“Ikbal” Ikbal menghulurkan tangannya. Melihat Fahmi hatinya mula tidak senang. Apatah lagi jelas dari pandangannya Fahmi asyik mencuri pandang wajah Nur Alia dari ekor matanya.

Nice to meet you all. Saya tak boleh lama kebetulan ada hal kat sini tadi, nampak Alia di sini tu saya singgah. Ok, Jumpa lagi nanti. Lia see u again

Nur Alia hanya memerhati kelibat Fahmi yang berlalu pergi. Hal? Hal apa? Dia sengaja nak melihat aktiviti aku di sini! Nur Alia mendengus kasar.

“Siapa tu Lia? Kau tak pernah cakap pun ada kawan handsome guy.” Syikin menyiku Nur Alia. Nur Alia tidak menghiraukannya.

Tidak lama kemudian pembantu kedai datang kemeja mereka menghidangkan makanan dan minuman yang dipesan. Sekali lagi pandangan Syikin tumpah ke wajah Nur Alia. Gadis itu tenang. Soalannya tadi tidak berjawab. Melihat Nur Alia yang tidak minat akan cerita Fahmi tadi, akhirnya dia kembali senyap. Selepas makan masing-masing bangkit dari tempat duduk dan beredar.

“Ok, aku nak balik. Jumpa esok. Thanks sebab belanja tadi” Nur Alia melambaikan tangannya. Begitu juga Ikbal dan Syikin.

Langkah kaki Nur Alia pantas meninggalkan Syikin dan Ikbal. Niatnya hanya mahu menghindar dari soalan-soalan mengenai Fahmi. Melihat Syikin yang teruja memandang Fahmi. Hati Nur Alia resah. Takut rahsia antara mereka pecah. Dia kenal sikap Syikin, selagi belum mendapat jawapan pasti tidak puas hati.

Sampai di tempat parking kereta, Nur Alia melihat seorang lelaki sedang menyandarkan tubuhnya di kereta Kelisa miliknya. Sekali lagi Nur Alia mendengus kasar. Fahmi sedang berdiri sambil tersenyum simpul.

“Fahmi buat apa kat sini? Fahmi nak siasat ke? Fahmi ingat Lia ni tak pandai jaga diri ke?” Suara Nur Alia sedikit keras. Melihat wajah Fahmi yang tenang hatinya bertambah geram.

Fahmi masih tersenyum. Nur Alia tahu dia datang semata-mata mahu melihat isterinya itu. Dia tidak kisah apa yang akan Nur Alia katakan. Senyumannya masih meleret sehinggalah Nur Alia memandangnya dengan pandangan tajam.

“Fahmi memang ada kerja tadi. Nak balik rumah singgah sini dulu. Fahmi tau Lia baru habis kelas. Saja nak tengok isteri, tak boleh ke? Fahmi rindu sangat”

Nur Alia diam membisu. Malas dia mahu melayan Fahmi. Dia tidak suka dilayan begitu. Apatah lagi kalau sengaja mahu menyiasat siapa kawan-kawannya. Dia sedar, dia isteri Fahmi. Tapi isteri yang berkahwin tanpa kerelaan. Sepatutnya lelaki itu berikan dia ruang dan masa.

“Lia jom pergi makan. Fahmi lapar ni. Dari tadi tak makan. Kita naik kereta Fahmi aje. Nanti fahmi hantar balik ke sini ambil kereta”

Nur Alia masih bungkam. Fahmi pula sudah membukakan pintu kereta untuknya. Fahmi seakan tidak memberikannya pilihan. Lelaki itu sudah memberi keputusan sebelum dia sempat berkata apa-apa. Nur Alia mengeluh kecil. Langkahnya longlai menuju kekereta Fahmi. Dia biarkan lelaki itu menutup pintu kereta untuknya.

Sepanjang perjalanan, Nur Alia hanya membisu. Semakin sebal hatinya mendengar Fahmi bersiul girang. Kereta dipandu laju menuju ke McDonald. Fahmi membelokkan keretanya ke laluan pandu lalu. Nur Alia hairan. Namun dibiarkan saja Fahmi memesan dua set Quarter Pounder Burger. Selepas mendapatkan hidangan yang dipesan, Fahmi membelokkan keretanya menuju ke taman yang terletak tidak jauh dari dari kedai McDonald tadi. Fahmi memberhentikan keretanya. Nur Alia masih membisu, tidak mahu melihat wajah Fahmi.

Fahmi memandang wajah Nur Alia. Walaupun muncung mencuka, tetapi wajah itu tetap manis dimata Fahmi. Walaupun gadis itu diam seribu bahasa, tetapi tetap terngiang-ngiang suaranya. Nur Alia yang sedar Fahmi sedang merenungnya menolehkan wajahnya. Pandangan mereka bertaut. Fahmi mengambil kesempatan untuk merapatkan wajahnya ke wajah Nur Alia. Gadis itu terpaku. Tidak bergerak walau seinci pun. Fahmi semakin berani merapatkan bibirnya ke bibir Nur Alia. Kedengaran degupan jantung Nur Alia. Fahmi membiarkan wajahnya terus merapati gadis itu, mata Nur Alia tertutup rapat.

Nur Alia semakin resah. Jantungnya berdegup laju. Dia tidak sanggup memandang wajah Fahmi. Namun dia pantas tersedar. Kali ini Nur Alia tidak mengalah, dia menolak kasar dada Fahmi yang bidang. Dengan telapak tangannya dia dapat merasakan degupan jantung Fahmi yang berdegup laju. Sama seperti dia. Nur Alia membuka matanya. Fahmi tersenyum meleret.

“Jom makan.....nak Fahmi suap ke?” Sekali lagi Fahmi merapatkan bibirnya ke telinga Nur Alia.

“Fahmi! Nak makan, makan jerlah. Boleh tak kalau jangan buat Lia macam ni. Lia tak sukalah” Wajah Nur Alia merah. Kotak burger di tangan Fahmi di capai kasar. Selepas melihat Fahmi bersahaja mengunyah makanannya, dia pun buat begitu. Suasana kembali sunyi.

Selepas makan, Fahmi membawa Nur Alia ke pasaraya miliknya. Ketika dia memasuki pasaraya tersebut, beberapa pekerja menganggukkan kepala sebagai menghormati Fahmi. Nur Alia mengekori langkah Fahmi menuju ke bahagian belakang yang menempatkan stor. Tidak pernah dia membayangkan akan melihat cara mereka mengendalikan sebuah pasaraya besar. Pasaraya yang diberinama e-Mart itu sedang meningkat naik. Cawangannya hampir di seluruh Malaysia. Pejabatnya berada di berlakang stor. Cukup besar. Lengkap dengan sistem keselamatan yang canggih. Hanya beberapa orang pekerja saja berada di situ. Ketika dia mengekori Fahmi masuk kedalam bilik lelaki itu, beberapa kakitangan berbisik sesama sendiri.

“Ni lah tempat kerja Fahmi buat sementara waktu ni. Pengurus di sini melarikan diri. Setelah disiasat, rupanya dia sudah menggelapkan wang syarikat. Manakala wang yang sepatutnya dibayar dengan pengedar dia tak bagi. Kalau jumlahnya sikit, biasanya kerugian itu akan ditampung oelh cawangan lain. Tapi sebab banyak, Fahmi terpaksa meminjam wang dibank untuk bayar kepada pengedar. Itu sebabnya Fahmi sibuk, pinjaman tempoh hari tak lulus. Fahmi kena buat paper yang baru untuk ajukan sekali lagi ke bank.”

“Dah tu, orang tu dah ditangkap ke?”

Fahmi menggelengkan kepala. “Belum lagi. Polis tak dapat kesan dia dimana sekarang.”

Nur Alia mengangguk perlahan. Sedikit demi sedikit dia mendapatkan gambaran kehidupan Fahmi. Mata Nur Alia memandang sekeliling bilik Fahmi. Bilik itu tidaklah semewah ahli perniagaan yang selalu muncul dikaca televisyen. Bilik itu kecil saja. Ada lima orang kerani yang membantu melicinkan pengurusan. Nur Alia membiarkan Fahmi meneliti beberapa dokumen diatas meja. Dia tidak ingin tahu akan kandungan dokumen tersebut. Kalau Fahmi cerita pun, belum tentu dia akan faham. Hampir satu jam dia menunggu Fahmi. Akhirnya lelaki itu mengajaknya pulang.

Sebelum pulang, Fahmi menyuruh Nur Alia membeli barang kelengkapan dapur. Nur Alia hanya menurut. Beberapa barang diambil lalu dimasukkan ke dalam bakul. Ketika menuju ke kaunter bayaran, pekerja Fahmi tersenyum.

“Masuk dalam account” Fahmi bersuara.

Nur Alia melihat gadis itu mengangguk faham. Selepas itu mereka berdua beredar menuju ke tempat parking kereta. Fahmi tenang memandu. Dia sengaja membawa Nur Alia terus pulang ke rumah. Belum sempat Nur Alia bertanya, Fahmi sudah mengatakan akan menghantarnya esok pagi. Sekali lagi Nur Alia akur. Malas dia mahu bergaduh dengan Fahmi. Lagipun kereta mereka sudah sampai di halaman rumah.

Turun dari perut kereta bersama-sama mengundang seribu soalan dari Lina dan Sasha. Apatah lagi Aina yang sedari tadi menunggu kepulangan lelaki itu. Melihat Nur Alia yang berjalan seiringan dengan Fahmi, Aina menjeling tajam lalu berlalu masuk ke dalam bilik. Siap kau Lia!

Lina dan Sasha menjungkitkan bahu. Malas melihat karenah Aina yang terang-terang menunjukkan kebenciannya melihat Nur Alia bersama Fahmi. Tapi selama Nur Alia di hospital tempoh hari, Ainalah yang rajin melayan Fahmi. Awal pagi lagi gadis itu bangun untuk menyiapkan minuman Fahmi. Kadang-kadang dia sengaja mencari peluang untuk duduk disebelah Fahmi. Pandangan Lina dan Sasha beralih ke arah Nur Alia dimuka pintu.

“Macam mana kau boleh balik dengan Fahmi?” Lina bersuara. Pelik melihat teruna dan dara yang baru memasuki rumah itu.

“Kereta Lia rosak tadi di UKM. Kebetulan saya lalu tadi” Fahmi bersuara. Menjawab soalan Lina.

“Hmmm... iya ke. Bukan dirancang kan....macam kebetulan aje kannn”

Nur Alia terkesima. Mengekek ketawa Lina melihat wajah Nur Alia berubah. Nur Alia mengetap bibir. Geram! Sengaja agaknya Lina menyakatnya.

“Nampaknya esok kami berdua kenalah naik teksi” Giliran Sasha pula bersuara.

Nur Alia melabuhkan punggungnya di sisi Lina. Letih masih terasa dari kakinya yang mula lenguh akibat menunggu Fahmi tadi. “Pergilah dengan Ain. Macam tak biasa pula”

Lina dan Sasha mencebikkan bibirnya. Melihat mood Aina yang tidak menentu, pastinya sukar mereka berdua mahu menunpang keretanya.

“Tak apalah, esok saya hantar sekali hantar Lia ke kelas. Tapi kenalah awal sikit sebab esok saya ada hal di Ampang”

Wajah Lina dan Sasha berubah gembira mendengar pelawaan Fahmi. Bila lagi nak merasa naik kereta Audi Q7 idaman mereka berdua. Melihat Fahmi yang bersandar di sofa sambil memejamkan matanya, Lina dan Sasha mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik. Semenjak Fahmi ada disitu, hanya sesekali mereka menonton tv diluar. Selalunya mereka lebih gemar duduk dalam bilik kecuali cuti Sabtu dan Ahad. Melihat dua orang rakannya masuk ke dalam bilik, Nur Alia juga bangkit dari duduknya. Baru saja dia mahu melangkah, Fahmi sekali lagi mencekup pergelangan tangannya. Nur Alia berpaling. Fahmi masih memejamkan matanya sambil tersenyum nipis.

“Duduklah sini temankan Fahmi”

Niatnya terbantut. Nur Alia mengalah. Akhirnya dia kembali duduk sambil menonton rancangan kegemarannya. Tidak lama kemudian Fahmi terlena. Perlahan-lahan Nur Alia mencuri masuk kedalam bilik. Tidak selesa berdua-duaan di ruang tamu bersama Fahmi. Mak Jah yang sedang membersihkan beranda tersenyum simpul melihat pasangan muda itu mula menjalin kasih.


Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.