ALISSA mengeluarkan bekalan yang dibawa dari rumah, petang
semalam dia memasak untuk makan malam. Bakinya dibawa ke pejabat, tidak perlu dia
keluar untuk makan tengahari. Puan Noriah dan Yuhanis sudah keluar selepas dia
menolak ajakan mereka.
“Alissa, tak keluar makan?” Syed Hadif muncul di ruang
pentry sambil memegang mug yang sudah
kosong.
“Saya bawa bekal Tuan Syed,” jawab Alissa sambil
tersenyum. Dia sudah bersedia hendak menjamu selera.
“Hmm sedap baunya, masak lemak cili api. Awak masak?”
“Semalam terlebih masak, sayang nak dibuang, Saya bawa
hari ini.”
Syed Hadif mencuci mug kemudian menuang air kosong ke
dalam mug.
“Tuan Syed tak keluar makan ?” tanya Alissa sekadar
berbahasa. Kekok pula rasanya berdua-duaan di ruang pentry yang sempit itu bersama Syed Hadif.
“Sibuk, banyak kerja yang belum siap.”
“Kalau nak rasa masakan saya, marilah, nasi ni saya
masak pagi tadi, banyak juga, tak terhabis saya sorang.” Alissa mempelawa,
sekadar bermanis mulut tapi sememangnya nasi yang dibawa agak banyak.
Syed Hadif menarik kerusi, berminat dengan pelawaan
Alissa, memang dia menggemari masak lemak cili api, apa lagi kalau masakan
orang negeri sembilan.
Alissa bangun untuk mengambil pinggan. Dimasukkan
sebahagian dari nasi yang dibawa ke dalam pinggan kemudian dihulurkan pada Syed
Hadif.
Syed Hadif makan dengan berselera, masak lemak cili
api disertakan dengan telur goreng, perut sedang lapar, tentulah sedap, tapi
masakan Alissa kena dengan seleranya. Tidak segan silu dia menyuap nasi ke
mulut cuma Alissa yang agak kekok, mungkin dia merasa segan bila mereka makan
berdua begitu, apa kata pekerja lain kalau melihat mereka di situ.
“Amboi, Tuan Syed bawa bekal ke ?” Puan Noriah muncul
di pintu pentry, dia mencari Alissa.
Terkejut juga melihat Syed Hadif sedang menjamah makan tengahari bersama
Alissa.
“Alissa offer
saya makan masakan dia, boleh tahan juga,” pujian ikhlas dari Syed Hadif.
Alissa tersenyum malu, entah apa yang ada di fikiran
Puan Noriah ketika itu.
“Sesekali makan free
ni sedap juga.” Besar tawa Syed Hadif sebaik menghabiskan ayatnya
Puan Noriah turut sama tertawa, begitu juga dengan
Alissa, sekadar untuk menutup kegugupan yang bertandang di hatinya, resah memikirkan
pandangan Puan Noriah. Apa pula kata orang lain kalau mengetahui tentang
perkara itu. Alissa mula dirasuk bimbang.
“Terima kasih Alissa. Sedap masakan awak, lain kali
bawa lebih sikit, boleh saya tumpang sekaki.” Syed Hadif bergurau.
Alissa tersenyum, serba tidak kena pula rasanya. Bukan
disebabkan pujian Syed Hadif tapi bimbang andai ada yang memandang serong pula.
Puan Noriah mungkin tidak akan berfikir yang bukan-bukan tapi rakan-rakan yang
lain dia tidak pasti hati budi mereka.
Syed Hadif berlalu ke biliknya, masih dengan
senyumannya. Inilah kali pertama dia merasa masakan Alissa, boleh tahan juga
rasanya. Alissa berasal dari utara tanah air tapi pandai pula Alissa memasak
masak lemak cili api. Tiba-tiba sahaja Syed Hadif sendawa… dia tertawa sendiri.
Kali pertama juga dia merasa masakan pekerjanya. Memang jarang sekali
pekerjanya membawa bekal dari rumah, jika ada pun tidak pernah dia dijemput
sama.
Kepalanya disandarkan di sofa, perut sudah kenyang.
Mata terasa mengantuk pula. Jika dilayan mahu tertidur nanti. Ada baiknya dia
meminta Alissa menyediakan kopi untuknya. Minuman yang jarang-jarang sekali
diambil. Syed Hadif melangkah ke mejanya kemudian menekan butang di telefon di
atas meja.
“Alissa.”
“Ya Tuan Syed.”
“Buatkan kopi untuk saya.”
“Kopi!”
“Ya.. kopi, pekat sikit ya. Dah kenyang ni, mengantuk
pula.” Syed Hadif tertawa kecil. Ada kekejutan di dalam nada suara Alissa.
Mungkin terkejut kerana hari ini dia meminta gadis itu menyediakan kopi
untuknya.
“Okey Tuan Syed.”
Syed Hadif duduk semula di sofa yang disediakan di sudut
biliknya. Matanya benar-benar terasa mengantuk, dipejamkan matanya, cuma untuk
seketika. Alissa akan mengejutkannya nanti semasa menghantar kopi untuknya.
Alissa masuk ke ruang pentry. Siti Maryam tidak berada di situ. Dibuka kabinet di
bahagian atas, di tempat Siti Maryam menyimpan milo yang selalu diambilnya.
Terdapat sebuah bekas kecil yang berisi serbuk kopi. Alissa segera menyediakan
kopi seperti yang diminta oleh Syed Hadif. Abahnya memang penggemar kopi, dia
sudah biasa menyediakan kopi untuk abah. Tidak ada masaalah baginya hendak
menyediakan kopi untuk Syed Hadif cuma inilah kali pertama Syed Hadif meminta
kopi. Minuman kegemaran Syed Hadif adalah milo.
Daun pintu diketuk perlahan, tiada jawapan dari Syed
Hadif. Alissa menanti untuk seketika. Mungkin Syed Hadif sudah terlena dek
kerana kekenyangan. Banyak juga nasi yang dimakan oleh Syed Hadif bersamanya
tadi. Alissa memulas combol dan menolak daun pintu perlahan. Tepat jangkaannya,
Syed Hadif sudah terlena sambil bersandar di sofa.
Alissa letakkan mug berisi kopi di atas meja.
“Tuan Syed.” Alissa memanggil nama ketuanya itu.
Hendak mengejutkan Syed Hadif, tapi suaranya agak perlahan. Bimbang dia akan
mengejutkan Syed Hadif pula. Tapi Syed Hadif masih terlena, terpejam rapat
matanya. Gayanya seperti orang keletihan, tidurnya seperti anak kecil yang
letih bermain.
Alissa tersenyum. Masih berkira-kira perlukah dia
mengejutkan Syed Hadif. Dia teringatkan temujanji yang perlu dihadiri oleh Syed
Hadif pada jam 4 nanti. Ada baiknya dia mengejutkan Syed Hadif.
“Tuan Syed.” Sekali
lagi Alissa memanggil nama Syed Hadif tapi lelaki itu masih begitu juga.
Alissa sedar dia tidak punya pilihan, dia harus
mengejutkan Syed Hadif juga. Alissa menyentuh bahu Syed Hadif, niatnya mahu
mengejutkan Syed Hadif, itu sahaja.
“Tuan Syed.” Nama Syed Hadif dipanggil lagi dan
tangannya menggoyang bahu Syed Hadif.
Lambat-lambat Syed Hadif membuka matanya. Masih terasa
mengantuk. Di hadapannya ketika itu berdiri seorang gadis. Lama Syed Hadif
merenung wajah gadis tersebut. Alissa… Alissa setiausahanya. Syed Hadif
membesarkan bukaan matanya. Dia tertidur dan Alissa masuk ke bilik itu untuk
mengejutkannya.
“Tuan Syed minta kopi tadi,” ujar Alissa.
Syed Hadif mengangguk. Termalu pula dia, Alissa
mengejutkan dia yang terlena. Entah berapa lama Alissa terpaksa mengejutkannya.
“Sorry,
susahkan Alissa.”
Alissa hanya tersenyum.
Syed Hadif betulkan bajunya.
“Saya keluar dulu.”
Syed Hadif mengangguk. Mug berisi kopi yang masih
berasap sudah berada di tangan lalu dikesip sedikit. Hmm… sedap rasanya.
“Alissa.” Syed Hadif menyeru nama Alissa. Gadis itu
sudah berdiri di hadapan pintu bilik.
“Thanks…
sedap,” ucap Syed Hadif sambil mengangkat sedikit mug di tangan.
Alissa mengangguk, masih dengan senyumannya. Combol
dipulas dan daun pintu segera ditolak. Dia mahu ke surau untuk mengerjakan
solat zohor sebelum meneruskan tugasnya.