Home Buku Lucu Operasi Kuih Raya Hilang
Operasi Kuih Raya Hilang
Kid Haider
20/2/2025 23:55:41
2,526
Kategori: Buku
Genre: Lucu
Bab 5

BAB 5 – OPERASI TARAWIH: MENJEJAK BAYANG-BAYANG

Malam itu, suasana di Masjid Jamek Kampung Melayu begitu meriah dengan kehadiran jemaah yang bersiap siaga menunaikan solat tarawih. Aiman, Badrul, Johan, dan Din duduk bersebelahan di saf paling belakang, namun fikiran mereka masih terpaut pada kejadian siang tadi berkenaan pekerja Sinar Bakery yang melarikan diri setelah rahsianya terbongkar.

"Aku berasa kes ini lebih daripada sekadar curi kuih," bisik Aiman perlahan sambil membetulkan kopiahnya.

“Kita baru menyentuh permukaan misteri ini sahaja. Pasti ada dalang yang lebih licik di sebaliknya,” sampuk Johan, terkenangkan pengakuan lelaki bertopi Puma petang tadi.

Di luar masjid, Faizal yang sejak petang beria-ia mahu turut serta dalam penyiasatan mereka, leka bermain dengan telefon lipat Nokia 8250 miliknya.

“Memang spyware,” gumam Din, separuh bergurau.

Tatkala solat tarawih dimulakan, Aiman cuba menenangkan fikirannya agar lebih khusyuk. Namun, usai rakaat keempat, matanya tertancap pada sosok yang mencurigakan. Seorang lelaki bertubuh sasa, berbaju Melayu rona coklat lengkap bersamping songket Johor, kelihatan khusyuk namun sesekali mencuri pandang ke arah pintu masjid, seakan-akan menanti seseorang.

Aku pernah melihatnya sebelum ini... tetapi di mana, ya?

Sebaik selesai lapan rakaat, Aiman segera menarik lengan Johan dan Badrul, membawa mereka ke sisi tiang masjid sebelum berbisik perlahan, seolah-olah baru tersedar sesuatu.

“Eh, aku macam kenal lelaki itu… aku ternampak dia di bazar semalam. Kau perasan tak lelaki berbaju Melayu coklat itu?” bisiknya perlahan.

Johan menjeling ke arah saf hadapan. “Yang duduk depan sekali?”

Aiman mengangguk perlahan. “Ya. Aku yakin aku nampak dia di gerai yang menjual kuih curi itu.”

Badrul membulatkan mata. “Serius? Kalau begitu, memang ada kaitanlah dengan kes ini!”

Din yang turut mencuri dengar perbualan mereka pantas menyampuk, “Jadi, apa rancangan kita? Serbu dia dalam masjid?”

“Jangan buat kerja gila. Kita tunggu dia keluar.”

Mereka kembali ke tempat masing-masing, berpura-pura berzikir sambil memerhati gerak-geri lelaki misteri itu dengan penuh berhati-hati.

Usai solat witir, jemaah mula bersurai. Aiman dan rakan-rakannya bergerak ke luar masjid, kononnya bersembang santai di tepi tiang besar berhampiran rak selipar. Dari situ, mata mereka tidak lepas daripada memerhati lelaki berbaju Melayu coklat yang sedang berjalan keluar pagar sambil berbual di telefon.

“Ya... aku periksa tadi. Stok semua okey, malam esok boleh ambil...”

Aiman sempat menangkap bait-bait perbualan itu. Stok? Ambil malam esok?

Lelaki itu kemudian menuju ke sebuah Proton Wira berwarna biru yang diparkir di hujung jalan masjid.

“Kita kena ikut dia,” bisik Johan.

“Boleh. Cuma satu masalah. Kau ada kereta?” soal Din, separuh menyindir.

Johan tersenyum lalu menarik keluar basikal BMX miliknya dari tepi pagar. “Aku ada ini. Dua orang bonceng, dua orang ikut jalan kaki.”

Aiman dan Badrul pantas menaiki basikal bersama Johan, manakala Din dan Faizal mengekor dari belakang dengan berjalan kaki. Perlahan-lahan mereka mengekori Proton Wira biru itu hingga ke sebuah lorong kecil di belakang kedai perkakasan.

“Oi, jangan laju sangat. Kaki kami ini bukan tayar basikal,” rungut Din, separuh berlari, separuh berjalan.

Faizal pula sudah mula tercungap. “Weh... aku rasa aku tinggal sajalah. Aku jaga belakang,” katanya sambil menepuk lutut sendiri, cuba meraih simpati.

“Tahan sikit Faizal, sekejap lagi sampai,” balas Badrul, menahan ketawa.

Dalam kesunyian malam yang hanya ditemani cahaya malap lampu jalan, langkah mereka amat berhati-hati, seolah-olah pengintip dalam filem aksi. Johan sesekali menoleh ke belakang, memastikan Din dan Faizal tidak tercicir dalam gelap.

“Aku sumpah… selepas ini kita buat tabung beli motor,” rungut Din, yang semakin jauh tertinggal namun tetap gigih meneruskan langkah.

Proton Wira biru itu pula seakan bergerak santai, seolah-olah memberi peluang kepada mereka terus ‘beriadah’ malam itu.

Tidak lama kemudian, lelaki berbaju Melayu coklat keluar dari keretanya lalu bertemu seorang lelaki berusia lewat 40-an, berpakaian santai dengan seluar jeans lusuh dan baju-T hitam.

Aiman dan rakan-rakannya bersembunyi di balik tembok, cuba menajamkan pendengaran.

“Aku rasa orang tua itu ketua mereka,” bisik Badrul.

Johan mengeluarkan camcorder Sony Handycam dari beg sandangnya. Saiznya kecil, cukup muat dalam tapak tangan. “Nasib baik aku bawa. Mana tahu ada bukti penting malam ini,” katanya sambil mula merakam dari celah tembok.

Mereka cuba menangkap butir bicara dua lelaki itu.

“Barang semua sudah siap, esok kita edar di pasar malam.”

“Ada sesiapa syak apa-apa?”

“Setakat ini tiada. Cuma ada budak-budak yang sibuk sangat bertanya.”

Aiman dan Johan berpandangan sesama sendiri. Budak-budak yang dimaksudkan itu sudah pasti mereka!

“Okey, jangan risau. Kalau mereka kacau lagi, kita beri amaran sedikit.”

Tiba-tiba, Faizal bersin kuat.

“HAAATCHOO!”

Lelaki berbaju Melayu coklat itu segera berpaling.

“Weh, ada orang intai!”

“LARI!” jerit Johan.

Tanpa berlengah, mereka semua berpaling dan melarikan diri secepat mungkin ke arah masjid. Lorong-lorong sempit di celah rumah-rumah kampung menjadi medan pelarian, persis adegan kejar-mengejar dalam permainan Grand Theft Auto: Vice City.

Lelaki berbaju Melayu coklat dan rakannya mengejar dari belakang, namun kelebihan usia muda memihak kepada mereka.

Faizal hampir tertangkap apabila tersadung, namun sempat terjun ke dalam parit kecil.

“Woi, lajulah sikit, bro!” jerit Din dari belakang sambil tercungap.

Johan yang masih menyorong basikalnya berseru, “Cepat, naik belakang!”

Aiman dan Badrul pantas melompat ke atas basikal, lalu mereka bergegas menuju rumah Aiman.

Setelah benar-benar yakin mereka sudah selamat, masing-masing terjelepok di anjung rumah Aiman, menahan lelah.

“Serius… itu memang mencemaskan,” ujar Din.

“Apa yang penting sekarang, kita ada bahan bukti,” tambah Johan sambil mengangkat camcorder dan memutarkan semula rakaman.

Mereka meneliti wajah kedua-dua lelaki tadi dengan lebih teliti melalui skrin kecil.

“Kita kena cari tahu siapa orang tua itu,” ujar Aiman penuh tekad.

Badrul mengangguk setuju. “Dan kita mesti bersedia untuk esok. Kalau ‘stok’ itu akan diedarkan di pasar malam, ini peluang kita.”

Masing-masing mengangguk, sebulat suara. Misteri kehilangan kuih semakin hampir terungkai, namun bahaya pula semakin menghampiri.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.