Nur
Alia bangun lebih awal. Dua orang rakan sebiliknya masih lagi berselimut tebal.
Diluar hujan turun dengan lebat. Sejuknya menyucuk sampai ke tulang. Ketika Nur
Alia masuk ke dapur, Fahmi baru saja keluar dari biliknya. Mereka berdua
bertembung di pintu dapur. Tangan Fahmi pantas melingkar di pinggang Nur Alia.
“Fahmi..... nanti Mak Jah nampak”
“Tak
apalah.... lagipun sampai bila kita nak sorok-sorok macam ni?” Fahmi sengaja
menduga Nur Alia. Tangannya semakin kemas melingkar di pinggang isternya.
Mak
Jah yang baru saja keluar dari kamar, tersenyum simpul melihat mereka berdua.
Kemesraan yang dilihat memberikan harapan melihat pasangan itu seperti pasangan
lain. Mereka berdua sepadan. Bagai pinang dibelah dua.
“Fahmi....”
Nur Alia berbisik kecil. Pantas dia menjarakkan badannya bila melihat
kemunculan Mak Jah.
Fahmi
tersenyum nakal. Kali ini senyumannya diberikan kepada Mak Jah. Lalu dia
melabuhkan punggungnya di kerusi. Tidak lama kemudian, Nur Alia meletakkan
secawan Nescafe dihadapannya.
“Kalau
isteri yang buat pasti sedap kan Mak Jah......”
Mak
Jah ketawa kecil. “Ye lah.... tapi kamu ni, sampai bila nak main sorok-sorok
macam ni?” Dia melabuhkan punggungnya apabila Nur Alia tidak membenarkan dia
membantu. Nur Alia memang begitu. Kalau ada kelapangan dia rajin turun ke
dapur. Gadis itu yang banyak membantu dia menjaga rumah banglo itu. Kalau Nur
Alia tidak ada kelas, gadis itu lebih suka duduk dirumah menemaninya menonton
televisyen.
“Lia....
Mak Jah tanya tu.....” Fahmi bangkit dari duduknya bila Nur Alia tidak menjawab
soalan Mak Jah lalu dia berdiri di sisi Nur Alia.
“Biarlah
dulu Mak Jah. Saya nak keluarga Fahmi datang jumpa mak dan ayah saya dulu.
Kalau mereka boleh terima saya, Insyaallah saya sendiri yang akan cakap”
Mak
Jah memandang wajah Fahmi. Fahmi kelu. Uminya terlalu tegas dalam hal ini. Dia
sendiri sedang mencari cara untuk memaklumkan kepada keluarganya. Pastinya
uminya mengamuk kalau tahu dia berkahwin dengan orang lain apatah lagi kalau
tahu kes ditangkap berkhalwat. Semalam Sofia ada menghubunginya. Katanya bulan
depan dia akan pulang ke Malaysia rindu katanya dengan Fahmi. Argh mengingati
wajah Sofia, dia mula berbelah bagi. Bagaimana mahu memutuskan hubungan dengan
Sofia. Walaupun adakalanya sikap Sofia begitu menyiksakan tetapi Sofia seorang
yang setia. Selama berkawan dengan Sofia, tidak pernah dia mendengar gadis itu
keluar dengan lelaki lain. Lagipun selepas ayah Sofia tahu dia berkawan dengan
anaknya itu, lelaki itu tidak membenarkan Sofia berkawan dengan lelaki lain.
Hanya Fahmi yang boleh membawa Sofia keluar.
“Ha!
Dah tu bila kamu nak cakap dengan umi kamu pasal ni?”
Fahmi
tersentak. Hilang wajah Sofia dari benaknya. Fahmi mengeluh, sekali lagi
dipandang wajah isterinya yang sedang menyediakan mee goreng. Wajah yang begitu
tulus. Tapi sukar ditafsir sikapnya. Dia baru kenal dengan Nur Alia tapi rasa
kasihnya begitu mendalam. Sukar digambarkan apa yang dia rasa setiap kali
memandang wajah Nur Alia. Tenang dia melihat wajah Nur Alia yang dibaluti
dengan tudung.
“Dah
siap.... Fahmi makanlah dengan Mak Jah. Lia nak keluar, dah lama tak joging”
Nur Alia meletakkan semangkuk mee goreng di atas meja. Dia malas mahu mendengar
jawapan Fahmi. Melihat Fahmi yang sedang berkira-kira dia sudah dapat mentafsir
keluarga Fahmi sukar menerima dirinya. Bagaimana dia mahu mengumumkan
perkahwinannya. Kalau keluarga Fahmi tidak dapat menerima dia, pastinya
bercerai adalah yang terbaik. Dia tidak mahu selepas berita perkahwinannya di
ketahui kemudian dia menjadi janda. Bagaimana keluarganya sekali lagi
menanggung malu.
“Fahmi
nak ikut sekali......” Tanpa menunggu jawapan Nur Alia, Fahmi beredar menuju ke
kamar untuk menukar pakaian.
Mak
Jah hanya memandang Nur Alia yang sudah keluar dari dapur. Jelas dia melihat
kesugulan wajah gadis itu. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan bagi
membantu mereka berdua. Hanya doa yang dipanjatnya kepadaNya semoga rumah
tangga mereka akan kekal hingga akhir hayat.