BAB 8 – BUKU RESIPI IBU HILANG! SIAPAKAH DALANGNYA?
Pada petang itu, sejurus selesai menunaikan solat Asar, Aiman duduk bersantai di ruang tamu sambil membaca majalah Ujang keluaran terbaharu. Sekali-sekala, dia memeriksa telefon bimbit Nokia 3310 miliknya, menanti kiriman pesanan ringkas daripada rakan-rakan. Namun, suasana tenang itu tiba-tiba dikejutkan oleh suara cemas dari arah dapur.
“Aiman! Buku resipi ibu hilang!” jerit Puan Nora dengan nada panik.
Aiman segera bangkit dan berlari ke dapur. Dia mendapati ibunya sedang menggeledah laci dan rak dengan wajah penuh kegelisahan.
“Ibu pasti buku itu ada di sini tadi. Aiman ada nampak?” soal Puan Nora sambil membelek-belek helaian kertas yang berselerakan.
Aiman menggaru kepala perlahan. “Buku resipi yang mana satu, ibu?”
“Buku yang ada segala resipi kuih raya kita. Resipi semperit, tat nanas, bangkit keju, dan pelbagai lagi. Hari raya semakin dekat. Macam mana ibu hendak sediakan kuih-muih jika buku itu tiada?”
Aiman terdiam. Hatinya tiba-tiba teringat akan kehilangan kuih semperit dari kedai beberapa hari yang lalu. Kini, buku resipi pula ghaib. Adakah kedua-dua kejadian ini saling berkaitan?
Tanpa berlengah, Aiman segera menghantar pesanan ringkas kepada Johan:
Aiman: Buku resipi kuih ibu hilang.
Johan: Biar betul? Ini sudah menjadi isu nasional kuih raya.
Aiman: Aku syak ada kaitan dengan kes sebelum ini.
Johan: Jom jumpa selepas solat Maghrib. Kita bincang.
*******
Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Geng Detektif Kampung Melayu berkumpul seperti biasa di bangku batu taman permainan berdekatan masjid. Kali ini, Faizal turut serta.
“Baiklah, pertama sekali,” ujar Johan, memulakan bicara, “kita kini berdepan dengan tiga kes kehilangan yang mencurigakan iaitu yang pertama, kehilangan kuih semperit dari beberapa kedai. Kedua, kehilangan wang sahur milik Din dan ketiga, kehilangan buku resipi ibu Aiman.”
Badrul segera mencatat maklumat tersebut di dalam buku notanya.
“Kes ini semakin pelik. Bermula dengan makanan, kemudian wang, kini resipi. Apakah kaitan antara ketiga-tiganya?” soal Badrul.
Din pula melipat tangan ke dada. “Aku berpendapat ini bukan perbuatan budak-budak nakal semata-mata. Mungkin ada pihak yang mahu mengaut keuntungan.”
“Tetapi mengapa pula buku resipi menjadi sasaran?” soal Faizal pula.
Aiman termenung panjang. Sekiranya pencuri mahu menjual kuih, mungkin dia mahu hasilkan sendiri. Namun, mengapa sampai perlu mencuri resipi?
Johan tiba-tiba bersuara, “Bukankah tempoh hari semasa kita membeli kuih semperit di bazar, kita telah mengesyaki bahawa ada orang menjual kuih curi?”
Semua mengangguk setuju.
“Apa kata… jika orang itu sebenarnya membuat kuih sendiri? Tetapi dia tidak ada resipi, jadi dia curi daripada orang lain?” tambah Johan.
Aiman ternganga seketika. “Maksud kau, mungkin ada pihak yang mahu jual kuih raya secara besar-besaran dan perlukan resipi terbaik?”
Badrul bersiul perlahan. “Jika betul semua ini, aku rasa ini bukan pencuri biasa. Ini mesti tauke kuih raya!”
*******
“Siapa yang masuk ke rumah kau hari ini?” tanya Johan.
Aiman berfikir sejenak. “Tidak ramai. Pagi tadi, Pak Mail datang menghantar gas. Kemudian, ibu menjemput Kak Salmah, jiran sebelah, masuk sebentar. Oh, dan ada seorang penghantar barang yang membawa tepung yang ibu pesan.”
“Dia masuk hingga ke dapur?” soal Faizal.
“Ya, dia letak tepung di dapur,” jawab Aiman.
Badrul mencatat sesuatu di dalam bukunya. “Ada kemungkinan yang mengambil buku resipi itu?”
“Tidak mustahil,” balas Din. “Tetapi bagaimana kita mahu pastikan?”
Johan mengangkat telefon bimbit Ericsson T10 miliknya sambil tersenyum. “Aku kenal abang kepada kawan yang bekerja di syarikat penghantaran. Aku akan cuba dapatkan maklumat tentang penghantar barang itu.”
Beberapa minit kemudian, Johan menerima balasan pesanan ringkas.
Johan: Siapa nama penghantar barang yang datang pagi tadi?
Kawan: Namanya Azlan. Kenapa?
Johan: Boleh tahu tugasnya. Ada nombor telefonnya?
Kawan: Ini nombornya. 019-XXXXXXX.
Johan tersenyum penuh makna. “Kita sudah ada suspek.”
*******
Johan segera menghantar pesanan ringkas kepada Azlan.
Johan: Assalamualaikum. Tadi ada hantar tepung ke rumah kawan saya, bukan?
Azlan: Waalaikumussalam. Ya, betul. Kenapa?
Johan: Ada nampak buku resipi di dapur?
Azlan: Err… kenapa tanya?
Johan: Bukunya hilang.
Beberapa minit berlalu tanpa sebarang jawapan. Kemudian, Azlan membalas:
Azlan: Bukan saya yang ambil. Saya hanya ambil gambar sahaja…
Johan: Gambar? Untuk apa?
Azlan: Bos saya yang suruh ambil gambar resipi kuih itu.
Johan terpempan.
“Okey semua, Azlan kata bukan dia yang ambil buku itu. Tetapi dia ambil gambar resipi di dalamnya!”
“Siapa bos dia?” soal Faizal.
Johan segera menaip semula.
Johan: Siapa bos saudara?
Azlan: Maaf, saya tidak boleh beritahu…
Aiman menggenggam tangan dengan erat. “Sah! Ada pihak yang gunakan resipi ibu aku untuk buat kuih dan mereka jual.”
Badrul mengangkat tangan. “Tunggu sebentar. Kalau betul resipi telah dicuri, kuih yang dijual pasti ada rasa yang sama, bukan?”
Aiman mengangguk.
Din tersenyum. “Maksudnya, kita perlu beli kuih semperit di bazar, kemudian kita rasa, dan buat perbandingan.”
*******
Keesokan harinya, selepas solat Asar, mereka beramai-ramai ke bazar Ramadan yang diadakan berhampiran Stadium Larkin. Selain bazar yang meriah, turut berlangsung pertandingan futsal amal di gelanggang sebelah stadium, satu acara yang cukup digemari oleh anak muda ketika itu.
Mereka berjalan dari satu gerai ke satu gerai sehingga menemukan gerai kuih yang mencurigakan. Tanpa melengahkan masa, mereka membeli sekotak kuih semperit.
Pada malamnya, di rumah Aiman, mereka meletakkan kuih semperit bazar di sebelah kuih semperit yang dibuat oleh ibu Aiman.
Faizal menghidu kuih dari bazar terlebih dahulu. “Baunya seakan sama…”
Aiman mematahkan sebiji daripada kedua-dua jenis kuih tersebut. “Teksturnya pun hampir serupa…”
Din mengambil sedikit dan merasa. Matanya terbuka luas. “Ini… rasanya memang sama!”
Johan segera mencatat di telefonnya:
Kuih semperit bazar seiras rasa kuih ibu Aiman.
Suspek utama: Tauke kuih misteri yang mencuri resipi.
Misi seterusnya: Mengesan dalang sebenar sindiket kuih raya ini.
Misteri semakin berbelit. Mereka tahu pencuri resipi ini perlu dikesan sebelum Syawal menjelang tiba!